Pergi ke kandungan

Cegar berjalur (burung)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Cegar berjalur
Pengelasan saintifik e
Domain: Eukaryota
Alam: Animalia
Filum: Chordata
Kelas: Aves
Order: Passeriformes
Keluarga: Muscicapidae
Genus: Enicurus
Spesies:
E. schistaceus
Nama binomial
Enicurus schistaceus
(Hodgson, 1836)

Cegar berjalur (Enicurus schistaceus) atau cegar besar ialah spesies cegar dalam keluarga Muscicapidae. Cegar bersaiz sederhana yang nipis, ia dibezakan daripada spesies yang serupa berdasarkan dahi, gombak, dan bahunya yang kelabu. Ia mempunyai ekor panjang dan bercabang dalam yang berjalur hitam dan putih, punggung putih, dan sorot putih merentasi buluan utamanya; selebih buluannya kebanyakannya berwarna putih. Kedua-dua jantina mirip. Ia sering ke tepi aliran deras dan sungai, di mana ia memburu invertebrata kecil dengan melompat di antara batu atau terbang di atas air. Ia membiak antara Februari dan Julai, bertelur 3–4 biji berwarna jambu, biru, atau putih; kedua-dua jantina mengeram telur.

Cegar berjalur ditemui berhampiran aliran dan sungai di kawasan tropika dan subtropika, kadangkala merayau lebih jauh daripada air yang mengalir ke tepi jalan dan denai. Secara amnya burung bersendirian, ia kadang-kadang boleh ditemui secara berpasangan, atau dalam kumpulan keluarga pada musim pembiakan. Salah satu seruannya telah digambarkan sebagai serupa dengan raja udang Blyth. Cegar berjalur ditemui di Himalaya tengah dan timur, Subbenua India, selatan China, dan benua Asia Tenggara. Taburannya yang luas dan populasi yang kelihatan stabil telah menyebabkan ia dikelaskan sebagai spesies yang kurang membimbangkan oleh Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa.

Taksonomi dan sistematik

[sunting | sunting sumber]

Cegar berjalur diperihalkan secara saintifik pada tahun 1836 oleh naturalis British Brian H. Hodgson. Ia pada asalnya diletakkan dalam subgenus baharu iaitu Enicurus dalam genus Motacilla,[2] yang mengandungi kedidi air.[3] Spesimen yang digunakan untuk memerihalkan spesiesnya berasal dari Nepal.[4] Nama spesiesnya ialah kata sifat dalam bahasa Rumi schistaceus "kelabu loh".[5] Cegar berjalur kini diletakkan dalam keluarga Muscicapidae, yang termasuklah sambar Dunia Lama dan murai sawah.[3] Kajian genetik mendapati bahawa cegar berjalur dan cegar kecil secara genetiknya lebih berbeza daripada cegar belukar berbanding spesies cegar lain. [6]

Penerangan

[sunting | sunting sumber]
Cegar berjalur di Lembah Dibang, Arunachal Pradesh, India .

Cegar berjalur ialah cegar bersaiz sederhana yang ramping dengan panjang antara 22 dan 25 sentimeter (8.7 dan 9.8 in), dan berat antara 26 dan 38 gram (0.92 dan 1.34 oz).[3][7][4] Ia berwarna kelabu, hitam, dan putih.[4] Paruhnya berwarna hitam, manakala kakinya berwarna jambu pucat atau kelabu. Irisnya telah digambarkan sebagai perang gelap,[4] walaupun ia telah dirakamkan sebagai hitam dalam spesimen tertentu.[8] Ia mempunyai leher hitam dan jalur putih halus pada mukanya sehingga tepat di belakang mata, kadangkala digambarkan sebagai topeng putih.[3][7] Jalur putih tersebut kadangkala termasuk lingkaran putih keliling matanya, yang mungkin samada lengkap atau separa. Bulu susup telinga, dagu, dan mukanya juga berwarna hitam. Dahi, gombak, sisi leher, dan skapulanya berwarna kelabu loh.[4] Ia mempunyai bulu susup sayap hitam,[9] tompok putih di pangkal bulu primer,[10] sorot putih lebar pada sayap yang selalunya hitam, dan juga tompok putih besar pada punggung dan belakang bawahnya.[7] Pangkal bulu terbangnya berwarna putih, yang kadang-kadang kelihatan sebagai sorotan tambahan kecil pada sayap. Ekornya panjang dan sekata, dengan cabang yang dalam. Ekornya sebahagian besarnya hitam kecuali hujung yang putih. Ia juga mempunyai tiga jalur putih sepanjang badannya, dibentuk oleh hujung putih bulu ekor yang lebih pendek.[4]

Juvenil spesies tidak mempunyai dahi putih, berwarna perang di atas, dan mempunyai sisik gelap pada payudaranya.[9] Ekor juvenil lebih pendek daripada dewasa: juvenil juga mempunyai lores kelabu atau kekuningan, dan dagu dan tekak berwarna kelabu atau putih. Bahagian rusuknya berwarna kelabu-perang kusam.[4] Ia bukan dimorfik secara seksual.[3] Beberapa spesimen telah diperhatikan mempunyai hujung putih untuk primer mereka. Ciri ini telah dihipotesiskan sebagai hasil daripada penuaan atau haus dan lusuh, dan telah diperhatikan sepanjang pengedaran spesies. Ia diketahui tidak berkaitan seks.[8] Walaupun sangat mirip dengan cegar tengkuk hitam Enicurus immaculatus, ia dibezakan dengan bahu dan gombak kelabu lohnya.[3][7][10] Ia juga mempunyai paruh yang lebih besar daripada cegar tengkuk hitam, dan dahinya yang kurang putih.[9]

Vokalisasi

[sunting | sunting sumber]

Salah satu seruan cegar berjalur telah digambarkan sebagai "jeritan seperti logam yang tinggi, nipis, tajam, 'tink'", sama seperti yang dibuat oleh burung raja udang kecil; khususnya, ia telah disalahanggap sebagai seruan burung raja udang Blyth Alcedo hercules.[3][4] Seruan lain digambarkan sebagai "cit" yang lembut.[9] Ia juga menghasilkan seruan jeritan yang berulang-ulang apabila gerun.[4]

Taburan dan habitat

[sunting | sunting sumber]

Cegar berjalur ditemui berhampiran badan air yang mengalir deras di hutan berdaun lebar pergunungan tropika dan subtropika, serta berhampiran kawasan penanaman.[4][9] Kawasan tersebut termasuklah aliran berbatu dan sungai, serta sungai yang luas dan lembah di kawasan dataran.[4] Kertas penyelidikan dari tahun 2000 yang mengkaji burung-burung di barat laut India dan Nepal mendapati bahawa pertemuan cegar berjalur menurun mengikut ketinggian kawasan. Kajian tersebut juga mendapati bahawa cegar berjalur mengutamakan sungai yang bersempadan dengan tumbuh-tumbuhan yang padat dan kompleks, dan mempunyai tebing tanah yang kukuh dan teguh. Ia juga mengutamakan aliran dengan pasir berbutir lebih halus di dasarnya, dan dengan "jujukan lubuk-balan."[11] Ia jarangnya ditemui di kawasan terpencil di hutan, dan di tepi jalan atau denai berhampiran air.[4] Pada bulan-bulan musim sejuk ia telah diperhatikan untuk bergerak dari pergunungan ke kawasan kaki bukit dan dataran.[4]

Spesies tersebut ditemui di Himalaya tengah dan timur, dari negeri India Uttarakhand di barat hingga ke Myanmar di timur, termasuklah Nepal, dan Bhutan. Ia merupakan kutu rayau di Bangladesh. Ia juga ditemui di selatan China, di tenggara Tibet, dan di wilayah Sicuan, Yunnan, Guijou, Fujian dan Jejiang, dan mungkin di Hainan. Julatnya di Asia Tenggara termasuklah Thailand, Vietnam, Laos, Kemboja, semenanjung Malaysia, dan Hong Kong.[3][4] Di Hong Kong, ia hanya pengunjung musim sejuk sekali-sekala atau penduduk yang sangat jarang ditemui. Taburannya di Asia Tenggara tidak berterusan.[4] Julat ketinggian cegar berjalur berbeza-beza secara geografi. Ia telah dianggarkan sebagai 300-1600 m di atas paras laut di utara India, 900-1675 m di Nepal, 400-1800 m di selatan China dan kawasan bersebelahan Thailand, di atas 500 m di Kemboja, di atas 800 m di Malaysia, dan 800-2200 m di Bhutan. Pada musim sejuk, ia telah dirakamkan serendah 200 m dari paras laut.[4]

Populasinya dianggap kukuh, dan walaupun julat spesiesnya tidak diketahui dengan tepat, ia dianggap lebih besar daripada 10,000 individu. Ia dikategorikan sebagai spesies yang paling tidak mendapat perhatian oleh Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa. Ia biasa ditemui di bahagian julatnya di China, Nepal, dan Asia Tenggara.[3]

Tingkah laku dan ekologi

[sunting | sunting sumber]

Cegar berjalur membiak antara bulan Februari dan Julai; tempoh pembiakan tidak kelihatan berbeza mengikut julatnya. Ia membina sarang dengan bahan seperti briofit, daun, dan rumput. Bentuk sarangnya terangkup atau separa kubah, bergantung pada tempat ia dibina.[3] Ia selalunya mempunyai lapisan luar diperbuat daripada lumpur. Sarang tersebut boleh dibina dalam lubang di dalam tanah, di batang pokok, di antara akar pokok, di dalam rongga pokok mati, atau kekadang di dalam celah-celah batu.[4] Cegar berjalur bertelur tiga hingga empat biji yang berbeza-beza, dari putih penuh hingga putih kejambuan hingga putih kebiruan, dengan tompok-tompok gandaria atau perang kemerahan. Tompok-tompoknya lebih biasa ada pada hujung telur yang lebih besar.[4] Kedua-dua jantina mengeram telur. Spesies tersebut dianggap mempunyai dua atau tiga sangkak dalam setahun.[4]

Spesies tersebut memakan invertebrata kecil yang terdapat di dalam atau di sekeliling air, termasuklah larva dan krustasea.[4] Ia mencari makan di pinggir air, dan digambarkan sebagai "bergerak dengan gelisah". Ia mencari makan di atas dan di antara batu-batu di pinggir air serta di tengah aliran; ia sekali-sekala akan masuk ke dalam air juga.[7][3] Walaupun ia secara amnya mencari makan dengan melompat secara lincah di antara batu, ia juga membuat serbuan singkat di atas air untuk merampas bahan makanan dari permukaan.[4] Penerbangannya digambarkan sebagai serupa dengan kedidi air yang besar; pantas dan langsung, dan sedikit beralun.[4] Ia dilihat kebanyakannya di kawasan berhampiran air; biasanya bersendirian, kadangkala diperhatikan secara berpasangan, dan digambarkan sebagai burung pemalu.[7] Ia sentiasa menggoyangkan ekornya,[7] dan apabila diganggu ia boleh menaikkan dan membuka ekornya dengan pergerakan seperti gunting yang pantas.[4] Pada musim pembiakan, ia kadang-kadang dalam kumpulan keluarga kecil, manakala pada musim sejuk, ia paling kerap bersendirian. Walau bagaimanapun, kebanyakan boleh mencari makanan di bahagian aliran yang disukai: 15 ekor cegar berjalur telah diperhatikan di sepanjang satu hamparan sungai di Bhutan.[4]

Di bahagian Asia Tenggara dalam julatnya, ia bertetap, manakala di Himalaya ia diperhatikan bergerak mengikut kecerunan ketinggian.[3] Kajian pada tahun 1998 mendapati bahawa spesies tersebut bergerak secara tempatan sebagai tindakbalas kepada peningkatan paras air pada musim tengkujuh.[12]

  1. ^ BirdLife International (2016). "Enicurus schistaceus". Senarai Merah Spesies Terancam IUCN. 2016: e.T22710135A94236045. doi:10.2305/IUCN.UK.2016-3.RLTS.T22710135A94236045.en. Dicapai pada 15 November 2021.
  2. ^ Hodgson, Brian H. (1836). "Notices of the ornithology of Nepal". Asiatic Researches. 19: 143–93 [189].
  3. ^ a b c d e f g h i j k l "Slaty-backed Forktail (Enicurus schistaceus)". Handbook of the Birds of the World Alive. Barcelona, Spain: Lynx Edicions. 2017. Dicapai pada 1 September 2017.
  4. ^ a b c d e f g h i j k l m n o p q r s t u v w x Peter Clement (28 January 2016). Robins and Chats. Bloomsbury Publishing. m/s. 458. ISBN 978-1-4081-5596-7.
  5. ^ Short, Emma; George, Alex (2013). A primer of botanical Latin with vocabulary. New York: Cambridge University Press. m/s. 182. ISBN 9781107693753.
  6. ^ Moyle, Robert G.; Schilthuizen, Menno; Rahman, Mustafa A.; Sheldon, Frederick H. (2005). "Molecular phylogenetic analysis of the white-crowned forktail Enicurus leschenaulti in Borneo". Journal of Avian Biology. 36 (2): 96–101. doi:10.1111/j.0908-8857.2005.03510.x.
  7. ^ a b c d e f g Bikram Grewal; Garima Bhatia (25 April 2017). A Photographic Field Guide to the Birds of India, Pakistan, Nepal, Bhutan, Sri Lanka, and Bangladesh. Princeton University Press. m/s. 606. ISBN 978-0-691-17649-9.
  8. ^ a b Eames, Jonathan C.; Steinhiemer, Frank D.; Bansok, Ros (2002). "A collection of birds from the Cardamom Mountains, Cambodia, including a new subspecies of Arborophila cambodiana" (PDF). Forktail. 18: 67–86. Dicapai pada 4 September 2017.
  9. ^ a b c d e Richard Grimmett; Carol Inskipp; Tim Inskipp (2011). Birds of the Indian Subcontinent. Christopher Helm. m/s. 426. ISBN 978-1-4081-2763-6. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama "GrimmettInskipp2011" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  10. ^ a b Mark Brazil (2009). Birds of East Asia: China, Taiwan, Korea, Japan, and Russia. A&C Black. m/s. 424. ISBN 978-0-691-13926-5.
  11. ^ Manel, S.; Buxton, S. T.; Ormerod, S. J. (October 2000). "Testing large-scale hypotheses using surveys: the effects of land use on the habitats, invertebrates and birds of Himalayan rivers". Journal of Applied Ecology. 37 (5): 756–770. doi:10.1046/j.1365-2664.2000.00537.x.
  12. ^ Brockelman, W. Y. (1998). "Long term ecological research plot for the study of animal diets in Khao Yai National Park". The Asian Hornbills: Ecology and Conservation. Thai Studies in Biodiversity, No. 2. m/s. 307–310.