Pergi ke kandungan

Wikipedia:Bengkel/Malaysia/2024/10-09/Rujukan/Sheikh Muszaphar Shukor

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Sheikh Muszaphar Shukor

Kelahiran
Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie bin Sheikh Mustapha

(1972-07-27) 27 Julai 1972 (umur 52)
StatusAktif
PekerjaanDoktor bedah ortopedik
Kerjaya angkasa
Angkasawan ANGKASA
Tempoh di angkasa
10 hari, 21 jam, 14 minit
PemilihanProgram Angkasawan 2006
MisiSoyuz TMA-11, Soyuz TMA-10

Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie bin Sheikh Mustapha (lahir 27 Julai 1972) merupakan doktor bedah ortopedik Malaysia dan angkasawan Malaysia yang pertama ke angkasa lepas setelah diumumkan oleh Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi (kini bergelar "Tun") pada 25 September 2007 (Selasa) tepat jam 12.00 tengah hari.[1][2]

Kehidupan awal

[sunting sumber]

Dilahirkan di Kuala Lumpur, Sheikh Muszaphar yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik yang kesemuanya lelaki, berjaya menamatkan pendidikan sekolah tinggi di Maktab Rendah Sains MARA di Muar, Johor. Beliau kemudian melanjutkan pelajarannya melalui ijazah perubatan MBBS di Kolej Perubatan Kasturba, Manipal, India.[3]

Beliau menjadi doktor ortopedik dan menjadi pensyarah perubatan pelatih di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM). Sebelum itu, beliau berkhidmat di Hospital Seremban (1998), Hospital Besar Kuala Lumpur (1999) dan Hospital Selayang (2000-2001).

Beliau juga merupakan model di kebanyakan iklan komersial.

Program angkasawan

[sunting sumber]

Beliau berlepas ke angkasa pada 10 Oktober 2007 dengan menaiki Soyuz TMA-11 yang dilancarkan oleh Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). Beliau menyertai program ini di bawah perjanjian bersama Russia menerusi program Angkasawan, dan telah kembali ke Bumi bersama ahli-ahli Ekspedisi 15, Fyodor Yurchikhin dan Oleg Kotov selepas sembilan hari berada di stesen berkenaan.

Misi selama 11 hari ini telah berjaya dijalankan dari 10 Oktober 2007 jam 9.21 malam waktu Malaysia dan selamat kembali ke bumi pada 21 Oktober 2007 pada jam 6.44 petang waktu Malaysia. Beliau merupakan orang Islam pertama yang menjalani ibadah berpuasa dan meraikan Hari Raya Aidilfitri di angkasa lepas.

Semasa sidang akhbar NASA dengan ahli-ahli Ekspedisi 16 pada 23 Julai 2007, Muszaphar menyatakan bahawa beliau berharap untuk membawa pelbagai kultur sel hidupan untuk dipelajari semasa penerbangannya.

Buku panduan ibadah: bagaimana angkasawan untuk mengerjakan ibadah ketika diangkasa lepas; terbitan JAKIM, April 2007.

Sebagai seorang Muslim, dan berpuasa di akhir bulan Ramadhan semasa di angkasa lepas, Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia telah menerbitkan satu buku panduan untuk Muslim di angkasa lepas. Buku bertajuk yang Pelaksanaan Ibadah di Stesen Angkasa Antarabangsa dan bermuka surat sebanyak 18 keping ini menerangkan bagaimana untuk mengenal pasti waktu solat, dan masalah yang melibatkan hal berpuasa. Orbit ISS menghasilkan satu kitaran siang dan malam setiap 90 minit. Masalah mengenai puasa di bulan Ramadhan juga ditujukan. Panduan ini akan dialih bahasa dalam bahasa Rusia, Arab dan Inggeris. Anan C. Mohd daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyatakan, "...berpuasa semasa perjalanan adalah tidak diwajibkan. Maka, Sheikh Muszaphar dibolehkan untuk melakukannya atau tidak. Sekiranya dilakukan, waktu puasa adalah sama dengan waktu tempatan di Baikonur di mana tempat kapsul dilancarkan". Bagi membolehkan Sheikh Muszaphar meraikan Hari Raya Aidilfitri pada 13 Oktober 2007 bersamaan hari Sabtu, bekalan seperti kuih, biskut dan sate dibekalkan bagi dimakan bersama angkasawan-angkasawan yang ada di stesen angkasa lepas.

Panduan buku ini juga boleh didapati dalam bentuk PDF Diarkibkan 2008-12-27 di Wayback Machine.

Pemilihan

[sunting sumber]

Kerajaan Malaysia telah mengadakan Program Angkasawan Malaysia bagi memilih calon angkasawan yang sesuai. Seramai 11,275 orang calon telah mendaftarkan diri dengan pelbagai kelayakan akademik, ketahanan fizikal, emosi, dan mental. Mereka menjalani latihan terakhir di Kosmodrom Baikonur, Kazakhstan. Muszaphar dikatakan ialah calon terakhir daripada yang memohon program ini.

Kerajaan Malaysia telah bekerjasama dengan kerajaan Russia. Peluang ini sebahagian daripada pakej pembelian jet pejuang Rusia bernilai AS$1 bilion (RM3.44 bilion). Muszaphar dan tiga calon akhir yang lain dipilih pada awal tahun 2006 daripada Program Angkasawan Malaysia. Setelah selesai menjalani latihan di Star City, Rusia, Sheikh Muszaphar dan Faiz Khaleed akhirnya dipilih untuk menjalani latihan selama 18 bulan di Rusia. Akhirnya, beliau dipilih sebagai calon utama Angkasawan Pertama Malaysia sementara Faiz Khaleed dijadikan calon simpanan.

Terminologi

[sunting sumber]

Terbang sebagai tetamu kerajaan Rusia, Sheikh Muszaphar berperanan di atas kapal Soyuz dan ISS dirujuk sebagai peserta penerbangan angkasa di Agensi Angkasa Persekutuan Rusia bahasa Rusia dan dokumen-dokumen NASA dan taklimat akhbar.

Bercakap kepada media Malaysia, Alexander Karchava, Duta Rusia ke Malaysia, menyatakan bahawa Sheikh Muszaphar ialah "angkasawan sepenuhnya". Dalam satu wawancara dengan akhbar Malaysia Star, Robert L. Gibson, seorang angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) yang bersara, berkongsi pendapatnya bahawa Sheikh Muszaphar sepenuhnya berkelayakan sebagai angkasawan, dan oleh itu, beliau sepatutnya digelar sedemikian. Gibson juga berkata beliau menganggap Sheikh Muszaphar sebagai rakan sebaya.

Kehidupan peribadi

[sunting sumber]

Sheikh Muszaphar telah berkahwin dengan Dr. Halina Mohd Yunos (lahir 1981 di Kluang), seorang pakar anestesia di Hospital Selayang pada 10 Oktober 2010 di Seremban, Negeri Sembilan. Sheikh Muszaphar bertemu dengan Dr. Halina sejak 2001 sewaktu beliau merupakan pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia, manakala Dr. Halina ialah pelajarnya sewaktu itu. Mereka dikurniakan 2 orang cahaya mata perempuan yang bernama Sophea Isabella yang lahir pada 21 Julai 2011 dan Sophea Natasha yang lahir pada 19 Januari 2013. Cahaya mata kembar lelaki Sheikh Adam dan Sheikh Noah yang lahir pada 27 Julai 2017.

Pendaratan

[sunting sumber]
Sheikh Muszaphar tiba di Kustanai, Kazakhstan dengan helikopter selepas dari tempat kapsul mendarat
Sheikh Muszaphar di dalam kapal angkasa Soyuz TMA-10

Misi selama 10 hari, 21 jam dan 14 minit telah membenarkan Sheikh Muszaphar Shukor selamat tiba di bumi dengan kapsul kapal angkasa Soyuz TMA-10 atau lebih dikenali sebagai Space Drop Zone, mendarat berdekatan bandar Arkylk, Kazakhstan (yang terletak 500 kilometer dari bandar Baikonur), petang 21 Oktober 2007. Pendaratan berlaku tepat jam 2.37 petang waktu Kazakhstan atau 6.37 petang di Malaysia selepas meninggalkan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada jam 11.15 pagi (3.15 petang, Malaysia) untuk perjalanan selama tiga jam 23 minit ke bumi.

Pendaratan kapsul tersasar kira-kira 420 kilometer dari lokasi sasaran awal. Perjalanan kembali ke bumi telah mengambil masa 3 jam 23 minit.

  1. ^ "Malaysia's first astronaut to visit space station". New Scientist. 9 October 2007.
  2. ^ Andrew, Hammond. "Saudi prince says Islam proud of Malaysia spaceman". Reuters.
  3. ^ "Angkasawan lands in UKM".