Pergi ke kandungan

Matlamat Pembangunan Mampan 7

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Matlamat Pembangunan Mampan 7: Tenaga Berpatutan dan Bersih (SDG 7) adalah salah satu daripada 17 Matlamat Pembangunan Mampan yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2015. Ia bertujuan untuk "memastikan akses kepada tenaga yang berpatutan, boleh dipercayai, mampan dan moden untuk semua."[1] Akses kepada tenaga adalah tonggak yang sangat penting demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan ekonomi dan pembasmian kemiskinan.[2]

Matlamat itu mempunyai lima sasaran yang perlu dicapai menjelang 2030.[2] Kemajuan ke arah sasaran diukur dengan enam penunjuk. [2] Tiga daripada lima sasaran ialah "sasaran hasil": akses sejagat kepada tenaga moden; meningkatkan peratusan tenaga boleh diperbaharui global; dan menggandakan peningkatan kecekapan tenaga. Dua sasaran yang selebihnya ialah "cara mencapai sasaran": untuk menggalakkan akses kepada penyelidikan, teknologi dan pelaburan dalam tenaga bersih; dan mengembangkan dan menaik taraf perkhidmatan tenaga di negara membangun. Dalam erti kata lain, sasaran ini termasuk akses kepada tenaga mampu milik dan boleh dipercayai sambil meningkatkan bahagian tenaga boleh diperbaharui dalam campuran tenaga global. Ini akan melibatkan peningkatan kecekapan tenaga dan meningkatkan kerjasama antarabangsa untuk memudahkan akses yang lebih terbuka kepada teknologi tenaga bersih dan lebih banyak pelaburan dalam infrastruktur tenaga bersih. Rancangan memerlukan perhatian khusus kepada sokongan infrastruktur untuk negara-negara kurang maju, pulau-pulau kecil dan negara membangun yangdikelilingi daratan.[3]

Sasaran, penunjuk dan kemajuan

[sunting | sunting sumber]

SDG 7 mempunyai lima sasaran, diukur dengan lima petunjuk, yang akan dicapai menjelang 2030. Tiga daripada lima sasaran adalah "sasaran hasil", dan dua adalah "cara mencapai sasaran".

Sasaran 7.1: Akses sejagat terhadap tenaga moden

[sunting | sunting sumber]

Sasaran pertama SDG 7 ialah Sasaran 7.1: "Menjelang 2030, pastikan akses universal kepada perkhidmatan tenaga yang berpatutan, boleh dipercayai dan moden."[4]

Sasaran ini mempunyai dua petunjuk: [2]

  • Petunjuk 7.1.1: Jumlah penduduk yang mempunyai akses kepada bekalan elektrik
  • Petunjuk 7.1.2: Jumlah penduduk dengan pergantungan utama kepada bahan api dan teknologi bersih. Penunjuk ini dikira melalui bilangan orang yang menggunakan bahan api dan teknologi bersih untuk memasak, pemanasan dan pencahayaan, dibahagikan dengan jumlah penduduk dilaporkan secara keseluruhan, dalam peratusan.[5] (" Bahan api bersih" dalam konteks ini ditakrifkan oleh sasaran kadar pelepasan dan pengesyoran bahan api khusus (iaitu melawan arang batu dan minyak tanah tidak diproses) yang disertakan dalam panduan normatif garis panduan WHO berkenaan kualiti udara dalaman).[5][6]

Laporan pada 2019 mendapati bahawa:[7]

  • Kemajuan dalam meluaskan akses bekalan elektrik dilaporkan di beberapa negara, terutamanya India, Bangladesh dan Kenya. Penduduk global tanpa bekalan elektrik menurun kepada kira-kira 840 juta pada 2017 berbanding 1.2 bilion orang pada 2010.
  • Afrika Sub-Sahara kekal sebagai wilayah dengan defisit akses terbesar. Di sini, 573 juta orang, yakni lebih separuh penduduk total, ketiadaan akses kepada elektrik.
  • Penduduk tanpa akses kepada peralatan memasak bersih berjumlah hampir 3 bilion orang pada 2016 dan dilaporkan di seluruh Asia dan Afrika.

Strategi utama untuk menutup jurang ini termasuk pembiayaan sektor swasta, penyelesaian serba boleh yang merangkumi tenaga boleh diperbaharui tak berpusat, dan usaha untuk meluaskan bekalan elektrik luar bandar dan menangani kepadatan bandar.[7]

Sasaran 7.2: Meningkatkan peratusan tenaga boleh diperbaharui global

[sunting | sunting sumber]

Sasaran kedua SDG 7 ialah Sasaran 7.2: "Menjelang 2030, meningkatkan secara ketara, bahagian tenaga boleh diperbaharui dalam campuran tenaga global."[4]

Ia hanya mempunyai satu penunjuk: Penunjuk 7.2.1 ialah "jumlah tenaga boleh diperbaharui dalam jumlah penggunaan tenaga akhir."

Tenaga boleh diperbaharui menyumbang 17.5% daripada jumlah penggunaan tenaga global pada 2016, 10.2% dengan biojisim dikecualikan.[7] Daripada tiga penggunaan akhir boleh diperbaharui (elektrik, haba dan pengangkutan), penggunaan yang boleh diperbaharui berkembang paling cepat dalam sektor elektrik. Ini didorong oleh pengembangan teknologi angin dan suria.[7]

Tenaga boleh diperbaharui masih menghadapi halangan kewangan, pengawalseliaan, dan kadangkala teknologi.[7]

Carta keamatan tenaga ekonomi.

Sasaran 7.3: Gandakan peningkatan kecekapan tenaga

[sunting | sunting sumber]

Sasaran ketiga SDG 7 ialah Sasaran 7.3: "Menjelang 2030, menggandakan kadar peningkatan global berkenaan kecekapan tenaga."[4]

Ia mempunyai satu penunjuk: Penunjuk 7.3.1, iaitu "keamatan tenaga yang diukur dari segi tenaga primer dan KDNK."

Keamatan tenaga utama global perlu turun daripada 5.6 megajoule (MJ) setiap USD pada 2010 kepada 3.4 menjelang 2030 untuk mencapai sasaran SDG 7.3. Menurut Tracking SDG7: The Energy Progress Report, keamatan tenaga utama global pada 2018 ialah 4.75 MJ/USD (2017 PPP), selepas peningkatan tahunan global sebanyak 1.1 peratus. Ini jauh di bawah 2.6 peratus tahunan yang pada mulanya diunjurkan sebagai prasyarat untuk mencapai sasaran SDG 7.3, yang kini memerlukan kadar purata tahunan 3 peratus setiap tahun dari 2018 hingga 2030 untuk mencapai matlamat.[8]

Laporan pada 2019 mendapati bahawa peningkatan kecekapan tenaga telah meningkat secara berterusan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, hasil daripada usaha dasar bersepadu dalam ekonomi utama seperti China.[7]

Kerajaan boleh meningkatkan potensi ini dengan mengukuhkan dasar kecekapan tenaga mandatori, menyediakan insentif fiskal atau kewangan yang disasarkan, memanfaatkan mekanisme berasaskan pasaran dan menyebarkan maklumat berkualiti tinggi tentang kecekapan tenaga.[7]

Sasaran 7.a: Menggalakkan akses kepada penyelidikan, teknologi dan pelaburan dalam tenaga bersih

[sunting | sunting sumber]
Kewangan antarabangsa diterima bagi tenaga bersih, 2016.

Sasaran keempat SDG 7 ialah Sasaran 7.a: "Menjelang 2030, tingkatkan kerjasama antarabangsa untuk memudahkan akses kepada penyelidikan dan teknologi tenaga bersih, termasuk tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga dan teknologi bahan api fosil termaju dan bersih, dan menggalakkan pelaburan dalam infrastruktur tenaga dan teknologi tenaga bersih."[4]

Ia mempunyai satu penunjuk: Penunjuk 7.4.1; "Aliran kewangan antarabangsa terhadap negara membangun dalam menyokong penyelidikan dan pembangunan tenaga bersih dan pengeluaran tenaga boleh diperbaharui, termasuk dalam sistem hibrid". Kemas kini kemajuan oleh PBB pada 2020 mendapati bahawa aliran kewangan antarabangsa ke negara membangun untuk menyokong tenaga bersih dan boleh diperbaharui mencecah $21.4 bilion pada 2017. Ini adalah peningkatan dua kali ganda daripada aliran yang dilakukan pada tahun 2010.[9] Projek tenaga hidro menerima 46% daripada aliran 2017, manakala projek solar menerima 19%, angin pula 7% dan geoterma 6%.[9]

Penjanaan kuasa tenaga nuklear memerlukan penggunaan uranium (U) radioaktif, yang bukan sumber tenaga boleh diperbaharui dan memiliki proses pengekstrakan yang menghasilkan pelepasan karbon tinggi. Sementara penjanaan elektrik diunjurkan meningkat secara global daripada kira-kira 2.7 kepada 3.8 trilion kilowatt-jam dari 2006 hingga 2030, terutamanya di negara membangun besar seperti India.[10] Penyelesaian untuk ini boleh didapati di lautan dengan sehingga 4 bilion tan uranium terlarut wujud dengan kepekatan 3 mg U/m3.[10] Dengan mengguna pakai bahan polimer dan bukan organik, kajian menunjukkan bahawa kos pengekstrakan uranium boleh dikurangkan daripada 1230 USD/kg kepada 350 USD/kg, disebabkan bahan-bahan ini meningkatkan kecekapan bahan penyerap dan dengan itu, kapasiti penjerapan.[11] Dengan meningkatkan pelaburan dan penyelidikan ke dalam penambahbaikan kepada bahan penjerapan, kos per kilogram air laut yang diperoleh daripada uranium dapat dikurangkan sambil mengurangkan perlombongan alternatif terestrial dengan pelepasan karbon yang lebih tinggi.

Sasaran 7.b: Memperluas dan menaik taraf perkhidmatan tenaga di negara membangun

[sunting | sunting sumber]

Sasaran kelima SDG 7 dirumuskan sebagai: "Sasaran 7.b: Menjelang 2030, meluaskan infrastruktur dan menaik taraf teknologi untuk membekalkan perkhidmatan tenaga moden dan mampan untuk semua di negara membangun, khususnya negara kurang maju, negara membangun pulau kecil, dan negara membangun dikelilingi daratan, selaras dengan program sokongan masing-masing."[4]

Ia mempunyai satu penunjuk: Petunjuk 7.5.1 ialah "Pelaburan dalam kecekapan tenaga sebagai sebahagian KDNK dan jumlah pelaburan langsung asing dalam pemindahan kewangan terhadap infrastruktur dan teknologi perkhidmatan pembangunan mampan."

Setakat Ogos 2020, tiada data tersedia bagi penunjuk ini.[2]

Ada laporan pada 2020 bahawa Penunjuk 7.b.1 mungkin dialih keluar kerana dilihat serupa dengan penunjuk 12.1.1 SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab).[12]

Pandemik Covid-19

[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 2020, pandemik COVID-19 telah menekankan keperluan tenaga elektrik yang boleh dipercayai dan mampu milik di pusat kesihatan.[9] Satu per empat daripada kemudahan kesihatan di beberapa negara membangun yang dikaji tidak mempunyai bekalan elektrik, dan satu per empat lagi mengalami gangguan elektrik tak berjadual.[9] Banyak syarikat juga mendapati bahawa mereka mempunyai lebihan stok beberapa item. Pengurusan storan mungkin memerlukan lebih banyak penggunaan tenaga.[13] Semasa krisis, kemajuan telah dilihat dalam beberapa aspek SDG 7 seperti peningkatan dalam kecekapan tenaga, penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan peningkatan akses kepada elektrik kepada orang ramai.[14] Modal kewangan di negara membangun bagi tenaga boleh diperbaharui semakin meningkat.[15]

  1. ^ United Nations (2015) Resolution adopted by the General Assembly on 25 September 2015, Transforming our world: the 2030 Agenda for Sustainable Development (A/RES/70/1)
  2. ^ a b c d e Ritchie, Roser, Mispy, Ortiz-Ospina (2018) "Measuring progress towards the Sustainable Development Goals." (SDG 7) SDG-Tracker.org, website
  3. ^ "Goal 7: Affordable and clean energy". UNDP. Diarkibkan daripada yang asal pada 7 September 2018. Dicapai pada 28 September 2015.
  4. ^ a b c d e United Nations (2017) Resolution adopted by the General Assembly on 6 July 2017, Work of the Statistical Commission pertaining to the 2030 Agenda for Sustainable Development (A/RES/71/313)
  5. ^ a b UN Statistics (2016) Goal 7 Ensure access to affordable, reliable, sustainable and modern energy for all (Updated on 30 March 2016)
  6. ^ WHO (2014) WHO indoor air quality guidelines: household fuel combustion, World Health Organization, Geneva.
  7. ^ a b c d e f g IEA, IRENA, UNSD, WB, WHO (2019), Tracking SDG 7: The Energy Progress Report 2019, Washington DC (on Tracking SDG 7 website)
  8. ^ Sustainable Energy for All: SDG 7.3 - Energy Efficiency
  9. ^ a b c d United Nations Economic and Social Council (2020) Progress towards the Sustainable Development Goals Report of the Secretary-General, High-level political forum on sustainable development, convened under the auspices of the Economic and Social Council (E/2020/57), 28 April 2020
  10. ^ a b Adamantiades, A.; Kessides, I. (2009-12-01). "Nuclear power for sustainable development: Current status and future prospects". Energy Policy (dalam bahasa Inggeris). 37 (12): 5149–5166. doi:10.1016/j.enpol.2009.07.052. ISSN 0301-4215.
  11. ^ Kim, Jungseung; Tsouris, Costas; Mayes, Richard T.; Oyola, Yatsandra; Saito, Tomonori; Janke, Christopher J.; Dai, Sheng; Schneider, Erich; Sachde, Darshan (2013-01-01). "Recovery of Uranium from Seawater: A Review of Current Status and Future Research Needs". Separation Science and Technology. 48 (3): 367–387. doi:10.1080/01496395.2012.712599. ISSN 0149-6395. OSTI 1062599.
  12. ^ "IAEG-SDGs 2020 Comprehensive Review Proposals Submitted to the 51st session of the United Nations Statistical Commission for its consideration". United Nations, Department of Economic and Social Affairs, Statistics Division. Dicapai pada 1 September 2020.
  13. ^ Sarkis, Joseph; Cohen, Maurie J.; Dewick, Paul; Schröder, Patrick (August 2020). "A brave new world: Lessons from the COVID-19 pandemic for transitioning to sustainable supply and production". Resources, Conservation, and Recycling. 159: 104894. doi:10.1016/j.resconrec.2020.104894. ISSN 0921-3449. PMC 7164912. PMID 32313383.
  14. ^ "COVID-19 Intensifies the Urgency to Expand Sustainable Energy Solutions Worldwide".
  15. ^ "The sustainable development goals report 2020" (PDF).