Pergi ke kandungan

Cegar tengkuk hitam (burung)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Cegar tengkuk hitam
Pengelasan saintifik e
Domain: Eukaryota
Alam: Animalia
Filum: Chordata
Kelas: Aves
Order: Passeriformes
Keluarga: Muscicapidae
Genus: Enicurus
Spesies:
E. immaculatus
Nama binomial
Enicurus immaculatus
(Hodgson, 1836)

Cegar tengkuk hitam (Enicurus immaculatus) ialah spesies cegar dalam keluarga Muscicapidae. Ia telah diperihalkan pada tahun 1836, daripada spesimen yang dikumpul di Nepal. Ia merupakan cegar bersaiz sederhana, dengan berat antara 25 dan 29 gram dan panjang 20.5 hingga 23 sentimeter (8.1 hingga 9.1 in). Spesies tersebut mempunyai jalur putih yang luas di dahinya. Gombak, muka, dan bahunya berwarna hitam, manakala bahagian bawahnya berwarna putih, berpisah tajam dari bulu atas yang hitam. Sayapnya sebahagian besarnya berwarna hitam dengan jalur putih yang luas merentasi bulu susup besarnya. Ekornya, seperti cegar lain, adalah panjang, bercerun, dan bercabang dalam. Ekornya berwarna hitam dengan hujung putih dan tiga jalur putih yang terhasil oleh bulu ekor yang lebih pendek. Paruhnya berwarna hitam, manakala kaki dan batang kakinya berwarna jambu muda, dan irisnya berwarna perang. Spesies tersebut bersifat ekabentuk.

Cegar tengkuk hitam biasanya bersendirian, tetapi kadangkala ditemui secara berpasangan atau dalam kumpulan keluarga. Ia diperihalkan sebagai spesies pemalu. Burung tersebut membiak antara bulan Mac dan Jun, membina sarang bahan tumbuhan dalam lubang atau celah batu dan pokok mati. Tiga biji telur biasanya dihasilkan, yang berwarna jambu dan bertompok merah-perang. Kedua-dua jantina membina sarang dan mengeram telur. Spesies tersebut kerap mengharungi aliran dan sungai yang mengalir deras di hutan sederhana dan hutan tanah pamah lembap subtropika atau tropika. Ia ditemui di subbenua India dan di beberapa kawasan bersebelahan di Asia Tenggara. Julatnya meliputi Bangladesh, Bhutan, India, Myanmar, Nepal, dan Thailand. Ia biasanya ditemui di bawah 1,450 meter (4,760 ka) atas paras laut, tetapi telah dirakamkan setinggi 2,600 meter (8,530 ka). Julat dan populasi yang tepat tidak diketahui. Ia dikelaskan sebagai spesies Kurang Membimbangkan oleh Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa.

Taksonomi

[sunting | sunting sumber]

Naturalis British Brian H. Hodgson memerihalkan secara saintifik cegar tengkuk hitam pada tahun 1836, daripada spesimen yang diperoleh di Nepal. Ia pada asalnya diletakkan dalam subgenus baharu Enicurus dalam genus Motacilla,[2] yang mengandungi kedidi air.[3] Hodgson menyifatkan spesies tersebut berkongsi ciri genera Motacilla dan Turdus, mempunyai morfologi pertengahan, bentuk umum yang lebih hampir dengan spesies Turdus, dan tingkah laku yang lebih hampir dengan Motacilla.[2] Spesies tersebut kini diletakkan dalam keluarga Muscicapidae, yang juga termasuk sambar Dunia Lama dan murai sawah.[3]

Pemerihalan

[sunting | sunting sumber]

Cegar tengkuk hitam bersaiz sederhana, dengan panjang antara 20.5 dan 23 sentimeter (8.1 dan 9.1 in).[4] Ia mempunyai berat antara 25 dan 29 gram. Panjang sayapnya telah dirakamkan sebagai antara 8.6 dan 9.8 sentimeter (3.4 dan 3.9 in) untuk jantan dan 8.6 hingga 9.0 sentimeter (3.4 hingga 3.5 in) untuk betina. Paruhnya memanjang 2 sentimeter (0.79 in) dari tengkoraknya, manakala ekornya berpanjang antara 12.4 dan 12.7 sentimeter (4.9 dan 5.0 in).[5]

Spesies tersebut mempunyai jalur putih yang luas bermula di belakang mata dan melepasi dahinya. Gombak dan bahunya ditutup sepenuhnya dengan bulu hitam, yang memanjang ke atas dahi, muka, skapula, tekak dan sisi leher. Bahagian bawah burung berwarna putih, digariskan dengan jelas dari kehitaman lehernya. Bulu susup kecil dan pertengahannya hitam sepenuhnya, begitu juga dengan pangkal bulu susup besarnya. Jalur putih lebar melintasi sayapnys, sepanjang bulu susup besar serta pangkal bulu sekunder dan tertier dalaman. Bulu tertier tertingginya berwarna putih, dan bulu primer dalamannya mempunyai hujung putih dan pangkal sekunder dilitupi tompokan putih kecil. Bulu terbangnya selalunya hitam. Seperti kebanyakan cegar lain, ekor spesies tersebut panjang, bercerun, dan bercabang dalam. Bulunya hitam, dengan hujung putih, kecuali bulu paling luarnya, yang berwarna putih. Ekornya mempunyai hujung putih dan tiga jalur putih yang terhasil oleh hujung bulu ekor yang lebih pendek. Paruhnya berwarna hitam, manakala kaki dan batang kakinya berwarna jambu keputihan atau warna daging cerah. Irisnya berwarna perang atau perang gelap.[5]

Cegar tengkuk hitam tidak menunjukkan kedwibentukan jantina, dan tidak mempunyai lainan geografi yang diketahui dalam penampilannya. Tiada apa yang diketahui tentang peluruhannya. Juvenil spesies tidak mempunyai jalur putih yang menonjol di dahi, dan kawasan yang berwarna hitam pada dewasa adalah perang jelaga atau hitam kusam. Juvenil mempunyai tompok putih di belakang mata, dan mungkin mempunyai sisik atau bintik gelap pada rusuk, dada, dan perutnya. Ekor juvenil biasanya lebih pendek, manakala rahang bawah berwarna kekuningan, dan rahang atas mempunyai sisi pemotong keputihan.[5][4]

Cegar tengkuk hitam serupa dengan cegar berjalur, tetapi tidak mempunyai belakang berwarna kelabu loh, dan juga bersaiz lebih kecil. Ia juga mempunyai paruh yang lebih tipis. Jalur putih pada mukanya lebih nipis daripada cegar belukar yang serupa: ia juga dibezakan oleh dadanya yang putih, bukannya hitam.[5] Panduan pengenalpastian lapangan memerihalkannya sebagai bersaiz sama dengan spesies bulbul.[6] Seruannya diperihalkan sebagai "tsip-dyu" atau "her-tzi" yang pendek dan bersiul.[7] Dua sukukata bagi seruan tersebut kadangkala dihasilkan secara berasingan, sebagai "hu" berongga dan "zi" nyaring, yang raninya agak lebih tinggi daripada seruan cegar berjalur. Ia menghasilkan seruan dua sukukata apabila diganggu. Ia juga membuat seruan yang serupa dengan cegar berjalur, diperihalkan sebagai seakan engsel berderit.[3][4] Ia telah diperihalkan sebagai kadang-kadang menghasilkan lagu pendek juga.[6]

Tingkah laku dan ekologi

[sunting | sunting sumber]

Spesies tersebut biasanya bersendirian, atau kadang-kadang ditemui secara berpasangan, tetapi boleh dilihat dalam kumpulan keluarga semasa musim pembiakan. Diperihalkan sebagai burung yang pemalu, ia sering menggoyangkan ekornya apabila memakan, dan apabila berehat, ia membuka dan menutupnya dengan gerakan seperti gunting.[5] Ia lazimnya terbang di sepanjang aliran atau sungai,[7] dan penerbangannya diperihalkan sebagai pantas dan lurus, kadangkala beralun sedikit.[5] Ia telah diperhatikan berhampiran air terjun.[4] Pemakanan tepat cegar tengkuk hitam tidak diketahui, tetapi ia telah diperhatikan memakan serangga akuatik, larva serangga tersebut, dan krustasea. Ia biasanya mencari makan di sepanjang aliran dan sungai yang bergerak deras, termasuk di atas batu di tengah sungai, dan kadang-kadang boleh memasuki air. Ia juga mungkin mencari makan di sepanjang sungai bergerak perlahan, kolam, atau kolam hutan, dan telah dirakamkan sebagai mencari makan di kawasan lembap hutan.[5][7] Apabila tidak giat, ia telah diperhatikan untuk kekal dalam semak atau semak rendah.[5]

Musim pembiakan cegar tengkuk hitam adalah antara Mac dan Jun. Sarangnya terdiri daripada rangkup yang diperbuat daripada bahan tumbuhan, termasuklah daun kering, lumut, dan gentian, kadangkala dipenuhi dengan rangka daun. Ia mungkin terletak di dalam lubang pokok mati, di bawah tebing, di tebing, atau di dalam lubang atau celah di antara batu.[5][8] Biasanya, tiga biji telur dihasilkan, yang berwarna jambu dan berbintik-bintik jarang dengan merah-perang halus. Bintik-bintik tersebut kekadang membentuk sopak atau litupan di hujung telur. Telurnya telah dirakamkan sebagai berpanjang purata 2.08 sentimeter (0.82 in) dan lebar 1.58 sentimeter (0.62 in).[8] Kedua-dua jantan dan betina mengambil bahagian dalam pembinaan sarang dan pengeraman.[5] Walaupun spesies tersebut sebahagian besarnya tidak bertetap, burung tahun pertama meninggalkan kawasan pembiakan induknya antara April dan Oktober.[5]

Julat dan pengedaran

[sunting | sunting sumber]

Habitat pilihan cegar tengkuk hitam adalah berhampiran sungai yang mengalir deras dan aliran di hutan berdaun lebar tropika lembab dan hutan tanah pamah subtropika.[5] Ia sering berada di batu dan batu tongkol di dalam atau bersempadan dengan sungai, serta lumpur atau tebing pasir yang bersempadan dengan hamparan air yang deras.[8][6] Hujung barat julat spesies tersebut adalah di Garhwal, di bahagian barat laut negeri Uttarakhand di India. Julat tersebut menjangkau dari kawasan tersebut melalui Nepal barat dan tengah, ke Bhutan dan negeri-negeri India timur laut, termasuklah Sikkim, Assam, Meghalaya, Arunachal Pradesh, Nagaland, dan Manipur. Ia dikenali sebagai pelawat musim sejuk ke Taman Negara Nameri di Assam. Di barat Sikkim, spesies tersebut jarang ditemui, tetapi ia biasa ditemui di Bhutan. Ia juga ditemui di wilayah Sylhet dan Chittagong di Bangladesh, di mana ia jarang ditemui. Julat tersebut meluas ke Myanmar, kecuali wilayah Tenasserim, dan ke barat laut Thailand. Ia juga telah dilaporkan dari barat daya Yunnan di China, dan dari tenggara Tibet.[5][6] Birdlife International memetakan julatnya sebagai bersebelahan di kawasan tersebut, kecuali kawasan di selatan Myanmar yang dipisahkan daripada julat yang lain. Panduan lapangan untuk burung-burung di Asia selatan memerihalkan taburannya sebagai tidak berterusan.[9][10]

Di bahagian barat julatnya, spesies tersebut ditemui sehingga 1,450 meter (4,760 ka) atas paras laut; di bahagian timur, sehingga 900 meter (2,950 ka) atas paras laut.[3] Di Nepal, julat ketinggiannya diperihalkan sebagai 75 hingga 1,370 meter (250 hingga 4,500 ka) atas paras laut.[10] Pada tahun 1998, spesies tersebut dirakamkan pada 2,600 meter (8,500 ka) atas paras laut di Taman Hidupan Liar Eaglenest di Arunachal Pradesh.[11] Ia membiak sebahagian besarnya di bawah 600 meter (1,970 ka) di India dan Bhutan.[5] Populasi spesiesnya tidak diketahui, tetapi dipercayai kukuh, dan lebih besar daripada 10,000 individu. Julat tepatnya juga tidak diketahui, tetapi dianggap lebih besar daripada 20,000 kilometer persegi. Anggaran tersebut telah menyebabkan ia dikelaskan sebagai spesies Kurang Membimbangkan oleh Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa.

  1. ^ BirdLife International (2016). "Enicurus immaculatus". Senarai Merah Spesies Terancam IUCN. 2016: e.T22710132A94235865. doi:10.2305/IUCN.UK.2016-3.RLTS.T22710132A94235865.en. Dicapai pada 16 November 2021.
  2. ^ a b Hodgson, Brian H. (1836). "Notices of the ornithology of Nepal". Asiatic Researches. 19: 143–93 [189].
  3. ^ a b c d "Black-backed Forktail (Enicurus schistaceus)". Handbook of the Birds of the World Alive. Barcelona, Spain: Lynx Edicions. 2017. Dicapai pada 17 September 2017.
  4. ^ a b c d Craig Robson (13 August 2015). Birds of South-East Asia: Concise Edition. Bloomsbury Publishing. m/s. 97–. ISBN 978-1-4729-2424-7.
  5. ^ a b c d e f g h i j k l m n Peter Clement (28 January 2016). Robins and Chats. Bloomsbury Publishing. m/s. 457–458. ISBN 978-1-4081-5596-7.
  6. ^ a b c d Bikram Grewal (9 March 2017). Birds of the Himalayas. Bloomsbury Publishing. m/s. 89–. ISBN 978-1-4729-3824-4.
  7. ^ a b c Bikram Grewal; Garima Bhatia (25 April 2017). A Photographic Field Guide to the Birds of India, Pakistan, Nepal, Bhutan, Sri Lanka, and Bangladesh. Princeton University Press. m/s. 606–. ISBN 978-0-691-17649-9.
  8. ^ a b c Sálim Ali; Sidney Dillon Ripley; Bombay Natural History Society (1973). Handbook of the birds of India and Pakistan: together with those of Bangladesh, Nepal, Bhutan, and Sri Lanka. 9. Oxford University Press. m/s. 9–11.
  9. ^ Richard Grimmett; Carol Inskipp; Tim Inskipp (20 October 2016). Birds of the Indian Subcontinent: India, Pakistan, Sri Lanka, Nepal, Bhutan, Bangladesh and the Maldives. Bloomsbury Publishing. m/s. 426. ISBN 978-1-4081-6265-1.
  10. ^ a b Richard Grimmett; Carol Inskipp; Tim Inskipp; Hem Sagar Baral (22 September 2016). Birds of Nepal: Revised Edition. Bloomsbury Publishing. m/s. 292. ISBN 978-1-4729-2568-8.
  11. ^ Anwaruddin, Choudhury (2003). "Birds of Eaglenest Wildlife Sanctuary and Sessa Orchid Sanctuary, Arunachal Pradesh, India" (PDF). Forktail. 19.