Pergi ke kandungan

Permata Aurorius

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Permata Aurorius ialah buku pertama di dalam siri buku-buku Saga Artakusiad yang ditulis oleh Ahmad Patria Abdullah. Cetakan pertama telah dikeluarkan pada tahun 1987 dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Cetakan kedua pula dilakukan pada tahun 2010[1]. Genre buku-buku didalam saga ini adalah fiksyen dan fantasi bahasa Melayu.

Plot buku ini adalah berkisar tentang pengembaraan Rizal, seorang remaja yang telah dibawa masuk ke alam dunia Imagina dan bertumpu di sebuah negeri yang bernama Aurora. Daripada situ, Rizal mula belajar akan identiti barunya sebagai Artakus di Aurora dan tanggungjawab yang mesti dipikul kerana memakai nama tersebut. Sebagai Artakus, dia mula memahami situasi yang melanda kaum-kaum di Aurora dan memulakan langkah untuk menyatupadukan kaum-kaum tersebut.

Rizal, seorang remaja sedang berjalan pulang ke rumahnya selepas bermain bola di sekolah telah dibawa masuk secara tiba-tiba ke dunia Imagina oleh Merkia, makhluk Arasis yang mempunyai kuasa yang luar biasa. Rizal mendapati dirinya berada di dalam perkampungan kaum Armorikus di Lembah Takaryan, di sebuah negeri bernama Aurora. Diawal kemunculannya, dia telah dijaga oleh Ibu Fera dan Laira. Rizal turut mendapat perhatian daripada seorang karman puak Armorikus, Nazril.

Menerusi sebuah mimpi, Rizal buat pertama kalinya diberitahu oleh Merkia bahawa kedatangannya ke Aurora adalah untuk membebaskan Aurora daripada cengkaman Morrok dan namanya ialah Artakus, individu yang sekian lama telah ditunggu-tunggu oleh kaum-kaum Aurora.[2] Kemudian Nazril telah membawa Artakus berjumpa Atinius, ketua puak Armorikus. Atinius dan Nazril telah menyatakan sumpah setia mereka kepada Artakus dan percaya bahawa Artakus adalah orang yang telah ditunggu-tunggu, sebagaimana yang telah diramalkan dalam kitab-kitab Id.[3] Kehidupan Artakus di perkampungan Armorikus seterusnya menemukan Artakus dengan Adonis, seorang pemuda yang kemudiannya menjadi rakan karib Artakus.

Di dalam sebuah perhimpunan khas yang diadakan untuk menyambut kedatangan Artakus, Merkia telah berdepan dengan Artakus buat pertama kali. Di dalam pertemuan ini, Merkia telah menceritakan asal-usul pertembungan di antara Arasis dan Osria dan permusuhannya dengan Herakos, makhluk Osria yang terhasil daripada kegelapan. Herakos semakin hampir berjaya kerana telah memiliki Permata Aurorius dan Herakos merancang untuk menguasai alam semesta dengan memusnahkan permata itu ketika Arasis bertembung dengan Osria dalam tempoh setahun. Untuk menggagalkan rancangan Herakos, Merkia telah meminta agar Artakus menyatupadukan seluruh penduduk Aurora, berdasarkan ramalan kitab-kitab Id tentang kedatangan seorang Artakus yang bakal menyelamatkan mereka. Didalam pertemuan itu juga, Merkia telah mengurniakan Arkus, sebilah pedang daripada cahaya, kepada Artakus.[4]

Artakus memulakan perbincangan bersama Atinius dan Nazril mengenai strategi untuk menyatupadukan penduduk Aurora, yang terdiri daripada 5 puak iaitu Armorikus, Jegadai, Jendai, Inkatus dan Argida.[5] Utusan-utusan telah dihantar ke puak Jegadai dan Inkatus untuk mengetahui tentang status puak tersebut. Strategi awal menunjukkan yang mereka mesti menguasai genting Kolossus yang dikuasai oleh Morrok. Penguasaan Morrok ke atas kawasan tersebut telah menyebabkan Armorikus terperangkap di Lembah Takaryan, kerana jalan keluar dari situ untuk bergabung dengan puak-puak yang lain mestilah melalui genting tersebut.

Dalam pada masa yang sama, Artakus juga telah berkawan dengan Esis dan Hansis. Berserta Adonis, mereka berempat telah menjadi sahabat karib. Artakus juga sering berjumpa Laira, gadis yang membantu merawat Artakus diawal kemunculannya di Aurora, dan perhubungan di antara mereka juga semakin mesra. Selain itu, Artakus juga menunggang Ilia,[6] kuda putih yang lahir sebelum kedatangan Artakus ke Aurora, yang menjadi salah satu tanda bukti kedatangannya sebagaimana yang telah diramalkan.

Pada suatu malam, Artakus telah didatangi oleh Babusyka, seekor jin yang sedang dikejar oleh seekor jembalang, Don Diego Dikulgai. Babusyka telah meminta pertolongan daripada Artakus dan Artakus telah menewaskan Don Diego Dikulgai dengan menggunakan Arkus.[7] Babusyka berasa terhutang budi dengan Artakus dan bersumpah untuk menjadi khadam yang setia, walaupun sudah beberapa kali Artakus menghalaunya pergi.

Artakus telah mengemukakan satu rancangan untuk mengalahkan Morrok di Kolossus: dengan mengumpan mereka keluar daripada kubu mereka supaya pertahanan kota Morrok menjadi lemah. Ini dilakukan dengan membuat pergerakan palsu pasukan berkuda secara bergilir-gilir, memberikan ilusi palsu kepada Morrok seolah-olah satu angkatan tentera yang besar sedang bersiap-sedia hendak menggempur mereka. Artakus dan Adonis telah memimpin pasukan berkuda untuk membuat helah tersebut manakala Esis dan Hansis membantu Atinius untuk membuat perangkap terhadap tentera Morrok.

Pada suatu malam, ketika sedang menyalakan obor-obor di sebuah padang di Orra, timur Lembah Urdakis, Artakus dan rakan-rakannya telah diserang oleh peronda-peronda askar Morrok. Artakus dan Esis cuba mengalihkan tumpuan askar-askar tersebut ke tempat lain dan telah berlaku satu pertempuran, di mana Artakus telah kehilangan Arkus dan ditewaskan, ditangkap dan dibawa ke kubu Morrok di Kolossus. Di situ, Artakus telah dibawa berjumpa Panglima Lokhin Strak, ketua turus angkatan tentera Morrok bagi kawasan Lembah Arturus dan Banjaran Orialis. Sewaktu disoalsiasat, Artakus berjaya memperdayakan Lokhin dengan maklumat-maklumat palsu agar Morrok keluar menyerang Armorikus di Lembah Urdakis, sepertimana yang telah dirancangkan. Ketika didalam tahanan, Babusyka telah menyelinap masuk, membawa pedang Arkus dan membantu Artakus keluar daripada penjara Morrok.[8]

Apabila sampai hari perhitungan, pasukan Armorikus telah bersiap-sedia di Lembah Urdakis: Artakus dan Adonis dipertanggungjawabkan mengendali pasukan berkuda, manakala Nazril dan Atinius masing-masing mengepalai pasukan dari arah utara dan timur lembah. Apabila pasukan tentera Morrok memasuki Lembah Urdakis, seluruh bahagian hadapan tentera Morrok telah terjatuh ke dalam parit yang telah digali oleh pasukan Atinius terlebih dahulu. Pertempuran yang amat sengit berlaku walaupun Morrok telah termasuk ke dalam perangkap Armorikus. Serangan mengejut dari pasukan Nazril berjaya memecah-belahkan kekuatan Morrok dan bantuan pasukan berkuda pimpinan Artakus telah memberikan Armorikus kemenangan besar di dalam pertempuran di Lembah Urdakis. Walaupun begitu, Artakus menerima berita sedih apabila mendapat tahu bahawa Hansis telah terkorban di dalam pertempuran tersebut.[9]

Selepas kemenangan di Urdakis, Armorikus telah menakluk Kolossus. Pada suatu malam, Merkia telah mendatangi Artakus di dalam biliknya. Merkia menyatakan bahawa Artakus harus pergi ke Kota Arialun dan mencari permata Aurorius dengan segera kerana menurutnya, Herakos telah berjaya menyegerakan rancangannya untuk menghancurkan alam semesta.[10] Desakan Merkia yang kelihatan agak mencemaskan telah menyebabkan Artakus segera bertolak ke Kota Arialun dengan ditemani oleh Adonis. Mereka telah menggunakan jalan pintas untuk ke Kota Arialun namun terpaksa menghadapi kesukaran apabila terpaksa melalui kawasan paya-paya Tozor dan beradu teka-teki dengan Orrok, penunggu paya Tozor. Namun begitu, Artakus dan Adonis telah diselamatkan oleh bunga Arianur yang diberi oleh Laira kepada Artakus.[11]

Selepas merentasi Lapangan Iskariot, Artakus dan Adonis telah sampai ke Kota Arialun, yang terletak di atas Bukit Irgonod. Mereka menyamarkan diri sebagai peniaga bersama-sama dengan rombongan peniaga untuk memasuki kota. Artakus mendapati bahawa kawalan Morrok di kota itu tidak ketat dan berpendapat bahawa permata Aurorius mungkin tersimpan di dalam bangunan kubu Morrok. Pada waktu malam, Artakus dan Adonis menyelinap masuk ke dalam bangunan kubu dan berjaya menjumpai permata Aurorius tanpa sebarang halangan. Ketika sudah hampir sampai ke gerbang kota untuk melarikan diri, mereka telah ditahan oleh Gargola, seorang yisykrak dan Yarrak, jembalang kembar daripada Orria.[12] Gargola telah memberitahu Artakus tentang segala tipu helah dan perangkap yang telah dipasang oleh Herakos bermula dengan pertempuran di Urdakis, penyamaran Herakos sebagai Merkia yang mendesaknya ke Arialun dan penglibatan Yarrak yang menyamar sebagai Babusyka untuk mengintip pergerakan Artakus. Didalam pertempuran diantara mereka, Artakus mendapati Arkus yang diberi oleh Babusyka dahulu sebenarnya palsu dan tidak mampu menewaskan jembalang seperti Yarrak. Namun, sekali lagi Artakus telah diselamatkan oleh bunga Arianur yang dibawanya apabila Yarrak menghilangkan diri apabila tersua dengan bunga tersebut. Gargola pula telah membuat satu serangan maut terhadap Artakus namun Adonis telah menghalang serangan tersebut lantas mengorbankan dirinya. Serangan Gargola seterusnya terbantut kerana dia telah dikalahkan oleh sinar matahari yang baru terbit. Artakus telah berjaya mendapatkan permata Aurorius, namun telah kehilangan sahabat baiknya Adonis.

Watak-watak utama

[sunting | sunting sumber]

Rizal/Artakus

Merkia

Nazril

Atinius

Laira

Adonis

Esis

Hansis

  1. ^ Ahmad Patria Abdullah. Permata Aurorius. ISBN 978-983-62-1580-2
  2. ^ Ahmad Patria Abdullah. Permata Aurorius. Cetakan kedua 2010. pp. 9-10.
  3. ^ Ahmad Patria Abdullah. Permata Aurorius. Cetakan kedua 2010. pp. 14.
  4. ^ Ahmad Patria Abdullah. Permata Aurorius. Cetakan kedua 2010. pp. 40-48.
  5. ^ Ahmad Patria Abdullah. Permata Aurorius. Cetakan kedua 2010. p. 50.
  6. ^ Ahmad Patria Abdullah. Permata Aurorius. Cetakan kedua 2010. pp. 14,53.
  7. ^ Ahmad Patria Abdullah. Permata Aurorius. Cetakan kedua 2010. pp. 70-73.
  8. ^ Ahmad Patria Abdullah. Permata Aurorius. Cetakan kedua 2010. pp. 116-140.
  9. ^ Ahmad Patria Abdullah. Permata Aurorius. Cetakan kedua 2010. pp. 149-159.
  10. ^ Ahmad Patria Abdullah. Permata Aurorius. Cetakan kedua 2010. pp. 160-162.
  11. ^ Ahmad Patria Abdullah. Permata Aurorius. Cetakan kedua 2010. pp. 168-180.
  12. ^ Ahmad Patria Abdullah. Permata Aurorius. Cetakan kedua 2010. pp. 211.