Pergi ke kandungan

Anjing pemburu rakun Redbone

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Redbone coonhound)
Anjing pemburu rakun Redbone
Seekor jantan dewasa
Nama lainCoonhound Redbone
Redbone coonhound
Negara asalAmerika Syarikat
Trait
Berat Jantan 50–70 paun (23–32 kg)
Betina 45–65 paun (20–29 kg)
Tinggi Jantan 22–27 inci (56–69 cm)
Betina 21–26 inci (53–66 cm)
Bulu pendek dan padat
Warna merah padu atau perang berangan; putih diizinkan pada kaki dan dada
Anjing (Canis lupus familiaris)
Seekor jantan berusia dua tahun dengan topeng hitam pada muncung

Anjing pemburu rakun Redbone, coonhound Redbone, atau Redbone coonhound[a] ialah satu baka anjing pemburu Amerika. Sebagai anjing pemburu rakun, anjing pemburu rakun Redbone terutamanya merupakan pemburu buruan kecil yang bersembunyi di pokok, seperti rakun, oposum, dan tupai, tetapi juga mampu mengendalikan buruan besar seperti beruang dan kugar. Strategi perburuannya adalah untuk melakukan treeing terhadap buruan liar yang kemudian dapat ditembak oleh pemburu, bukan pula langsung memburu dan menewaskan mangsa.

Baka ini bertarikh kembali ke tempoh pra-Perang Saudara dari Amerika Syarikat Selatan dan ternakan asasinya diterbitkan daripada anjing pemburu darah dan anjing pemburu rubah yang dibawa oleh pendatang dari Scotland.[1] Tidak seperti anjing pemburu rakun lain yang terutamanya dibiakbakakan untuk kemahiran perburuan dan bukannya penampilan, anjing pemburu rakun Redbone bercirikan lapis bulu merah pekat di samping keupayaannya untuk menjejaki bekas laluan buruan dengan lebih lama daripada baka lain ("hidung malis").[2]

Ia telah didaftarkan dengan United Kennel Club sejak tahun 1902 dan dengan American Kennel Club sejak tahun 2010. Dalam kebudayaan popular, baka ini paling terkenal daripada novel kanak-kanak tahun 1961 Where the Red Fern Grows karya Wilson Rawls.[3]

Pada awal abad ke-19, pendatang dari Scotland membawa anjing pemburu rubah berwarna merah ke Georgia, yang kemudian menjadi ternakan asasi bagi anjing pemburu rakun Redbone zaman moden. Pada sekitar tahun 1840, susur galur anjing pemburu rubah dan anjing pemburu darah yang dibiakbakakan di Ireland ditambahkan. Susur galur tambahan ini, khususnya anjing pemburu rubah Ireland, mungkin merupakan asal usul untuk tanda-tanda putih yang kadang-kadang terdapat pada dada dan kaki pada anjing pemburu rakun Redbone moden.[4]

Walaupun nama Redbone berasal daripada seorang pembiak baka awal, Peter Redbone dari Tennessee, kebanyakan kerja untuk mewujudkan baka ini dilakukan di Georgia. Ternakan asasi ialah milik George F.L. Birdsong dari Georgia yang diberikan kepada beliau oleh Dr. Thomas Henry pada tahun 1840-an.[4]

Sesetengah anjing pemburu rakun Redbone terawal dirujuk sebagai "Saddleback" ("[anjing] belakang pelana") kerana mempunyai tanda hitam mirip pelana pada belakangnya di atas lapis bulu merah menyeluruh.[4] Menjelang awal abad ke-20, pelana ini digantikan dengan nada merah tidak terganggu dan nama "Redbone Coonhound" diterima pakai.[5][6]

Lama-kelamaan, para pembiak baka mengikuti program terpilih yang membawa kepada anjing pemburu rakun yang mahir dalam treeing terhadap buruan liar, berani menentang haiwan lebih besar seperti beruang dan kugar, cukup tangkas untuk menjejak di pergunungan atau di rawa, dan mampu berenang jika perlu.[5] Walaupun direka untuk pemburuan rakun, ia mampu memburu buruan lebih besar seperti beruang dan kugar.[4]

Anjing pemburu rakun Redbone diiktiraf oleh United Kennel Club pada tahun 1902 dan menjadi baka anjing pemburu rakun kedua selepas anjing pemburu rakun hitam dan sawo matang yang mendapat pengiktirafan[4] dan diiktiraf oleh American Kennel Club pada tahun 2010.[5]

Anjing pemburu rakun Redbone awal

Perihal dan penampilan

[sunting | sunting sumber]

Anjing pemburu rakun Redbone mempunyai tubuh langsing, berotot, dan berperkadaran baik. Jenis tubuh adalah tipikal bagi subkelompok anjing pemburu rakun, dengan tungkai lurus panjang, dada dalam, dan kepala serta ekor yang terangkat tinggi-tinggi dan dengan bangga semasa perburuan atau penunjukan. Baka ini ialah salah satu baka anjing pemburu rakun paling seragam dari segi saiz dan penampilan.[4]

Anjing pemburu rakun Redbone mempunyai mata perang dan muka yang kerap diperihalkan mempunyai ekspresi merayu.[7] Mata anjing ini mungkin berwarna perang gelap hingga hazel, tetapi warna lebih gelap lebih diutamakan.[4] Lapis bulunya pendek dan licin pada tubuh, tetapi cukup kasar untuk menyediakan perlindungan kepada kulit semasa memburu melalui belukar tebal. Warna lapis bulu sentiasa merah pekat, walaupun sedikit putih pada dada, di antara tungkai, atau pada kaki kadang-kadang terlihat.[4] Hidungnya kerap hitam dan menonjol, dengan hitam pada muncung dan di sekeliling mata, yang dipanggil "topeng", yang tidak jarang. Telinganya terkelepai dan kemungkinan besar memanjang hampir ke hujung hidung jika diregangkan. Kaki besarnya diperihalkan mirip kucing, padat, dan cukup berpad untuk menyesuaikan diri dengan rupa bumi berlainan. Kuku embun adalah lazim, tetapi dianggap sebagai kecacatan untuk piawaian baka.[2]

Sebagai anjing pemburu rakun yang bergantung pada treeing mangsa, anjing pemburu rakun Redbone mempunyai raungan atau lolongan lantang dan suaranya diperihalkan sebagai suara "manis".[4]

Jantan berdiri kira-kira setinggi 22–27 inci (56–69 cm) pada paras bahu, dengan betina yang lebih pendek sedikit setinggi 21–26 inci (53–66 cm). Berat patut berperkadaran dengan saiz dan struktur tulang setiap anjing, dengan keutamaan terhadap anjing bekerja lebih langsing berbanding dengan anjing lebih berat. Pada umumnya, berat bersikar dalam julat 45–70 paun (20–32 kg).[4]

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ Jawi: انجيڠ ڤمبورو راکون ريندبون; کونهاءون ريندبون; ريندبون کونهاءون; bahasa Inggeris: Redbone coonhound
  1. ^ "Coonhound Breeds". www.coondawgs.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 28 Mac 2024.
  2. ^ a b "Official Standard of the Redbone Coonhound" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. 12 Disember 2009. Dicapai pada 28 Mac 2024.
  3. ^ Rozakis, Laurie (Julai 2003). "Scholastic Bookfiles: A Reading Guide to Where the Red Fern Grows by Wilson Rawls" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Scholastic Inc. Dicapai pada 28 Mac 2024.
  4. ^ a b c d e f g h i j "United Kennel Club Standard for the Redbone Coonhound" (dalam bahasa Inggeris). United Kennel Club. Dicapai pada 28 Mac 2024.
  5. ^ a b c The New Complete Dog Book: Official Breed Standards and All-New Profiles for 200 Breeds (dalam bahasa Inggeris). i5 Publishing. 11 November 2014. ISBN 978-1-62187-091-3.
  6. ^ The Complete Dog Book: 20th Edition (dalam bahasa Inggeris). Random House Publishing Group. 18 Disember 2007. ISBN 978-0-307-41699-5.
  7. ^ "Redbone Coonhound Dog Breed Informationl". American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 28 Mac 2024.