Saufi Anuar Abdullah
Ini adalah antara coretan ringkas saya, ASP Saufi Anuar Abdullah pegawai polis yang bertugas di Darfur, Sudan di bawah panji United Nations-African Union Mission In Darfur (UNAMID). Saya adalah salah seorang pegawai PDRM yang ditugaskan sebagai polis komuniti semasa di Kem Shangil Tobaya Darfur pada awal tahun 2008 hingga 2009 bersama 3 orang lagi rakan sepasukan iaitu ASP Azahar, Koperal Yaakof dan Koperal Zulkifli. Kem Shangil Tobaya menampatkan 2 kumpulan (team) petugas pegawai UNAMID iaitu bagi Team Shangil Tobaya dan juga Team Darul Salam. Kedudukan kem Shangil Tobaya di kawasan yang agak genting dan keadaan keselamatan yang tidak menentu, memerlukan semua petugas UNAMID tinggal di dalam kawasan kem yang dikawal oleh pihak tentera dari negara Rwanda. Pihak UNAMID menyediakan beberapa khemah tentera untuk disewa oleh pegawai-pegawai UNAMID dengan kadar sewaan sebanyak USD25 sehari. Setiap khemah menempatkan 2 orang dan saya tinggal bersama Koperal Yaakof manakala ASP Azahar tinggal bersama Koperal Zulkifli. Keadaan khemah yang hanya berlantaikan tanah merah boleh memuatkan dua buah katil bujang yang hanya dipisahkan pada jarak lebih kurang 3 kaki antara kedua-dua katil tersebut manakala di ruang hadapan berhadapan pintu masuk ke khemah, terdapat sedikit ruang lebih kurang 5 kaki dijadikan tempat memasak iaitu dengan menggunakan dapur eletrik. Bekalan eletrik dibekalkan 24 jam memandangkan ianya berada di dalam kem tentera. Kami juga beruntung dan bersyukur kerana bekalan air besih tidak menjadi masalah dan sentiasa diperolehi di kem tersebut. Cuma kami perlu mendapatkannya lebih kurang 100 meter dari kami. Kemudahan tandas lebih kurang 20 meter dari khemah kami juga disediakan dan bolehlah dianggap sempurna. Kami juga bernasib baik kerana terdapat anggota tentera Rwanda yang beragama Islam seramai lebih kurang 5 orang selain dari rakan-rakan misi yang lain yang terdiri daripada pegawai polis dari negara Mesir, Senegal, Ghana dan juga pekerja-pekerja am yang terdiri daripada penduduk tempatn yang beragama Islam. Terdapat sebuah surau yang hanya terletak lebih kurang 15 meter dari khemah kami. Ini membolehkan kami solat secara berjemaah pada setiap waktu solat dan memudahkan kami kerana ruang di dalam khemah yang terhad menyukarkan untuk kami bersolat di dalam khemah.
Kem Shangil Tobaya ini juga dikawal rapi 24 jam setiap hari oleh pihak tentera Rwanda lengkap bersenjatapi. Seingat saya, khemah ASP Azahar dan Koperal Zulkifli berada di hadapan pintu masuk utama ke kem dan terdapat kubu bagi anggota tentera Rwanda berkawal betul-betul di hadapan khemah mereka. Ini memberi keyakinan kepada keselamatan kami dan juga memberi peluang kami untuk bergaul dan berinteraksi dengan anggota-anggota tentera yang bertugas setiap masa walaupun kebanyakan anggota tentera Rwanda tidak begitu fasih berbahasa Inggeris. Setiap kali bertemu dengan anggota tentera Rwanda, semestinya kami akan mengucapkan pertanyaan apa khabar di dalam bahawa Rwanda iaitu, "amokuru" dan akan dijawab dengan jawapan khabar baik di dalam bahawa Rwanda iaitu "ameza". Itulah antara kenangan manis kami semasa menyertai mis yang penuh dengan cabaran dan dugaan. Sikap dan budaya kami sebagai pegawai PDRM yang dilatih dengan penuh disiplin, budi bahasa, setiakawan dan saling bantu membantu juga menjadi perhatian semua pegawai dan anggota tentera Rwanda serta rakan misi daripada negara-negara lain.Kami sering dipuji dan amat disenangi oleh semua penghuni kem tersebut. Kami begitu berbanga kerana mampu menjadi duta kecil kepada negara Malaysia umumnya dan kepada PDRM secara khususnya. Masih saya ingat lagi, semasa menyambut Hari Kemerdekaan tahun 2008, saya bersama ASP Azahar dan Koperal Zulkilfi (ketika itu Koperal Yaakof sedang bercuti) meraikan hari Kemerdekaan dengan berdiri di hadapan khemah ASP Azahar di pagi hari menyanyikan lagu Negara Ku sambil menaikkan Jalur Gemilang pada tiang di hadapan khemah. Kami bertiga lengkap memakai uniform. Perlakuan kami menjadi tanda tanya kepada setiap anggota tentera Rwanda dan rakan misi lain yang tinggal berdekatan dengan khemah kami. Mereka begitu kagum dan memuji tindakan kami mengingati hari yang penuh bersejarah itu walaupun berada begitu jauh dari bumi Malaysia. Air mata kami mengalir tanpa disedari. Betapa amannya bumi Malaysia, betapa damainya negara kita, betapa selesa dan mewahnya kehidupan kita, betapa selamat dan tenteramnya seharian kita....bersyukurlah, berterima kasihlah, berbanggalah, berusahalah untuk kekalkan apa yang kita nikmati hari ini. Jangan perjudikan semua ini dengan tindakan, perlakuan dan pemikiran yang cetek. Saya cukup sedih jika ada di kalangan rakyat Malaysia yang tidak mensyukuri nikmat yang dikurniakan oelh Yang Maha Esa ini. Tambahan pula jika ada di antara rakyat kita yang mengutuk dan memperlekehkan negara kita sendiri.
Walaupun keadaan kem tempat kami tinggal mempunyai kemudahan asas iaitu bekalan eletrik dan air yang mencukupi, namun dari segi keselamatan ianya masih berada di tahap yang agak merbahaya serta tidak selamat. Kami tidak dibenarkan untuk keluar ke kampung di sekitar kem tersebut kecuali bagi tujuan menjalankan tugas dan diiringi serta dikawal oleh pasukan tentera Rwanda. Semua pergerakan keluar dari kem hanya untuk menjalankan penugasan dan secara berkumpulan dan dibuat secara berkonvoi, yang elemennya melibatkan pasukan tentera lengkap dengan senjatapi termasuk menggunakan kenderaan membawa penumpang bersenjata (APC atau Armoured Personel Carrier). Setiap kali kami berhenti di mana-mana lokasi, anggota tentera akan turun serta mengambil tempat yang strategik dan selamat bagi memngawal dan memastikan keselamatan ahli kumpulan konvoi. Kami tidak dibenarkan sama sekali untuk bergerak bersendirian dan berada berjauhan dari kumpulan semasa berada di mana-mana lokasi penugasan. Hatta untuk mengambil gambar dan berinetraksi dengan penduduk kampung juga perlu dengan arahan dan kebenaran "team leader" dan dengan pengawasan serta perlindungan keselamatan oleh pihak tentera Rwanda. Mengambil gambar juga tidak dibenar kecuali dengan kebenaran "team leader" serta dengan keizinan penduduk tempatan. Bagi kawasan perkampungan, ketua kampung atau "umdah" sentiasa dirujuk dan dimaklum bagi menjalankan apa-apa aktiviti, pergerakan atau mendapat apa-apa maklumat serta apa-apa kejadian terkini.
Saya juga masih ingat lagi tentang sebuah kedai runcit yang terletak lebih kurang 50 meter dari pintu pagar kem kami. Kami namakan kedai tersebut sebagai 7-Eleven. Antara barangan yang ada di kedai tersebut ialah minuman berkarbonat , antaranya Coca Cola, Sprite, Mirinda, beberapa jenis biskut, sabun mandi, sabun serbuk, gula, garam dan beberapa jenis barangan lagi. Memang terlalu daif dan serba kekurangan, tetapi tetap kami kunjungi hampir setiap hari 2 kali demi mengisi masa lapang dan melepaskan "gian" berbelanja walaupun kadang-kadang hanya membuat "window shopping". ASP Azahar selalu bergurau, "kita ni dah jadi macam orang Sudan dan orang Afrika, bersungguh pergi ke kedai, tapi cuma melihat saja".
Terselamat
[sunting | sunting sumber]Beliau menjalankan rondaan bersama anggota polis dari negara lain di Darul Salam di Darfur serta kawasan perkampungan sekitarnya.Beliau bersama enam orang berada dalam sebuah kenderaan polis dan diiringi sebuah kenderaan tentera Rwanda menuju ke perkampungan Gusajamat, 100km dari Kem Shangitubaya. Di dalam trak itu ada empat orang anggota polis dari Ghana dan Afrika Selatan dan seorang jurubahasa dari Sudan. Di satu kawasan berhampiran puncak bukit, beliau melihat kenderaan yang dinaiki tentera Rwanda, tiba-tiba berhenti dan anggota tentera melompat turun dari kenderaan mereka.
Kenderaan bergegar terkena tebakan, dinding kenderaan berlubang, cermin semua pecah dan bau peluru.Dua pengganas mengambil beg, jam tangan dan barang-barang miliknya sebelum beredar.Anggota Rwanda yang jadi pengiring sudah mati.Saufi berjalan 7km sehingga menemui kampung Wadah. Saufi dihantar ke sebuah hospital di daerah Darul Salam dan dirawat selama dua hari akibat cedera ringan.Doktor di situ menjalankan pembedahan hanya dengan lampu suluh dan sebaldi air. Kemudian beliau dihantar ke Kem Shangitubaya di mana empat orang anggota Polis Diraja Malaysia berada. Rata-rata penduduk di Darfur ini beragama Islam dan senang bekerjasama kerana sesama agama.[1]