Mazuin Hamzah
Dato' Laila Utama Hajah Mazuin Hamzah | |
---|---|
Latar belakang | |
Kelahiran | Ipoh, Perak, Malaysia | 11 Disember 1964
Genre | Pop, disko |
Pekerjaan | Penyanyi, pemuzik, pelakon |
Instrumen | Vokal, dram, gitar, piano, organ |
Tahun aktif | 1970-an - 1980-an |
Syarikat rakaman | Life Records Ltd. Iramanada Musical Industries Sdn. Bhd. Polygram Records Sdn. Bhd. |
Pengkarya berkait | Mazlan Hamzah, Razis Ismail, Loga, David, Amy Search, Zainal Abidin |
Dato' Laila Utama Hajah Mazuin Hamzah (lahir 11 Disember 1964) merupakan seorang penyanyi, pemuzik dan pelakon yang berasal dari Ipoh, Perak, Malaysia. Beliau juga merupakan salah seorang bekas anggota kumpulan Quinary M yang terdiri daripada adik-beradiknya. Beliau mempunyai seorang abang iaitu Mazlan Hamzah dan pernah membuat persembahan pentas bersama-sama.[1] Beliau seringkali muncul untuk rancangan Mekar Sejambak terbitan RTM pada sekitar tahun 1980-an. Beliau pernah mendapat liputan media secara meluas melalui perkahwinan dengan Pengiran Muda Sufri Bolkiah. Beliau mempunyai hubungan kekeluargaan bersama Amy Mastura sebagai sepupu.
Kehidupan dan karier
[sunting | sunting sumber]Quinary M dan Bakat 1978
[sunting | sunting sumber]Beliau pernah merakamkan lagu untuk album duet bersama abangnya, Mazlan Hamzah. Antara album tersebut ialah Ratapan Anak Tiri dan Jangan Lah Jangan. Seterusnya, kerjaya dan pembabitan muzik Quinary M secara serius bermula ketika Mazlan bergandingan bersama adiknya, Mazuin untuk menyertai sebuah rancangan televisyen terbitan RTM pada tahun 1974. Bagaimanapun, setahun selepas itu, mereka sekeluarga berpindah ke Moscow, Rusia kerana mengikut bapa iaitu Hamzah Ramli yang bertugas sebagai diplomat pada ketika itu. Semuanya mula berubah ketika di Moscow dan perjalanan seni mereka ini pula mula berkembang.[1] Secara tidak langsung, Mazuin menjadi fasih dalam menuturkan bahasa Rusia.[2]
Pada ketika itu, mereka sudah berpeluang untuk mengadakan persembahan di stesen televisyen Moscow atas usaha ayah mereka.[1] Di samping itu, mereka juga mengadakan persembahan untuk golongan kenamaan yang bekerja sebagai duta di Rusia.[2] Ayah mereka telah mendapati bakat anak-anaknya dalam bidang muzik semakin berkembang dan selepas itu, beliau menubuhkan The M memandangkan pangkal nama anak-anaknya yang bermula dengan huruf M. Tiga tahun selepas itu, mereka berpindah kembali ke Malaysia dan peluang ini terus diambil untuk memperkembangkan lagi bakat seni mereka. Sehubungan dengan itu, nama kumpulan juga ditukar menjadi Quinary M. Quinary M diambil daripada bahasa muzik yang membawa maksud lima. Selain itu, Quinary M adalah kumpulan pertama seumpamanya di Malaysia yang menampilkan semua anggotanya mempunyai pertalian adik-beradik.[1]
Ayah mereka juga pernah menjadi ahli pancaragam Polis Diraja Malaysia selepas pulang dari Moscow.[2] Atas galakan daripada bapa, mereka telah menyertai pertandingan Bakat 1978 dan berjaya melangkah ke peringkat akhir.[3] Mereka tidak bernasib baik kerana sekadar meraih hadiah saguhati sahaja.[2] Bagaimanapun, kumpulan ini terpaksa dibubarkan selepas pemergian ayah mereka pada tahun 1981.[1] Kemudian, masing-masing telah membawa haluan sendiri termasuklah beliau yang memilih untuk menjadi penyanyi solo.
Perkahwinan dengan Pengiran Muda Sufri Bolkiah
[sunting | sunting sumber]Episod cinta Mazuin dengan Pengiran Muda Sufri Bolkiah bermula pada 10 Julai 1987. Pertemuan pertama mereka di Vila Cinta Bersemi (kediaman Sufri di Jalan Ampang, Kuala Lumpur) telah memberi kesempatan untuk sama-sama bertentang mata. Bagaimanapun, itu bukanlah pertemuan rasmi oleh Mazuin tetapi sebaliknya, rombongan artis Malaysia yang menyertai Mekar Sejambak dipelawa untuk bermesra dengan Sufri sebelum rombongan itu dijemput ke Bandar Seri Begawan untuk meraikan baginda sempena majlis ulang tahun kelahirannya pada penghujung Julai 1987.[4]
Rombongan artis Malaysia mendapat layanan yang cukup hebat dan beliau pula sudah tentu mendapat perhatian Sufri yang memastikan sambutan dan layanan kepadanya itu bertaraf lima bintang. Sebelum beliau dan rombongan artis pulang ke Malaysia, Sufri memberanikan diri untuk mengadakan pertemuan dengan Mazuin yang ditemani ibunya, Maimon. Di ruang pejabat Istana Nurul Hana, Sufri telah menyuarakan hasrat hatinya untuk meminang Mazuin. Berdasarkan laporan yang dikeluarkan dalam majalah URTV, Sufri terlebih dahulu bertanyakan sama ada beliau mempunyai pilihan hati sebelum meminangnya.[4]
Tergamam dengan pertanyaan oleh Sufri, Mazuin menggelengkan kepala. Maimon yang setia menemani anaknya itu juga ditanya oleh Sufri tentang kesediaan untuk menerima kehadirannya sebagai menantunya. Maimon lebih senang membiarkan keputusan itu dibuat oleh Mazuin sendiri kerana berpendapat, pada usia 23 tahun adalah lebih baik jika Mazuin sahaja yang menentukan masa depannya. Setelah kata sepakat dicapai, selang seminggu selepas pertemuan di Bandar Seri Begawan, Sufri berlepas ke Kuala Lumpur dengan jet peribadinya untuk melamar Mazuin.[4]
Berita itu juga mendapat perhatian akhbar Utusan Malaysia yang berjaya mendapatkan pengakuan eksklusif Sufri yang mengesahkan baginda sudah melamar Mazuin. Cinta di antara mereka bermula selepas detik itu. Persiapan dalam jangka masa berbulan-bulan dilakukan sehinggalah kepada majlis pernikahan dan persandingan yang berlangsung secara gilang-gemilang. Mereka telah dinikahkan pada 11 Disember 1987. Beliau juga pernah dikenali dengan nama "Pengiran Bini Mazuin Hamzah" selepas melangsungkan perkahwinan.[5] Mazuin juga menjadi artis wanita pertama yang diangkat kedudukannya sebagai permaisuri kepada kerabat diraja bagi antara negara paling kaya di dunia. Majlis perkahwinan mereka juga dikatakan kekal sebagai perkahwinan paling gemilang dalam kalangan artis tempatan sehingga ke hari ini.[4] Mereka telah memperoleh cahaya mata pertama yang bernama "Pengiran Anak Ajeerah Firdausul Bolkiah" pada 7 September 1988.[5]
Namun, tiada siapa yang pernah menyangka perkahwinan itu berakhir dengan noktah yang cukup pilu. Sehingga kini, Mazuin sukar untuk dijejaki oleh para wartawan bagi mendapatkan reaksinya. Jurucakap bagi Suruhanjaya Tinggi Brunei Darussalam juga tidak mahu mengumumkan perkara mengenai perceraian mereka kepada peminat atau wartawan kerana bersifat peribadi.[5] Yang ada hanyalah catatan-catatan silam yang penuh dengan coretan manis Mazuin khususnya sebelum beliau berkahwin dengan Sufri. Selain itu, catatan hidup Mazuin ada signifikannya dengan lirik lagu Penjara Cinta hasil nyanyiannya sebelum berkahwin.[4]
Diskografi
[sunting | sunting sumber]Album duet (bersama Mazlan Hamzah)
[sunting | sunting sumber]- Ratapan Anak Tiri
- Jangan Lah Jangan (1975)
Album studio (bersama Quinary M)
[sunting | sunting sumber]- Cinta Palsu (1979)
- Kasihku Bagaikan Debu (1980)
- Kini Kau Berubah (1981)
Album studio (solo)
[sunting | sunting sumber]- Mazuin (1983)
- Awas! Duri Cinta (1984)
- Terbanglah Kau Burung (1986)
- Pertemuan Ini Seindah Mimpi (1987)
Filemografi
[sunting | sunting sumber]Tahun | Tajuk | Peranan | Nota |
---|---|---|---|
1979 | Kisah Seorang Biduan | Sebagai anggota kumpulan Quinary M | Filem ini merupakan antara lakonan pertama beliau serta menampilkan adik-beradiknya yang lain sebagai kumpulan Quinary M. Mazuin menyanyikan lagu Mengapa yang juga termuat di dalam album pertama mereka, Cinta Palsu (1979). |
1979 | Ceritaku Ceritamu | Suriati | Beliau diberi watak sebagai anak kepada Zainurdin Ismail dan Saadiah. |
1981 | Dia Ibuku | Sarina |
Kurniaan
[sunting | sunting sumber]- Brunei
- Darjah Kerabat Laila Utama Yang Amat Dihormati (DK, 15.7.1990) - Dato' Laila Utama
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ a b c d e Suzan Ahmad (11 Januari 2009). "Quinary M bubar selepas bapa meninggal dunia". Berita Minggu. Dicapai pada 21 Disember 2012.
- ^ a b c d "Mazuin Drummer Quinary 'M' Punya Kebolehan Luar Biasa". URTV: 11. 1978.
|access-date=
requires|url=
(bantuan) - ^ "Imbasan Bakat 1978". 8 Julai 2011. Dicapai pada 21 Disember 2012.
- ^ a b c d e "Noktah pilu cinta Mazuin". Utusan Malaysia. 22 Februari 2004. Dicapai pada 22 Disember 2012.
- ^ a b c "Mazuin, Pengiran Sufri sah bercerai". Utusan Malaysia. 18 Februari 2004. Dicapai pada 22 Disember 2012.