Bahasa Yunani Moden
Bahasa Yunani Moden atau bahasa Greek Moden (Νέα Ελληνικά atau Νεοελληνική Γλώσσα) merujuk kepada jenis-jenis bahasa Yunani yang dituturkan dalam era moden. Pada hari ini, bahasa Yunani dituturkan oleh lebih kurang 15 juta orang, terutamanya di negara Yunani dan Cyprus, tetapi juga oleh komuniti-komuniti minoriti dan pendatang di banyak negara yang lain.
Dari segi sejarah, istilah "Yunani Moden" biasa difahami sebagai terdiri daripada semua jenis bahasa Yunani dalam tempoh antara kejatuhan Empayar Byzantine pada tahun 1453 sehingga hari ini. Pada sebahagian besar masa ini, bahasa Yunani wujud dalam keadaan diglosia, dengan loghat-loghat pertuturan wilayah wujud bersama-sama dengan bentuk-bentuk ilmiah bertulis kuno. Sebagai contoh, kelainan Demotik yang popular dan Katharevousa yang formal digunakan pada kebanyakan abad ke-19 dan ke-20. Pada hari ini, bahasa Yunani Moden Piawai yang berdasarkan kelainan Demotik adalah bahasa rasmi bagi kedua-dua negara Yunani dan Cyprus.