Pergi ke kandungan

Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16
Nama asal Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah
Tarikh30 Julai 2019 (2019-07-30)
LokasiIstana Negara, Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur
Koordinat3°09′41″N 101°39′49″E / 3.16139°N 101.66361°E / 3.16139; 101.66361Koordinat: 3°09′41″N 101°39′49″E / 3.16139°N 101.66361°E / 3.16139; 101.66361
Hadirin


Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah diadakan di dalam adat istiadat diraja Melayu, di Balairong Seri, Istana Negara, Kuala Lumpur pada hari Selasa, 30 Julai 2019 pukul 10 pagi sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI. Al-Sultan Abdullah telah dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja ke-251 di Istana Negara pada 24 Januari 2019 bagi tempoh 5 tahun mulai 31 Januari 2019 untuk menggantikan Sultan Muhammad V.

Pertabalan ini amat istimewa buat Al-Sultan Abdullah kerana diadakan pada hari ulang tahun keputeraan baginda yang ke-60.

Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XVI disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia dan Astro Awani.

Sebelum pertabalan

[sunting | sunting sumber]

Istiadat Melafaz Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong XVI

[sunting | sunting sumber]

Pada 31 Januari 2019, Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-252 (Khas) diadakan sempena Istiadat Melafaz dan Menandatangani Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong XVI dan diikuti perisytiharan memegang jawatan.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah bersama Tunku Azizah berangkat tiba pada jam 9.15 pagi dengan menaiki pesawat khas dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kuantan, Pahang dan mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Baginda berdua disambut oleh Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah sebagai wakil Istana Selangor yag merupakan ketua kepada negeri tempat letaknya KLIA. Istiadat keberangkatan tiba Al-Sultan Abdulllah dan Tunku Azizah turut disambut pasukan Kawalan Kehormat Setempat oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja diketuai Kapten Abdul Munir Mohani@Che Omar dan terdiri daripada dua pegawai dan 26 anggota. Baginda kemudian berangkat ke Dataran Parlimen untuk sambutan rasmi oleh pemimpin negara dan disambut Perdana Menteri, Mahathir Mohamad dan isteri, Siti Hasmah Mohamad Ali bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum berangkat ke Istana Negara.

Di Istana Negara, Al-Sultan Abdullah menerima Kawalan Kehormatan Darjat oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja yang terdiri daripada tiga pegawai dan 31 anggota yang diketuai Mejar Mohd Azwan Ariff Mohd Azawi sebaik kenderaan diraja yang membawa Yang di-Pertuan Agong melintasi pasukan itu ketika menuju Anjung Utama Istana Negara. Serentak itu, Pancaragam Pusat Rejimen Renjer Diraja yang dianggotai seorang pegawai dan 33 anggota dipimpin Mej Abdul Aziz Abdullah memainkan lagu "Negaraku".[1]

Al-Sultan Abdullah kemudian diiringi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri ke Balairung Seri.

Mesyuarat Khas tersebut dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Memulakan istiadat, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Syed Danial Syed Ahmad tampil menyembahkan Surat Sumpah Jawatan kepada Al-Sultan Abdulllah yang kemudiannya melafazkan Sumpah Jawatan sebelum menandatanganinya. Surat Sumpah jawatan itu kemudiannya ditandatangani oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, sebagai saksi. Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja kemudian menyembahkan pula Surat Sumpah Jawatan kepada Sultan Nazrin Muizuddin Shah yang kemudiannya melafazkan sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong sebelum menandatanganinya. Surat Sumpah Jawatan baginda turut ditandatangani oleh Sultan Mizan dan Tuanku Syed Sirajuddin sebagai saksi.

Acara di Balairong Seri kemudiannya diteruskan dengan istiadat menandatangani perisytiharan memegang jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong dan timbalannya.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menghadap dan menyembahkan Surat-surat Perisytiharan memegang jawatan untuk ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong lalu membaca perisytiharan bahawa Al-Sultan Abdulllah secara rasmi menjadi Ketua Negara Malaysia berdasarkan undang-undang dan Perlembagan Persekutuan.[2]

Istiadat itu diakhiri dengan bacaan doa dan sesi bergambar bersama-sama dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta Tuan-Tuan Yang Terutama Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketus Menteri.

Persiapan majlis istiadat

[sunting | sunting sumber]

Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah tidak sempat ditabal di negeri sendiri iaitu negeri Pahang selepas menaiki takhta negeri kerana tempoh yang pendek antara tarikh menjadi sultan dan pelantikan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong hanya 2 minggu. Disebabkan itu, Raja Permaisuri Agong sendiri terlibat secara langsung dalam persiapan istiadat ini untuk memastikan kelancaran dan keistimewaan hari tersebut.

Cuti umum

[sunting | sunting sumber]

Kerajaan Malaysia mengisytiharkan 30 Julai 2019 sebagai hari cuti umum tambahan di seluruh Malaysia sempena Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XVI. Pengisyiharan ini dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar, berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369) bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.[3]

Sebelum itu, pada 30 Mei 2019 pula, kerajaan negeri Pahang telah mengumumkan 30 Julai sebagai cuti umum sempena Hari Keputeraan Al-Sultan Abdullah. Berikutan dua peristiwa berbeza jatuh pada hari yang sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar telah berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 12 Jun 2019 telah memutuskan bahawa 30 dan 31 Julai 2019 adalah sebagai hari kelepasan am bagi seluruh negeri Pahang berdasarkan kuasa diberikan mengikut Subseksyen 9 (1) Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369).[4]

Perutusan Warkah Persilaan

[sunting | sunting sumber]

Warkah Persilaan telah diutus kepada setiap Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu termasuk Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah,[5] Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Putera Mahkota Abu Dhabi dan Timbalan Komandan Tertinggi Angkatan Bersenjata Emiriah Arab Bersatu Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan dan Putera Ali Al-Hussein dari Jordan juga telah dijemput hadir ke Istiadat Pertabalan ini. Warkah Persilaan kepada kedua-dua putera itu ditulis dalam Jawi Bahasa Melayu bersama terjemahan teks ke dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab yang diselaraskan oleh Kementerian Luar Negeri.[6]

Tradisi mengutuskan Warkah Persilaaan yang ditulis tangan dengan tulisan khat Jawi dalam Bahasa Melayu itu dimulakan sejak istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang pertama, iaitu Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad.[7]

Rekaan Warkah Persilaan kali ini dicadang sendiri oleh Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sendiri dengan meminta agar lambang setiap negeri dicetak atas warkah tersebut sebagai simbol perpaduan Raja-raja Melayu. Jawatankuasa Khas Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 diamanahkan dengan tanggungjawab mempersembahkan Warkah Persilaan kepada pemerintah mengikut adat dan tradisi. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof[8] dan terdiri daripada Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Azuan Effendy Zairakithnaini sebagai wakil Istana Negara, dan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja.[6]

Setiap warkah digulung dan dimasukkan ke dalam wadah berbentuk silinder berwarna emas yang diletakkan di atas dulang yang juga berwarna emas. Di sesetengah negeri, para sultan akan memberikan perkenan untuk kandungan Warkah Persilaan dibacakan di hadapan mereka oleh salah seorang anggota rombongan perutusan yang selaras dengan tradisi zaman dahulu.[6]

Abdul Baki Abu Bakar dari Sik, Kedah, yang pernah bertanggungjawab buat kali pertama menulis khat untuk istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail pada tahun 2002 telah diberi amanah untuk menulis tangan setiap warkah yang dipesan khas buat kali ini. Turut dijemput menulis warkah tersebut ialah Ustaz Jainal Sakiban dari Batu Pahat, Johor yang dulu pernah menjadi guru agama kepada Raja Permaisuri Agong dan yang menulis untuk persilaan Istiadat Perkahwinan dan sijil perkahwinan Al-Sultan Abdullah dengan Raja Permaisuri Agong.[6]

Penulisan warkah itu sendiri adalah proses yang lambat kerana ketelitian agar dakwat tidak tertumpah di atas kertas yang berkualiti tinggi, dengan ruang untuk teks khat telah ditetapkan selain memastikan jumlah dakwat yang mencukupi.Ciri-ciri kertas juga kadang-kadang boleh menimbulkan cabaran kerana beberapa jenis kertas lebih sesuai untuk pencetakan berbanding untuk tujuan khat. Ketelitian memilih mata pen yang betul juga menjadi cabaran kerana mempengaruhi kepanjangan teks dan ruang yang diperlukan. Jenis khat yang digunakan pula adalah jenis Nusukh dan Tuluth.[8]

Kepanjangan teks warkah juga bergantung kepada pangkat dan gelar setiap sultan. Laras bahasa yang digunakan juga merupakan Bahasa Melayu Istana yang menjadikan warkah tersebut merupakan persilaan rasmi peribadi dengan penghormatan dan gelaran panggilan yang sesuai oleh Seri Paduka Baginda kepada raja-raja yang lain.[6]

Takhta dan persalinan warisan

[sunting | sunting sumber]

Buat kali pertama dalam sejarah Malaysia menyaksikan kedua-dua Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong merupakan anakanda kepada bekas Yang di-Pertuan Agong yang terdahulu iaitu yang ke-7, Almarhum Sultan Ahmad Shah dan ke-8 Almarhum Sultan Iskandar. Maka, kedua-dua Seri Paduka Baginda, khususnya Raja Permaisuri Agong, ingin mengembalikan nilai sentimental dengan menggunakan semula singgahsana persemayaman dan persalinan diraja yang pernah digunakan semasa pertabalan ayahanda mereka. Maka, singgahsana tersebut dibawa kembali dari Galeri Diraja Tuanku Jaafar Negeri Sembilan untuk diperindahkan dan diperbaiki bagi kegunaan Istiadat Pertabalan.[9] Di belakang singgahsana pula diletakkan beberapa helaian kain mirip istana lama dahulu. Kain songket dari Brunei juga ditempah oleh Tunku Azizah sendiri digunakan sebagai alas kerusi singgahsana.[10]

Muskat dan Tengkolok Diraja pula adalah kepunyaan Almarhum Sultan Ahmad Shah ketika pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 1979 dan pernah dipinjamkan kepada Almarhum Sultan Iskandar untuk pertabalan Yang di-Pertuan Agong 5 tahun kemudian. Almarhum Sultan Iskandar tidak menempah muskat dan tengkolok kerana ingin memakai pakaian seragam tentera seperti yang sering dipakai pada majlis rasmi di negeri Johor. Walau bagaimanapun, Perdana Menteri ketika itu, Dato' Seri Dr. Mahathir, telah menghadap seminggu sebelum Istiadat Pertabalan dan merayu agar baginda memakai muskat. Namun, muskat ini tidak dipakai oleh Al-Sultan Abdullah kerana perbezaan saiz tetapi muskat baharu yang dipakai tetap mempunyai estetika tersendiri sementelahan rekaan busana rasmi itu adalah sama dengan muskat yang dipakai Almarhum Sultan Ahmad Shah.[9]

Busana persalinan Raja Permaisuri Agong pula dibuat khas oleh pereka fesyen Datuk Rizalman Ibrahim yang mempunyai pengalaman selama 15 tahun menyediakan reka persalinan bagi Seri Paduka Baginda sekeluarga. Enam persalinan milik Tunku Azizah sempena istiadat tersebut adalah termasuk busana daripada fabrik tenun Pahang hasil tenunan penghuni Penjara Penor dan Penjara Bentong Pahang yang diilhamkan baginda sendiri serta 12 lagi persalinan untuk anakanda-anakanda Tunku Azizah. Rizalman mengekalkan rekaan kurung moden kolar bulat dengan bahu berkedut yang menjadi identiti baginda, seperti yang digayakan ketika beliau mula melihat baginda menerusi muka hadapan sebuah majalah.[10]

Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XVI

[sunting | sunting sumber]

Keberangkatan tiba

[sunting | sunting sumber]

Permulaan istiadat ditandai oleh keberangkatan tiba Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Raja-Raja Permaisuri dan Tuan-Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri pada jam 9 pagi. Istiadat Pecah Bendera dilaksanakan iaitu bendera peribadi masing-masing dipecah dan dikibarkan menandakan keberangkatan tiba tetamu-tetamu kenamaan utama di istana. Berikut merupakan senarai keberangkatan tiba di Anjung Pintu Utama Istana Negara mengikut turutan ketibaan.

  1. YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia Dato' Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail & suami, YABhg. Dato' Seri Anwar Ibrahim
  2. YAB Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamad & isteri, YABhg. Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali
  3. YAM Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj
  4. YAM Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin
  5. YTM Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra & isteri, YBhg. Che Puan Sofie Louise Johansson
  6. TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib bin Mahmud & isteri, YABhg. Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Ragad Kurdi Taib
  7. TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Datuk Seri Panglima Juhar Mahiruddin & isteri, YABhg. Toh Puan Datin Seri Panglima Norlidah RM Jasni
  8. TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil bin Yaakob & isteri, YABhg. Toh Puan Datuk Seri Utama Zurina Kassim
  9. TYT Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Dato' Seri Utama Dr. Hj. Abdul Rahman Abbas & isteri, YABhg. Toh Puan Dato' Seri Utama Hajah Majimor binti Shariff
  10. DYMM Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail & DYTM Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil
  11. KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah
  12. KDYMM Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin & KDYMM Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Binti Tengku Ariff
  13. DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizuddin Shah & DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim Davidson
  14. DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj & DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin
  15. KDYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin & KDYMM Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah
  16. KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Brunei, Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah & KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha
  17. YM Putera Mahkota Abu Dhabi dan Timbalan Komandan Tertinggi Angkatan Bersenjata Emiriah Arab Bersatu Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan
  18. KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah & KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah

Barisan tetamu kenamaan ini dibawa masuk ke Dewan Seri Maharaja Istana Negara. Keberangkatan tiba kedua-dua Seri Paduka Baginda di Istana Negara pada jam 10:00 pagi waktu Malaysia disambut oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri untuk ke Peterana Diraja. Iringan tiupan Pancaragam Pusat Rejimen Diraja iaitu Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja sambil membawakan Panji Diraja dan Panji Rejimen Askar Melayu Diraja bermula dan lagu "Negaraku" dimainkan di Dataran Utama Istana Negara sebelum kawalan kehormatan utama disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda. Hormat diraja disempurnakan selepas itu dengan lagu "Negaraku" dimainkan sekali lagi.

Istiadat bermula

[sunting | sunting sumber]

Seri Paduka Baginda berdua kemudian berangkat masuk ke Dewan Seri Maharaja. Kemudian, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan Tuan-Tuan Yang Terutama bersama pasangan masing-masing akan keberangkatan masuk ke Balairong Seri bersama-sama dari Dewan Seri Maharaja mengikut kekananan menaiki takhta. Berikut merupakan senarai keberangkatan masuk ke Balairong Seri.

1. YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia & suami
2. YAB Perdana Menteri Malaysia & isteri
3. YAM Tunku Temenggung Johor
4. YAM Tunku Besar Seri Menanti Negeri Sembilan
5. YTM Tengku Mahkota Kelantan & isteri
6. TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak & isteri
7. TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah & isteri
8. TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka & isteri
9. TYT Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang & isteri

10. DYMM Pemangku Raja Perlis & DYTM Raja Puan Muda Perlis
11. KDYMM Pemangku Raja Pahang
12. KDYMM Sultan Kedah & KDYMM Sultanah Kedah
13. DYMM Paduka Seri Sultan Perak & DYMM Raja Permaisuri Perak
14. DYMM Sultan Selangor & DYMM Tengku Permaisuri Selangor
15. KDYMM Sultan Terengganu & KDYMM Sultanah Terengganu
16. YM Putera Mahkota Abu Dhabi
17. KDYMM Paduka Baginda Seri Sultan Brunei & KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri
18. KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong & KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong diumum berangkat masuk ke Balairong Seri dengan paluan gong. Kemudian, iringan tiupan nafiri dan nobat memainkan lagu "Raja Berangkat" oleh Kumpulan Nobat Diraja Terengganu mengiringi langkah Seri Paduka Baginda berdua ke singgahsana dan semua pengiring alat kebesaran mengambil tempat.

Datuk Paduka Maharaja Lela, Azuan Effendy Zairakithnaini, menghadap dan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memulakan istiadat pertabalan. Selepas mendapat perkenan, Datuk Paduka Maharaja Lela akan mengisytiharkan penzahiran istiadat. Langkah yang sama juga dilakukan untuk membawa masuk al-Quranul Karim dan alat-alat kebesaran istiadat pertabalan ke dalam Balairong Seri dengan diiringi nobat dipalu lagu "Menjunjung Duli". Datuk Penghulu Istiadat mempersembahkan al-Quranul Karim kepada Datuk Paduka Maharaja Lela lalu dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong lalu mencium dan meletakkannya di rehal di sisi kanan baginda.

Kemudian, Datuk Paduka Maharaja Lela membawa mengadap Perdana Menteri untuk membaca warkah pengisytiharan pertabalan. Pengisytiharan itu kemudiannya dibaca:

Bismillahirrahmanirrahim, bahawa inilah dimasyhurkan kepada sekalian orang serta penduduk Negara Malaysia iaitu Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja telah memilih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan pada hari, waktu dan saat yang gilang gemilang ini maka Seri Paduka Baginda ditabalkan naik takhta kerajaan menjadi turus negara bagi Malaysia dengan bergelar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI.

Selepas itu, Keris Panjang Diraja atau Keris Kerajaan dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda lalu dihunus dan dicium oleh baginda sebelum disarung kembali dan diletakkan di sisi kiri baginda.

Datuk Paduka Maharaja Lela kemudian mempersembahkan Warkah Ikrar yang ditulis di atas kertas kulit kambing. Warkah ikrar itu kemudiannya dibaca:

Bismillahirrahmanirrahim, Beta Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Taala, kerana dengan izin-Nya Beta telah dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong. Dengan ini, Beta akan menjalankan seadil-adilnya pemerintahan bagi Malaysia mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negara, serta memelihara dengan sempurna setiap masa agama islam, dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman dalam negara.

Semua hadirin di istana berdiri dan baginda melafazkan ikrar tersebut dan disambut oleh lagu "Raja Bertabal". Kemudian, laungan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali dilaungkan dan nyanyian lagu Negaraku dikumandangkan dan tembakan meriam 21 das dilepaskan. Lalu, Datuk Paduka Maharajalela membawa mengadap Perdana Menteri untuk mempersembahkan ucapan tahniah dan ikrar taat setia kerajaan dan rakyat Malaysia. Selepas itu, Warkah Titah Diraja dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan dizahirkan baginda.

Berikutan itu, Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abdul Aziz Che Yacob, membacakan Doa Selamat. Selepas menghadap dan memohon perkenan baginda, Datuk Paduka Maharaja Lela menerima kembali al-Quranul Karim dari singgahsana dan diserahkan semula kepada Datuk Penghulu Istiadat. Selepas itu, Datuk Paduka Maharaja Lela memaklumkan bahawa Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XVI selamat disempurnakan. Dengan berakhirnya istiadat tersebut, Yang di-Pertuan Agong berangkat meninggalkan Balairong Seri dengan iringan lagu "Raja Berangkat" dan disambung oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Raja-Raja Permaisuri dan Tuan-Tuan Yang Terutama ke Dewan Seri Mahkota untuk sesi bergambar.

Majlis Santapan Diraja

[sunting | sunting sumber]

Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu bersama tetamu-tetamu diraja dan kehormat kemudiannya menghadiri Majlis Santapan Diraja sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong XVI pada 31 Julai 2019 jam 8.30 malam di Dewan Santapan Utama Istana Negara. Menu yang dihidangkan pada Majlis Santapan Diraja telah mendapat sentuhan peribadi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.[7]

Majlis Santapan Diraja berkenaan diserikan dengan persembahan nyanyian artis tempatan Dayang Nurfaizah yang diiringi Orkestra Radio Televisyen Malaysia (RTM). Seri Paduka Baginda berdua dan para hadirin turut menyaksikan persembahan tarian kebudayaan Permata Seni Tari.

  1. ^ "Sultan Abdullah lafaz sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-16". BERNAMA. 31 Januari 2019. Cite has empty unknown parameter: |dead-url= (bantuan)
  2. ^ "Al-Sultan Abdullah lafaz sumpah jawatan". Utusan Online. 1 Februari 2019. Dicapai pada 20 Julai 2018 – melalui utusan.com.my. Cite has empty unknown parameter: |dead-url= (bantuan)
  3. ^ Ismail, Irwan Shafrizan (28 Jun 2019). "30 Julai cuti am tambahan sempena Hari Pertabalan Agong". BH Online. Cite has empty unknown parameter: |dead-url= (bantuan)
  4. ^ Raja Abdul Aziz, Raja Norain Hidayah (9 Julai 2019). "Pahang cuti 30 dan 31 Julai". Harian Metro. Cite has empty unknown parameter: |dead-url= (bantuan)
  5. ^ Sani, Aimi (8 Julai 2019). "Menerima mengadap Menteri di JPM Malaysia". Pelita Brunei.
  6. ^ a b c d e "An invitation fit for royalty". The Sun Daily. 22 Julai 2019 – melalui Bernama. Cite has empty unknown parameter: |dead-url= (bantuan)
  7. ^ a b "Persiapan istiadat pertabalan Agong lancar, 80 peratus siap". Utusan Online. 17 Julai 2019 – melalui Bernama. Cite has empty unknown parameter: |dead-url= (bantuan)
  8. ^ a b "Persiapan bagi istiadat pertabalan Agong lancar". BH Online. 11 Julai 2019. Cite has empty unknown parameter: |dead-url= (bantuan)
  9. ^ a b "#AgongKita: Bersemayam di singgahsana bersejarah". Astro Awani. 28 Julai 2019. Dicapai pada 29 Julai 2019.
  10. ^ a b Md Wazilah, Anis Nabilla (29 Julai 2019). "Busana Diraja : Sentuhan magis Rizalman untuk Permaisuri Agong". Bernama. Dicapai pada 30 Julai 2019. Cite has empty unknown parameter: |dead-url= (bantuan)

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]