Wikipedia:Terjemahan
Wikipedia merupakan projek pelbagai bahasa; maka, rencana tentang sesuatu topik mungkin terdapat dalam banyak bahasa. Setiap satunya berada di wiki bahasa tersebut, dan dihubungkan dengan pautan antara bahasa (interwiki).
Menjadi kebiasaan untuk Wikipedia kecil menterjemah rencana-rencana dari Wikipedia besar. Contohnya penterjemahan rencana-rencana daripada Wikipedia bahasa Inggeris ke Wikipedia Bahasa Melayu. Namun rencana tersebut tidaklah perlu terjemahan tepat rencana asal. Asalkan ia bersesuaian dengan makna yang ingin disampaikan daripada rencana asal. Yang penting rencana tersebut mengikut dasar dan gaya Wikipedia. Lihat m:Translation of the week jika anda berminat.
Jika anda berhasrat meletakkan rencana bahasa asing ke dalam Wikipedia ini, sila letakkan templat {{terjemah}} di atas rencana tersebut supaya mudah dikenal pasti. Nyatakan juga bahasa asal dan tajuk asal rencana yang hendak diterjemahkan itu pada akhir templat, cth. {{terjemah|en|Wikipedia:Translation}}
. Templat tersebut akan kelihatan seperti ini:
Tolong bantu menterjemahkan sebahagian laman ini. Laman ini memerlukan kemaskini dalam Bahasa Melayu piawai Dewan Bahasa dan Pustaka. Sila membantu, bahan-bahan boleh didapati di Wikipedia:Translation (Inggeris). Jika anda ingin menilai laman ini, anda mungkin mahu menyemak di terjemahan Google. Walau bagaimanapun, jangan menambah terjemahan automatik kepada laman, kerana ini biasanya mempunyai kualiti yang sangat teruk. Sumber-sumber bantuan: Pusat Rujukan Persuratan Melayu. |
Sila ingat bahawa rencana yang tidak diterjemah penuh daripada bahasa asalnya boleh dihapuskan selepas beberapa ketika ia dicipta. Jadi pastikan anda betul-betul hendak menterjemahkan rencana tersebut sebelum meletakkan kandungan bahasa asing dalam Wikipedia bahasa Melayu.
Kaedah menterjemah
[sunting sumber]Terjemahan adalah menyalin semula makna, bukan menyalin semula bentuk. Salah satu kesilapan yang terdapat dalam terjemahan berpunca daripada penterjemah tidak menyedari bahawa bentuk ayat yang sama mungkin mempunyai fungsi dan makna yang sangat berbeza. Fungsi ayat ditentukan oleh makna ayat.
Penterjemahan keseluruhan rencana daripada bahasa asing ke bahasa Melayu bukanlah suatu kerja yang mudah. Tatabahasa dan gaya karangan setiap bahasa adalah berbeza. Ia memerlukan banyak usaha, tenaga dan masa. Apa yang penting, seseorang editor itu perlulah mempunyai komitmen yang tinggi terhadap rencana yang dia terjemahkan agar ia mudah dibaca dan difahami oleh semua pengguna Wikipedia Bahasa Melayu.
Antara ciri-ciri yang patut ada bagi penterjemah bebas adalah:
- Penterjemah hendaklah benar-benar memahami isi dan hasrat penulis teks asal.
- Penterjemah mestilah menguasai dengan baik bahasa asal dan bahasa penerima terjemahan itu.
- Penterjemah tidak boleh menterjemah perkataan demi perkataan oleh sebab perbuatan itu akan merosakkan makna asal teks tersebut dan menyebabkan terjemahan itu tidak indah dibaca, walhal teks asalnya mungkin sangat sedap dan mudah dibaca.
- Penterjemah hendaklah menggunakan bentuk-bentuk bahasa yang biasa digunakan di dalam bahasa penerima untuk menggantikan bentuk-bentuk bahasa asalnya.
- Penterjemah mestilah mencipta semula kesan dan semangat keseluruhan teks asal.
Anda mungkin perlu membaca terjemahan anda sekali lagi setelah anda siap menterjemahkan rencana tersebut. Pastikan apa yang anda baca boleh difahami oleh anda sendiri dan pengguna lain juga. Setelah itu, jangan lupa letakkan pautan antara bahasa (interwiki).
Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka
[sunting sumber]Untuk penterjemahan daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu atau sebaliknya, gunakan laman Pusat Rujukan Persuratan Melayu, sebuah laman kamus online oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, sebagai terjemahan untuk istilah. Laman PRPM dapat membantu anda menterjemah istilah-istilah yang mungkin anda tidak tahu atau kurang jelas. Pastikan juga tatabahasa terjemahan anda sesuai dengan tatabahasa Melayu. Biarlah rencana terjemahan anda tidak berbaur terjemahan.
Pautan wiki
[sunting sumber]Apabila menterjemah, ingatlah bahawa hasil terjemahan yang berguna bukan sekadar terjemahan maklumat asli. Ianya perlulah bersesuaian dengan makna yang ingin disampaikan. Misalnya, seorang pembaca yang arif berbahasa Melayu pasti mengenali siapakah Hang Tuah, tetapi ia mungkin tidak kenal Zwarte Piet; bagi pembaca bahasa Belanda pula sebaliknya juga. Letakkan pautan wiki jika hal seperti ini berlaku. Contohnya, Hang Tuah menggunakan keris ketika berlawan dengan Hang Jebat. Ini akan membantu pembaca lebih memahami istilah yang digunakan.
Begitu juga untuk penterjemahan teks-teks sains (rujuk EASE Guidelines for Authors and Translators of Scientific Articles).
Disebabkan pelesenan Wikipedia memerlukan atribusi, sumber terjemahan wajar diberi penghargaan supaya tidak timbul pelanggaran hak cipta. Untuk berbuat demikian, disaran supaya menaipkan atribusi dalam ringkasan suntingan atau membubuh {{Translated page}} pada laman perbincangan rencana. (Lihat juga Wikipedia:Menyalin dalam Wikipedia)
Untuk menambahkan pautan kepada hasil terjemahan anda dalam Kotak pengguna bahasa, ikuti arahan di laman Wikipedia:Pautan antara bahasa.
Nasihat
[sunting sumber]Terjemahan mesin
[sunting sumber]Rencana menggunakan terjemahan mesin menghasilkan rencana yang bermutu rendah. Mengikut persetujuan Wikipedia, lebih baik tidak menulis apa-apa daripada menghasilkan rencana melalui terjemahan mesin terbiar tanpa suntingan.
wikEd dan HotCat
[sunting sumber]Sekiranya anda berasa pening menterjemah rencana asal yang terdapat banyak penggunaan kod, templat dan alat seumpamanya dalam teks wikinya, pasanglah gajet wikEd dan Hotcat dalam tetapan keutamaan anda. wikEd merupakan alat penyuntingan laman wiki secara WYSIWYG (ala pemproses kata seperti Microsoft Word). Ia melampirkan teks-teks berformat secara lebih jelas dengan menukar warna teks berkenaan. Ia dilengkapi dengan fungsi penyorokan templat yang dipasang dengan menekan kekunci bertanda "R" di sudut kanan atas bar alatan.
HotCat pula adalah kemudahan menyunting pautan kategori di bawah laman pembacaan. Ia agar anda tidak perlu membuka laman penyuntingan semata-mata untuk membuat perubahan pada pautan kategori sahaja.
Beberapa istilah yang kerap muncul
[sunting sumber]Berikut adalah beberapa istilah yang biasa ditemui di Wikipedia asing dan terjemahan yang dianjurkan dalam Bahasa Melayu.
Wikipedia Inggeris
[sunting sumber]- Administrator — Penyelia
- Disambiguation — Nyahkekaburan
- External links — Pautan luar
- See also — Lihat juga
- Stub — Tunas
- Village Pump — Kedai Kopi
Wikipedia Indonesia
[sunting sumber]- Bandar udara — Lapangan terbang
- Bisa — Boleh
- Negara bagian — Negeri
- Pangeran — Putera
- Pemilu — Pilihan raya
- Pranala luar — Pautan luar
- Satuan — Unit
Rujukan
[sunting sumber]- Ainon, Mohd., dan Abdullah Hassan. 2010. Teori dan Teknik Terjemahan. Batu Caves: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.