Pergi ke kandungan

Lamut

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Lamut adalah sebuah kisah tradisi yang berkaitan dengan cerita-cerita rakyat yang mengandungi unsur pesanan dan adat peradaban orang-orang terdahulu serta mempunyai beberapa plot dan nilai-nilai keagamaan, sosial dan budaya masyarakat Banjar. Lamut merupakan suatu kesinambungan dari seni cerita percakapan, seperti wayang lisan atau cianjuran. Bezanya, wayang atau cianjuran pada kebiasaannya dimainkan dengan alunan irama gamelan dan kecapi, sedangkan lamut dibawakan dengan terbang, alat tabuh untuk seni hadrah.

Mereka yang baru melihat seni lamut selalu menganggap kesenian ini merupakan suatu adaptasian budaya dan peradaban di Timur Tengah. Ketika era pemerintahan Kerajaan Banjar yang dipimpin Sultan Suriansyah, lamut hidup bersama seni tutur Banjar yang lain, seperti dundam, madihin, bakesah, dan bapantun[1].

Lamut berasal dari negeri China, asal bahasa pertuturan adalah dengan menggunakan bahasa Tionghoa kemudian di terjemahkan kedalam bahasa Banjar. Datangnya lamut di tanah Banjar kira-kira pada tahun 1816 yang di bawa oleh para pedagang Tionghoa ke Banjar hingga ke Amuntai, dikatakan orang-orang dahulu amat menyukainya kerana lamut membawa cerita-cerita yang sangat banyak dan merupakan cerita-cerita yang diambil dari pengalaman di banyak negeri yang di sampaikan secara bertutur[1].

Ceritanya, di Amuntai, Raden Ngabe bertemu dengan pedagang China yang juga pemilik kapal dagang Bintang Tse Cay. Dari pedagang itulah ia pertama kali mendengar alunan syair China. Dalam pertemuan enam bulan kemudian, Raden Ngabe telah berjaya mendapatkan salinan syair China tersebut.

Sejak itulah Raden Ngabe mempelajari dan melantunkannya, tanpa iringan terbang. Lamut mula berkembang setelah masyarakat pada masa itu memintanya untuk memainkan alunan lamut setiap kali tatkala hasil padi menjadi lebih baik. Ketika kesenian hadrah masuk di daerah ini, Lamut mendapat iringan terbang.

Seni bertutur itu disebut lamut karasmin kerana menjadi bahan hiburan khususnya ketika majlis perkahwinan, hari besar keagamaan, mahupun acara nasional. Lamut juga digunakan dalam proses batatamba (penyembuhan penyakit). Orang yang mempunyai hajat dan terkabul hajatnya itu biasanya turut mengundang palamutan. Kata "lamut", dikatakan berasal dari bahasa Arab, laamauta (ﻻﻤﻭﺕ) yang beerti tidak mati[1].

Jenis-jenis Lamut

[sunting | sunting sumber]

Lamut Batatamba

[sunting | sunting sumber]

Lamut Batatamba (Lamut pengubatan) berfungsi sebagai satu langkah dalam ikhtiar pengubatan, misalnya untuk anak kecil yang sakit panas dan tidak sembuh-sembuh, atau ada orang yang sukar untuk melahirkan bayi dan lain-lain lagi. Pertunjukan lamut batatamba harus disertai dengan beberapa syarat, iaitu piduduk yang terdiri dari perangkat piduduk (sesaji), kemenyan atau perapin (dupa), beras kuning, garam, kelapa utuh, gula merah, dan sepasang benang-jarum. Setelah itu dilakukan tepung tawar dengan mahundang-hundang (mengundang) roh-roh halus, membacakan doa selamat, dan memandikan air yang telah didoakan kepada si sakit[1].

Lamut Baramian

[sunting | sunting sumber]

Lamut Baramian (Lamut Hiburan) biasanya disajikan untuk mengisi acara perkahwinan, kenduri kesyukuran, berkhatan dan acara hiburan yang lain.

Lamut juga digemari oleh masyarakat berketurunan Tionghoa di Banjarmasin. Mereka kerap meminta lamut untuk dimainkan ketika hendak sembahyang di Pulau Kembang di tengah Sungai Barito di Banjarmasin[1].

Fungsi Lamut

[sunting | sunting sumber]

Lamut berfungsi :

  1. Sebagai media dakwah agama Islam dan muatan pesan–pesan pemerintah atau pesan dari pengundang Lamut.
  2. Sebagai hiburan
  3. Manyampir, yaitu tradisi bagi keturunan palamutan.
  4. Hajat seperti untuk tolak bala atau doa selamat pada acara kelahiran anak, khitanan atau sunatan, mendapat rejeki. Menurut kepercayaan, kalau menyampir dan hajat ini tidak dilaksanakan maka akan membuat mamingit yakni menyebabkan sakit bagi yang bersangkutan.
  5. Sebagai pendidikan terutama mengenai tata krama kehidupan masyarakat Banjar. Biasanya petatah petitih berupa nasehat, petuah atau bimbingan moral.[2]

Ancaman kepupusan

[sunting | sunting sumber]

Seni lamut boleh dikatakan bernasib malang kerana kini seninya boleh dianggap di hujung tanduk. Satu persatu pelamutan telah meninggal dunia, sementara proses pewarisan dan regenerasi kesenian itu semakin lemah. Seni berkisah itu juga semakin ditinggalkan kerana generasi muda tidak lagi tertarik untuk memainkannya. Kini, tidak ada organisasi atau lembaga yang mengambil langkah inisiatif untuk memajukan kepada lamut, apatah lagi dalam membina pelamutan baru[1].