Zaman Bait Suci Kedua
Zaman Bait Suci Kedua atau zaman selepas pembuangan dalam sejarah Yahudi merujuk kepada kira-kira 600 tahun (516 SM – 70 TM) yang mana Bait Suci Kedua berdiri di Baitulmuqaddis. Ia bermula dengan pengembalian ke Sion dan pembinaan semula Kuil Suci di Baitulmuqaddis, serta berakhir dengan Perang Yahudi-Rom Pertama dan pengepungan Rom ke atas Baitulmuqaddis.
Pada tahun 587/586 SM, Empayar Babylon Baru menakluki Kerajaan Yehuda; orang Yehuda menjadi tawanan apabila Baitulmuqaddis dikepung Babylonia dan menghancurkan Kuil Pertama. Selepas orang Babylon mengilhakkan Yehuda dan menjadikannya sebuah wilayah jajahan, sebahagian penduduk yang ditawan dibuang ke Babylon. Mereka dibuang selama hampir lima puluh tahun, berakhir apabila Empayar Babylon Baru ditakluki oleh Empayar Parsi Hakhamaniyah, yang mengilhakkan semua jajahan Babylon selepas kejatuhan Babylon.[1][2] Selepas penaklukan tersebut, raja Parsi Kirus yang Agung mengeluarkan pengisytiharan bernama Perintah Kirus, menggalakkan orang buangan Yahudi kembali ke tanah air mereka selepas Parsi mengangkatkannya menjadi wilayah swatadbir Yahudi. Di bawah Parsi (s. 539–332 TM), penduduk Yahudi yang kembali membina semula kota itu dan Bait Suci di Baitulmuqaddis. Pada tahun 332 SM, Empayar Hakhamaniyah jatuh ke tangan Alexander Agung, dan wilayah mereka diilhakkan ke dalam Kerajaan Ptolemy (s. 301–200 SM) dan Empayar Seleuki (s. 200–167 SM).
Pemberontakan Makabe menentang pemerintahan Seleukia mencetuskan pengasasan sebuah kerajaan Yahudi merdeka (pada nama) di bawah dinasti Hasmonea (140–37 SM). Ia pada mulanya mentadbir secara berautonomi separa bawah hegemoni Seleukia, tetapi dinasti Hasmonea kemudian mula menswatadbir dan menjalankan kempen-kempen ketenteraan untuk mengusir kuasa Seleukia yang semakin lemah dari wilayah itu, menjadikannya kerajaan Yahudi yang terakhir—sebelum ia jatuh, memulakan 2000 tahun orang Yahudi tidak berdaulat di rantau Masyrik.[3][4][5][6] Pada tahun 63 SM, Republik Rom menakluk kerajaan tersebut. Pada 37 SM, Rom melantik Herodes Agung sebagai raja kepada negeri naungan itu. Pada 6 TM, Yudea diilhakkan sepenuhnya menjadi wilayah Yudea ke dalam Empayar Rom. Rasa tidak puas hati dan kerusuhan meningkat dengan pemerintahan Rom, dan akhirnya mencetuskan Perang Yahudi-Rom Pertama (66–73 TM), mengakibatkan kemusnahan Baitulmuqaddis dan Bait Suci, yang menamatkan zaman Bait Suci Kedua.
Semakin agama Yahudi Bait Kedua berkembang, terdapat pelbagai aliran agama yang muncul dan perkembangan budaya, agama, dan politik yang meluas berlaku. Pembentukan piawai kanon Alkitab Ibrani, kanisah dan eskatologi Yahudi boleh dilihat bermula sejak zaman Bait Kedua. Menurut riwayat Yahudi, nubuwah atau wahyu terhenti pada awal zaman Bait Kedua; ini menyebabkan kaum Yahudi hilang panduan Tuhan semasa mereka perlukan sokongan dan pedoman.[7] Di bawah pemerintahan orang Yunani, pengaruh Yunani terhadap agama Yahudi menjadi punca penentangan dalam orang Yahudi yang berpegang teguh pada kepercayaan monoteisme mereka; ini pemangkin utama kepada pemberontakan Makabe. Pada hujung-hujung zaman itu, masyarakat Yahudi terpecah mengikut ideologi, membentuk mazhab-mazhab Farisi, Saduki, Eseni, Zelot, dan Kristian awal. Kitab-kitab agama Yahudi yang penting juga dikarang semasa zaman Bait Kedua, seperti sebahagian Alkitab Ibrani, iaitu kitab Uzair, Nehemia, Ester dan Daniel serta naskhah-naskhah Apokrifa dan Naskhah Laut Mati. Antara sumber utama pada zaman itu ialah karangan-karangan oleh Yosefus, Filo, Kitab Makabe, penulis-penulis Yunani dan Rom dan kemudiannya kepustakaan Rabai.
Kemusnahan Baitulmuqaddis dan Bait Kedua pada 70 TM dianggap sebagai salah satu peristiwa yang paling mengejutkan dalam sejarah Yahudi.[8] Kehilangan ibu kota dan bait menyebabkan budaya Yahudi perlu dibentuk semula untuk memastikan kelangsungannya. Mazhab-mazhab Yahudi yang berasaskan Bait pula pupus.[9] Agama Yahudi Rabai, yang memfokuskan ibadat berjemaah di saumaah dan pengajian Taurat akhirnya keluar dari mazhab Farisi dan menjadi bentuk utama agama Yahudi.[10][8][11][12] Dalam zaman yang sama, agama Kristian perlahan-lahan berpisah daripada agama Yahudi, menjadi agama yang didominasi oleh bangsa bukan Yahudi.[13] Beberapa puluh tahun selepas Perang Yahudi-Rom Pertama, Pemberontakan Bar-Kokhba (132–135 TM) tercetus; orang Rom menindas orang Yahudi dengan zalim di Yudea, menurunkan populasi mereka dan meningkatkan bilangan diaspora Yahudi, mengalihkan pusat demografi Yahudi ke Jalil, di mana ulasan dan tafsiran semula kitab Taurat disunting, dan akhirnya ke Babylonia, dengan komuniti-komuniti kecil di seluruh Mediterranean.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]Petikan
[sunting | sunting sumber]- ^ Jonathan Stökl, Caroline Waerzegger (2015). Exile and Return: The Babylonian Context. Walter de Gruyter GmbH & Co. m/s. 7–11, 30, 226.
- ^ Encyclopaedia Judaica. 3 (ed. ke-2). m/s. 27.
- ^ Helyer, Larry R.; McDonald, Lee Martin (2013). "The Hasmoneans and the Hasmonean Era". Dalam Green, Joel B.; McDonald, Lee Martin (penyunting). The World of the New Testament: Cultural, Social, and Historical Contexts. Baker Academic. m/s. 45–47. ISBN 978-0-8010-9861-1. OCLC 961153992.
Perebutan kuasa yang berlaku menyebabkan Hyrcanus naik kuasa di Yudea, dan beliau cepat-cepat mengangkat kembali kedaulatan Yahudi... Hyrcanus kemudian terlibat dalam beberapa buah kempen tentera untuk memperluaskan wilayah. Beliau mula-mula menakluki kawasan di Transjordan. Kemudian beliau ke Samaria, yang telah lama memisahkan Yudea dari penempatan Yahudi utara di Galilea Hilir. Di bahagian selatan, Adora dan Marisa ditakluki; pencapaian utama (Aristobulus) ialah mengilhakkan dan me-Yahudikan wilayah Iturea, yang terletak di antara Gunung Lubnan dan Gunung Lubnan Timur.
- ^ Ben-Sasson, H.H. (1976). A History of the Jewish People. Harvard University Press. m/s. 226. ISBN 0-674-39731-2.
Perluasan Yudea Hasmonea berlaku secara beransur-ansur. Di bawah Yonatan, Yudea mengilhakkan Samaria selatan dan mula berkembang ke pesisiran... Perubahan dalam etnik yang utama adalah hasil kerja John Hyrcanus... pada zamannya dan zaman anaknya Aristobuluslah Idumea, Samaria dan Galilea diilhakkan serta penempatan Yahudi di Trans-Jordan kukuh. Alexander Jannai, yang meneruskan kerja pendahulu-pendahulu beliau, meluaskan lagi pemerintahan Yudea ke seluruh pesisiran, dari Karmel ke sempadan Mesir... dan ke beberapa kawasan lagi di Trans-Jordan, termasuk beberapa buah bandar Yunani di sana.
- ^ Smith, Morton (1999), Sturdy, John; Davies, W. D.; Horbury, William (penyunting), "The Gentiles in Judaism 125 BCE - 66 CE", The Cambridge History of Judaism: Volume 3: The Early Roman Period, The Cambridge History of Judaism, Cambridge: Cambridge University Press, 3: 192–249, doi:10.1017/chol9780521243773.008, ISBN 978-0-521-24377-3, dicapai pada 2023-03-20,
Perubahan-perubahan ini berlaku kerana orang Yudea mula giat berinteraksi dengan bangsa-bangsa sekeliling mereka. Ramai sejarawan telah menceritakan bagaimana empayar Hasmonea peroleh wilayah-wilayah baru. Mereka memakan masa dua puluh lima tahun untuk menguasai wilayah kecil Yudea dan menyingkirkan koloni Seleukia yang penuh dengan orang-orang Yahudi penyokong raja (mungkin juga bersama-sama pegawai dan pengawal bukan Yahudi) di Baitulmuqaddis. [...] Namun, dalam tahun-tahun sebelum kejatuhannya, dinasti Hasmonae sudah cukup kuat untuk mendapat—separuh dengan berunding, separuh dengan penaklukan—wilayah kecil di utara dan selatan Yudea serta koridor di barat ke pantai di Yaffa. Wilayah ini diambil oleh Antiokhus Sidetes buat satu jangka masa yang pendek tetapi cepat dirampas semula, dan dalam setengah abad selepas Sidetes mati pada tahun 129 hingga kematian Alexander Jannaeus pada tahun 76, mereka telah menakluk sebahagian besar Palestin dan banyak kawasan barat dan utara Transjordan. Pertama, John Hyrcanus mengambil alih bukit-bukit di selatan dan tengah Palestin (Idumea dan wilayah Shechem, Samaria dan Scythopolis) pada tahun 128 – 104; kemudian anak lelakinya, Aristobulus I, mengambil Galilea pada tahun 104 – 103, dan adik dan waris Aristobulus, Yannaeus, dalam kira-kira lapan belas tahun peperangan (103 – 96, 86 – 76) menakluki dan menakluki semula dataran di pesisir, Negev utara, dan sempadan barat Transjordan.
- ^ Ben-Eliyahu, Eyal (30 April 2019). Identity and Territory: Jewish Perceptions of Space in Antiquity. Univ of California Press. m/s. 13. ISBN 978-0-520-29360-1. OCLC 1103519319.
Sejak mulanya zaman Bait Kedua sehingga penaklukan Muslim, tanah itu dikawal oleh pelbagai empayar. Ini berlaku sejak awal zaman Parsi, serta zaman Ptolemy dan Seleukia. Ia hanya tidak berlaku pada zaman Kerajaan Hasmonea, yang ada raja-raja Yahudi—dan ia mengawal Yudah, kemudian pada zaman kegemilangan Alexander Yannaeus, menjangkau ke pesisiran, utara, dan tebing timur Sungai Jordan.
- ^ The Jewish Backgrounds of the New Testament: Second Commonwealth Judaism in Recent Study, Wheaton College, Previously published in Archaeology of the Biblical World, 1/2 (1991), pp. 40–49.
- ^ a b Karesh, Sara E. (2006). Encyclopedia of Judaism. Facts On File. ISBN 1-78785-171-0. OCLC 1162305378.
Sebelum zaman moden, pemusnahan Bait Suci merupakan peristiwa yang paling dahsyat dalam sejarah orang Yahudi. Tanpa Bait, kaum Saduki hilang wibawa dan lenyap. Pendeta Yokhanan ben Zakkai, dengan izin Rom, mengasaskan Yavneh untuk mengembangkan mazhab Yahudi Farisi, atau Rabai.
- ^ Alföldy, Géza (1995). "Eine Bauinschrift aus dem Colosseum". Zeitschrift für Papyrologie und Epigraphik. 109: 195–226. JSTOR 20189648.
- ^ Westwood, Ursula (2017-04-01). "A History of the Jewish War, AD 66–74". Journal of Jewish Studies. 68 (1): 189–193. doi:10.18647/3311/jjs-2017. ISSN 0022-2097.
- ^ Maclean Rogers, Guy (2021). For the Freedom of Zion: The Great Revolt of Jews against Romans, 66-74 CE. New Haven and London: Yale University Press. m/s. 3–5. ISBN 978-0-300-26256-8. OCLC 1294393934.
- ^ Goldenberg, Robert (1977). "The Broken Axis: Rabbinic Judaism and the Fall of Jerusalem". Journal of the American Academy of Religion. XLV (3): 353. doi:10.1093/jaarel/xlv.3.353. ISSN 0002-7189.
- ^ Klutz, Todd (2002) [2000]. "Part II: Christian Origins and Development – Paul and the Development of Gentile Christianity". Dalam Esler, Philip F. (penyunting). The Early Christian World. Routledge Worlds (ed. 1st). New York and London: Routledge. m/s. 178–190. ISBN 9781032199344.
Bibliografi
[sunting | sunting sumber]Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Zaman Bait Suci Kedua |
- Green, P (2008). Alexander The Great and the Hellenistic Age. Weidenfeld & Nicolson. m/s. xiii. ISBN 978-0-7538-2413-9.
- Frei, Peter (2001). "Persian Imperial Authorization: A Summary". Dalam Watts, James (penyunting). Persia and Torah: The Theory of Imperial Authorization of the Pentateuch. Atlanta, GA: SBL Press. m/s. 6. ISBN 9781589830158.
- Morçöl, Göktuğ (2006). Handbook of Decision Making. CRC Press. ISBN 978-1-57444-548-0.
- Romer, Thomas (2008). "Moses Outside the Torah and the Construction of a Diaspora Identity" (PDF). Journal of Hebrew Scriptures. 8, article 15: 2–12. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2020-10-21. Dicapai pada 2019-09-27.
- Vermes, Geza (1981). Jesus the Jew: A Historian's Reading of the Gospels. Philadelphia: First Fortress. ISBN 978-0-8006-1443-0. Diarkibkan daripada yang asal pada 8 Oktober 2020. Dicapai pada 8 Oktober 2020.