Retinopati diabetes
Retinopati diabetes ialah retinopati (kerosakan kepada retina) yang disebabkan oleh komplikasi penyakit kencing manis. Ia boleh menyebabkan penglihatan mata merosot dan seterusnya buta. Kebanyakan pesakit akan mengalami keadaan ini selepas 20 tahun.
Diabetes meninggalkan kesan ke atas saluran darah dalam retina. Tahap awal dipanggil retinopati tanpa proliferasi (nonproliferative diabetic retinopathy). Dalam peringkat ini, saluran darah menjadi lemah dan mudah bocor menyebabkan titik–titik pendarahan. Saluran darah juga menyebabkan retina mudah bengkak dan penglihatan menjadi kabur. Bahagian retina juga akan menunjukkan tanda-tanda “cotton wool spot” dan “hard exudates”.
Tahap yang paling teruk dipanggil retinopati proliferatif. Dalam keadaan ini, kekurangan oksigen dalam bahagian retina menyebabkan retina menjadi “ischemic”. Ini menyebabkan saluran darah yang baru tetapi kurang matang tumbuh di atas permukaan retina. Ini dipanggil “neovascularization”. Saluran darah ini senang pecah dan mudah berdarah. Ini menyebabkan pendarahan bahagian belakang mata dan penglihatan yang kabur.
Kalau keadaan ini tidak diubati, parut juga akan terhasil di dalam mata menyebabkan urat saraf lekang dari lapisan dalam mata dan glaukoma.