Multaqa Asatizah & Duat Malaysia
Rencana ini tidak memetik apa-apa sumber atau rujukan. |
Multaqa Asatizah & Duat Malaysia (MURSHID) | |
---|---|
Fail:Multaqa-asatizah-dan-duat-murshid.jpg | |
Maklumat am | |
Jenis | NGO Islam |
Ibu pejabat | No.06-1F, Pinggiran Mutiara Utama, KM 11 Jalan Gombak,
KUALA LUMPUR, 53100, Malaysia |
Penubuhan | |
Pengasas | Dr Zaharuddin Abd Rahman |
Identiti | |
Fokus | Islam dengan pendekatan Wasatiy |
Bidang | Wasatiyyah |
Laman sesawang | murshid |
sunting |
Multaqa Asatizah & Duat atau Himpunan Para Ustaz dan Pendakwah (akronim: MURSHID) adalah perkumpulan asatizah, pendakwah dan ilmuwan Islam yang meyakini bahawa pendekatan Islam yang Wasatiyyah merupakan cara yang terbaik untuk umat Islam melaksanakan Syariat Islam di dalam kehidupan mereka. Pertubuhan ini ditubuhkan dengan mengambil inspirasi dari Prof Sheikh Dr Yusuf Abdullah al-Qaradhawi. Dr Zaharuddin Abd Rahman bersama para ilmuwan telah menubuhkan organisasi ini.[1]
Pendekatan Wasatiy
[sunting | sunting sumber]Dalam menentukan dan menta’yinkan pendekatan wasatiy yang dimaskudkan oleh MURSHID, MURSHID cenderung untuk bersetuju dengan model wasatiy yang dijelaskan dengan lebih terang lagi jelas oleh Kesatuan Ulama Muslimin Antarabangsa, yang sama antara lainnya menentukan sikap seperti berikut:-
Asas Wasatiy di ambil firman Allah swt :-
كَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُواْ شُهَدَاء عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا
Ertinya : Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.. (Al-Baqarah, 2: 143)
Wasatiy yang para asatizah yakini adalah kesepaduan yang positif dalam segenap aspek lapangan kehidupan, sama ada dari sudut aqidah, amalan fizikal dan spriritual, individu dan kumpulan.
MURSHID meyakini bahawa ghuluw atau ekstremism dalam agama bakal merosakkan individu atau kumpulan, sebagaimana disebut Nabi
إياكم والغلو في الدين فإنه أهلك من كان قبلكم الغلو في الدين
Ertinya : Jauhilah melampau (ghuluw) dalam agama, kerana telah binasa mereka yang sebelummu disebabkan melampaunya mereka di dalam agama (Riwayat Ibn Majah dan Al-Nasaie dengan sanad yang sahih)
Pendekatan atau pemikiran wasatiy yang ingin disebarluaskan ini hampir semuanya diambil dari kefahaman ulama salafussoleh dan kontemporari iaitu:
- Pertengahan atau sederhana DI ANTARA penyeru kepada mazhab yang terlalu sempit ( sehingga seolah yang selainnya adalah sesat dan salah) DENGAN mereka yang menyeru agar tiada perlu bermazhab untuk berpegang terus kepada teks Al-Quran dan Al-Hadis dengan tafsiran sendiri tanpa panduan mazhab.
- Pertengahan atau sederhana DI ANTARA pengikut tasawwuf yang tidak mengambil kira walau wujud penyelewengan DENGAN mereka yang memusuhi tasawwuf walaupun sebahagiannya masih menuruti ajaran Islam sepenuhnya.
- Pertengahan atau sederhana DI ANTARA golongan yang hanya menghukum menggunakan aqal hatta bercanggah nas qat’ie DENGAN kumpulan yang menolak hampir sepenuhnya fungsi aqal (literalis) dalam memahami nas yang anjal bentuk pelaksanaannya.
- Pertengahan atau sederhana DI ANTARA mereka yang menafikan dalalah ilham secara mutlaq DENGAN mereka yang berlebih-lebihan dalam mengunapakainya sehingga menjadikannya sumber utama hukum Islam.
- Pertengahan atau sederhana DI ANTARA mereka yang terlalu berkeras hatta dalam perkara cabang dan ranting DENGAN mereka yang mengajak kepada tasahul ( mengambil mudah) hingga dalam hal berkaitan usul dan kuliyyat.
- Pertengahan atau sederhana DI ANTARA mereka yang terlalu memuliakan khazanah penulisan silam (turath) sehingga seolah menafikan kekurangan kemanusian seseorang manusia ( walaupun seorang ulama terhebat) DENGAN mereka yang berusaha menghilangkan terus relevansi khazanah silam, walaupun ternyata jelas kehebatan dan kejituan huraiannya.
- Pertengahan atau sederhana DI ANTARA mereka yang terlalu obses dengan teori idealis sehingga kelihatan tidak mengambil kira praktikaliti dan suasana semasa DENGAN mereka yang terlalu mementingkan suasana semasa sehingga tidak mahu melihat langsung kepada yang ideal.
- Pertengahan atau sederhana DI ANTARA mereka yang menyeru kepada falsafah liberal yang seolah menyucikan hak individu sehingga meninggikannya atas hak komuniti DENGAN mereka yang menyeru kepada falsafah sosialisme yang terlalu menyucikan komuniti sehingga menzalimi hak individu.
- Pertengahan atau sederhana DI ANTARA mereka yang menyeru kepada kemestian menuruti apa sahaja yang dilakukan oleh Nabi walau dalam hal cabang dan medium urusan muamalat DENGAN mereka yang menyeru pembangunan dan pengubahan walau dalam hal asas dan prinsip Islam.
- Pertengahan atau sederhana DI ANTARA mereka yang menyeru kepada tajdid dan ijtihad sehingga dalam urusan Usul Agama dan hal Qat’iyyat DENGAN mereka yang menyeru sepenuhnya kepada taqlid dan memusuhi ijtihad, walaupun dalam isu-isu semasa yang tidak pernah disentuh oleh ulama silam (kerana belum wujud).
- Pertengahan atau sederhana DI ANTARA mereka yang mengabaikan nusus yang thabit dengan dakwan menjaga maqasid shariah DENGAN mereka yang mengabaikan pertimbangan Maqasid al-Shari’ah dengan dakwaan ingin menjaga nusus secara seratus peratus.
- Pertengahan atau sederhana DI ANTARA mereka yang melampau-lampau dalam menyesat dan mengkafirkan DENGAN mereka yang terlalu bermudahan hingga kepada hal kemurtadan yang jelas terang dan mencabuli kehormatan Islam serta berkerja untuk musuh Islam.
- Pertengahan atau sederhana DI ANTARA mereka yang melampau-lampau dalam menghukum haram atas perkara, sehingga hampir tiada yang boleh dianggap halal di atas dunia ini DENGAN mereka yang melampau dalam mengharuskan perkara, sehingga seolah tiada yang haram.
- Pertengahan atau sederhana DI ANTARA mereka yang tenggelam dalam suasana lampau tidak menyedari perkembangan terkini DENGAN mereka yang melupakan sejarah seolah mahu memadamkan terus pengajaran lampau.
Itulah antara yang sama-sama MURSHID cenderung kepadanya, walau menyedari mungkin ada sebilangan kecil hal cabang yang MURSHID turut berbeza pendekatan dan kecenderungan hukumnya, namun prinsip asas dan umumnya adalah sama dan sepakat di antara kami.
Kami sepakat kami perlu berakhlak dalam mengendalikan perbezaan idea, pendekatan dan analisa hukum.
Kami sepakat jiwa yang luhur, ikhlas lagi bersih amat penting dalam melahirkan ilmuwan yang soleh dan masyarakat yang baik.
Kami sepakat bahawa guru-guru kami memainkan peranan penting dan memberi bekas terhadap cara gaya dan pendekatan dakwah kami, justeru carilah ramai guru agar tidaklah kita terikut hanya dengan satu acuan dan pendekatan, agar kita mampu melakukan perbandingan yang lebih adil. Membuka minda tidak tertutup.
Kami sepakat bahawa hal yang asas dan prinsip khususnya di dalam bab aqidah dan ibadat tidak boleh bersifat anjal dalam banyak perkara.
Kami juga yakin dan seakat bahawa kemahiran, penghayatan dan kedalaman seseorang ilmuwan di dalam ilmu Usul Fiqh (khususnya dalalah al-alfaz) dalam memahami Al-Quran & Al-Hadis mampu memberi kesan yang besar kepada pendekatannya, sama ada di dalam bab aqidah, ibadah, siyasah, muamalat dan lainnya. [2]
Keanggotaan MURSHID
[sunting | sunting sumber]MURSHID kini dianggotai oleh 20 orang asatizah, pendakwah dan ilmuwan Islam dalam pelbagai kepakaeran. Daripada itu juga, MURSHID telah membentuk Majlis Syura dan Saf Kepimpinan tersendiri. [3]
- Pengerusi Syura: Dr Abdul Basit bin Abdul Rahman
- Ahli Syura: Dr Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri
- Ahli Syura: Dr Zahazan bin Mohamed
- Presiden & Ahli Syura: Dr Zaharuddin bin Abd Rahman
- Timbalan Presiden & Ahli Syura: Ustaz Roslan bin Mohamed
- Naib Presiden: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahman
- Setiausaha Agong: Ustaz Ahmad Husni bin Abd Rahman
- Bendahari Agong: Ustaz Muhd Ramadhan Fitri bin Elias
- Ahli Jawatankuasa: Dr Maszlee bin Malik
- Ahli Jawatankuasa: Dr Ahmad Wifaq bin Mokhtar
- Ahli Jawatankuasa: Dr Mohd Sukki bin Othman
- Ahli Jawatankuasa: Imam Muda Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan
- Ahli Jawatankuasa: Ustaz Ahmad Fauwaz bin Fadzil
- Ahli Jawatankuasa: Ustaz Hasrizal bin Abdul Jamil
- Ahli Jawatankuasa: Ustaz Mohammad Nidzam bin Abdul Kadir Al-Jarumi
- Ahli Jawatankuasa: Ustaz Mohd Aizam bin Mas'od
- Ahli Jawatankuasa: Ustaz Mohd Izhar Ariff bin Mohd Kassim
- Ahli Jawatankuasa: Ustaz Mohd Zamri bin Mohd Zainuldin
- Ahli Jawatankuasa: Xifu Abdul Naser Abdul Rahman
Isu Berkaitan MURSHID
[sunting | sunting sumber]Murshid bukan Parti Politik
[sunting | sunting sumber]MURSHID adalah entiti bukan parti gabungan ilmuwan dan dakwah ditubuhkan untuk menjelaskan politik berteraskan syariah sebagai asas pentadbiran dan pemerintahan menurutkan islam.
Pengerusinya, Dr Zaharuddin Abdul Rahman berkata, ia ditubuhkan sejak 2012 sebagai tanggungjawab sosial untuk membantu orang ramai mengenai agama Islam.
“Kami tidak terlibat dengan parti politik. Terpulang kepada persepsi masing- masing tetapi kami mahu berkongsi yang terbaik dengan masyarakat,” ujar Dr Zaharuddin. [4]
Dr Khairuddin keluar MURSHID
[sunting | sunting sumber]Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang lebih dikenali sebagai Dr Takiri telah mengumumkan penarikan dirinya daripada menganggotai Multaqa Asatizah dan Du'at (MURSHID), sebuah NGO Islam yang menghimpunkan para pendakwah dari pelbagai latar belakang.
Demikian menurut kenyataan ringkas dalam facebook beliau awal pagi 22 September 2012 tanpa menjelaskan sebarang sebab penarikan diri.
Kenyataan beliau adalah seperti berikut: "Saya dengan ini mengumumkan penarikan diri daripada menjadi ahli MURSHID ( Multaqa Asatizah dan Du’at ). Moga MURSHID lebih maju dalam arena dakwah membawa mesej Islam. Saya bersedia untuk bersama MURSHID dalam apa sahaja program ilmu dan dakwah yang dianjurkan insyAllah”. [5]
Ulama menjadi calon Pilihanraya
[sunting | sunting sumber]Murshid menyambut baik penglibatan ilmuwan Islam sebagai calon Pilihanraya Umum Malaysia. Menurut Presidennya, golongan ulama wajar menyertai pilihan raya kerana mereka mewakili rakyat akan duduk bersama-sama jabatan kerajaan untuk membuat dasar setelah memenangi kerusi berkenaan.
Menurutnya lagi, ulama perlu ditonjolkan kerana kecenderungan umat Islam terhadap ajaran Islam meningkat, mereka tidak perlu lagi berdakwah di pondok, masjid dan surau.
Ulama akan merasai proses pilihan raya. Mereka perlu bercampur dengan masyarakat kerana ia tuntutan sebagai seorang ulama, ujar Dr Zaharuddin Abd Rahman. [6]
Murshid gesa kerajaan bebas baki tahanan ISA
[sunting | sunting sumber]Pada 10 Julai 2012, Murshid menggesa agar:
- Kerajaan membebaskan baki tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan segera menutup Kem Kemunting sebagai mengotakan janji yang telah dibuat oleh Perdana Menteri tahun lalu.
- Kerajaan perlu membawa tahanan terbabit ke muka pengadilan bagi membicarakan kesalahan yang dilakukan mereka.
- Tahanan perlu diberikan peluang untuk membela diri melalui mekanisme undang-undang yang dibenarkan.
- Kerajaan harus menubuhkan satu suruhanjaya kebenaran dan konsolidasi untuk menyiasat dan memberikan keadilan kepada pihak yang sepatutnya. [7]
Pilihan Raya Umum dalam Musim Haji
[sunting | sunting sumber]MURSHID mengambil ketetapan bahawa adalah haram jika kerajaan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada musim haji.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, sekretariat sekumpulan 20 pendakwah berkata, jika PRU13 diadakan pada musim haji, ia merupakan satu pengkhianatan kepada amanah dan sistem pemilihan. [8]
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ http://murshid.my/sejarah-murshid
- ^ http://murshid.my/sejarah-murshid/
- ^ http://murshid.my/seruan-multaqa-asatizah-duat-murshid-menjelang-pru-13-malaysia/#more-177
- ^ 'Murshid bukan Parti Politik, Sinar Harian, 15 September 2012.
- ^ ""Dr Khairuddin at-Takiri tarik diri daripada MURSHID" HarakahDaily.net, 23 September 2012". Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-11-12. Dicapai pada 2013-08-08.
- ^ "Ulama jadi calon: Penyertaan bantu imbangi politik negara", Sinar Harian, 18 Februari 2013.
- ^ "Murshid gesa kerajaan bebas baki tahanan ISA", Sinar Harian, 11 Julai 2012.
- ^ "Murshid: Haram panggil PRU13 musim haji", Sinar Harian, 30 Jun 2012.