Pergi ke kandungan

Akhaia (Homeros)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Orang Akhaia (Bahasa Yunani Kuno: Ἀχαιοί, Akhaioí, "orang Akhaia" atau "dari Akhaia"; bahasa Inggeris: Achaeans) ialah salah satu nama yang Homeros gunakan untuk merujuk kepada orang-orang di seluruh dunia Yunani.

Kata adjektif "Akhaia" atau "Achaean" dipercayai berkaitan dengan Ahhiyawa dalam bahasa Het dan Ekwesh dalam bahasa Mesir yang muncul dalam teks-teks dari Zaman Gangsa Lewat dan dipercayai merujuk kepada tamadun Mykenai atau sebahagiannya.

Pada zamannya, kata adjektif ini berhenti digunakan untuk merujuk kepada orang Yunani, dan secara amnya dikhaskan untuk penduduk wilayah Akhaia, sebuah wilayah di bahagian utara tengah Peloponnesos. Negara-negara kota di wilayah ini kemudiannya membentuk sebuah konfederasi yang dikenali sebagai Liga Akhaia, yang sangat berpengaruh pada abad ke-3 dan ke-2 SM.

Etimologi

[sunting | sunting sumber]

Menurut Margalit Finkelberg[1] nama Ἀχαιοί (sebelum itu Ἀχαιϝοί) mungkin kata terbitan, melalui bentuk perantaraan *Ἀχαϝyοί, daripada suatu bentuk Yunani yang lebih tua[2] yang dicerminkan dalam bentuk Aḫḫiyawā dalam bahasa Het; Aḫḫiyawā dibuktikan kewujudannya dalam arkib-arkib Het, mis. dalam surat Tawagalawa. Namun, Robert S. P. Beekes meragui kesahihannya dan mencadangkan *Akaywa- dari bahasa Pra-Yunani.[3]

Homeros berbanding kemudian

[sunting | sunting sumber]

Dalam Homeros, "orang Akhaia" ialah salah satu frasa yang utamanya digunakan untuk merujuk kepada semua bangsa Yunani. Ia digunakan 598 kali dalam Iliad, selalunya disertai dengan gelaran "berambut panjang". Nama lain yang lazim digunakan dalam Homeros ialah orang Dana (Δαναοί Danaoi; bahasa Inggeris: Danaans; digunakan 138 kali dalam Iliad) dan Argei (Ἀργεῖοι Argeioi; bahasa Inggeris: Argives; digunakan 182 kali dalam Iliad), manakala Panhellenes (Πανέλληνες Panhellenes, "Semua orang Yunani") dan Hellenes (Ἕλληνες Hellenes) kedua-duanya muncul hanya sekali.[4] Keempat-empat kata nama yang disebutkan tadi digunakan sebagai kata seerti untuk merujuk kepada identiti Yunani yang satu.[5][6] Dalam sesetengah terjemahan Iliad, orang Akhaia dipanggil orang Yunani sahaja terus.

Kemudian, pada zaman Arkaik dan Klasik, "orang Akhaia" merujuk kepada penduduk wilayah Akhaia yang jauh lebih kecil. Herodotus mengaitkan orang Akhaia di utara Peloponnesos sebagai keturunan orang Akhaia dahulu yang disebutkan oleh Homeros. Menurut Pausanias, menulis pada abad ke-2 TM, "orang Akhaia" asalnya diberikan kepada orang Yunani yang mendiami Argolis dan Laconia.[7]

Pausanias dan Herodotus berdua menceritakan legenda tentang orang Akhaia telah diusir dari tanah air mereka oleh orang Doria, semasa orang Doria menceroboh Peloponnesos seperti dalam legenda. Mereka kemudian berpindah ke wilayah yang kemudiannya dipanggil Akhaia.

Ahli sarjana masih belum bersepakat tentang asal usul orang Akhaia dalam sejarah berbanding dengan orang Akhaia dalam cerita-cerita Homeros. Sesetengah memfokuskan ciri-ciri fizikal, seperti makalah John A. Scott tentang warna rambut perang orang Akhaia dibandingkan dengan rambut gelap Poseidon "Mediterranean",[8] untuk menentukannya tetapi ini telah ditolak oleh yang lain. Yang lain pula percaya "orang Akhaia", menerusi fahaman Homeros, ialah "satu nama tanpa negeri", sebuah etnos yang dicipta dalam tradisi epik.[9] Pendapat ini mempunyai penyokong di kalangan mereka yang menyimpulkan "orang Akhaia" telah ditakrifkan semula pada abad ke-5 SM sebagai penutur bahasa Yunani Aeolia pada zaman itu.

Karl Beloch mencadangkan tidak ada pencerobohan oleh orang Doria, tetapi sebaliknya orang Doria Peloponnesoslah orang Akhaia.[10] Eduard Meyer, yang tidak bersetuju dengan Beloch, sebaliknya mengemukakan cadangan bahawa orang Akhaia yang sebenar adalah orang Yunani pra-Doria dari tanah besar.[11] Beliau menyimpulkannya berdasarkan penyelidikannya tentang persamaan antara bahasa orang Akhaia dan Arkadia prasejarah. William Prentice tidak bersetuju dengan kedua-duanya, menyatakan bukti arkeologi menunjukkan orang Akhaia sebaliknya berhijrah dari "selatan Asia Kecil ke Yunani, mungkin menetap dahulu di hilir Thessaly" mungkin sebelum 2000 SM.[12]

Dokumen Het

[sunting | sunting sumber]
Peta menunjukkan Empayar Het, Ahhiyawa (orang Akhaia) dan Wilusa (Troia) pada s.1300 SM.

Beberapa teks Het menyebut tentang sebuah bangsa di sebelah barat yang dipanggil Ahhiyawa (Hittite: 𒄴𒄭𒅀𒉿, rumi: Aḫḫiyawa).[13] Dalam rujukan terawal mengenai tanah ini, ia disebut sebagai Ahhiya dalam surat yang menggariskan pelanggaran perjanjian oleh Madduwatta, sebuah negeri lindungan Het.[14] Contoh penting lain ialah Surat Tawagalawa yang ditulis oleh seorang raja Het yang tidak dinamakan (kemungkinan besar Hattusili III) dari zaman empayar (abad ke-14–13 SM) kepada raja Ahhiyawa, memperlakukannya sebagai setara dan menunjukkan bahawa Miletus (Millawanda) berada di bawah kawalannya.[15] Surat itu juga merujuk kepada "episod Wilusa" terdahulu yang melibatkan permusuhan daripada pihak Ahhiyawa. Ahhiya(wa) telah dipadankan dengan orang Akhaia daripada Perang Troia, dan bandar Wilusa dipadankan dengan bandar Troia dalam legenda (perhatikan persamaan dengan perkataan Yunani awal Ϝιλιον Wilion, kemudian Ἴλιον Ilion, nama akropolis Troia).

Emil Forrer, seorang ahli Hititologi dari Switzerland yang mengusahakan batu bersurat Boghazköy di Berlin, menyatakan bahawa orang Akhaia dari Yunani pra-Homerik ada hubungan dengan "Negeri Ahhiyawa" yang disebut dalam teks-teks Het.[16] Kesimpulan beliau pada masa itu dipertikaikan oleh ahli Hittitologi lain (seperti Johannes Friedrich pada tahun 1927 dan Albrecht Götze pada tahun 1930), termasuk Ferdinand Sommer, yang menerbitkan Die Ahhijava-Urkunden (Dokumen Ahhiyawa) pada tahun 1932.[16] Hubungan sebenar antara perkataan Ahhiyawa dan orang Akhaia, selain persamaan sebutan, telah menjadi perdebatan sengit dalam kalangan sarjana, walaupun selepas penemuan bahawa tulisan Linear B Mykenai ialah bentuk awal bahasa Yunani. Perdebatan awal ini diringkaskan pada tahun 1984 oleh Hans G. Güterbock dari Oriental Institute.[17] Penyelidikan lebih terkini berdasarkan bacaan dan tafsiran baru teks-teks Het, serta bukti material tentang hubungan Mykenai dengan tanah besar Anatolia, menyimpulkan bahawa Ahhiyawa merujuk kepada dunia Mykenai, tidak pun sebahagiannya.[18]

Kajian sehingga tahun 2011 telah ditinjau oleh Gary M. Beckman dan lain-lain. Dalam tinjauan ini, semakin ramai yang menerima hipotesis Ahhiyawa-Mykenai. Berkenaan lokasi tepat Ahhiyawa:[19]

"Kini nampaknya paling munasabah untuk memadankan Ahhiyawa terutamanya dengan tanah besar Yunani, walaupun dalam beberapa konteks perkataan "Ahhiyawa: mungkin ada konotasi yang lebih luas, barang kali merangkumi semua wilayah yang dihuni oleh orang Mykenai atau berada di bawah kawalan Mykenai."

Malahan, para pengarang menyatakan bahawa "kini hampir tiada keraguan bahawa Ahhiyawa ialah rujukan orang Het bagi sebahagian atau keseluruhan dunia Mykenai Zaman Gangsa," dan Forrer "sebahagian besarnya betul rupanya."[19]

Sumber Mesir

[sunting | sunting sumber]
Peta kawasan budaya Mykenai, 1400–1100 SM (tapak digali bertitik merah).

Ekwesh dalam rekod-rekod Mesir telah dicadangkan mungkin berkait dengan Akhaia (berbanding dengan Ahhiyawa Het), manakala kaum Denyen dan Tanaju mungkin berkaitan dengan Danaoi Yunani Klasik.[20] Rujukan tekstual terawal kepada dunia Mykenai adalah dalam Catatan Sejarah Thutmosis III (s. 1479–1425 SM), yang merujuk kepada utusan-utusan daripada raja kaum Tanaju, s. 1437 SM, menawarkan hadiah salam kepada raja Mesir, untuk memulakan hubungan diplomatik, ketika raja Mesir itu berkempen di Syria.[20] Tanaju juga disenaraikan dalam inskripsi di Kuil Mayat Amenhotep III. Amenhotep III memerintah Mesir s. 1382–1344 SM. Selain itu, senarai bandar dan wilayah Tanaju juga disebut dalam inskripsi ini; antara bandar yang disenaraikan ialah Mykenai, Nauplion, Kythera, Messenia dan Thebaid (wilayah Thebes).[20]

Semasa tahun ke-5 Firaun Merneptah, konfederasi rakyat Libya dan kaum-kaum utara sepatutnya menyerang delta barat. Antara nama-nama etnik penceroboh yang diundurkan ialah Ekwesh atau Eqwesh, yang sesetengah menganggapnya sebagai orang Akhaia, namun teks-teks Mesir secara khusus menyuruh orang Ekwesh ini untuk dikhatan. Homeros menyebut tentang serangan Akhaia ke atas delta tersebut, dan Menelaus bercakap tentang perkara yang sama dalam Buku IV Odysseia kepada Telemachus sewaktu dia menceritakan kepulangannya dari Perang Troia. Beberapa pengarang Yunani kuno juga mengatakan bahawa Helen telah menghabiskan waktunya di Mesir semasa Perang Troia, bukan di Troia, dan selepas Troia orang Yunani pergi ke sana untuk mendapatkan Helen semula.[21]

Mitologi Yunani

[sunting | sunting sumber]

Dalam mitologi Yunani, orang Hellen dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan yang berbeza mengikut keluarga mereka. Setiap kumpulan menjejak sejarah keluarga mereka kepada moyang yang menjadi nama bangsa mereka. Setiap etnik Yunani dikatakan dinamakan sempena nenek moyang masing-masing: Akhaios untuk bangsa Akhaia, Danaos untuk bangsa Danai, Kadmos untuk bangsa Kadmia (orang Thebai), Hellen untuk bangsa Hellenes (tidak sama dengan Helen dari Troia), Aiolos untuk bangsa Aeolia, Ion untuk bangsa Ionia, dan Doros untuk bangsa Doria.

Kadmos dari Phoenicia, Danaos dari Mesir, dan Pelops dari Anatolia masing-masing bertapak di tanah besar Yunani dan diasimilasikan dan di-Hellenkan. Hellen, Graikos, Magnes dan Makedon ialah anak-anak Deucalion dan Pyrrha, satu-satunya orang yang terselamat daripada Banjir Besar;[22] etnik mereka asalnya dinamakan Graikoi sempena nama anak sulung tetapi kemudiannya dinamakan Hellenes sempena Hellen yang terbukti paling kuat.[23] Anak-anak Hellen dan si nimfa Orseis ialah Doros, Xouthos, dan Aiolos.[24] Anak lelaki Xouthos dan Kreousa, anak perempuan Erechthea, ialah Ion dan Akhaios.[24]

Menurut Hyginus, 22 orang Akhaia membunuh 362 orang Troia selama sepuluh tahun mereka di Troia.[25][26]

  1. ^ Margalit Finkelberg, "From Ahhiyawa to Ἀχαιοί", Glotta 66 (1988): 127–134.
  2. ^ Menurut Finkelberg, terbitan ini tidak memerlukan asal usul perkataan Yunani dan Indo-Eropah yang muktamad: "Memang, kesimpulan ini tidak dapat memberikan bukti konklusif bahawa Ahhiyawa ialah perkataan Yunani, lebih-lebih lagi kerana etimologi perkataan ini mahupun kata serumpunnya tidak diketahui oleh kita".
  3. ^ R. S. P. Beekes, Etymological Dictionary of Greek, Brill, 2009, p. 181.
  4. ^ Lihat Iliad, II.2.530 untuk "Panhellenes" dan Iliad II.2.653 untuk "Hellenes".
  5. ^ Cartledge 2011, Bab 4: Argos, hlm. 23: "Zaman Gangsa Lewat di Yunani juga dipanggil secara konvensionalnya 'Mycenaean', seperti yang kita lihat dalam bab terakhir. Tetapi ia mungkin pada dasarnya telah dipanggil 'Argive', 'Achaean', atau 'Danaan', kerana tiga nama itu yang Homer berikan untuk orang Yunani secara kolektif ialah 'Argives', 'Achaeans', dan 'Danaans'."
  6. ^ Nagy 2014, Teks dan Ulasan – Pengenalan #2: "Panhellenisme ialah penyebut yang paling tidak lazim bagi tamadun Yunani kuno... Idea Panhellenisme sudah pun hadir dalam puisi Homeros dan Hesiodos. Dalam Iliad, nama "Achaeans" dan "Danaans" dan "Argives" digunakan secara sinonim dalam erti kata Panhellenes = "semua Hellenes" = "semua orang Yunani.""
  7. ^ Pausanias. Description of Greece, VII.1.
  8. ^ Scott 1925, halaman 366–367.
  9. ^ Seperti yang dinyatakan oleh William K. Prentice yang telah lama meragui etnik Akhaia yang tulen pada masa lalu, pada permulaan makalah beliau "The Achaeans" (lihat Prentice 1929, halaman 206).
  10. ^ Beloch 1893, Jilid I, ms 88 (Nota #1) dan 92.
  11. ^ Meyer 1884–1902, Volume II, Part 1: Die Zeit der ägyptischen Großmacht – V. Das griechische Festland und die mykenische Kultur.
  12. ^ Prentice 1929, halaman 206–218.
  13. ^ Huxley 1960, halaman 22; Güterbock 1983, halaman 133–138; Mellink 1983, halaman 138–141.
  14. ^ Translation of the Sins of Madduwatta Diarkibkan Februari 28, 2007, di Wayback Machine
  15. ^ Translation of the Tawagalawa Letter Diarkibkan 2013-10-21 di Wayback Machine
  16. ^ a b Güterbock 1984, halaman 114.
  17. ^ Güterbock 1984, halaman 114–122.
  18. ^ Windle 2004, halaman 121–122; Bryce 1999, halaman 60.
  19. ^ a b The Ahhiyawa Texts. Editors: Gary M. Beckman, Trevor Bryce, Eric H. Cline; Society of Biblical Literature, 2011; ISBN 158983268X
  20. ^ a b c Kelder 2010, halaman 125–126.
  21. ^ For example, in Euripides, Stesichorus, and Herodotus; HELEN wsu.edu
  22. ^ Hesiod. Catalogue of Women, Fragments.
  23. ^ Aristotle. Meteorologica, I.14.
  24. ^ a b Pseudo-Apollodorus. Bibliotheca, I.7.3.
  25. ^ Hyginus. Fabulae, 114.
  26. ^ Khususnya: Achilles 72, Antilochus 2, Protesilaus 4, Peneleos 2, Eurypylus 1, Ajax 14, Thoas 2, Leitus 20, Thrasymedes 2, Agamemnon 16, Diomedes 18, Menelaus 8, Philoctetes 3, Meriones 7, Odysseus 12, Idomeneus 13, Leonteus 5, Ajax 28, Patroclus 54, Polypoetes 1, Teucer 30, Neoptolemus 6; jumlahnya 362 orang Troia.

Bibliografi

[sunting | sunting sumber]
  • Beekes, Roberts Stephen Paul (2010). Etymological Dictionary of Greek: The Pre-Greek Loanwords in Greek. Leiden: Brill. ISBN 9789004174184.
  • Beloch, Karl Julius (1893). Griechische Geschichte (Volume I). Strassburg and Berlin.
  • Bryce, Trevor (1999). The Kingdom of the Hittites. Oxford: Oxford University Press. ISBN 978-0-19-924010-4.
  • Cartledge, Paul (2011). Ancient Greece: A Very Short Introduction. Oxford: Oxford University Press. ISBN 978-0-19-960134-9.
  • Finkelberg, Margalit (1988). "From Ahhiyawa to Ἀχαιοί". Glotta. 66: 127–134.
  • Güterbock, Hans G. (April 1983). "The Hittites and the Aegean World: Part 1. The Ahhiyawa Problem Reconsidered". American Journal of Archaeology. Archaeological Institute of America. 87 (2): 133–138. doi:10.2307/504928. JSTOR 504928. S2CID 191376388.
  • Güterbock, Hans G. (June 1984). "Hittites and Akhaeans: A New Look". Proceedings of the American Philosophical Society. American Philosophical Society. 128 (2): 114–122. JSTOR 986225.
  • Huxley, George Leonard (1960). Achaeans and Hittites. Oxford: Vincent Baxter Press.
  • Kelder, Jorrit M. (2010). "The Egyptian Interest in Mycenaean Greece". Jaarbericht "Ex Oriente Lux" (JEOL). 42: 125–140.
  • Mellink, Machteld J. (April 1983). "The Hittites and the Aegean World: Part 2. Archaeological Comments on Ahhiyawa-Achaians in Western Anatolia". American Journal of Archaeology. Archaeological Institute of America. 87 (2): 138–141. doi:10.2307/504929. JSTOR 504929. S2CID 194070218.
  • Meyer, Eduard (1884–1902). Geschichte des Altertums (Volume 1–5). Stuttgart-Berlin.
  • Nagy, Gregory (2014). "The Heroic and the Anti-Heroic in Classical Greek Civilization". Cambridge, MA: President and Fellows of Harvard College. Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-05-20. Dicapai pada 2014-02-07.
  • Prentice, William K. (April–June 1929). "The Achaeans". American Journal of Archaeology. Archaeological Institute of America. 33 (2): 206–218. doi:10.2307/497808. JSTOR 497808. S2CID 245265139 Check |s2cid= value (bantuan).
  • Scott, John A. (March 1925). "The Complexion of the Achaeans". The Classical Journal. The Classical Association of the Middle West and South. 20 (6): 366–367. JSTOR 3288466.
  • Windle, Joachim Latacz (2004). Troy and Homer: Towards a Solution of an Old Mystery. Oxford: Oxford University Press. ISBN 978-0-19-926308-0.