Pergi ke kandungan

Wayang kulit Kelantan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Wayang Kulit Siam (atau juga lazim dikenali Wayang Kulit Kelantan di Malaysia) ialah sejenis kesenian wayang kulit yang berasal dari Kemboja yang lazim dimainkan oleh orang Thai dan Khmer dan menjadi popular di negeri Kelantan. Ia merupakan satu dari empat jenis persembahan wayang kulit yang lazim di Malaysia. Wayang Kulit Siam telah dikenal sebagai jenis persembahan wayang kulit yang tertua di Malaysia. Selain itu, jenis wayang kulit ini juga adalah yang paling terkenal dan terpenting di Malaysia sejak dari zaman dahulu hingga kini.

Suatu ketika dahulu, kesenian Wayang Kulit Siam pernah mendapat sambutan hangat di kalangan orang-orang Melayu sehingga pengaruhnya telah tersebar dari Kelantan ke negeri-negeri jiran seperti Terengganu, Pahang, Kedah dan Perak. Selain itu, kesenian ini juga pernah bertapak kukuh di empat buah wilayah di kawasan Selatan Thailand iaitu Pattani, Yala, Narathiwat dan sebahagian Songkhla, yang dahulunya merupakan bekas wilayah Kesultanan Melayu Patani.

Etimologi

[sunting | sunting sumber]

Gelaran 'Siam' yang diberikan kepada kesenian wayang kulit ini adalah dipercayai merujuk kepada negara Siam (kini Thailand). Sejarah teknik pedalangan Wayang Kulit Siam dipercayai telah dibawa masuk ke Kelantan dari Kemboja melalui Thailand. Maka dari situlah, kesenian ini diberi nama Wayang Kulit Siam.

Selain itu, kesenian Wayang Kulit Wayang Kulit Kelantan kerana berkembang di Kelantan. Masyarakat Melayu Patani di selatan Thailand pula menyebut kesenian ini sebagai 'Wayang Patani' kerana berkembang di Patani. Di Pahang pula, kesenian ini lebih dikenali sebagai 'Wayang Pahang' kerana berkembang di Pahang.

Asal-usul Wayang Kulit Siam

[sunting | sunting sumber]

Sejarah mengenai asal-usul Wayang Kulit Siam masih kabur dan kurang jelas hingga ke hari ini. Terdapat banyak kajian yang telah dilakukan bagi mencari bukti mengenai asal-usul kesenian ini. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa teori yang telah diutarakan oleh para pengkaji mengenai asal-usul Wayang Kulit Siam. Teori-teori tersebut adalah seperti berikut:-

Wayang Kulit Siam berasal dari Thailand

Satu teori menyebut tentang Wayang Kulit Siam yang dikatakan berasal dari Thailand. Teori ini ialah teori yang paling kuat. Terdapat beberapa bukti yang menyokong teori ini. Di antaranya ialah nama wayang kulit itu sendiri iaitu 'Siam', ialah nama lama bagi negara Thailand. Manakala Wayang Kulit Kelantan ialah sebutan pada era yang belum lama lagi. Naskah dari Palembang pula menyebutnya sebagai Wayang Kulit Siam. Bentuk dan corak pakaian Wayang Kulit Siam nampak seperti pakaian bangsawan Siam. Selain itu, penggunaan bahasa Siam / Thai dalam persembahan Wayang Kulit Siam seperti pengucapan Mantera Maharisi oleh dalang juga menyokong teori tersebut.

Dasar daripada Wayang Kulit Siam atau Wayang Kulit Kelantan dapat dikatakan berasal dari Siam lalu dikembangkan oleh Patani lalu dikembangkan oleh Kelantan. Daripada jalan penyebaran inilah, wayang kulit ini diberi nama Wayang Kulit Siam. Teori ini disokong beberapa orang sejarawan dan pengkaji budaya memandangkan ianya berdasarkan fakta sejarah.

Wayang Kulit Siam berasal dari Patani

Teori lain menyebut Wayang Kulit Siam berasal dari Patani, bekas negeri kesultanan Melayu di selatan Thailand. Wayang Kulit Siam dikatakan telah berkembang dari Patani ke Kelantan ketika zaman di mana Kelantan masih berada di bawah pengaruh Kesultanan Melayu Patani.

Wayang Kulit Siam berasal dari Kelantan

Satu lagi teori mengatakan Wayang Kulit Siam berasal daripada Kelantan. Bentuk persembahan Wayang Kulit Siam yang wujud pada hari ini adalah khas Kelantan. Oleh itu, sejarah Wayang Kulit Siam bolehlah dianggap bermula di Kelantan. Selain itu, persembahan Wayang Kulit Siam di Malaysia juga sentiasa disampaikan dalam Bahasa Melayu Kelantan tidak kira di negeri mana sekalipun ianya dipersembahan.

Wayang Kulit Siam Kini

[sunting | sunting sumber]

Pada hari ini, Wayang Kulit Siam hanya boleh ditemui di negeri asalnya iaitu Kelantan dan juga di Terengganu. Persembahan Wayang Kulit Siam dianggap sebagai salah satu seni kebudayaan yang terpenting di negeri Kelantan. Selain itu, kesenian ini juga boleh ditonton di beberapa buah universiti seperti Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), dimana Wayang Kulit Siam telah diajar secara teori dan praktikal kepada para pelajar yang mengambil bidang tertentu. Sementara itu, persembahan Wayang Kulit Siam di negeri Pahang, Kedah, Perak dan Patani telah pun berkubur.

Tokoh Wayang Kulit Siam

[sunting | sunting sumber]
  • Eyo Hock Seng (Pok Seng)- satu-satunya dalang Wayang Kulit Siam yang berketurunan Peranakan Cina Kelantan.
  • Hamzah Awang Ahmad (Pak Hamzah) - seniman negara pertama Malaysia yang memperjuangkan Wayang Kulit Kelantan.
  • Kamrulbahri Hussin (Wak Long) - penggiat seni muzik dan seni pentas Kelantan yang aktif membawa persembahan Wayang Kulit Kelantan di serata dunia.

The Encyclopedia of Malaysia : Performing Arts (Volume 8) oleh Prof. Dr Ghulam-Sarwar Yousof.