Cinta Jangan Pergi
Cinta Jangan Pergi | |
---|---|
Ditulis oleh | Mira Mustaffa |
Pengarah | Kabir Bhatia |
Dibintangi oleh | Tiz Zaqyah Remy Ishak Josiah Hogan |
Negara asal | Malaysia |
Bahasa | Melayu |
Bilangan episod | 26 |
Penerbitan | |
Lokasi | Kuala Lumpur, Malaysia |
Sinematografi | Nurhanisham Mohd (Labu) |
Tempoh siaran | 40 minit |
Syarikat penerbitan | Filmscape |
Penyiaran | |
Saluran asal | TV9 |
Siaran asal | 6 April 2013 – 30 Jun 2013 |
Pautan luar | |
Laman sesawang |
Cinta Jangan Pergi merupakan sebuah siri drama televisyen Malaysia 2013 arahan Kabir Bhatia, dibintangi oleh Tiz Zaqyah, Remy Ishak dan Josiah Hogan. Drama ini ditayangkan di TV9 dari 6 April 2013 hingga 30 Jun 2013.
Sinopsis
[sunting | sunting sumber]Dengan perjanjian manis dua kekasih sehidup semati namun siapa sangka dalam sekelip mata, takdir telah merubah segalanya. Lea Soraya (Tiz Zaqyah) dan Kalil (Remy Ishak) dua insan yang tidak pernah bertemu mula menjalin cinta secara tidak sengaja dalam perjalanan ke Paris.
Takdir bagaikan sengaja terus menemukan mereka apabila sekali lagi mereka ke destinasi yang sama untuk menjelajah ke seluruh Eropah bersama. Mulanya Lea kurang menyenangi kehadiran Kalil yang kelihatan seperti cuba untuk meraih perhatiannya. Tetapi setelah saling mengenali, mereka mula merasa senang dengan kehadiran masing-masing. Bibit cinta mula terbit di hati mereka setelah melalui hari-hari bahagia bersama. Percintaan mereka berlanjutan walaupun setelah mereka pulang ke London.
Namun siapa sangka, dalam sekelip mata segala yang dirancang berubah tanpa diduga. Dua hati yang bersumpah setia terpisah apabila satu insiden tidak diingini terjadi ke atas Khalil. Kehilangan Kalil membuatkan Lea buntu samada untuk terus menunggu Kalil atau melupakan kenangan lalu dan bersama Hudd (Josiah Hogan).[1][2][3][4]
Pelakon dan watak
[sunting | sunting sumber]Watak utama
[sunting | sunting sumber]- Tiz Zaqyah[5] sebagai Lea Soraya
- Remy Ishak sebagai Kalil
- Josiah Hogan sebagai Hudd
Watak pembantu
[sunting | sunting sumber]- Ramona Zamzam sebagai Shireen
- Nadiya Nisaa sebagai Elyna
- Bil Azali sebagai Jaydee
Watak sampingan
[sunting | sunting sumber]- Kartina Ayoob sebagai Lily
- Aleza Shadan sebagai Nora
- Sheila Mambo sebagai Hasmah
- Esma Daniel sebagai Ibrahim
- Farahdhiya sebagai Tasha
Episod
[sunting | sunting sumber]# | Tarikh penyiaran | Ringkasan |
---|---|---|
1 | 6 April 2013 | Soraya sedang mengembara sekitar Eropah sendirian. Di dalam perjalanan, seorang pemuda Melayu memperkenalkan dirinya sebagai Kalil, namun Soraya tidak berminat untuk berkenalan lanjut. Ketika di Paris, sekali lagi Soraya terserempak dengan Kalil dan lebih memeranjatkan apabila mereka juga menaiki keretapi yang sama ke Interlaken. Mulanya Soraya kurang menyenangi kehadiran Kalil yang sering cuba meraih perhatiannya namun semakin lama mereka semakin rapat dan akhirnya saling jatuh cinta. Setelah percutian berakhir Soraya dan Kalil kembali ke universiti masing-masing tetapi masih tetap bertemu di setiap hujung minggu mengukuhkan lagi hubungan cinta mereka. Shireen, teman sekuliah Kalil yang diam-diam mencintai Kalil amat bencikan Soraya manakala teman-teman Soraya, JD dan Elina sangat gembira dengan hubungan Soraya dan Kalil. Setahun selepas pertemuan pertama mereka, Kalil membawa Soraya ke Interlaken dan mencadangkan agar mereka kembali ke situ setiap ulang tahun pertemuan mereka walaupun mungkin agak mustahil setelah mereka pulang ke tanahair. Setelah menamatkan pengajiannya, Soraya pulang ke Malaysia manakala Kalil terpaksa berada di London bagi menjalani latihan praktikal di sebuah firma di sana selama setahun. Sebelum berpisah, Kalil menghadiahkan sebentuk cincin pada Soraya sebagai tanda cintanya dan berjanji akan segera meminang Soraya apabila pulang ke Malaysia kelak. |
2 | 6 April 2013 | Di KL Soraya mula bekerja dan tinggal bersama ibunya, Lily. Seorang ibu tunggal berjiwa muda, Lily sangat rapat dengan Soraya dan mengetahui tentang hubungannya dengan Kalil. Soraya amat rindukan Khalil dan apabila ulang tahun pertemuan mereka yang kedua menjelang tiba, Soraya memberitahu teman-teman baiknya JD dan El yang dia ingin ke Interlaken sebagai kejutan kepada Khalil. Sementara itu Kalil yang telah menamatkan latihan praktikalnya lebih awal bercadang membuat kejutan kepada Soraya dengan pulang tanpa memberitahunya. Shireen turut pulang bersama Kalil dan cuba mendekatinya tetapi Kalil tetap mengelak. Di dalam kapal terbang Kalil berkenalan dengan seorang pemuda yang duduk di sebelahnya. Soraya yang sedang bersedia untuk ke Interlaken menerima panggilan telefon dari Shireen yang bertanyakan tentang Kalil kerana Kalil tertinggal sebuah beg kecil bersamanya dan Shireen menemui nombor telefon Soraya di dalam beg itu. Soraya sangat terkejut dengan kepulangan Kalil ke Malaysia tetapi tidak tahu bagaimana mahu menghubungi Kalil atau di mana keluarga Khalil tinggal. Hari berlalu, ulangtahun pertemuan mereka juga turut berlalu namun Kalil masih tidak menghubungi Soraya. Hinggalah suatu hari, berita suratkhabar memaparkan sebuah kereta terbakar ditemui dan pemandunya dikenali sebagai Kalil Ibrahim disyaki mati. |
3 | 13 April 2013 | Soraya tidak dapat menerima kenyataan ini, tak mungkin yang mati itu Kalilnya. Tetapi, JD dan El cuba meyakinkan Soraya yang gambar dari IC yang ditemui menyerupai Kalil. Soraya pergi ke tempat kejadian bersama JD dan El dan mereka diberitahu bahawa mayat mangsa masih belum ditemui. Soraya juga akhirnya bertemu ibu bapa serta ibu tiri Kalil. JD memperkenalkan diri mereka sebagai teman Kalil. Seperti Soraya, ibu Kalil, Nora juga yakin Kalil masih hidup. Shireen tiba-tiba muncul dalam keadaan histeria menerangkan yang Kalil telah pulang ke Malaysia bersamanya dan tertinggal sebuah beg kecil. Nora membuka beg tersebut dan di dalamnya turut menemui sebentuk cincin dan tertanya untuk siapakah cincin itu? El menyuruh Soraya memberitahu Nora tentang hubungannya dengan Kalil tetapi Soraya pasti Kalil akan kembali untuk memberitahu sendiri kepada keluarganya. Hari berganti bulan. Soraya bukan lagi Soraya yang dulu walaupun teman-teman serta ibunya cuba mengembirakannya. Lily tidak berputus asa, dia menjemput temannya, Hasmah makan malam di rumah mereka. Anak Hasmah, Hud terus jatuh hati melihat Soraya. Semenjak itu Hud cuba berbaik dengan Soraya namun setiap perbuatan dan usaha Hud hanya membuatkan Soraya seperti takut kepadanya. |
4 | 14 April 2013 | Sebenarnya yang mengganggu fikiran Soraya adalah apa saja yang dilakukan dan diucapkan oleh Hud mempunyai banyak persamaan dengan Kalil. Terlintas juga di fikiran Soraya mungkin Kalil cuba menyampaikan pesanannya agar Soraya meneruskan hidup namun Soraya segera menganggapnya hanya kebetulan. Pada suatu hari Hud datang ke rumah Lily. JD dan El cuba berbuat sesuatu agar Hud tidak menganggu Soraya lagi namun kedua-dua mereka menyenangi Hud setelah mengenalinya dengan lebih dekat, hanya Soraya yang masih cuba tidak mengendahkannya. Usaha Hud tidak sia-sia kerana tidak lama selepas itu Soraya mula rapat dan selesa dengannya. Ini turut membuatkan Soraya merasa serba-salah. |
5 | 20 April 2013 | Soraya akhirnya bertemu dengan ibu Khalil, Nora yang turut telah berputus asa mengharapkan Khalil kembali. Lily pula telah bertanyakan Soraya tentang hubungannya dengan Hud dan adakah dia bersedia mengahwini Hud, namun Soraya tetap ingin setia dengan cintanya pada Khalil. Hud yang terdengar perbualan mereka terluka mendengar pengakuan Soraya. |
6 | 21 April 2013 | Hud terus menjauhi Soraya dan ketika Hud pergi ke Pulau Pinang atas urusan kerja, Soraya mula terasa sunyi tanpa kehadiran Hud. Atas galakan dari teman-teman dan ibunya, Soraya ke Pulau Pinang untuk membuat kejutan pada Hud. Soraya menanggalkan cincin pemberian Khalil di hadapan Hud bagi membuktikan kesediaannya untuk memulakan hidup baru bersama Hud. Sekembalinya mereka ke KL, Hud segera meminang Soraya. Ketika Hasmah menyarungkan cincin ke jari Soraya di majlis pertunangannya dengan Hud, Soraya pucat melihat sesusuk tubuh yang amat dikenalinya – Khalil. |
7 | 27 April 2013 | Soraya tiba-tiba pengsan membuatkan semuanya panik.Bila Soraya membuka mata, Kalil tidak lagi kelihatan.Soraya meminta El dan JD mencari Kalil tetapi mereka menyangka dia mungkin hanya membayangkannya. Soraya yakin yang dilihatnya adalah Kalil. Dia menyesal menerima lamaran Hud dan ingin memutuskan pertunangan mereka tetapi dipujuk oleh Lily supaya tidak membuat tindakan terburu-buru. Soraya ke rumah Nora dan bertanya sama ada Kalil telah pulang. Nora memberitahu Soraya yang Kalil tidak mungkin kembali. Apabila Soraya cuba meyakinnya yang Kalil masih hidup, Nora menghalaunya dari situ.
Soraya pergi ke tempat kemalangan dan bertanya sekeliling tetapi tiada seorang pun yang melihat Kalil. Soraya cuba menjejak Kalil semula dan ini membuatkan Hud kecewa. Setelah pelbagai usahanya gagal, Soraya mula terfikir yang mungkin benar Kalil yang dilihat di hari pertunangannya hanyalah mainan perasaannya semata-mata. Namun, apabila menyedari yang ulangtahun pertemuan mereka bakal menjelang tiba Soraya yakin yang Kalil akan menantinya di situ. Soraya semakin yakin apabila mendapati satu risalah ke Interlaken di dalam peti suratnya. |
8 | 28 April 2013 | Soraya memberitahu El tentang risalah tersebut dan memberitahu El yang dia harus ke sana tetapi meminta El berjanji untuk tidak memberitahu sesiapa. Soraya menaiki keretapi dari Paris ke Interlaken sama seperti perjalanannya ketika pertama kali bertemu Kalil, bezanya kini dia sendirian. Dia menggenggam cincin dari Kalil dengan penuh pengharapan. Di Interlaken Soraya menanti di bangku yang sama tetapi hingga hari gelap Kalil masih tidak muncul. Tiba-tiba seseorang menghampiri Soraya dan orang itu adalah Hud. Soraya menangis dan Hud mengajaknya pulang. Di dalam kegelapan seseorang tiba-tiba muncul dan dia adalah Kalil. |
9 | 4 Mei 2013 | Hati Kalil begitu terguris apabila melihat Soraya dalam pelukan Hud di tempat istimewa mereka. Setelah Soraya dan Hud pergi dari situ, Kalil duduk di bangku yang sama di dalam kelam malam sambil mengimbas kenangan manisnya bersama Soraya di situ sebelum beredar dari situ.
(flashback) Kalil kembali ke rumah ibunya. Nora hampir pengsan melihat Kalil. Kalil menerangkan yang ketika kemalangan dia telah diselamatkan oleh satu keluarga Orang Asli yang telah merawatnya sehingga sembuh. Dia telah hilang ingatan hingga terlupa namanya sendiri. Hanya baru-baru ini ingatannya pulih. Kalil ingin mencari Soraya tetapi Nora memberitahu Kalil walaupun Soraya telah lama menanti Kalil, kini Soraya bakal berkahwin. Kalil telah pergi ke rumah Soraya di hari pertunangannya dengan Hud. Janji Soraya untuk tidak melupakannya terus terngiang-ngiang di telinga Kalil |
10 | 5 Mei 2013 | Lily lega setelah Hud dan Soraya pulang ke KL kerana tidak menyangka Soraya akan mengambil tindakan nekad sebegitu. Ibrahim, bapa Khalil pula amat terkejut namun sangat gembira kerana Khalil masih hidup. Khalil memberitahu Ibrahim yang dia mahu bekerja di syarikat Ibrahim dan dia juga memerlukan bantuan Ibrahim untuk membalas dendam pada Soraya kerana meninggalkannya. Soraya telah kembali menjalankan tugasan pejabat yang membosankannya itu ketika dia menerima surat pemecatan jawatan. Walaupun dengan alasan yang tidak munasabah, Soraya tetap harus menerima hakikat yang dia telah dipecat. Tidak lama selepas itu Soraya menerima panggilan temuduga walaupun Soraya tidak pernah memohon. Walaupun hairan, Soraya tetap menghadiri temuduga tersebut. Hampir luruh jantung Soraya apabila melihat penemuduganya adalah Khalil tetapi Khalil langsung tidak mengenalinya. |
11 | 11 Mei 2013 | Soraya yang masih termanggu dengan pertemuan tidak dijangka itu diherdik kasar oleh Khalil yang mengarahkannya supaya menunggu di luar bilik itu. JD dan El yang menemani Soraya dan pada mulanya tidak percaya, turut terkejut melihat Khalil dan hairan apabila Khalil juga tidak mengenali mereka. Shireen menerangkan kepada mereka bahawa Khalil telah hilang separa ingatan selepas kemalangan itu. Khalil tidak dapat mengingati segala kejadian yang berlaku dalam tempoh 3 tahun sebelum kemalangan itu. Perkara terakhir yang diingatinya hanyalah pengajian tahun akhirnya di London. Kerana itu Khalil dapat mengingati Shireen yang telah menjadi rakan sekolejnya sejak dari tahun pertama. Shireen menasihati Soraya agar tidak terus membuang masa untuk membuatkan Khalil mengingati hubungannya dengan Soraya. Soraya nekad untuk membuatkan Khalil mengingatinya walau dengan cara apa sekalipun namun Khalil sengaja menyakitkan hati Soraya dengan pura-pura menggoda Shireen. Soraya tidak memberitahu Hud yang dia kini bekerja dengan Khalil di pejabat barunya itu. Pada suatu hari ketika Hud menjemput Soraya pulang dari kerja, dia terlanggar Khalil yang bersikap kurang ajar padanya. Air muka Hud berubah amat sangat melihat Khalil. |
12 | 12 Mei 2013 | Khalil seperti benar-benar tidak mengenali Hud. Hud merasa lega dan bersalaman dengan Khalil, membuatkan Soraya merasa serba-salah. Soraya meminta maaf pada Hud kerana tidak memberitahu Hud bahawa dia telah bertemu Khalil dan kini bekerja dengan Khalil. Soraya juga meyakinkan Hud yang dia tidak perlu bimbang kerana Khalil tidak ingat langsung tentang hubungannya dengan Soraya serta tidak suka langsung pada Soraya. Hakikatnya Soraya merasa amat terluka dengan layanan Khalil padanya setiap hari. Khalil seperti ingin membuatkan tugas dan hidupnya sukar. Usaha Soraya untuk membuatkan Khalil ingat padanya dan cinta mereka juga menemui jalan buntu kerana apa saja tindakan Soraya hanya menimbulkan kemarahan Khalil. Dalam diam Khalil juga merana. Setiap kenangan indahnya bersama Soraya tetap segar dalam ingatannya. Oleh kerana Soraya boleh melupakannya, dia juga perlu melupakan Soraya, dia perlu membuatkan dirinya bencikan Soraya. Shireen pula turut merebut peluang untuk menjauhkan Soraya dari Khalil. Dia memberitahu Soraya dan teman-temannya yang Khalil bakal melamarnya, membuatkan Soraya merasa amat kecewa. El dan JD yang bersimpati dengan Soraya telah bersemuka dengan Khalil. Khalil hanya memberitahu mereka yang dia belum berniat begitu tetapi tidak mustahil untuknya berkahwin dengan Shireen jika tiba waktunya kelak. |
13 | 18 Mei 2013 | Soraya dan teman-temannya menyampah dengan Khalil yang ‘baru’ lalu pergi dari situ manakala bagi Shireen kata-kata Khalil memberinya segunung harapan. Di pejabat Khalil menukar taktiknya dengan menganggu dan menggoda Soraya selama berhari-hari. Tindakannya disedari oleh Shireen dan membuatkan Shireen memberi amaran kepada Soraya. Soraya pula mula sedar yang dia tidak suka pada Khalil yang baru ini sebaliknya Hud adalah yang terbaik untuknya. El yang bersimpati dengan Soraya bersemuka dengan Khalil dan memberitahu Khalil tentang bagaimana setianya Soraya mencari dan menanti Khalil hingga sanggup ke Interlaken dengan harapan dapat bertemu Khalil di situ. El juga memberi amaran kepada Khalil agar tidak mengganggu dan membuli Soraya lagi. Khalil terkejut setelah menyedari yang selama ini dia telah salah sangka pada Soraya. Soraya pula mula membuat persediaan untuk perkahwinannya dengan Hud kerana bagi Soraya, Khalil kekasihnya yang dulu sudah tidak wujud. Khalil merana memendam perasaan. Dia juga sudah tidak tahan dengan Shireen lalu memberitahu Shireen yang dia tidak mempunyai sebarang perasaan pada Shireen. Tindakannya membuatkan Shireen sedar yang Khalil sebenarnya mengingati Soraya dan hubungan mereka serta masih mencintai Soraya. Shireen bertemu Soraya dan memberitahunya tentang Khalil tetapi Soraya tidak mempercayai kata-kata Shireen. Shireen mencabar Soraya untuk mencari kebenaran bagi membuktikan kata-katanya. Soraya ke rumah Nora dan bersemuka dengan Khalil. Apabila Khalil mengaku yang dia kenal siapa Soraya dan ingatannya telah pulih, Soraya menampar Khalil dan segera pergi dari situ. |
14 | 19 Mei 2013 | Soraya amat sedih setelah mengetahui kebenaran itu. Dia tidak menjawab panggilan-panggilan dari Khalil. Dia juga tidak pergi ke galeri pengantin walaupun Hud menantinya di sana. Khalil juga turut bersedih. Nora menasihati Khalil agar melupakan Soraya dan membiarkan Soraya mencari kebahagiaannya sendiri. Tambahan pula, Soraya bakal berkahwin tidak lama lagi. Tetapi Khalil tidak dapat menerima kenyataan itu. Dia berjumpa Soraya dan memohon maaf dari Soraya. Namun Soraya tidak dapat memaafkan Khalil kerana hatinya masih terluka dengan pembohongan serta perbuatan Khalil padanya. Hud pula susah hati apabila Shireen memberitahunya tentang Khalil dan cinta Khalil yang masih mekar pada Soraya. Khalil yang kecewa dengan apa yang terjadi sedang menghala ke balai berlepas apabila terdengar Soraya memanggilnya. Hud yang telah tiba di rumah kecewa apabila Soraya tiada di situ seperti yang dijanjikan kerana Hud tahu siapa yang menjadi pilihan hati Soraya. |
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Cinta Jangan Pergi Sebab Tiz, Remy Ke Eropah[pautan mati kekal]. murai. September 17, 2012.
- ^ Cinta Jangan Pergi Bakal Jadi Fenomena?[pautan mati kekal]. Sensasi Selebriti (budiey). Mac 11, 2013.
- ^ Cinta Jangan Pergi press release. TV9. Mac 11, 2013.
- ^ Cinta Jangan Pergi Satukan Remy dan Tiz Zaqyah Diarkibkan 2013-04-17 di Wayback Machine. gua. Mac 13, 2013.
- ^ Tiz Zaqyah Susah Berlakon Dengan Remy Ishak. gua. Mac 7, 2013.
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]- Laman web rasmi Diarkibkan 2013-03-13 di Wayback Machine