Pergi ke kandungan

Zubair ibn Awwam

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Zubair ibn al-Awwam)

Abu Abdullah Zubair ibn al-Awwam (Arab: أبو عبدالله زبير ابن العوام) adalah seorang sahabat Nabi Muhammad s.a.w. Beliau merupakan salah seorang "mubasyirin bil-jannah" (sepuluh sahabat yang dijamin masuk syurga). Beliau merupakan salah seorang pejuang yang hebat. Bersama dengan Khalid Al-Walid, mereka berdua sahaja yang berkeupayaan untuk berperang dengan dua pedang dalam satu masa, walaupun ketika menunggang kuda.[perlu rujukan]

Zubair dilahirkan di Makkah pada tahun 594.[1]:75 Zubair berasal dari Bani Asad, merupakan anak kepada Awwam ibn Khuwailid dan Safiyyah binti Abdul Muttalib. Zubair berkahwin dengan Asma binti Abu Bakar. Hasil perkahwinan ini mereka dikurniakan tiga orang anak lelaki iaitu, Abdullah ibn Zubair, Urwah ibn Zubair dan Ursa ibn Zubair.

Kisah hidup

[sunting | sunting sumber]

Zubair memeluk Islam ketika berumur 16 tahun.[2] Semasa Zubair memeluk Islam, diceritakan bahawa bapa saudaranya pernah menghukum beliau dengan membalutnya di dalam tikar lalu kakinya digantung di atas dan di bawah kepalanya api yang membara. Bapa saudaranya Naufil memaksanya kembali menyembah berhala, tetapi walaupun diseksa berkali-kali, Zubair menegaskan "Saya sama sekali tidak akan kafir kembali!".[3][4]

Semangat perajurit

[sunting | sunting sumber]

Zubair adalah perajurit dakwah yang berani menyandang senjata untuk melawan orang-orang yang menghendaki gugurnya dakwah Islamiah. Kepahlawanannya telah tampak pertama kali pada waktu Perang Badar. Dalam peperangan itu, pasukan Quraisy menempatkan pendekarnya di barisan paling hadapan yang dipimpin oleh Ubaidah bin Said bin Ash. Beliau dikenal sebagai seorang yang paling berani, paling pandai dalam menunggang kuda dan paling kejam terhahdap lawannya.

Walaupun seluruh tubuh Ubaidah berbalut baju zirah besi sehingga sulit ditembusi senjata, Zubair sedia terjun ke medan tempur dan terjadilah perang tanding yang hebat antara beliau dan Ubaidah. Dalam dua kali putaran Zubair berjaya mengarahkan lembingnya ke mata Ubaidah dan berhasil menusuk kedua mata itu sampai ke belakang kepalanya.

Semasa Perang Uhud pula, Talhah bin Abu Talhah Al-Abdari, pembawa bendera kaum Musyrikin pada hari itu telah mengajaknya berperang tanding, tetapi tiada seorang pun yang mahu keluar menemuinya. Maka Zubair bin Al-Awwam keluar untuk menghadapinya. Mereka berdua bertarung sampai Zubair melompat ke atas untanya, dan menariknya jatuh ke atas tanah, dan di situ dia bertarung dengan Talhah, sehingga akhirnya Zubair dapat mengalahkan Talhah dan membunuhnya dengan pedangnya. Lantaran itu Rasulullah telah berkata: "Tiap-tiap Nabi ada pengiringnya, dan pengiringku ialah Zubair." Kemudian Baginda berkata lagi: "Kalau Zubair tidak keluar melawannya, nescaya aku sendiri yang akan keluar dan melawannya, kerana melihat banyak orang yang tidak sanggup melawannya.[5]

Pernah satu ketika Zubair dengan beraninya menawarkan diri memanjat benteng untuk membuka benteng tersebut dari dalam. Berkat usaha dan keberanian beliau, akhirnya terbukalah benteng tersebut.

Saat-saat terakhir

[sunting | sunting sumber]
Makam Zubair ibn Awwam di Basrah, Iraq

Ketika terjadinya Perang Jamal antara pasukan yang dipimpin Aisyah dengan pasukan Ali bin Abi Talib, Zubair bertemu dengan Ali dan menyatakan dirinya tidak lagi memihak kepada sesiapa dan akan berusaha mendamaikan kedua pasukan itu. Selepas itu, beliau meninggalkan medan perang dan pergi ke sesuatu tempat untuk bersolat. Akan tetapi,ada seseorang yang sedang mengintipnya iaitu Amr bin Jarmouz. Semasa beliau sedang bersolat, beliau ditikam oleh Amr bin Jarmouz.[6]

  1. ^ Muhammad bin Saad. Kitab al-Tabaqat al-Kabir vol. 3. Translated by Bewley, A. (2013). The Companions of Badr. London: Ta-Ha Publishers.
  2. ^ Fathul Bâri Juz 7 m/s 93
  3. ^ Saidina Zubayr ibn al-Awwam ra, Aannajah.
  4. ^ Abu Abdulla Zubair ibn al-Awwam, Anwary-islam.com
  5. ^ Al-Bidayah Wan-Nihayah 4:20
  6. ^ Talhah ibn Ubaydullah, Anwary-islam.com

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]