Helikopter Menjunam di Laut Bintulu
Helikopter Super Puma L2 menjunam ke laut di Laut China Selatan pada 31 Januari 2007. Pesawat itu milik Malaysian Helicopter Services (MHS) yang membawa 10 penumpang termasuk dua krew, terhempas kira-kira 80 kilometer di luar pantai Bintulu menyebabkan seorang pekerja pelantar minyak Petronas, Aewan Faslasaini Salihin, 22, terkorban. Kejadian itu berlaku jam 2.45 petang. Mayatnya dihantar ke Hospital Bintulu untuk bedah siasat.
Aewan merupakan juruteknik Syarikat DJ-Tech Sdn. Bhd. yang berasal dari Kuala Baram, Sarawak. Mereka yang terselamat ialah tujuh pekerja Petronas Carigali iaitu Douglas Akang, Affendi Abd Rahman, Markson Lezu, Ravi Kumbong, Daniel Juan Jeromel, Sazali Shamsudin dan Harry Sidadum manakala juruterbang Abdullah Ishak dan pembantunya, Pham Quang Thiet merupakan kakitangan MHS.
Harry Sidadum, 35, W M Aminin dan lain-lain yang bekerja dengan Petronas Carigali terselamat kerana telah beberapa kali menjalani latihan kecemasan di laut. Malangnya Aewan baru bekerja dan tidak pernah menjalani latihan kecemasan di laut.
Mulanya helikopter itu berlepas dari Lapangan Terbang Miri kira-kira pukul 1 petang telah mendarat di dua pelantar luar pantai - Delta 35 dan Bayan Alpha, sebelum ia terhempas tiga kilometer dari pelantar ketiga, Delta 18.
Helikopter itu baru berlepas dari pelantar Bayan Balingian D35 ke pelantar B18 dalam medan Bayan A di luar pantai Bintulu. Pada paras 500 meter dari aras laut, tiba-tiba beberapa gegaran berlaku dan asap memenuhi ruang helikopter dan menjunam ke laut.
Enam daripada yang terselamat sempat memanjat ke bot kecemasan sementara tiga yang lain terapung di laut sebelum mereka diselamatkan oleh pekerja di pelantar Delta 18.
Ketua Balai Polis Bintulu, Superintendan Sulaiman Abdul Razak menjelaskan bahawa bangkai pesawat itu ditemui tidak jauh dari pelantar minyak di antara Bayan A, Balingan D8 serta Delta 35, kira-kira 36 batu nautika barat laut Bintulu.
Seramai 151 anggota Polis Marin, Bomba dan Penyelamat Bintulu, Tentera Udara Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan MHS menyertai gerakan menyelamat itu.
Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA), Huang Tiong Poh berkata nahas ini merupakan kemalangan ke-4 dalam tempoh setahun membabitkan helikopter Super Puma L2 milik MHS, yang kegunaannya lebih bertumpu kepada penghantaran pekerja ke pelantar minyak.
Pada 5 November 2006, juruterbang Kapten Mohd Salleh terbunuh, manakala 20 yang lain terselamat apabila helikopter Super Puma L2 terhempas di luar pantai Kerteh, Terengganu ketika dalam perjalanan ke pelantar minyak milik ExxonMobil. Mayatnya ditemui 300 meter dari platform Tapis B, 240 km dari pantai Kerteh. Mayat Kapten Mohd Salleh masih terlekat pada kokpit helikopter.
Ketua Polis Negeri Terengganu, Senior Asisten Komisioner 1 Acryl Sani Abdullah Sani berkata, jentera pengesan kawalan jarak jauh (ROV) milik ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc (ExxonMobil) berjaya mengesan kedudukan bangkai helikopter dan mayat juruterbang berkenaan pada kedalaman 63 meter.