Pergi ke kandungan

Pengiran Muda Hashim

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Raja Muda Hashim

Among us. merupakan satu nama besar di dalam rentetan sejarah Sarawak sejak ianya menjadi tanah kuripan kepada Kesultanan Brunei Darussalam sehinggalah Sarawak menjadi Sarawak Kingdom dibawah pemerintahan rajah yang pertama iaitu Sir James Brooke lagi. Mungkin ramai generasi baru Sarawak hanya mengenalinya menerusi satu nama jalan di Kuching yang dinamakan Jalan Raja Muda Hashim

Dilahirkan dengan nama sebenarnya Pengiran Bendahara Pengiran Muda Hashim ibni Sultan Mohammad Kanzul Alam merupakan putera kepada Sultan Muhammad Kanzul Alam ibni Sultan Omar Ali Saifuddin I yang menaiki takhta Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam dari tahun 1807 sehingga 1826. Ketika baginda menaiki takhta hanyalah merupakan pemangku Sultan memandangkan ketika itu putera mahkota yang sebenar iaitu anakanda kepada Sultan Muhammad Tajuddin, Sultan Omar Ali Saifuddin II masih terlalu kecil untuk menjadi pemerintah Brunei.

Setelah Sultan Omar Ali Saifuddin II sudah layak menjadi pemerintah Kerajaan Kesultanan Brunei barulah Sultan Mohammad Kanzul Alam turun takhta iaitu sekitar tahun 1826. Sebagai seorang daripada kerabat diraja Brunei lebih-lebih lagi ayahandanya merupakan pemangku Sultan satu ketika dahulu, sudah tentu khidmat Pengiran Bendahara Muda Hashim dituntut oleh negaranya. Maka di ketika pemerintahan Sultan Omar Ali Saifuddin II inilah Pengiran Muda Hashim menjadi antara penasihat kepada pemerintahan Brunei berdasarkan kepada cara baginda yang dikatakan antara pembesar Brunei yang mengamalkan diplomasi yang tulen.

Sekitar tahun 1830an, Sarawak iaitu yang hanya sebesar Kuching sekarang dibawah pemerintahan wakil Sultan Brunei yang dilantik iaitu Pengiran Indera Mahkota yang menjadi Gabenor Sarawak pada ketika itu. Dikatakan pemerintahan Pengiran Indera Mahkota yang lebih kepada pemerintahan kuku besi telah menyebabkan ramai masyarakat Sarawak lebih-lebih lagi di bawah pimpinan Datu Patinggi Abang Ali telah bangun memberontak. Oleh kerana itulah di ketika itu, Sarawak dikatakan di dalam kancah peperangan.

Bertindak bagi mengamankan Sarawak, maka Sultan Omar Ali Saifuddin II telah menghantar Pengiran Muda Hashim yang juga ayahanda saudaranya untuk mententeramkan ketegangan di Sarawak. Namun begitu walaupun Pengiran Muda Hashim telah menggunakan sebaik mungkin diplomasi ke atas Pengiran Indera Mahkota namun Gabenor Sarawak ini masih enggan menukar sistem pemerintahannya. Akibatnya semakin membaralah penentangan masyarakat Sarawak ke atas pemerintahan Brunei pada masa itu.

Kedatangan seorang pengembara bangsa Eropah yang pada mulanya hanya datang untuk menghantar hadiah bagi pihak Kerajaan Mahkota British di Singapura telah menukar lanskap politik di Sarawak sekitar tahun 1838. Pengembara itu adalah James Brooke yang telah berkunjung ke Sarawak bagi menghantar utusan atas bantuan Pengiran Muda Hashim yang telah menyelamatkan beberapa warga British yang karam di muara Sungai Sarawak setelah diserang lanun dan akhirnya mengakibatkan kapal mereka karam. Pengiran Muda Hashim telah membantu warga British ini dengan memberikan mereka perlindungan serta menghantar mereka pulang ke Singapura setelah kesemua mereka pulih.

Walaupun kedatangan James Brooke kali pertama ke Sarawak pada masa itu telah ditawarkan oleh Pengiran Muda Hashim untuk membantu baginda mengawal pemberontakan di Sarawak namun James Brooke menolaknya kerana tidak mahu mencampuri hal-ehwal dalaman Sarawak. Hanya pada tahun 1839 apabila beliau datang ke Sarawak di ketika di dalam perjalanan pulang ke negaranya, barulah James Brooke menyetujui untuk membantu Pengiran Muda Hashim dengan beberapa syarat.

Dengan kelengkapan yang cukup lengkap, James Brooke telah Berjaya mengawal pemberontakan di Sarawak dan akhirnya atas nama perjanjian yang telah dimeterai antara Pengiran Muda Hashim dan James Brooke akhirnya pada tahun 1841, James Brooke telah diangkat menjadi Gabenor Sarawak. Hubungan erat antara Pengiran Muda Hashim dengan James Brooke sebenarnya tidak begitu disenangi oleh Sultan mahupun pembesar-pembesar Kerajaan Brunei dan ini menyebabkan satu titah telah dikeluarkan kepada Pengiran Muda Hashim untuk kembali ke Brunei.

Maka pada tahun 1844, Pengiran Muda Hashim dengan seluruh keluarganya telah berangkat pulang ke Brunei dengan ditemani oleh James Brooke bersama-sama dengan Kapten Sir Edward Blecher. Ketika pulang itulah baru diketahui Pengiran Muda Hashim bahawa statusnya yang memegang jawatan Bendahara telah diambil oleh Pengiran Yusuf. Walaupun telah diturunkan pangkat pada ketika itu, Pengiran Muda Hashim tetap tinggal di Brunei kerana disitulah tumpah darahnya. Namun begitu ketegangan antara Pengiran Muda Hashim dan Pengiran Yusuf terus berlaku di dalam setiap aspek pemerintahan Kerajaan Brunei pada waktu itu.

Ketegangan antara Pengiran Bendahara Yusuf dan Pengiran Muda Hashim mencapai kemuncaknya apabila sekitar 3 Jun 1845, telah berlaku perang saudara antara Pengiran Muda Hashim dengan Pengiran Bendahara Yusuf. Di dalam perang tersebut, Pengiran Muda Hashim dengan dibantu oleh Pengiran Badruddin iaitu adindanya telah bangun berperang dengan Pengiran Bendahara Yusuf bagi merebutkan jawatan Bendahara Kerajaan Brunei Darussalam. Perang saudara yang berlaku di kawasan bernama Barakas, Brunei itu telah menggunakan lebih 1,000 orang askar dari puak Kedayan dan juga pengikut setia Pengiran Muda Hashim manakala Pengiran Bendahara Yusuf hanya bersandarkan kepada kekuatan lebih kurang 300 orang pengikut setianya.

Oleh kerana tidak mampu menandingi kekuatan Pengiran Muda Hashim dikatakan kumpulan Pengiran Bendahara Yusuf ini kalah di dalam perang saudara itu. Kerana malu yang amat sangat dikatakan juga Pengiran Bendahara Yusuf telah melarikan diri sehingga ke Pulau Budokan dan akhirnya menetap di kawasan bernama Kimanis, Sabah. Kerana kemenangan tersebut akhirnya jawatan Pengiran Bendahara dikembalikan kepada Pengiran Muda Hashim oleh pihak istana. Dengan adanya jawatan Bendahara Pengiran Muda Hashim ini kembali maka baginda juga merupakan waris untuk ditabalkan menjadi pemerintah Kerajaan Brunei selepas itu.

Peristiwa ini telah membuatkan waris kepada Sultan Omar Ali Saifuddin II iaitu Pengiran Temenggung Pengiran Anak Hashim merasa terancam akhirnya telah membuat rancangan pembunuhan Pengiran Muda Hashim di Brunei. Plot pembunuhan telah diatur dengan sebaik mungkin dengan penuh teliti dan kemuncaknya pada tahun 1846, seluruh keluarga Pengiran Bendahara Pengiran Muda Hashim telah dibunuh melalui pakatan sulit yang telah diolah seperti pemberontakan menentang pemerintahannya oleh ketua masyarakat tempatan Brunei sendiri.

Apabila berita kematian Pengiran Muda Hashim ini sampai ke James Brooke beliau telah naik berang dan sejak itu James Brooke menggunakan pengaruhnya di dalam Kerajaan Koloni Mahkota British bagi membantunya menyerang Brunei. Akhirnya pujukan dan alasan James Brooke telah membenarkan beliau mendapat armada tentera laut British. Visi asalnya adalah satu untuk mengajar Kerajaan Brunei yang telah berani membunuh sahabat baiknya iaitu Pengiran Bendahara Pengiran Muda Hashim. Dengan armada laut yang kuat sudah tentu Kerajaan Brunei akan goyah terutama sekali ketika itu armada laut British mempunyai kelengkapan ketenteraan yang lebih ke hadapan berbanding dengan Kerajaan Brunei.

Pada 6hb Julai 1846, armada laut James Brooke dan British dengan dipimpin oleh Kapten Henry Keppel, Kapten Mundy dan Kapten Thomas Cochrane melalui kapal perang mereka iaitu HMS Iris, HMS Dido, HMS Semarang, HMS Spiteful, HMS Agincourt, HMS Ringdove, HMS Hazard dan HMS Royalist telah memasuki perairan Brunei iaitu kira-kira 12 batu untuk sampai ke kota Brunei iaitu pusat pemerintahan Kerajaan Brunei Darussalam. Kesemua armada perang James Brooke ini dikatakan tiba dan berlabuh diwaktu malam.

Hanya pada 8hb Julai 1846, barulah armada perang James Brooke benar-benar menghampiri Kota Brunei dan dikala itu dikatakan bahawa bala tentera Kerajaan Brunei sudahpun bersiap siaga dengan segala kemungkinan dan apabila didapati armada laut James Brooke telah mulai dekat, merekalah terlebih dahulu yang telah melepaskan beberapa das tembakan meriam sebagai tanda amaran. Armada tentera James Brooke juga turut membalas maka terjadilah pertempuran antara kedua-dua belah pihak. Di saat-saat genting sebelum armada Brooke berjaya mendarat di kubu pertahanan Brunei, Sultan Omar Ali Saifuddin II dan keluarganya serta beberapa orang pembesar berserta rombongan tenteranya telah berundur ke Damuan untuk menyelamatkan diri.

Pengunduran Sultan Omar Ali Saifuddin II bersama rombongannya ke Damuan merupakan satu titik tolak bermulanya ibukota Brunei ditawan oleh armada tentera James Brooke. Pada ketika inilah Sultan Omar Ali Saifuddin yang berlindung di Damuan juga telah diberikan tekanan oleh James Brooke untuk mengangkatnya menjadi pemerintah yang sah kepada Sarawak Kingdom. Kerana tidak mahu kehancuran terus berlaku memandangkan kekuatan armada tentera James Brooke dan British bukan lawan kepada Brunei akhirnya Sultan Omar Ali Saifuddin telah akur dengan kehendak mereka dan pada ketika itulah perjanjian telah ditandatangani dan kekallah James Brooke menjadi Rajah James Brooke, pemerintah kepada Sarawak Kingdom tanpa Brunei boleh mencampuri urusan pentadbirannya secara totalnya.

Bagi pihak British pula juga tidak mahu mengalah sebaliknya turut menekan Sultan Omar Ali Saifuddin untuk menyerahkan Pulau Labuan kepada mereka. Akhirnya perjanjian yang ditandatangani pada Disember 1846 telah menyerahkan Labuan menjadi wilayah jajahan British di Borneo. Dan pada ketika itu juga James Brooke diangkat oleh British sebagai Gabenor pertama Labuan pada tahun 1847. Signifikasi Perang James Brooke ke atas Brunei 1846 yang pada asalnya untuk mengajar pemerintah Brunei atas kematian sahabat baiknya iaitu Pengiran Bendahara Pengiran Muda Hashim telah membuatkan kedaulatan Brunei semakin mengecil pengaruhnya kerana Sarawak mahupun Labuan bukan lagi hak kepada Brunei.