Pergi ke kandungan

Bidara

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Bidara
Terlindung
Pengelasan saintifik
Alam:
Divisi:
Kelas:
Order:
Keluarga:
Genus:
Spesies:
Z. mauritiana
Nama binomial
Ziziphus mauritiana

Bidara (Jawi: بيدارا ejaan lama بدار‎ serapan Sanskrit बदर badara) atau nama saintifiknya Ziziphus mauritiana merupakan pokok malar hijau keluarga Rhamnaceae[1] berasal dari kepulauan Malesia di Asia Tenggara[2] namun kini tersebar di kawasan-kawasan tropika dan subtropika merentasi Selatan Afrika, Timur Tengah, Subbenua India ke Australasia dan kawasan Pasifik.[3]

Buah pokok ini banyak dimanfaatkan sebagai sumber makanan mahupun untuk tujuan berubat dan kebersihan.

Peristilahan

[sunting | sunting sumber]

Pokok ini diberikana banyak nama setempat dalam rantau kepulauan Melayu termasuk:[4]

Pokok Bidara

Pokok ini jenis renek malar hijau jarang menggugurkan daun.[5] Ia membengkang-biasanya bengkok dengan ketinggian sehingga 15 meter dan gemang batang hingga 40 cm. Ia merupakan pokok yang cepat berkembang dengan jangka hayat sederhana di mana ia adakala mampu mencapai sehingga 10-40 kaki (3 hingga 12 m) tinggi. Cabang-cabang menyebar dan acap menjuntai, dengan ranting-ranting tumbuh simpang siur dan berbulu pendek. Rimbunan daunnya merebak pada dahan-dahan yang rendang banyak dilitupi duri stipular.

Daun-daunnya tumbuh tunggal tersusun berselang seli, setiap satu helainya bulat telur membujur 2–9 sm panjang dan 1.5–5 lebar[1] bertepi rata; permukaan atasnya licin menggilap kilau manakala bawahnya berbulu keputihan; ia bertangkai pendek 8–15 mm.[1][5]

Bunganya menjambak di ketiak daun seakan payung berisi 7–20 kuntum sejambak,[1] setiap kuntumnya berukuran kecil berbentuk seakan sudip, cekung dan melengkung[5] serta tampak kekuningan atau kehijauan[3] antara 2–3 mm lebar dengan sedikit bau harum yang dapat dicium.[1]

Buah bidara pada pelbagai tahap kematangan

Buah yang dihasilkan berbentuk bulat hingga bulat telur, hingga 6 cm × 4 cm pada kultivar-kultivar yang dibudidayakan, tetapi kebanyakan berukuran jauh lebih kecil pada pohon-pohon yang meliar. Buah ini berkulit halus atau kasar tipis namun liat dengan permukaan yang menggilap, ia mula-mula hijau namun bertukar kepada warna kuning kejinggaan, kemerahan, keperangan hingga kehitaman setelah masak.[3] Isinya putih rangup dengan rasa hampir masam hingga manis sehingga dibandingkan dengan epal, dalamnya ada tempurung yang beralur tak teratur, berisi 1–2 butir biji perang bentuk bujur.[3][5]

Buah Bidara - Buah segar
Nilai pemakanan per 100 g (3.5 oz)
Tenaga 24.76 kJ (5.92 kcal)
Karbohidrat 17 g
- Gula 5.4-10.5 g
- Serabut diet 0.60 g
Lemak 0.07 g
Protein 0.8 g
Air 81.6-83.0 g
Tiamina (vit. B1) 0.02-0.024 mg (-2%)
Riboflavin (vit. B2) 0.02-0.038 mg (-3%)
Niasin (vit. B3) 0.7-0.873 mg (-5%)
Kalsium 25.6 mg (3%)
Besi 0.76-1.8 mg (-13%)
Fosforus 26.8 mg (4%)
[6]
Peratusan dianggarkan
menggunakan syor A.S. untuk orang dewasa.
Sumber: USDA Nutrient Database

Dalam pemakanan

[sunting | sunting sumber]

Buahnya boleh dimakan segar apabila masak, namun ia boleh diproseskan menjadi jus atau sirap. Buah mudanya boleh dijerukkan[1] ataupun dijadikan bahan hidangan rojak.[5]

Daun bidara boleh dimasak sebagai sayur.[1] Daun-daun tua juga boleh dikumpulkan sebagai makanan ternakan.[5]

Dalam perubatan

[sunting | sunting sumber]

Kulit kayu bidara diyakini memiliki khasiat berubat cukup kuat merawat untuk penyakit lambung dan usus: masyarakat pulau Jawa, kulit kayu ini digunakan untuk mengatasi gangguan pencernaan, begitu juga dengan masyarakat semenanjung Malaysia menggunakan kulit kayu yang dihaluskan merawat sakit perut.[5]

Seduhan kulit akarnya yang dicampur dengan sedikit pucuk, pulasari, dan bawang putih diminum untuk mengatasi kencing yang nyeri dan berdarah.[4]

Dalam kebersihan

[sunting | sunting sumber]

Daun pokok bidara selalu digunakan ketika memandikan jenazah bagi para penganut Islam. Selepas menghilangkan najis dari tubuh mayat, jenazah akan dimandikan tiga kali. Mandian pertama ialah dengan air yang dicampur daun bidara. Penggunaan daun bidara itu bukan merupakan kepercayaan tradisi sebaliknya sunnah daripada Nabi Muhammad sendiri.

Daunnya juga disunatkan untuk digunakan ketika mandi wajib bagi wanita yang baru suci daripada haid. Dari ‘Aisyah Radhiyallahu ‘Anha bahawa Asma’ binti Syakal Radhiyallahu ‘Anha bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam tentang mandi haid, maka beliau bersabda (maksudnya):

“Salah seorang di antara kalian (wanita) mengambil air dan sidrahnya (daun pohon bidara) kemudian dia bersuci dan membaguskan bersucinya, kemudian dia menuangkan air di atas kepalanya lalu menggosok-gosokkannya dengan kuat sehingga air sampai pada kulit kepalanya, kemudian dia menyiramkan air ke seluruh badannya, lalu mengambil sepotong kain atau kapas yang diberi minyak wangi kasturi, kemudian dia bersuci dengannya. Maka Asma’ berkata: “Bagaimana aku bersuci dengannya?” Beliau bersabda: “Maha Suci Allah” maka ‘Aisyah berkata kepada Asma’: “Engkau mengikuti (mengusap) bekas darah (dengan kain/kapas itu).” (Hadith Riwayat Muslim)

Tujuan lain

[sunting | sunting sumber]

Kayunya yang bertekstur halus, keras, dan tahan lama boleh dijadikan barang bubutan, perkakas rumah tangga serta banyak peralatan lain.[5]

  1. ^ a b c d e f g Hean Chooi Ong (2004). Buah: khasiat makanan & ubatan. Kuala Lumpur: Utusan Publications. m/s. 34–35. ISBN 967-61-1560-6.
  2. ^ Janick, Jules; Paull, Robert E., penyunting (March 2008). The encyclopedia of fruit & nuts. Cabi Publishing. m/s. 615–619. ISBN 978-0-85199-638-7. Dicapai pada 17 Julai 2009.
  3. ^ a b c d "Ziziphus mauritiana". Pacific Island Ecosystems at Risk (PIER). 15 Januari 2008. Dicapai pada 17 Julai 2009.
  4. ^ a b Heyne, Karel (1987). "Zizyphus Jujuba Lamk.". Tumbuhan Berguna Indonesia. 3. Jakarta: Yayasan Sarana Wana Jaya. m/s. 1270.
  5. ^ a b c d e f g h A. M. Latiff (1991). "Ziziphus mauritiana Lamk.". Dalam Verheij, E.W.M.; Coronel, R.E. (penyunting). Plant Resources of South-East Asia No. 2: Edible fruits and nuts. Wageningen, Belanda: Pudoc. m/s. 310–312.
  6. ^ Morton, Julia F. (1987). "Fruits of warm climates". Miami, FL: Department of Horticulture and Landscape Architecture at Purdue University. m/s. 272–275. Dicapai pada 17 Julai 2009. |chapter= ignored (bantuan)

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]