Pergi ke kandungan

Alih suara

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Dalam bidang perfileman, alih suara atau sulih suara[nota bahasa 1] (bahasa Inggeris: dubbing atau looping) ialah proses merakam atau menggantikan suara bagi sesuatu hasil gambar wayang atau animasi dalam bentuk visual video. Istilah ini paling kerap digunakan untuk merujuk kepada suara-suara bukan milik pelakon asal dan bertutur dalam bahasa yang berlainan dengan pelakon asal itu. "Alih suara" juga boleh merujuk kepada proses merakam semula patah-patah dialog oleh pelakon asal yang menyebutnya. Proses ini secara teknikal dikenali sebagai penggantian dialog berautomasi (automated dialogue replacement, ADR). Dalam erti kata lain, alih suara digunakan dalam proses pembuatan filem ketika zaman 40an hingga 90an bagi beberapa filem atau cerita episod bersiri untuk memperjelaskan dialog lakonan watak kerana rakaman hanya dibuat berdasarkan mikrofon. Ia bermakna, filem ditapis dengan audio baharu serta suara yang dilakonkan

Secara amnya, alih suara dilakukan terhadap produksi aksi langsung atau animasi (baik yang Barat mahupun yang Jepun) antarabangsa untuk menukarkan bahasa asal yang dituturkan kepada suatu bahasa tempatan bagi memudahkan penonton memahami jalan cerita bahan tersebut. Di sesetengah negara, ada juga pelakon alih suara atau pengalih suara yang ditetapkan untuk menerjemahkan penuturan watak-watak dibawa pelakon tertentu seperti di benua Eropah termasuk Perancis dan Jerman, Jepun (melalui seiyuu) dan malah sejauh Amerika Selatan. Filem-filem yang dialih ini turut diberi keutamaan tayangan di panggung wayang sepertimana filem yang dikekalkan bahasa asal ia; perkara ini lazim di pasaran-pasaran disebut.

Alih suara dimulakan dengan penterjemahan skrip bahasa asal terlebih dahulu bagi menghasilkan bahan asas bagi sesebuah episod atau filem yang ingin dimasukkan suara baharu. Dialog disemak dan ditulis semula berulang kali agar tidak lari dari makna dan penyegerakan (sync) dari gerak mulut bibir dan tuturan audio watak. Penulis perlu memastikan agar skrip yang ditulis dengan tatabahasa yang tepat dan ejaan yang benar.

Proses alih suara dilakukan di dalam studio yang kedap bunyi dan mampu disunyikan daripada sebarang gangguan luar. Dalam proses rakaman, terdapat dua studio berbeza yang terlibat:

  • studio A tempat dimana juruteknik rakaman menguruskan audio
  • studio B tempat pelakon suara merakam suara.

Proses ini juga memakan masa kerana alih suara memerlukan tenaga yang banyak menyegerakkan dan menghasilkan suara mengikut ekspresi watak - setiap dialog yang panjangnya 50 ayat atau lebih mungkin dikira mengambil 1 minit dalam suatu sesi rakaman. Berlaku juga kesalahan sebutan atau tersasul yang menjadikan pelakon suara terpaksa mengulang kembali dialog.

Penggantian dialog berautomasi

[sunting | sunting sumber]

Penggantian dialog berautomasi (automated dialogue replacement, ADR), juga dipanggil post-sync atau looping ialah proses merakam semula dialog asal selepas penggambaran dengan tujuan menghasilkan runut bunyi yang lebih jelas.[3]

Dalam kerja penerbitan filem biasa, seorang pengadun bunyi penerbitan merakam dialog ketika penggambaran. Melainkan penggambaran diadakan di pentas bunyi, rakaman bunyi amat mudah terjejas oleh kebisingan dari set, lalu lintas, angin, dan seluruh suasana persekitaran, maka terjadinya hasil rakaman bunyi yang tidak boleh dipakai. Oleh itu, ketika proses pascapenerbitan, seorang penyelia suntingan bunyi atau penyelia ADR menyemak segala dialog dalam filem lalu memutuskan rangkap-rangkap dialog mana yang perlu diganti.

ADR juga digunakan untuk menukarkan rangkap-rangkap yang dirakam terdahulu untuk memperjelaskan konteks, atau menambah baik gaya sebutan dan ketepatan masa perbualan pelakon.

Bagi karya animasi seperti imejan janaan komputer (CGI) atau kartun animasi, dialognya dirakam ke dalam rancangan sebelum disunting. Biarpun semua suara watak-watak dirakam dalam studio, namun ADR diperlukan seandainya bukan semua pengalih suaranya boleh hadir sekaligus pada satu masa.

ADR dirakam dalam sesi ADR yang berlangsung dalam studio bunyi khusus. Pelakon, iaitu biasanya pelakon asal dari set penggambaran, ditunjukkan babak yang perlu dirakam semula bunyinya, lalu cuba melakonkan semula dialognya setepat-tepatnya. Pelakon itu harus mengulangi rangkap-rangkap terbabit berkali-kali sambil memerhati babaknya (maka namanya proses looping), sehingga ambilan mana yang paling sesuai akan diadunkan dalam hasil akhir babak itu.

Kadang-kala, diambilnya pelakon yang berlainan dari pelakon asal dari set. Contohnya, watak siri filem Star Wars Darth Vader yang dilakonkan oleh David Prowse (trilogi asal), diikuti Hayden Christensen (Revenge of the Sith), tetapi disuarakan oleh James Earl Jones dalam proses pascapenerbitan.

ADR juga digunakan untuk melakabkan semula nyanyian. Teknik ini digunakan oleh, antara lainnya, Billy Boyd dan Viggo Mortensen dalam filem Lord of the Rings.[perlu rujukan]

ADR juga mengalami perubahan dalam prosesnya. Tidak semstinya ADR dilakukan dalam studio pascapenerbitan, bahkan juga boleh dirakam di lokasi penggambaran dengan kelengkapan mobil. ADR juga boleh dirakam tanpa perlunya pelakon menonton babak yang perlu dirakam semula, sebaliknya hanya mendengar dialognya.

Pembubuhan atau penggantian bunyi bukan suara seperti kesan bunyi, ditugaskan kepada artis folei.

Rythmo band

[sunting | sunting sumber]

Terdapat satu kaedah alih suara alternatif yang dipanggil rythmo band (Perancis: bande rythmographique / bande rythmo) yang sinonim dengan amalan alih suara di Perancis tetapi juga diamalkan di Kanada dan Belgium. Ini memberikan panduan yang lebih persisi bagi pelakon, pengarah dan juruteknik malah juga boleh digandingkan dengan kaedah ADR tradisional. Pada mulanya "band" ini merupakan basi filem 35 mm jernih yang tertulis dengan dakwat dialog dan juga kiu-kiu lain bagi pelakon suara termasuk ketawa, tangisan, panjang suku kata, bunyi mulut, hembusan, dan buka tutup mulut. Rythmo band dipancarkan di studio dan menatal seiring dengan filem gambar.

Penggunaan studio lebih cekap masa kerana dengan bantuan teks tatal, gambar dan kiu audio, pelakon dapat membaca dengan kadar yang lebih cepat daripada ADR biasa (gambar dan audio sahaja). Dengan ADR, pelakon membaca 10–12 baris sejam, sementara rythmo band boleh membantu pembacaan sebanyak 35-50 baris sejam.[4]

Dahulu, penyediaan rythmo band menelan banyak masa dan memerlukan kepakaran, maka kaedah ini tidak diamalkan secara meluas. Namun demikian, perisian meniru kaedah ini dan oleh itu mengatasi kekurangan proses rythmo band yang dahulu serta mengurangkan masa yang diperlukan untuk mempersiapkan sesi alih suara.

Kelaziman

[sunting | sunting sumber]

Di Malaysia

[sunting | sunting sumber]

Ahli suara di Malaysia tidak terlalu terkenal kerana majoriti penonton lebih gemar menonton versi asalnya, terutamanya jika diimport dari negara berbahasa Inggeris. Namun begitu, terdapat banyak bahan yang dialih suarakan dalam bahasa Inggeris seperti kartun dari jepun iaitu Anime dan Telenovela dari Filipina. Selain itu, penonton lebih cenderung untuk membaca sari kata berbanding versi bahasa tempatan kerana ingin belajar bahasa luar atau tidak biasa dengan bahasa baku tempatan yang dialih suarakan.

Di Malaysia, alih suara kerap berlaku dalam siaran berbayar (termasuk Disney Channel, Disney XD, Cartoon Network dan Nickelodeon) mahupun siaran percuma (termasuk, TV3, TV7 dan TV9. Kini, terdapat 4 bahasa yang disediakan bagi siaran Disney Channel, Cartoon Network dan Nickelodeon iaitu Inggeris, Bahasa Malaysia, Mandarin dan Tamil. Terdapat juga bahasa tambahan jika penonton ingin audio asal seperti bahasa Jepun yang dapat dikaitkan dengan filem My Neighbor Totoro dan Spirited Away. Pada bahagian rancangan aksi langsung pula, ia berlaku di saluran televisyen seperti FOX, FOX Movies Premium, HBO, AXN, Discovery Channel, dan Nat Geo Wild sebagai alternatif bagi mereka yang tidak boleh membaca sari kata (kecuali FOX dan Nat Geo Wild, alih suara digunakan sepenuhnya tanpa pilihan sari kata). Animasi keluaran Jepun juga dialih suarakan di saluran Animax versi bahasa Melayu dan Inggeris tetapi tidak semua siri animasi yang dialih suarakan dan hanya membekalkan sari kata dwipilihan. Akhir sekali, alih suara bagi drama. Alih suara drama terbahagi kepada drama Parsi, Filipino dan Korea. Dahulu, Pangako Sayo iaitu drama dari filipina pernah ditayangkan versi bahasa Melayu disiaran Astro Maya dan beberapa siri drama filipina yang lain. Astro Prima pula menayangkan siri episod dari Parsi dan Turki yang menceritakan tentang empayar dan kerajaan yang ditakhluk oleh Raja dan Maharani yang dialih bahasakan dalam bahasa Melayu. Akhir sekali, terdapat filem dan juga drama korea yang dialih bahasakan kepada bahasa Melayu dan mandarin tempatan. Antara siarannya adalah Oh!K HD, One HD dan KBS World HD. Terdapat juga beberapa siaran dalam Malaysia yang dialih suarakan tetapi kurang popular. Kebanyakkan animasi Disney Channel, Cartoon Network dan Nickelodeon menyanyikan lagu tema dan setiap lagu dalam animasi.

Dari segi sejarah, alih suara mula diceburi Malaysia sejak tahun 1930an iaitu filem Snow White dimana rekod audio telah hilang dan tidak dijumpai. Akan tetapi, filem Tarzan memperkenalkan dunia alih suara kepada Malaysia dan diikuti filem seperti Frozen serta beberapa filem disney yang dialih suarakan versi bahasa Melayu. Pada tahun 2019, Malaysia mengambil peluang untuk alih suara Aladdin versi bahasa Melayu yang dilakonkan oleh Shila Amzah dan Nabil Zamanhuri serta beberapa pengalih suara yang lain.

Terdapat beberapa studio alih suara yang merakamkan audio dari siaran Astro, Disney dan animasi seperti SDI Media Malaysia, Dubbers Inc Malaysia, i-Yuno Malaysia dan Dermaga Seni.

Di Malaysia juga, masyarakat gemar membuat "dubbing" yang menjadikan video kelakar kerana terjemahan yang berbeza dan menghasilkan gelak tawa. Ia sangat popular di Youtube dan Instagram.

Di Indonesia

[sunting | sunting sumber]

Di Indonesia, proses "sulih suara" ini hanya berlaku untuk acara tayangan di televisyen, khususnya pada filem sesuai untuk tontonan keluarga dan semua jenis filem yang tidak menggunakan Bahasa Inggris dan bahasa-bahasa daerah Indonesia (seperti bahasa Jawa) sebagai bahasa utamanya. TV nasional tidak akan menayangkan filem atau program versi sulih suara Indonesia pada acara realiti dan filem-filem dewasa yang berbahasa Inggeris (sebaliknya menyediakan sari kata atau subtitel), tetapi saluran TV kabel seperti HBO, Fox Family Movies, Cartoon Network, Disney Channel, Discovery, TLC dan Disney Junior akan menyediakan pilihan bahasa pada program tayangannya dalam bahasa asli program atau bahasa yang sudah disulih suarakan.

Undang-undang ditetapkan Komisi Penyiaran Indonesia yang bertanggungjawab mengawal siaran-siaran media serata negara ini menyatakan kewajiban seluruh program siaran asing (baik Film non-Inggris, berita bahasa Asing maupun serial drama Asia atau Timur Tengah) menyampaikan bahasa baku Indonesia secara lisan "disulihkan" dan tertulis "agar dapat dipahami" dan menjadikan Bahasa Indonesia sebagai bahasa persatuan dan bahasa resmi di Asia khususnya Indonesia, itulah kewajiban bagi setiap program siaran Radio mahupun Televisyen.

  1. ^ Alih bahasa lazim dipakai bahasa-bahasa baku Malaysia dan Brunei. Sulih bahasa pula khusus dipakai di Indonesia[1] - ia mengambil perkataan bahasa Jawa "sulih" yang bermaksud "mengganti".[2]
  1. ^ "dub - Istilah MABBIM". Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka.
  2. ^ "sulih". Kamus Dewan (ed. ke-4). Dewan Bahasa dan Pustaka. 2017 – melalui Pusat Rujukan Persuratan Melayu.
  3. ^ Masters, Kim (2008-01-31). "The Dark Knight Without Heath Ledger:How will Warner Bros. sell a summer blockbuster marked by tragedy?". Slate.
  4. ^ Quizlet (2012). "U of U Sound Final". Quizlet. Quizlet LLC. Dicapai pada 30 July 2012.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]