Pergi ke kandungan

Ummu Haram binti Milhan R.A.

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Ummu Haram binti Milhan Ibnu Khalid al-Ansaiah al-Najjariah termasuk dalam kalangan sahabat-sahabat wanita Ansar yang mendapat kemuliaan dari Rasulullah s.a.w. Sabda baginda: “Engkau (Ummul Haram) termasuk orang yang pertama.”

Keturunan Milhan adalah sebahagian daripada para sahabat yang mulia. Mereka telah merasakan manisnya keimanan. Jiwa mereka telah dikuasai oleh rasa cinta kepada Allah SWT dan Rasulnya. Mereka melalui kehidupan dengan penuh kebahagiaan. Mereka adalah orang-orang yang bersegera untuk memeluk Islam.

Mereka adalah golongan yang menang dengan keimanan. Setiap mereka, baik lelaki mahupun wanita berlumba-lumba dalam kebaikan, seperti jihad, menuntut ilmu, mendahulukan kepentingan orang lain dan kerendahan hati. Mereka telah menghambakan diri mereka untuk meraih mardhitillah dan Rasul-Nya.

Ummu Haram memiliki hati yang suci dan menjadi contoh teladan yang ideal bagi seluruh kamu wanita. Beliau telah turut serta dalam Perang Badar dan Uhud dan peristiwa Telaga Ma’unah. Ummu Haram telah meninggalkan nilai-nilai yang sangat mulia pada zaman Rasulullah s.a.w. yang masih dikenang sampai sekarang. Beliau telah meninggal secara syahid dan Allah membalasnya dengan kebaikannya.

Ziarah, doa dan khabar gembira

[sunting | sunting sumber]

Ummu Haram ialah ibu saudara kepada Anas ibnu Malik dan isteri kepada seorang sahabat yang mulia bernama Ubadah ibn Somit. Dia juga salah seorang ibu saudara sesusuan Rasulullah s.a.w.

Bahawa Rasulullah s.a.w. selalu menyempatkan diri untuk datang ke masjid Quba. Kadang-kadang Rasulullah datang dengan mengenderai untanya dan kadang-kadang berjalan kaki. Kemudian Rasulullah solat sunat dua rakaat di dalamnya. Masjid Quba adalah masjid yang didirikan oleh Rasulullah atas dasar taqwa kepada Allah. Seperti halnya yang tertera dalam firman Allah: “Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar taqwa (masjid Quba) sejak hari pertama adalah lebih patut kamu bersembahyang di dalamnya.”

Dengan keberkatan (Quba) inilah Ummu Haram menetap dan dianggap sebagai penghuninya (ahlu). Ia memiliki kedudukan yang terhormat di sisi Rasulullah s.a.w. Diriwayatkan bahawa Rasulullah sangat menghormatinya dan pernah menjenguknya di rumahnya serta tidur siang di dalamnya. Bahkan ada kalanya baginda solat di rumah Ummu Haram.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim bahawa Anas ibn Malik berkata, “Bahawa pada suatu ketika Rasulullah s.a.w. datang ke rumah kami. Di dalamnya tidak ada orang kecuali saya, ibuku (Ummu Sulaim) dan bibiku Ummu Haram. Rasulullah berkata, “Bangunlah kamu semua, saya akan solat bersama kamu semua.” Ketika itu waktu solat belum masuk. Kemudian Rasulullah solat bersama kami dan baginda mendoakan kami untuk mendapatkan kebaikan dunia dan akhirat.”

Ketika kunjungan Rasulullah ke rumah Ummu Haram, beliau menyiapkan makanan untuk baginda. Setelah makan, Ummu Haram duduk di sisi Rasulullah membersihkan kepalanya. Kemudian Rasulullah tertidur. Ketika Rasulullah terbangun, baginda tersenyum, lalu Ummu Haram bertanya kenapa baginda tersenyum. Baginda kemudian menyampaikan berita gembira kepada Ummu Haram bahawa ia akan mati syahid. Sejak itu Ummu Haram selalu dipanggil dengan sebutan syahidah (wanita yang mati syahid).

Ummu Haram dan petunjuk Rasulullah

[sunting | sunting sumber]

Sahabat wanita ini adalah salah seorang dari golongan sahabat-sahabat wanita yang memiliki peribadi yang sangat besar untuk membina benteng yang dipenuhi oleh pujian dan berbuat amal kebaikan. Beliau menjadi contoh teladan dalam kebaikan. Ummu Haram r.a. telah berbuat banyak dalam nilai-nilai positif yang sangat susah untuk menghitungnya. Yang paling menonjol adalah kecintaannya untuk mendapatkan syahadah (mati syahid) di jalan Allah, dermawan dan sifat mendahulukan kepentingan orang lain.

Ummu Haram juga telah meriwayatkan beberapa hadis Rasulullah. Dan beberapa sahabat dan tabiin meriwayatkan hadis-hadis tersebut daripadanya. Di antara hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Haram adalah apa yang ditulis olah ibn Asakir dalam bukunya Tarikh Dimasyk lengkap dengan sanadnya bahawa Ummu Haram mendengarkan Rasulullah bersabda: “Pasukan pertama dari umat yang berperang melewati laut telah dituliskan bagi mereka untuk masuk syurga.” Ummu Haram bertanya: Ya Rasulullah, apakah aku termasuk salah seorang dari mereka? Rasulullah menjawab, “Engkau termasuk salah seorang dari mereka.”

Ummu Haram selalu menanti pasukan yang dimaksudkan oleh Rasulullah tersebut dalam hadisnya agar ia ikut bersama mereka. Setelah Rasulullah wafat, baginda telah meredai Ummu Haram. Ummu Haram masih menanti datangnya khabar gembira yang diperolehinya dari Rasulullah iaitu mati syahid.

Pasukan pertama

[sunting | sunting sumber]

Pada masa pemerintahan khalifah Uthman ibn Affan, gerakan jihad dan penaklukan bandar-bandar musuh berlaku dengan rancak. Khalifah Uthman ibn Affan melihat bahawa serangan-serangan yang datang dari negara Romawi selalu bergerak dari kepulauan Qubrus dengan menggunakan kapal-kapal perang laut. Oleh kerana itu Uthman ibn Affan memutuskan untuk menakluk kepulauan tersebut.

Tetapi menjadi persoalan bagaimana kaum Muslimin akan memerangi kerajaan Romawi sedangkan mereka belum ada pengalaman berperang menggunakan kapal laut. Khalifah Uthman ibnu Affan lalu mengatur suatu mesyuarat khas yang akan memperkatakan hal tersebut. Mesyuarat ini menghasilkan keputusan agar pasukan Muslimin menakluk kepulauan Qubrus seperti yang diinginkan oleh Khalifah. Ini menandakan hari lahirnya pasukan Khalifah Uthman ibnu Affan yang diketuai oleh Muawiyah ibn Abu Sufyan untuk mengharungi laut dan menakluk kepulauan Qubrus. Muawiyah ibnu Sufyan bergerak bersama pasukannya dari Syam menuju Qurbus.

Allah telah menetapkan kemenangan di tangan muslimin. Kepulauan Qubrus dan penghuninya menyerah kepada pasukan Muslimin dan tunduk terhadap perjanjian damai yang ditetapkan oleh kaum Muslimin.

Ummu Haram telah mengikuti pasukan tersebut dan akhirnya ia mendapatkan syahadah sesuai dengan khabar yang Rasulullah sampaikan kepadanya. Dengan demikian sudah menjadi kenyatan apa yang disampaikan Rasulullah kepadanya.

Ummu Haram telah mengharungi lautan pada zaman Muawiyah ibn Abu Sufyan. Ketika beliau keluar dari kapal laut, haiwan tunggangannya menghempaskannya sehingga ia meninggal dunia. Beliau termasuk dalam kumpulan pertama seperti mana yang dikatakan oleh baginda, “Telah diperlihatkan kepadaku sekelompok pasukan dari umatku yang sedang berperang di jalan Allah. Mereka semua sedang mengharungi lautan, pulang bagaikan raja-raja membawa para tawanan.” Katika Ummu Haram meminta baginda mendoakannya agar termasuk dalam kumpulan itu, maka Rasulullah berkata, “Engkau akan menjadi golongan yang pertama.”

Akhirnya apa yang dicita-citakan oleh Ummu Haram untuk memperoleh syahidah telah berlaku. Beliau adalah seorang wanita yang pertama ikut berperang di lautan.

Abu Nu’aim memuji Ummu Haram dengan ungkapan: “Ummu Haram binti Milhan adalah seorang wanita yang terpuji dengan kebaikannya, menyaksikan perang laut dan seorang wanita yang rindu dengan taman-taman syurga.

Ummu haram adalah seorang wanita yang sangat nikmat untuk dibicarakan kisah hidupnya. Allah telah menghidupkannya kembali setelah ia memperoleh syahadah di jalannya. Sebagai contoh adalah apa yang diungkapkan oleh Hisyam ibn Ghazi. Hisyam berkata: “Kubur Ummu Haram binti Milhan terdapat di kepulauan Qubrus.” Penduduk pulau tersebut berkata: “Ini adalah kubur seorang wanita yang solehah.”

Hisyam berkata lagi: “Saya telah melihat kuburan Ummu Haram, dan saya berdiri sejenak di sampingnya. Kubur itu terdapat di pinggir pantai. Saya melihatnya pada tahun 91H. Adapun yang menambahkan kemuliaan yang diperolehi oleh Ummu Haram adalah bahawa orang-orang Barat juga menziarahi kuburan beliau. Mereka berkata: “Ini adalah kubur seorang wanita solehah. Bahkan dikatakan kalau mereka pun meminta pertolongan daripadanya. Ia meninggal mati syahid pada tahun 27H.”

Semoga Allah selalu meredai Ummu Haram binti Milhan dan menjadikannya bersama pasukan pertama muslim yang berperang di laut dalam syurga Firdaus.