Pergi ke kandungan

Animal Farm

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Animal Farm
Umum
PengarangGeorge Orwell
NegaraUnited Kingdom
BahasaInggeris
GenreSatira
Penerbitan
Pelukis kulitChristopher Corr
PenerbitSecker dan Warburg (London)
Tarikh penerbitan
17 Ogos 1945
Jenis media
Tercetak (kuli tebal & kulit lembut)
Halaman112 halaman (edisi kulit lembut UK)
Kawalan kewibawaan
ISBNISBN Tiada Invalid ISBN

Animal Farm[1] ialah sebuah novel pendek satira (yang juga boleh dianggap sebagai suatu dongeng atau alegori) yang ditulis oleh George Orwell mengenai sekumpulan binatang yang menggulingkan manusia daripada ladang yang didiami mereka. Mereka sendiri mengendalikan ladang itu, hanya untuk melihat keadaan merosot menjadi suatu kezaliman pada dirinya. Buku ini ditulis semasa Perang Dunia II dan diterbitkan pada tahun 1945, walaupun ia tidak mencapai kejayaan sehingga akhir dekad 1950-an.

Animal Farm ialah alegori satira tentang totalitarianisme Soviet. Peristiwa-peristiwa utama dalam buku ini mendasarkan peristiwa-peristiwa Kesatuan Soviet semasa era Stalin. Orwell, penyokong sosialisme demokratik serta ahli Parti Buruh Bebas selama banyak tahun, adalah pengkritik Stalin. Beliau mengesyaki Stalinisme yang dipandu oleh Moscow selepas pengalamannya dalam Perang Saudara Sepanyol.

Templat:Spoiler

Ketika Major Tua, babi pemenang hadiah ladang itu, mengadakan mesyuarat dengan semua binatang Ladang Manor, ia memberitahu mereka bahawa ia termimpi bahawa manusia semua hilang dan binatang-binatang mempunyai kebebasan untuk hidup dalam keamanan dan keharmonian; idamannya boleh dibandingkan dengan komunisme anarki serta juga sebilangan aspek Leninisme. Major Tua membandingkan manusia dengan parasit, dan kemudian mengajar binatang-binatang menyanyi "Binatang-binatang England."

Apabila Major Tua meninggal dunia hanya tiga hari kemudian, dua ekor babi - Snowball dan Napoleon - mengambil alih kepimpinan, dan membentuk idaman Major Tua menjadi falsafah sepenuhnya. Pada suatu malam, binatang-binatang yang lapar memberontak dengan tiba-tiba dan menghalau peladang Mr. Jones, isterinya, serta burung raven kesayangan, Moses, dari ladang itu. Ladang itu kemudian dinamakan sebagai "Animal Farm".

Tujuh Hukum falsafah baru Kebinatangan ditulis pada dinding bangsal supaya semua binatang boleh membaca. Hukum yang ketujuh dan yang paling penting ialah "semua binatang adalah sama." Semua binatang bekerja, tetapi kuda Boxer melakukan kerja yang lebih daripada bahagiannya dan mengamalkan kata pepatah sendiri, iaitu "Aku akan bekerja lebih banyak."

Animal Farm bermula dengan licin: Snowball mengajar binatang-binatang lain membaca dan menulis (walaupun tidak banyak binatang pandai belajar membaca), makanan banyak disebabkan tuaian yang baik, dan seluruh ladang itu dikendalikan dengan licin. Sementara itu, Napoleon memisahkan anak-anak anjing daripada ibu bapa mereka dan melatih mereka itu secara rahsia. Ketika Mr. Jones cuba mengambil alih penguasaan ladang itu, semua binatang menewaskannya dalam apa yang kemudian dikenali sebagai "Perang Kandang Lembu". Bagaimanapun, Napoleon dan Snowball memulakan perebutan kuasa untuk memimpin ladang. Apabila Snowball mengumumkan ideanya tentang pembinaan sebuah kincir angin, Napoleon menentangnya dengan pantas. Sebuah mesyuarat diadakan, dan apabila Snowball memberi ucapan yang fasih dan penuh semangat untuk menyokong pembinaan kincir angin, Napoleon menempelaknya dengan ringkas dan kemudian membuat bunyi yang aneh. Sembilan ekor anjing serang muncul dengan tiba-tiba dan menghalau Snowball dari ladang itu. Dengan tiadanya Snowball, Napoleon mengisytiharkan diri sebagai ketua ladang dan membuat perubahan-perubahan dengan serta merta. Ia mengumumkan bahawa mesyuarat-mesyuarat tidak akan diadakan lagi dan sebuah jawatankuasa yang terdiri hanya daripada babi-babi akan ditubuhkan untuk memutuskan apa yang akan berlaku di dalam ladang mereka.

Napoleon mengubah fikirannya tentang kincir angin, dan mendakwa (melalui Squealer, jurucakap Napoleon) bahawa Snowball mencuri ideanya. Binatang-binatang ladang itu turut membina kincir angin. Selepas suatu ribut yang teruk, binatang-binatang itu bangun dari tidur untuk mendapati bahawa hasil kerja mereka selama berbulan-bulan telah dimusnahkan. Walaupun peladang-peladang berjiran mencemuh dinding-dinding yang terlalu nipis, Napoleon dan Squealer meyakinkan semua binatang bahawa Snowball-lah yang memusnahkannya. Hanya selepas Snowball dipersalahkan bahawa Napoleon memulakan penyingkiran ladang dan membunuh banyak binatang yang dituduhnya bersubahat dengan Snowball. Sementara itu, Boxer mengamalkan manteranya yang kedua, "Napoleon selalu betul."

Napoleon mula menyalahgunakan kuasanya dengan lebih dasyhat, dan kehidupan di dalam ladang menjadi semakin sukar bagi binatang-binatang yang lain; babi-babi mengenakan lebih banyak kawalan pada mereka semasa memperuntukkan hak istimewa kepada diri sendiri. Babi-babi itu menuliskan semula sejarah supaya mempersalahkan Snowball dan memuliakan Napoleon dengan lebih lanjut. Setiap langkah perkembangan ini diberikan justifikasi oleh babi Squealer yang beberapa kali mengubah Tujuh Hukum pada dinding bangsal dalam kesepian malam — umpamanya, "Binatang tidak boleh minum arak" menjadi "Binatang tidak boleh terlalu minum arak". Lagu "Binatang-binatang England" diharamkan kerana dianggap tidak sesuai atas sebab bahawa idaman Animal Farm telah dicapai, dan digantikan dengan lagu kebangsaan yang memuliakan Napoleon. Napoleon kini mengamalkan gaya hidup yang lebih seakan-akan manusia. Walaupun binatang-binatang sejuk, lapar dan bekerja terlalu kuat, mereka masih mempercayai bahawa mereka adalah dalam keadaan yang lebih baik, berbanding dengan keadaan semasa ladang itu dikuasai oleh Mr. Jones, bekas pemilik Ladang Manor.

Mr. Frederick, salah satu daripada dua orang jiran peladang, menipu Napoleon dengan membeli kayu balak Animal Farm dengan wang palsu, dan kemudian menyerang ladang itu dengan menggunakan serbuk letupan untuk meletup kincir angin yang dibaik pulih. Walaupun binatang-binatang di Animal Farm akhirnya menang dalam pertempuran, mereka hanya mencapai kemenangan pirik, dengan banyak binatang tercedera, termasuk Boxer. Walaupun demikian, Boxer meneruskan usahanya dan bekerja dengan lebih teruk sehingga akhirnya, ia pengsan semasa membina kincir angin itu. Napoleon mengatakan bahawa ia akan menghantar Boxer ke doktor haiwan, tetapi apabila Boxer naik van dan van itu bertolak, binatang-binatang itu terbaca apa yang tertulis pada tepi van itu: "Alfred Simmonds, Penyembelihan Kuda dan Perebus Perekat." Dengan cepatnya, Squealer melaporkan bahawa van dengan tulisan yang lama itu telah dibeli oleh hospital dan kemudian melaporkan bahawa Boxer telah mati di hospital walaupun diberikan rawatan perubatan yang terbaik. Sebenarnya, Boxer telah dijual supaya babi-babi boleh mendapat lebih banyak wang untuk membeli wiski.

Banyak tahun berlangsung, dan babi-babi itu belajar berjalan dengan tegak serta mengambil cemeti, dan memakai pakaian. Tujuh Hukum telah dikurangkan menjadi satu frasa tunggal: "Semua Haiwan Adalah Sama, Tetapi Sebilangan Binatang Adalah Lebih Sama Daripada Yang Lain." Napoleon mengadakan majlis makan malam untuk babi-babi. Orang-orang di Ladang Foxwood (dikendalikan oleh Mr. Pilkington) yang bersebelahan mengucapkan taniah kepada Napoleon kerana memiliki binatang-binatang yang paling rajin di negara walaupun diberi makanan yang paling sedikit. Napoleon mengumumkan perikatannya dengan manusia untuk menentang kelas-kelas pekerja dari kedua-dua "dunia".

Binatang-binatang mendapat tahu tentang perkara ini apabila mereka terdengar perbualan-perbualan Napoleon dan akhirnya menyedari bahawa babi-babi pemerintah telah mengubahkan sikap mereka. Dalam sebuah permainan pakau, satu pertikaian tercetus antara Napoleon dengan Mr. Pilkington ketika kedua-dua mereka bermain Daun Sat Sped. Dengan tiba-tiba, binatang-binatang itu menyedari bahawa mereka kini tidak dapat membezakan lagi antara babi dengan manusia.

  1. ^ Negara-negara Nusantara menggunakan banyak tajuk berbeza untuk terjemahan mereka, misalnya: Maka, nama asal karya dalam bahasa Inggeris digunakan untuk tajuk halaman ini.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]