Pergi ke kandungan

Parameswara

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Raja Iskandar Shah)
Parameswara
Lakaran Parameswara oleh pelukis moden
Sultan Melaka Pertama
Pemerintahan1402–1414
Didahului olehKerajaan ditubuhkan
Diikuti olehMegat Iskandar Syah
Raja Singapura ke-5
Pemerintahan1389–1398
Didahului olehSeri Maharaja
Diikuti olehKerajaan dibubarkan
Keputeraan1344
Palembang
Kemangkatan1414 (umur 70)
Melaka, Kesultanan Melaka
PemakamanTanjung Tuan, Melaka atau Bukit Larangan, Singapura[1]
AnakandaMegat Iskandar Syah
KerabatMelaka
AyahandaSeri Maharaja
AgamaHindu Islam pada tahun 1414

Parameswara (Jawi: ڤرميسورا) , juga dikenali sebagai Iskandar Syah dalam Sulalatus Salatin, merupakan raja terakhir Kerajaan Temasek (Singapura) dan pengasas Kesultanan Melayu Melaka yang berketurunan Palembang. Menurut Sulalatus Salatin, baginda memerintah Kerajaan Temasek dari tahun 1389 hingga tahun 1398, kemudian melarikan diri ke ke muara Sungai Bertam pada 1402 setelah diserang oleh tentera laut Majapahit pada tahun 1389.

Dalam beberapa dekad, bandar baharu yang diasaskan baginda di muara Sungai Bertam itu berkembang dengan pesat dan menjadi ibu kota Kesultanan Melayu Melaka. Riwayat Portugis yang ditulis ratusan tahun selepas kemangkatan baginda mencadangkan bahawa baginda berasal dari Palembang dan takhta Kerajaan Temasek dirampas baginda sebelum dihalau dari Singapura, sama ada oleh orang Siam atau Kerajaan Majapahit sebelum mengasaskan Kesultanan Melayu Melaka.

Etimologi

Nama Parameswara terdapat dalam sumber-sumber Portugis seperti Suma Oriental, dieja Paramicura atau Parimicura.[2] Parameswara ialah nama Hindu yang berasal dari perkataan Sanskrit Parameśvara (Sanskrit: परमेश्वर), iaitu konsep yang membawa maksud harfiah "Penguasa Teragung". Nama "parama" yang bermaksud "agung" ditambah pada Iswara sebagai penegas. Parameśvara juga salah satu nama bagi Dewa Siva. Bagaimanapun, nama Parameswara tidak terdapat dalam Sejarah Melayu yang menerangkan sejarah Singapura dan Melaka secara terperinci. Sebaliknya, ia menyebut nama Iskandar Syah sebagai raja terakhir Singapura dan pengasas Melaka. Iskandar datang dari bahasa Parsi sempena Iskandar Agung, sementara Syah pula gelaran raja Parsi. Berkemungkinan Iskandar Syah dalam Sulalatus Salatin dan Parameswara adalah individu yang sama berdasarkan persamaan antara biografi masing-masing.[3]

Riwayat

Asal-usul

Terdapat pengisahan yang saling bercanggahan mengenai asal-usul dan riwayat Parameswara daripada Sulalatus Salatin dan catatan Portugis. Sulalatus Salatin mula dikarang sewaktu zaman kemuncak Melaka lalu disusun semula oleh Tun Sri Lanang di Kesultanan Johor pada tahun 1612, sebagai asas kepada kisah penubuhan, peralihan kuasa, dan kejatuhan kerajaan Singapura. Menurut Sulalatus Salatin, Iskandar Syah (Parameswara) ialah pewaris Sang Nila Utama yang dipercayai menubuhkan Singapura. Akan tetapi, para sejarawan meragui ketepatan Sulalatus Salatin mengenai Singapura.[4] Sumber-sumber Portugis seperti Suma Oriental oleh Tomé Pires dikarang sebaik sahaja Melaka ditawan oleh Portugis, mendatangkan kisah yang berlainan tentang Parameswara.

Catatan Suma Oriental dan Sulalatus Salatin sepakat bahawa terdapat seorang putera Srivijaya yang melarikan diri ke Singapura, dan terdapat raja terakhir Singapura yang melarikan diri ke pantai barat Semenanjung Tanah Melayu untuk menubuhkan negara Melaka. Bagaimanapun, kedua-dua catatan tidak setuju akan identiti putera berkenaan: Suma Oriental menyamakan putera pelarian sebagai orang yang sama dengan raja terakhir Singapura yang dikenali sebagai "Parameswara", sementara Sulalatus Salatin menyatakan bahawa raja terakhir itu ialah Iskandar Syah dan merupakan generasi kelima daripada putera pelarian yang dikenali sebagai Sang Nila Utama.

Tambah lagi Suma Oriental, putera pelarian Srivijaya merampas takhta Singapura daripada seorang wizurai Siam bernama "Temagi" sekitar tahun 1390-an. Catatan Portugis oleh Tomé Pires dan João de Barros mungkin berasaskan sumber dari Jawa, menyatakan bahawa Parameswara ialah putera dari Palembang yang cuba menggugat penguasaan Majapahit terhadap Palembang selepas tahun 1360. Dalam versi ini, Majapahit menyerang Palembang lalu mengusir Parameswara, maka beliau melarikan diri ke Singapura. Setelah itu, Parameswara membunuh pemerintah tempatan Sang Aji Sangasinga lalu memerintah selama lima tahun sebelum diusir oleh angkatan kerajaan Patani yang dikatakan ingin membalas dendam untuk Sang Aji yang beristerikan orang Pattani.[5] Catatan Pires juga menyatakan bahawa Iskandar Syah ialah putera kepada Parameswara yang menjadi pemerintah kedua Melaka.[6] Ramai pengkaji berpendapat bahawa Parameswara dan Iskandar Syah sama orangnya, namun ada yang mengatakan bahawa Megat Iskandar Syah ialah putera Parameswara.[2]

Satu-satunya catatan primer Cina mengenai Temasek (nama lama sebelum bertukar kepada Singapura) pada abad ke-14 ialah Dao Yi Zhi Lue oleh Wang Dayuan, yang menyatakan bahawa Temasek diperintah oleh seorang penghulu tempatan (sebelum kedatangan Parameswara).[7] Bagaimanapun, cara pembahasaannya menandakan bahawa pemerintah Temasek tidak memerintah secara bebas, sebaliknya di bawah naungan kuasa besar.[8]

Kejatuhan Singapura

Menurut Sulalatus Salatin, Paduka Seri Maharaja Singapura diwarisi oleh puteranya Iskandar Syah, in 1389. Penggunaan gelaran Parsi dalam Sulalatus Salatin menggambarkan bahawa baginda sudah memeluk agama Islam. Catatan Sulalatus Salatin menyatakan bahawa Kerajaan Singapura mendapat pengaruh Islam sewaktu pemerintahan Paduka Seri Rana Wikrama ketika menjalin hubungan dengan kerajaan Islam Perlak di Sumatera.[9] Juga dipercayai bahawa Parameswara pernah beristerikan seorang wanita Islam lalu memeluk agamanya.[10]

Catatan Sulalatus Salatin mengenai kejatuhan Singapura dan pelarian raja terakhirnya bermula apabila Parameswara (ditulis dengan nama Iskandar Syah) menuduh salah seorang gundiknya melakukan perbuatan zina, lalu menitahkan agar gundik itu dihukum lucut pakaian di khalayak ramai.[11] Sang Rajuna Tapa, bendahara Parameswara yang juga merupakan bapa kepada gundik itu, bertindak membalas dendam dengan menghantar sepucuk warkah rahsia untuk mengundang kerajaan Majapahit untuk menyerang Singapura.[11] Pada tahun 1398, Majapahit mengerah seangkatan 300 buah jong (kapal perang besar) berserta perahu-perahu banting, jongkong, dan kelulus yang tidak terkira banyaknya, mengangkut sekurang-kurangnya 200,000 orang bala tentera.[11] Pada mulanya, tentera Majapahit menentang barisan pertahanan di luar kubu sehingga mereka berundur ke dalam kota. Kemudian, mereka mengepung dan cuba memecah masuk kubu tetapi ternyata sukar ditembusi.[9][11][12]

Setelah sebulan berlalu, bekalan makanan dalam kubu mula kehabisan dan barisan pertahanan pun di ambang kebuluran. Sang Rajuna Tapa pun disuruh untuk mengagihkan apa sahaja bekalan beras yang tinggal dari gedung istana kepada rakyat. Sang Rajuna Tapa pun mengambil kesempatan untuk membalas dendam dengan berbohong kepada raja bahawa bekalan istana sudah kehabisan, maka bekalan makanan pun tidak diagihkan dan rakyat jelata pun kebuluran. Akhirnya, pintu kota dibuka atas perintah bendahara derhaka, membolehkan tentera Majapahit untuk menembusi kubu lalu melakukan pembunuhan beramai-ramai.[11] Sulalatus Salatin menyifatkan pertumpahan darah "seperti air sebak" sehingga "merah rupanya pasir" di bumi Singapura.[11] Maka Parameswara pun mengaku kalah dan meninggalkan Singapura bersama barisan pengikutnya.

Penubuhan Melaka

Parameswara melarikan diri ke Muar untuk mendirikan penempatan baharu.[13]:245–246 Di Muar, Parameswara berhasrat mendirikan penempatan di suatu kawasan bernama Biawak Busuk atau Kota Buruk. Setelah mendapati kawasan Muar kurang sesuai, baginda membatalkan hasratnya lalu meneruskan perjalanan ke utara. Baginda kemudian singgah di Sening Ujong (Sungai Ujong) dan melantik seorang menteri untuk mewakilinya di sana. Kemudian, baginda tiba di pinggir muara Sungai Bertam (Sungai Melaka) dan di situ telah terdapat perkampungan Orang Laut atau nelayan daripada puak kaum Seletar, maka di sinilah baginda menetap.[14]

Sulalatus Salatin mengisahkan legenda yang mana, sewaktu berehat dalam teduhan pokok melaka, Parameswara menyaksikan seekor pelanduk menghambat anjing pemburunya sehingga terjun ke dalam air. Titahnya, "Baik tempat ini diperbuat negeri, anjing alah oleh pelanduk; jikalau orangnya betapa lagi?"[14] Menurut kisah turun-temurun, petempatan yang bergelar Melaka dinamakan sempena pokok yang diduduki oleh Parameswara sewaktu menyaksikan peristiwa yang membawa alamat tuah. Kini, terdapat pelanduk dan pokok melaka dalam jata negeri Melaka. Satu lagi kisah asal-usul nama Melaka datang dari zaman pemerintahan Muhammad Syah (1424–1444), apabila saudagar Arab datang menggelar negeri itu dengan nama 'Malakat' (iaitu 'perhimpunan saudagar' dalam bahasa Arab) kerana di situlah tinggalnya banyak masyarakat saudagar.

Hubungan dengan China

Hubungan antara negara Melaka dan Cina bermula pada awal abad ke-15[15] apabila Parameswara melakukan beberapa kunjungan menghadap Maharaja Yongle. Pada 1403, utusan dagang rasmi pertama Cina yang diketuai oleh Laksamana Yin Qing tiba di Melaka. Kemudian, Parameswara diiringi oleh Laksamana Zheng He dan lain-lain utusan untuk menjayakan kunjungan rasmi. Dengan menjalin hubungan dengan kerajaan Ming di Cina, Melaka memperoleh perlindungan daripada serangan-serangan dari Siam dan Majapahit di samping diangkat sebagai negeri naungan Cina. Ini mendorong pembangunan Melaka sebagai persinggahan dagang utama di sepanjang laluan dagang antara Cina dan India, Timur Tengah, Afrika, dan Eropah.

Pada 1411, Parameswara bersama isterinya dan 540 orang pegawai dari Melaka mengunjungi negara Cina untuk menyembahkan penghormatan kepada Maharaja Yongle (r. 1402–1424). Setibanya di situ, mereka dialu-alukan dengan majlis gilang-gemilang siap dengan upacara pengorbanan haiwan. Perjumpaan bersejarah antara Parameswara dan Maharaja Yongle jelas tercatat dalam babad Ming:[16]

Wahai Raja (Parameswara), anda telah merentas lautan dari jauh ke ibu kota dengan yakin tanpa sebarang khuatir, kerana Tuhan telah menyelamatkan diri anda yang taat setia dan tulus ikhlas. Beta (Yongle) berbesar hati dapat mengenali anda. Alangkah baiknya jika anda dapat terus menginap di sini. Namun begitu, rakyat anda rindu kepada anda, maka anda harus pulang untuk mengubati rindu mereka. Cuaca sudah semakin sejuk, anginnya pun sesuai untuk berlayar ke selatan. Masanya sudah tiba. Makanlah puas-puas sepanjang perjalanan, dan jaga diri baik-baik untuk mengenang keprihatinan beta. Kini beta mengurniakan kepada anda sabuk jed bersalut emas seutas, alat kebesaran sebentuk, kuda berpelana sepasang, emas 100 tahil, perak 500 tahil, wang kertas 400,000 untai, wang tembaga 2,600 untai, kain dan kasa sutera halus bersulam 300 gulung, sutera nipis 1,000 gulung ...

Menurut catatan Cina lagi, pada 1414, putera sulung Parameswara berangkat ke negara Cina untuk menyembah maklum tentang kemangkatan ayahandanya. Dipercayai bahawa Parameswara dikebumikan di puncak bukit berdekatan Tanjung Tuan. Tampuk pemerintahan Parameswara diwarisi oleh Megat Iskandar Syah yang memerintah Melaka sehingga tahun 1424. Juga didakwa bahawa Parameswara sebenarnya dikebumikan di Bukit Larangan, Singapura, malah ada juga yang percaya bahawa baginda diabukan sesuai dengan adat Hindu.

Agama

Parameswara pada mulanya merupakan penganut agama Hindu, seperti yang digambarkan oleh gelaran Sanskritnya. Gelaran Parsi, Iskandar Shah yang digunakan dalam Sulalatus Salatin, dan juga pertikaian mengenai sama ada Parameswara dan Iskandar Syah ialah orang yang sama, menimbulkan satu tebakan bahawa Parameswara pernah memeluk agama Islam dan mengambil gelaran baharu. Pada tahun 1409, ketika berusia 65 tahun, Parameswara diceritakan menikahi seorang puteri Pasai lalu mengambil gelaran Iskandar Syah.[17] Bagaimanapun, Tomé Pires terang-terang menyebut bahawa takhta Parameswara diwarisi oleh Megat Iskandar Syah (ditulis "Chaquem Daraxa") yang hanya memeluk agama Islam pada usia 72 tahun. Catatan Ming Shilu dari China juga memperakui Megat Iskandar Syah sebagai putera Parameswara.[2] Putera ini hanya disebut "Raja Besar Muda" dalam Sulalatus Salatin yang juga menyatakan bahawa raja ketigalah iaitu Muhammad Syah menjadi pemerintah Muslim pertama Melaka yang dipanggil untuk memeluk agama Islam dalam mimpi. Para pengkaji percaya bahawa Parameswara dan Raja Besar Muda diberi gelaran yang sama, masing-masing dipanggil Seri Iskandar Syah dan Megat Iskandar Syah.[18] Berdasarkan catatan Melayu, Portugis, dan Cina, Christopher Wake membuat kesimpulan bahawa Parameswara tidak pernah memeluk agama Islam tetapi sebaliknya diberi gelaran anumerta Iskandar Shah.[18] Biarpun dipertikaikan bila sebenarnya Melaka mula diislamkan, namun rata-ratanya sebulat bahawa Islam sudah pun mantap menjelang pemerintahan Sultan Muzaffar Shah.[19]

Peninggalan

Peta Melaka abad ke-15 dan negeri-negeri sezaman.

Dalam berpuluh-puluh tahun semenjak penubuhannya, Melaka berkembang sebagai bandar perdagangan antarabangsa yang menandakan bermulanya zaman kegemilangan Alam Melayu. Dikisahkan bahawa sebanyak 80 bahasa pernah dituturkan di Melaka. Melaka pun menjadi pelabuhan terkemuka di Asia Timur pada abad ke-16, begitu kaya sehingga saudagar Portugis, Tome Pires pernah berkata bahawa mana-mana pihak yang menguasai Melaka juga akan menguasai Venice.[20]

Di Melakalah lahirnya kesultanan Melayu baharu yang menjadi peneraju dalam meneruskan perjuangan Singapura dan Srivijaya menentang lawan ketat iaitu Majapahit. Menjelang pertengahan abad ke-15, Majapahit sudah tidak mampu membendung kebangkitan Melaka yang sudah membolot Selat Melaka sambil meluaskan pengaruh ke Sumatera. Menurut Sulalatus Salatin, apabila Sultan Mansur Syah menaiki takhta pada 1459, wilayah Melaka telah meliputi sebahagian besar Semenanjung Tanah Melayu di samping Kepulauan Riau-Lingga, dan sebahagian pantai timur Sumatra termasuklah Indragiri, Kampar, Siak, Rokan, Haru dan Siantan. Malah, Melaka masih hendak memperluas wilayah selewat-lewat tahun 1506 apabila ia menakluki Kelantan.[21]

Kemakmuran Melaka sebagai pelabuhan antarabangsa merubah seluruh rantau Nusantara, malah kejayaannya dikagumi oleh raja-raja dari negeri-negeri jiran. Sebagai sebuah entrepot utama, Melaka telah menarik saudagar Muslim dari serata dunia sehingga menjadi pusat penyebaran Islam di seluruh Nusantara. Proses pengislaman serantau di sekitar Melaka diperhebatkan pada abad ke-15 dan ke-16 menerusi pusat-pusat pengajian di daerah Upeh yang terletak di tebing utara Sungai Melaka. Islam tersebar dari Melaka ke Jambi, Kampar, Bengkalis, Siak, Aru dan Kepulauan Karimun di Sumatera, ke serata Semenanjung Tanah Melayu, Jawa, bahkan juga Filipina. Sejarah Melayu juga bercerita tentang Melaka dan Pasai saling bertukar-tukar soal-soal keagamaan. Sekurang-kurangnya dua ahli "Wali Sanga" (sembilan pendakwah) yang menyebarkan Islam di Jawa, iaitu Sunan Bonang dan Sunan Kalijaga, dikisahkan pernah mengaji di Melaka.[22] Peluasan Islam ke pedalaman Jawa pada abad ke-15 membawa kepada kemerosotan musuh lama Melaka, iaitu Majapahit Hindu yang akhirnya jatuh kepada kuasa Muslim setempat yang baru bangkit pada awal abad ke-16. Tuntasnya, jangka masa dari zaman Melaka hinggalah zaman penjajahan Eropah menyeluruh, menyaksikan dominasi kesultanan Melayu Islam dalam perdagangan dan siasah yang menyumbang kepada seluruh rantau berkenaan memeluk identiti Melayu.

Lihat juga

Rujukan

  1. ^ Abdul Rashid, Faridah (2012). Research on the Early Malay Doctors 1900-1957 Malaya and Singapore. Xlibris Corporation. ISBN 978-1-4691-7243-9.
  2. ^ a b c Wang, G. (2005). "The first three rulers of Malacca". Dalam L., Suryadinata (penyunting). Admiral Zheng He and Southeast Asia. International Zheng He Society / Institute of Southeast Asian Studies. m/s. 26–41. ISBN 9812303294.
  3. ^ C.M. Turnbull (30 October 2009). A History of Modern Singapore, 1819-2005. NUS Press. m/s. 21–22. ISBN 978-9971694302.
  4. ^ Miksic 2013, halaman 154
  5. ^ Miksic 2013, halaman 155–156
  6. ^ Miksic 2013, halaman 162
  7. ^ Paul Wheatley (1961). The Golden Khersonese: Studies in the Historical Geography of the Malay Peninsula before A.D. 1500. Kuala Lumpur: University of Malaya Press. m/s. 82–83. OCLC 504030596. In ancient times, when digging in the ground, a chief came upon a jewelled head-dress. The beginning of the year is calculated from the [first] rising of the moon, when the chief put on this head-gear and wore his [ceremonial] dress to receive the congratulations [of the people]. Nowadays this custom is still continued.
  8. ^ Miksic 2013, halaman 177–178
  9. ^ a b Tsang & Perera 2011, halaman 120
  10. ^ "Parameswara". Sejarah Melayu. Dicapai pada 21 May 2013.
  11. ^ a b c d e f A. Samad 1979, halaman 69–70
  12. ^ Sabrizain, halaman Palembang Prince or Singapore Renegade?
  13. ^ Cœdès, George (1968). The Indianized states of Southeast Asia. University of Hawaii Press. ISBN 978-0-8248-0368-1.
  14. ^ a b A. Samad 1979, halaman 70–71
  15. ^ Wade 2005, halaman Search - Malacca
  16. ^ Wade 2005, halaman 786
  17. ^ Mansor, Suffian; Sundara Raja, Sivachandralingam; Mohd Noor, Arbaiyah; Mohd Rus, Ahmad Kamal Ariffin (2014). Sejarah dan Kesarjanaan. University of Malaya Press. m/s. 34. ISBN 978-967-0380-40-7.
  18. ^ a b Christopher H. Wake (1964). "Malacca's Early Kings and the Reception of Islam". Journal of Southeast Asian History. 5 (2): 104–128. JSTOR 20067505, Papers on Early South-East Asian History.CS1 maint: postscript (link)
  19. ^ Ahmad Sarji 2011, halaman 116
  20. ^ Cortesao 1990, halaman lxxv
  21. ^ Ahmad Sarji 2011, halaman 119
  22. ^ Ahmad Sarji 2011, halaman 116

Bacaan Lanjut

Gelaran pemerintah
Gelaran baharu Sultan Melaka
1400-1414
Diikuti oleh:
Megat Iskandar Syah