Pergi ke kandungan

Northrop F5E

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
F-5E Tiger

Northrop F-5E Tiger II adalah satu pesawat pejuang terbitan daripada pembangunan ke atas pesawat F-5A Freedom Fighter untuk menambah baik kebolehan dan keupayaan pesawat siri F-5. Pesawat ini mencapai kegemilangan kerana menjadi pesawat supersonik yang pertama digunakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Sejarah pesawat F-5E bermula pada tahun 1963 dengan pengumuman Tentera Udara Amerika Syarikat untuk sejenis pesawat untuk dijadikan asas kepada International Fighter Aicraft bagi menggantikan pesawat F-5A dan F-5B dalam peranan penguasaan udara. Pesawat baru ini juga harus mampu menyaingi keupayaan pesawat Mig-21 Fishbed yang dieksport ke negara-negara sekutu Soviet Union. Penyertaan Northrop terpilih sebagai pemenang.

Pesawat F-5E diasaskan kepada kerangka pesawat F-5A dengan diberikan dua buah enjin General Electric J85-GE-21A turbojet yang lebih berkuasa. Bahagian salur masuk angin ke enjin juga dibesarkan untuk memberikan saluran angin mencukupi untuk pemampat dalam enjin J85. Saiznya yang lebih besar dari pesawat F-5A membolehkannya membawa lebih banyak bahan api memberikan jarak tempur yang lebih jauh. Pesawat F-5E juga diberikan sistem elektronik yang moden dengan Emerson Electric ‘X-band’ dan sistem pembidik AN/ASG-31 yang membolehkan kawalan pelancaran misil AIM-9 Sidewinder.

F-5E melakukan penerbangan sulung pada 11 Ogos 1972 dan selepas itu diuji nilai oleh Tentera Udara Amerika Syarikat di Pangkalan Udara Edwards. Pesawat F-5E Tiger II memasuki perkhidmatan dengan Skuadron Latihan Pejuang Taktikal ke-425 di Pengkalan Udara Chandler dalam bulan April 1973. Skuadron ke-425 mengendalikan latihan juruterbang dan krew penyelenggaraan F-5E di bawah program Pakatan Bantuan Bersama (Mutual Assistance Pact). Pesawat F-5E Tiger II muncul di Pertunjukan Udara Paris 1973 dan menarik minat beberapa buah negara.

Pesawat Northrop F-5E Tiger II berkhidmat dalam lebih daripada 20 buah angkatan udara. Antara pengguna pesawat ini adalah Arab Saudi, Bahrain, Brazil, Chile, Indonesia, Iran , Jordan, Kenya, Korea Selatan, Malaysia, Mexico, Morocco, Singapura, Sudan, Switzerland, Taiwan, Thailand, Tunisia, Vietnam Selatan (dan kemudiannya Vietnam).

Vietnam unik di kalangan negara komunis kerana menggunakan pesawat 27 buah F-5E yang diperolehi selepas kejatuhan kerajaan Vietnam Selatan. 22 buah pesawat F-5E sempat dibawa ke Thailand dan dikembalikan kepada Amerika Syarikat. Selepas kesukaran mendapatkan alat ganti, pesawat F-5E yang digunakan oleh Vietnam dijadikan simpanan. Tentera Udara Iran juga mempunyai 166 buah pesawat F-5E/F, tetapi setelah kemunculan Republik Islam Iran, Amerika Syarikat menyekat bekalan alat ganti kepada Iran.

Dalam perkhidmatan Amerika Syarikat, pesawat F-5E Tiger II digunakan sebagai pesawat yang digunakan oleh juru terbang pengajar untuk melatih juruterbang menguasai kemahiran pertempuran udara. Pesawat ini digunakan untuk meniru gaya penggunaan pesawat Mig-21 Fishbed kerana kedua pesawat ini mempunyai nisbah kuasa : berat yang hampir sama. Latihan dijalankan di Pengkalan Udara Nellis, Pengkalan Udara Lakenheath dan Pengkalan Udara Clark di Filipina, dan Pengkalan Udara Miramar (Tentera Laut). Latihan di Miramar dikendalikan oleh juru terbang penjara Tentera Laut dan Kor Marin. Penggunaan pesawat F-5E Tiger II dalam peranan latihan DACT diganti dengan penggunaan pesawat F-21 Kfir dan F-16N.

Northrop membina 792 unit pesawat F-5E, 140 unit pesawat F-5F and 12 unit pesawat RF-5E. Focke & Wolfe di Switzerland membina 90 unit pesawat F-5E and F-5F, Korean Air membina 68 unit pesawat F-5E dan AIDC di Taiwan membina 380 unit pesawat ini.

F-5E Tiger II menjadi pesawat supersonik pertama yang digunakan oleh tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan memulakan khidmat pada tahun 1975 dengan penghantaran 14 buah pesawat F-5E dan 2 buah pesawat F-5B (versi 2 tempat duduk pesawat F-5A yang dilengkapi tangki minyak di hujung sayap). Pesawat F-5B kemudiannya dipindahkan kepada Tentera Udara Di Raja Thailand dalam tahun 1982 apabila TUDM menerima 4 buah pesawat F-5F.Pesawat ini menggantikan pesawat F-86 Avon Sabre yang berkhidmat sejak tahun 1969 di dalam peranan pertahanan udara (hasil sumbangan Tentera Udara Diraja Australia).

Walaupun berperanan sebagai sebuah pesawat penguasaan ruang angkasa (air superiority), F-5E juga boleh digunakan untuk melakukan operasi bantuan serangan rapat (CAS). Dalam tahun 80an, 7 buah pesawat F-5E dan 2 buah pesawat F-5F ditugaskan dengan 12 Skuadron "Kala" TUDM di TUDM Butterworth. Baki pesawat dikendalikan oleh 11 Skuadron "Ular Tedung" TUDM. Selain peranan pertahanan udara, pesawat F-5E juga digunakan dalam peranan serangan darat untuk membantu Tentera Darat Malaysia khususnya semasa [Pemberontakan Komunis dalam tahun-tahun 1970-an dan 1980-an.

Beberapa pesawat telah dibeli sebagai pengganti kepada pesawat yang telah terhempas dan sebanyak dua buah F-5E (M29-21 & M29-22) dan satu buah F (M29-23 dipercayai pesawat yang lease kepada TUDM) versi baru (shark nose dan lerx lebar tepi inlet) yang berkeupayaan menggunakan panduan TACAN dan sistem komunikasi VHF telah memasuki perkhidmatan TUDM semasa pertengahan tahun 80an.

Peranan F-5E kurang mendapat perhatian dengan penerimaan pesawat MiG-29N oleh TUDM untuk mengambil alih peranan pertahanan udara. TUDM melihat untuk menaik taraf pesawat F-5E Tiger II dalam inventorinya, tetapi tidak mendapat satu pakej naik taraf yang bersesuaian dengan keperluannya. Di nata pemodenan yang dilihat adalah keupayaan mengendalikan senjata seperti Hughes AGM-65 Maverick dan Matra R.550. TUDM juga melihat memberikan penanda laser untuk membolehkan pelancaran Peluru Panduan Tepat (PGM). Namun tiada modernisasi dijalankan ke atas pesawat F5 TUDM sehingga tamat perkhidmatannya.

RF-5E Tigereye

[sunting | sunting sumber]

TUDM menerima hantaran 2 buah pesawat RF-5E Tigereye II dalam tahun-tahun 1980an dan ditugaskan berkhidmat dengan No. 11 Skuadron TUDM. Pesawat ini diubahsuai dan dilengkapkan dengan alat kamera dan pengimbas dalam muncung hadapan pesawat. Persenjataan 2 x AIM-9 Sidewinder dan satu merian 20mm dikekalkan walaupun peranan utamanya adalah perisikan dan peninjauan. Pesawat RF-5E tidak dilengkapi dengan sistem radar kerana ruang muncungnya dikhaskan untuk peralantan kamera peninjau.

Pesawat RF-5E Tigereye ini adalah hasil pembangunan biaya sendiri oleh Northrop yang mengunjurkan keperluan pesawat peninjau oleh pasukan udara yang menggunakan kapal terbang F-5E. Pesawat F-5F lebih panjang sebanyak 10 kaki berbanding pesawat F-5E untuk memberikan ruang penempatan tempat duduk belakang. Malaysia membeli 2 buah pesawat dan Saudi Arabia membeli 10 buah pesawat ini. Taiwan juga menggunakan pesawat serupa.