Miguel Hidalgo y Costilla
Miguel Hidalgo y Costilla (1753 - 1811) dilahirkan di sebuah hacienda (atau ladang ternak dalam bahasa Sepanyol) di Corralejo berhampiran Pénjamo, Guanajuato, pada 8 Mei 1753. Bapanya, don Cristóbal, adalah seorang Creole dari kelas pertengahan dan merupakan pentadbir di ladang tersebut. Hidalgo melanjutkan pelajarannya di Colegio San Nicolás di Valladolid, dimana beliau menerima ijazah sarjana muda dalam bidang teologi pada 1773 dan diangkatkan sebagai paderi pada 1778.
Namun begitu, beliau tidak mengambil berat tentang hal agama. Malah, beliau telah menjadi ayah kepada dua anak perempuan luar nikah dan menganggap tugasnya sebagai cara untuk menambah pendapatannya. Dikalangan sahabatnya beliau dikenali sebagai el zorro atau "si-musang". Walaupun begitu, Hidalgo merupakan seorang usahawan yang sangat pintar dan seringkali berpindah ke gereja yang lebih berprestij dan menguntungkan. Pada 1803, pada usia lima puluh tahun, beliau berhijrah ke bandar Guanajuato di Dolores bersama dengan ahli keluarganya. Abangnya, seorang yang berpengaruh, telah membantunya menjadi paderi digereja berkelas tinggi ini, yang memperolehi derma sebanyak lapan hingga sembilan ribu peso setiap tahun.
Sewaktu di sana, beliau menumpukan sepenuh perhatiannya kepada perniagaan dan aktiviti-aktiviti kemanusiaan. Untuk meningkatkan lagi ekonomi pengikutnya, Hidalgo telah menjadikan rumahnya sebagai sekolah malam untuk pelukis tempatan. Antara lain beliau telah memulakan kilang tembikar, menanam pokok "mulberry" untuk pengeluaran sutera, membuka bengkel pertukangan kayu dan pertukangan besi dan penyulaman kapas.
Minat beliau dalam politik dan perkembangan intelek telah bertambah sejak menjadi ahli persatuan-persatuan penulis pada awal abad ke-16. Selain itu, Hidalgo juga mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi dan dia bersimpati dengan kaum-kaum berbangsa Indian dan mestizos yang ditindas. Kerajaan Sepanyol di Mexico telah mengamalkan sistem diskriminasi dan menindas kaum pribumi disana. Hidalgo juga telah bersahabat dengan Ignacio Allende, yang kemudiannya menjadi rakan seperjuangannya menentang pemerintahan Sepanyol.
Pada 15 September 1810 pada waktu 11 malam, Hidalgo telah melancarkan pemberontakan dari mimbar gereja di Dolores dengan laungannya (atau grito) yang terkenal. Sehingga ke hari ini, rakyat negara ini menganggapnya sebagai laungan kemerdekaan Mexico.
Pada mulanya, penyokong kemerdekaan ini hanya sedikit sahaja, namun ia bertambah besar seperti bebola salji yang bergolek menurun di cerun bukit. Bermula dengan beberapa ratus penyokong yang menawan San Miguel (kini dikenali sebagai San Miguel de Allende), 6,000 lagi memasuki Celaya, 20,000 di Guanajuato, 50,000 yang menawan Valladolid dan 82,000 perusuh menenggelami Toluca dan Bandar Mexico. Dengan ibunegara Mexico hampir di dalam genggamannya, tanpa sebarang sebab dia menoleh kebelakang ke arah Guadalajara. Pada 21 Mac 1811, di pergunungan Coahuila, Hidalgo bersama rakannya Allende dan tentera mereka dikepung angkara seorang pembelot dan diserahkan kepada kerajaan Sepanyol.
Pada 30 Julai 1811, dia ditembak oleh sepasukan penembak di Chihuahua. Walaupun perjuangan beliau telah tamat dalam waktu yang singkat, ia merupakan titik permulaan perjuangan kemerdekaan Mexico dan sepuluh tahun kemudiannya negara ini mencapai kemerdekaan dari Sepanyol. Oleh itu, beliau layak sekali dianggap sebagai bapa kemerdekaan negara Mexico.