Pergi ke kandungan

Tukang India (burung)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Tukang India
Pengelasan saintifik e
Domain: Eukaryota
Alam: Animalia
Filum: Chordata
Kelas: Aves
Order: Caprimulgiformes
Keluarga: Caprimulgidae
Genus: Caprimulgus
Spesies:
C. asiaticus
Nama binomial
Caprimulgus asiaticus
Latham, 1790

Tukang India (Caprimulgus asiaticus) ialah spesies tukang dalam keluarga Caprimulgidae. Ia merupakan pembiak menetap di tanah lapang di seluruh Asia Selatan dan Asia Tenggara. Seperti kebanyakan tukang, ia bersifat krepuskul dan boleh dicam mengikut seruannya pada waktu subuh dan senja yang diibaratkan seperti batu melompat di tasik beku. Ia kadang-kadang dilihat di jalan raya melalui pantulan merah matanya yang disinar oleh lampu kenderaan. Terdapat banyak kelainan buluannya sepanjang julatnya dan kadangkala sukar untuk dibezakan daripada tukang lain di rantau tersebut.

Pemerihalan

[sunting | sunting sumber]

Saiznya kecil dan ekor pendeknya bersudut putih, tengkuk dan relangnya keemasan, pipinya gelap, dan sisi tekaknya bertompok putih. Gombaknya kelabu dan dadanya bersorot halus perang. Jantan mempunyai lebih banyak putih pada ekornya manakala betina lebih banyak jalur pada gombaknya. Ia dibezakan daripada Caprimulgus mahrattensis oleh bahagian bawah ekornya yang gelap dan daripada Caprimulgus atripennis oleh ekornya yang lebih pendek dan tompok putih di sisi tekaknya.[2]

Seruannya tersendiri dan telah disamakan dengan batu yang dilangkau di tasik beku (disebabkan itu, ia juga pernah digelar "burung ais" di India kolonial[3][4]) atau bola pingpong yang melantun dengan pantas dan mencapai kehentian.[2]

Ia terbang selepas matahari terbenam dengan penerbangan seperti rama-rama yang mudah dan senyap. Pada siang hari, ia duduk di tanah, tersembunyi oleh buluannya; ia kemudiannya sukar dikesan, sebati dengan tanah.

Taksonomi dan sistematik

[sunting | sunting sumber]

Populasi menunjukkan kelainan dalam kecerunan ciri, iaitu buluan lebih pucat di zon kering barat laut India. Populasi Sri Lanka dinamakan eidos dan keseluruhannya lebih gelap dan kelabu. Di barat laut India, subspesies gurgaoni kuning pucat pasir yang sangat pudar, dengan populasi spesies penama di semenanjung India menunjukkan kelainan yang besar.[2]

Habitat dan taburan

[sunting | sunting sumber]

Ia ditemui di hutan terbuka, semak, dan penanaman. Ia biasanya duduk di tanah atau pokok rendah dan tidak dijumpai di tenggeran yang tinggi.

Ia ditemui dari barat laut India dan bahagian bersebelahan Pakistan tetapi tidak ditemui di kawasan gurun gersang. Ia ditemui di selatan Himalaya di dataran rendah timur ke Bangladesh, Myanmar, dan Vietnam. Ia juga terdapat di Sri Lanka.

Di Taman Negara Bandipur, India

Tiada sarang dibuat; dua biji telur jambu-santan marmar cantik ditelurkan terus ke tanah kosong pada bulan Februari hingga September; induk yang mengeram, duduk rapat, disamarkan dengan baik. Telurnya boleh dipindahkan pada jarak dekat.[5] Anak yang baru menetas dilitupi buluan perang pada bahagian atas dan karat cerah pada bahagian bawah. Matanya terbuka sebaik menetas dan anaknya boleh duduk tegak dan mengeluarkan bunyi yang lemah.[6]

Pemakanan

[sunting | sunting sumber]

Ia giat dan meramu menjelang subuh dan senja (krepuskul dan nokturnal). Pada waktu senja, ia sering terbang mengelilingi ternakan untuk memakan serangga yang berkerumun di sekeliling haiwan tersebut. Pada waktu malam, ia suka mengambil kesempatan daripada serangga yang berkerumun di sekitar lampu jalan atau sumber cahaya buatan lain. Ia membuka paruhnya seluas-luasnya ketika terbang melalui awanan serangga kecil. Ia juga boleh meramu di bawah kanopi dengan menerbang dari tempat tenggeran dan menangkap serangga pada ketinggian dedaun 5 – 15 kaki (~1.5 – 5 m). Serangga yang lebih besar biasanya dibawa kembali ke tenggeran makan kegemaran. Sambil memegang serangga dalam paruhnya, ia mengekalkan kepala tegak, menggoncang dan menelan mangsanya penuh, atau ia mungkin mematah-matahkan serangga tersebut sebelum makan. Serangga juga boleh diambil dari tanah atau dedaunan. Burung juvenil biasanya duduk di tanah sebelum membuat lompatan atau penerbangan pendek untuk menangkap serangga. Sebahagian besar makanannya terdiri daripada serangga terbang/berkerumun, seperti nyamuk, lalat, kumbang, belalang juta, semut bersayap, rama-rama, dan belalang, serta kutu tumbuhan dan cengkerik. Pada tahap yang lebih rendah, ia juga akan memakan larva, nimfa, dan telur serangga.

Ia kerap berehat di jalan raya pada waktu malam, kadangkala menangkap serangga di bawah lampu jalan.[7] Kilauan mata berpantulnya yang terang menjadikan ia mudah dilihat dalam pancaran lampu kenderaan. Ia bagaimanapun mungkin terpegun dengan lampu terang dan banyak yang terbunuh akibat lalu lintas kenderaan.[8]

  1. ^ BirdLife International (2016). "Caprimulgus asiaticus". Senarai Merah Spesies Terancam IUCN. 2016: e.T22689969A93253992. doi:10.2305/IUCN.UK.2016-3.RLTS.T22689969A93253992.en. Dicapai pada 13 November 2021.
  2. ^ a b c Rasmussen PC & JC Anderson (2005). Birds of South Asia. The Ripley Guide. Volume 2. Smithsonian Institution and Lynx Edicions. m/s. 254–255.Rasmussen PC & JC Anderson (2005).
  3. ^ Jerdon, T.C. (1862). The Birds of India. Volume I. Calcutta. m/s. 197.
  4. ^ Dewar, Douglas (1920). India Birds. Being a key to the common birds of the plains of India. London: John Lane The Bodley Head. m/s. 169.
  5. ^ Barnes, Alice D (1937). "Breeding of the Little Indian Nightjar Caprimulgus asiaticus asiaticus in the Chingleput District". J. Bombay Nat. Hist. Soc. 39 (4): 865–867.
  6. ^ Lamba, BS (1967). "Nestling of Common Indian Nightjar (Caprimulgus asiaticus Latham)". J. Bombay Nat. Hist. Soc. 64 (1): 110–111.
  7. ^ Bharos,AMK (1992). "Feeding by Common Nightjar Caprimulgus asiaticus and Indian Roller Coracias benghalensis in the light of mercury vapour lamps". J. Bombay Nat. Hist. Soc. 89 (1): 124.
  8. ^ Saxena, R. (1992). "Mortality rate in Common Indian Nightjar in road accidents". Newsletter for Birdwatchers. 32 (9–10): 17.