Pergi ke kandungan

Dunia Baru Reunion

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Dunia Baru Reunion
PenciptaWan Hasliza Wan Zainuddin
Ditulis olehWan Hasliza Wan Zainuddin
PengarahWan Hasliza Wan Zainuddin
Amirul Fadhli Mohd Rusli
Dibintangi oleh
Elyana
Wan Elyas
Anita Baharom
Anne Ngasri
Negara asal Malaysia
Bilangan episod20
Syarikat penerbitan
KL Motion Picture Co.
Penyiaran
Saluran asalgua.com.my
Siaran asal7 Jun – 21 Julai 2010

Dunia Baru Reunion merupakan siri drama Internet yang keluar di gua.com.my pada tahun 2010, sebagai kesinambungan kepada kisah siri TV Dunia Baru dan Dunia Baru The Movie. Inilah siri drama baru pertama yang dimuat naik dalam portal gua.com.my sejak Mingguan Lelaki yang keluar setahun lalu. Setiap episod baru keluar setiap Isnin, Rabu dan Jumaat, mulai 6 Jun 2010.

Banyak yang telah berubah sejak tamat pengajian di universiti, namun sebuah undangan pertemuan semula di Bali dari Tajol terus menarik minat rakan-rakan kolej lama. Bagaimanapun, ia kelihatan agak sukar untuk menyatukan kumpulan itu semula, lebih-lebih lagi dengan semua yang berlaku dalam kehidupan masing-masing: Berat badan Opie telah naik dengan mendadak dan dia penat bekerja namun tidak dihargai, dia juga sedang cuba mendapatkan perhatian Azlan, bossnya yang kacak. Madihah pula sedang cuba mengawal Atina, anaknya yang terlalu aktif, manakala Suzanna kini sudah berkahwin dengan seorang Sheikh Arab dan Aniza mungkin akan mengalami strok gara-gara sikap panas baran serta masalah-masalah yang terpaksa dia hadapi di tempat kerja.

Tajol dan rakan karibnya, Komos, sedang bertungkus-lumus untuk memastikan semua orang menghadiri majlis pertemuan semula itu, sehingga sanggup menyanyi lagu-lagu pop ‘jiwang’, bertemu dengan suami-suami ‘ganas’ sampai diacu pistol, serta menggaji seorang teman lelaki untuk Opie. Bagi Tajol, tiada yang lebih penting daripada bertemu dengan rakan-rakan lama…dan mengenakan bayaran sebanyak RM 1,500 seorang untuk rancangan pelaburan peribadinya!

Tanpa menyedari motif sebenar Tajol, Opie dan geng terpaksa menyelesaikan masalah masing-masing demi menghadiri majlis pertemuan semula itu, dan mengambil langkah-langkah drastik untuk mendapatkan cuti daripada bossnya yang kacak tapi keterlaluan itu. Sementara itu, Madihah mendapat tahu yang Komos pandai menjaga anak kecil manakala Anizah jatuh sakit sebelum acara pertemuan itu.

# Tarikh keluaran Sinopsis
1 7 Jun 2010 Setelah lama terpisah oleh alam pekerjaan, Tajol cuba menjemput rakan-rakan lamanya ke reunion di Bali melalui 'bukumuka'. Episod ini terutamanya menceritakan perkembangan terkini watak-watak Dunia Baru (di samping memperkenalkan Mariah, kembar Sariah).
2 9 Jun 2010 Suzanna, Adif, Anizah dan Mariah (kembar kepada Sariah) telah menerima jemputan Tajol. Madihah pula belum sempat membaca email jemputan Tajol kerana beliau sibuk melayan karenah anaknya Atina yang terlalu aktif. Sementara itu, ditunjukkan pula Opie yang ketika ini menghadapi masalah berat badan berlebihan.
3 11 Jun 2010 Badan Opie menjadi gemuk-gedempal kerana kecenderungan makan berlebihan untuk menghadapi tekanan kerja. Sambil membeli barang di pasaraya bersama majikannya, Opie akhirnya mendapat khabar reunion dari panggilan telefon Suzanna, lalu mencabarnya siapa yang lebih beriman.
4 14 Jun 2010 Tajol melawat Anizah yang terlantar di wad untuk memujuk beliau turut serta dalam percutian reunion ke Bali. Opie pula risau dengan insiden XXXL cuba untuk bersemuka dengan Bossnya, Azlan mengenai perkara tersebut, tetapi perbualan mereka di ganggu oleh seseorang…!
5 16 Jun 2010 Dalam mesyuarat di pejabatnya, pembentangan Opie menjadi bahan ketawa dan diejek oleh rakan sekerjanya. Lebih menghibakan Opie lagi, majikan juga tidak menyukainya.
6 18 Jun 2010 Opie yang bengang di ejek rakan sekerjanya mengenai insiden XXXL berjumpa Azlan untuk mendapatkan penjelasannya. Selepas itu, Opie menerima mesej 'bukumuka' dari seorang rakan lama iaitu Adif yang juga merupakan lelaki idaman Opie.
7 21 Jun 2010 Tajol yang ingin berjumpa dengan suami Anizah untuk mengumpul wang percutian reunion, perlu melalui sesi ujibakat suara terlebih dahulu. Opie pula diminta oleh Bossnya, Azlan untuk membeli jambangan bunga kepada seseorang.
8 23 Jun 2010 Madihah masih bergelut dengan masalah disiplin anaknya, Tajol yang selesai dengan ujibakat nyanyian di hadapan pengawal pintu pula terpaksa pula berdepan dengan ujian soalan-soalan kuiz sebelum dia dibenarkan berjumpa dengan suami Anizah.
9 25 Jun 2010 Akhirnya, Tajol berjumpa dengan suami Anizah, Tuan Megaman, tetapi wajah garang dan sepucuk pistol yang dimilikinya menggentarkan Tajol sehingga hampir menimbulkan salah faham yang boleh membawa padah. Tajol menyanyikan lagu "Baby" (oleh Justin Bieber) untuk menenangkan fikiran Megaman.
10 28 Jun 2010 Tajol bertanyakan Madihah mengenai percutian Reunion yang dirancangnya. Madihah teruja untuk turut serta tetapi dia ada masalah mencari penjaga Atina @ "Belasah Girl". Tajol kemudiannya memberi satu cadangan bernas kepada Madihah.
11 30 Jun 2010 Opie yang sedang dibuli oleh rakan sekerjanya menerima kunjungan dari Tajol untuk memujuk Opie supaya turut serta dalam percutian Reunion yang dirancangnya itu. Setelah mendengar keluhan Opie mengenai mengapa beliau tidak mahu turut serta, Tajol mendapat satu idea.
12 2 Julai 2010 Komos muncul di kala Opie sedang sendirian dan kesepian. Mereka banyak meluangkan masa bersama-sama. Buat pertama kalinya Opie kelihatan bersemangat dan sangat gembira bersama Komos, sehinggakan Opie bertekad untuk berubah.
13 5 Julai 2010 Rancancan Tajol mempertemukan Opie dan Komos supaya Opie turut serta pergi ke Reunion di Bali nampaknya membuahkan hasil. Namun begitu, Opie perlu mendapat kelulusan untuk bercuti dari Bossnya.
14 7 Julai 2010 Opie yang kecewa kerana permohonan cuti tidak diluluskan mengadu kepada Komos mengenainya. Bengang dengan kejadian tersebut, Tajol menghasut Opie supaya membalas dendam kepada Bossnya, Azlan.
15 9 Julai 2010 Atas hasutan Tajol, Opie telah mensabotaj rangkaian komputer di pejabatnya dengan virus komputer, supaya dia dapat bercuti. Pada masa yang sama, Datuk Pengerusi membuat lawatan ke pejabat untuk sesi perbentangan dari Azlan.
16 12 Julai 2010 Azlan yang kusut memikirkan siapakah yang telah sabotaj komputer di pejabat berbincang dengan Opie mengenai perkara tersebut. Opie pula mengambil kesempatan dari peristiwa tersebut untuk memohon cuti untuk ke Bali seperti yang telah dirancang.
17 14 Julai 2010 Azlan memanggil Opie dan memberitahunya dia sudah mengetahui siapa yang telah mencipta virus yang bertanggungjawab melumpuhkan sistem komputer di pejabat mereka. Opie bereaksi dengan mengumumkan perletakan jawatan.
18 16 Julai 2010 Azlan mendapati keadan di pejabatnya kelam kabut semenjak ketiadaan Opie. Manakala Opie yang gembira kerana dapat bersama Komos untuk percutian ke Bali telah dikejutkan oleh alasan besar dari Komos. Sebenarnya Komos diupah untuk mendisiplin anak Madihah yang luar kawalan itu.
19 19 Julai 2010 Tajol membuat pengumuman mengejut iaitu pembatalan rancangan reunion di Bali. Ketika kawan-kawannya yang bersusah-payah berkumpul naik darah, Tajol menyambung pengumuman dengan berita baik bahawa dia berkongsi hasil pendapatan MLM dengan semua. Apa yang mengejutkan lagi, Komos iaitu teman Opie diumumkan sebagai majikan Tajol, dan ini menyakitkan hati Opie yang baru melepaskan kerjanya di syarikat IT.
20 21 Julai 2010 Tiga bulan kemudian, Opie yang kembali berbadan langsing menerima kunjungan mengejut dari bekas majikannya. Azlan datang untuk menjalin hubungan semula dengan Opie dengan cara yang lain, tetapi tetap ditolak oleh Opie dengan bengangnya kerana asyik terkenang kepayahan bekerja dahulu. Tetapi pada saat akhir barulah opie sedar kehendak Azlan itu...

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]