Pergi ke kandungan

Transkripsi fonetik

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Transkripsi fonetik ialah perlambangan visual bunyi-bunyi pertuturan (yakni fon bunyi) menggunakan simbol. Kebiasaan transkripsi fonetik adalah menggunakan abjad fonetik, contohnya Abjad Fonetik Antarabangsa.

Perbandingan dengan ortografi

[sunting | sunting sumber]

Cara sebutan pada kata-kata yang terdapat dalam semua bahasa di dunia berubah mengikut masa.[1] Namun, bentuk tulisan bahasa-bahasa tersebut (yakni ortografi) selalunya tidak berubah mengikut perubahan sebutan semasa, dan tidak mewakili sebutan sebenar sesuatu kata dengan tepat. Perkataan yang dipinjam daripada bahasa lain mungkin mengekalkan ejaannya seperti dalam bahasa asalnya, tetapi bahasa asal ini mungkin mempunyai aturan padanan ejaan-sebutan yang berbeza dengan bahasa yang meminjam kata ini. Sebutan sesuatu kata itu juga boleh berbeza antara pelbagai dialek pada sesuatu bahasa. Ortografi piawai dalam sesetengah bahasa seperti bahasa Inggeris dan Tibet, selalunya tidak teratur dan sukar untuk menjangka sebutan hanya berdasarkan ejaan. Contohnya, perkataan Inggeris bough, tough, cough, though and through walau sama-sama dieja "ough" pada kedudukan akhir tetapi mempunyai rima yang berbeza. Bahasa lain, seperti bahasa Sepanyol dan Itali mempunyai padanan ejaan-sebutan yang lebih konsisten (walaupun tidak sempurna), manakala beberapa bahasa mungkin mendakwa mempunyai sistem ejaan fonemik sepenuhnya (ortografi fonemik).

Transkripsi fonetik berupaya untuk menunjukkan padanan simbol dengan sebutan satu demi satu pada kebanyakkan bahasa berbanding ortografinya. Transkripsi fonetik membolehkan seseorang untuk tidak dibatasi oleh ortografi, memeriksa perbezaan sebutan antara dialek yang berbeza pada sesuatu bahasa dan mengenal pasti perubahan sebutan yang mungkin berlaku dari semasa ke semasa.

Prinsip asas transkripsi fonetik ialah ia sepatutnya boleh digunakan merentasi semua bahasa, dan simbolnya harus menunjukkan sifat fonetik yang sama merentasi apa jua bahasa yang ditranskripsikan. [2] Maka, transkripsi yang direka spesifik untuk satu bahasa atau kumpulan bahasa tertentu sahaja bukanlah transkripsi fonetik tetapi semata-mata ortografi.

Perbezaan transkripsi: antara sempit dan luas, serta antara fonetik dan fonemik

[sunting | sunting sumber]

Transkripsi fonetik boleh digunakan untuk mentranskripsi fon-fon yang ada pada sesuatu bahasa. Terdapat perbezaan antara transkripsi luas dan transkripsi sempit pada semua jenis sistem transkripsi. Transkripsi luas hanya menunjukkan ciri fonetik yang paling ketara pada sesuatu ujaran, manakala transkripsi sempit mengekod lebih banyak maklumat tentang butiran fonetik alofon yang terdapat dalam ujaran tersebut. Perbezaan antara transkripsi luas dan transkripsi sempit adalah dalam bentuk julat yang sukar untuk meletak sempadan pemisahan, tetapi perbezaan antara transkripsi fonemik dan transkripsi fonetik terdapat batas pemisahan yang jelas.[3] Transkripsi fonemik ialah satu bentuk transkripsi luas tertentu yang mengabaikan semua perbezaan alofon (contohnya perbezaan antara penutur individu atau kesemua dialek pada satu bahasa yang sama). Transkripsi fonemik hanya menyediakan suatu bentuk perwakilan kepada bunyi-bunyi yang memisahkan unit kata abstrak tersendiri pada sesuatu bahasa (fonem), makanya ia bukanlah boleh dianggap sebagai transkripsi fonetik sama sekali (walaupun kadangkala dua jenis transkripsi ini boleh kelihatan sama secara kebetulan). Sebaliknya, transkripsi fonetik menumpukan terhadap butiran akustik atau butiran artikulatori yang lebih tepat, sama ada dalam bentuk yang lebih luas mahupun yang lebih sempit. Sesuatu transkripsi yang merangkumi beberapa butiran alofon tetapi masih berkait rapat dengan struktur fonemik sesuatu ujaran pula dikenali sebagai transkripsi alofonik.

Kelebihan transkripsi yang lebih sempit ialah ia dapat membantu pelajar bahasa menghasilkan bunyi yang betul-betul tepat dan membolehkan ahli linguistik membuat analisis terperinci tentang variasi bahasa.[4] Kelemahannya ialah transkripsi sempit jarang mewakili cara sebutan kesemua penutur sesuatu bahasa. Ambil contoh perkataan Inggeris little, walaupun kebanyakan orang Amerika, Kanada, dan Australia akan menyebut /t/ sebagai bunyi tamparan [ɾ] manakala /l/ (yang kedua) sebagai L tebal (ditranskripsi menjadi [ɫ]), ramai penutur di selatan England akan menyebut /t/ sebagai [ʔ] (hentian glotis; pengglotalan bunyi t) dan /l/ yang kedua itu disebut menjadi sesuatu yang dekat dengan [o] (pemvokalan bunyi L). Maka dari segi fonetik, little boleh ditranskripsi menjadi sesuatu yang seakan dengan [ˈɫɪɾɫ̩] menurut kebanyakan loghat Amerika, Kanada dan Australia tetapi akan jadi [ˈlɪʔo] pula menurut loghat England Selatan. Tambahan pula, terutamanya menurut loghat Australia, bunyi vokal pada suku kata pertama perkataan little akan cenderung untuk berada pada kedudukan yang lebih tinggi berbanding loghat Amerika Utara, sehingga terbentuk transkripsi fonetik yang lebih sempit seperti [ˈɫɪ̝ɾɫ̩]. Namun di samping itu juga, transkripsi fonemik luas untuk perkataan little juga boleh tersedia tanpa menghiraukan butiran fonetik loghat-loghat tersebut. Hal ini boleh jadi amat berguna apabila butiran fonetik sekecil-kecil itu tidak lagi penting untuk dibezakan, atau apabila penekanan yang dilakukan adalah pada corak menyeluruh. Contohnya, transkripsi fonemik lazim untuk little ialah /ˈlɪtᵊl/, yang lebih biasa dijumpai pada kamus-kamus bahasa Inggeris United Kingdom dan bahasa Inggeris Amerika Syarikat.[5][6] (Tanda garis miring digunakan untuk tujuan fonemik berbanding tanda kurung siku yang lebih kepada tujuan fonetik.)

Kekurangan lanjutan transkripsi sempit ialah ia melibatkan jauh lebih banyak simbol dan diakritik yang mungkin kurang dikenali oleh mereka yang bukan pakar. Transkripsi luas biasanya membenarkan pengitlakan dilakukan sehingga boleh diguna pakai merentasi loghat dan dialek, dan ia lebih wajar digunakan untuk data sebutan pada kamus biasa, yang mungkin akan membincangkan berkenaan butiran fonetik pada laman kata pengantar tetapi butiran fonetik tersebut jarang diberikan untuk setiap entri kata. Kebanyakan ahli linguistik menggunakan transkripsi sempit hanya apabila diperlukan sahaja, dan kebanyakan waktunya akan menggunakan transkripsi luas.

Jenis-jenis sistem tatatanda

[sunting | sunting sumber]

Kebanyakan transkripsi fonetik adalah berdasarkan andaian bahawa bunyi linguistik boleh dibahagikan kepada unit diskret yang boleh diwakilkan dengan simbol. Terdapat pelbagai jenis transkripsi atau tatatanda telah dicuba: seperti Abjad (yang berdasarkan prinsip sama yang mengawal penulisan berasaskan sistem "alfabet", iaitu menggunakan satu simbol ringkas untuk mewakili hanya satu bunyi) dan Biabjad (notasi yang bukan abjad bersistem "alfabet") yang setiap satu bunyi itu diwakilkan dengan satu simbol komposit yang terdiri daripada beberapa tanda yang disatukan. [7]

Mengikut abjad

[sunting | sunting sumber]
Abjad Fonetik Antarabangsa

Abjad Fonetik Antarabangsa (AFA) ialah sistem berabjad fonetik yang paling banyak digunakan dan terkenal pada masa kini dengan berlatarkan sejarah yang lama. Ia dicipta pada abad kesembilan belas oleh guru-guru bahasa serta ahli linguistik di Eropah. Ia dengan pantasnya berkembang melangkaui tujuan asalnya sebagai alat pedagogi bahasa asing dan kini juga digunakan secara meluas sebagai abjad praktikal oleh ahli fonetik dan ahli linguistik. Ia ditemui dalam banyak kamus (seperti Kamus Dewan Perdana) untuk menunjukkan sebutan sesuatu perkataan, namun kebanyakan kamus Amerika yang ditujukan kepada penutur asli bahasa Inggeris seperti American Heritage Dictionary of the English Language, Random House Dictionary of the English Language, dan Webster's Third New International Dictionary mengelak dari menggunakan transkripsi fonetik dan sebaliknya menggunakan sistem-sistem pengejaan semula berdasarkan abjad Inggeris, dengan tanda diakritik di atas huruf-huruf vokal serta tanda tekanan.[8]

Satu lagi kebiasaan pengabjadan lain adalah dicipta oleh ahli-ahli linguistik Amerika untuk mentranskripsi bahasa-bahasa orang asli Amerika dan orang Eropah, masih biasa digunakan oleh ahli-ahli linguistik untuk bahasa-bahasa Slavik, India, Samiah, Ural (di sini dikenali sebagai Abjad Fonetik Ural) dan Kaukasia. Abjad ini dikenali sebagai abjad fonetik Amerika walaupun telah digunakan secara meluas untuk bahasa-bahasa di luar wilayah Amerika. Perbezaan utama antara sistem abjad ini dengan AFA adalah: penggantian aksara-aksara yang dicipta khas untuk AFA kepada aksara-aksara yang sedia ada wujud pada mesin taip dengan penggunaan diakritik (contohnya banyak aksara yang dipinjam daripada ortografi Eropah Timur) atau digraf. Contoh transkripsi seperti ini boleh dilihat pada buku Phonemics[9] oleh Pike dan pada banyak kertas kerja yang dicetak semula dalam Readings in Linguistics 1[10] oleh Joo. Sebelum penciptaan pasuan khas fonetik sistem penaipan berkomputer, sistem ini membenarkan bahan ditaip pada mesin taip sedia ada untuk mencipta bahan boleh cetak.

Terdapat juga versi lanjutan IPA, contohnya: Ext-IPA dan VoQS, serta can IPA oleh Luciano Canepari.

Perkara lain berkaitan transkripsi beralfabet

[sunting | sunting sumber]

Persatuan Fonetik Antarabangsa mengesyorkan transkripsi fonetik hendaklah diletakkan dalam tanda kurung siku "[ ]", manakala transkripsi yang secara khusus menunjukkan perbezaan fonemik boleh diletakkan di antara dua tanda palang "/ /". Jika seseorang tidak pasti, sebaiknya gunakan kurungan penggunaan garis miring pada sesebuah transkripsi menunjukkan bahawa seseorang itu mendakwa secara teorinya bahawa setiap simbol itu berbeza secara fonemik untuk bahasa yang ditranskripsikan.

Terdapat fleksibiliti dalam seberapa rapat bunyi boleh ditranskripsikan dalam transkripsi-transkripsi fonetik. Transkripsi yang hanya memberikan idea asas tentang bunyi bahasa dalam makna yang paling luas dikenali sebagai transkripsi luas, yang kadangakala ia mungkin berpadanan dengan transkripsi fonemik (bezanya adalah transkripsi luas tidak ada tuntutan teori fonemik). Transkripsi yang menunjukkan butiran sesuatu bunyi yang sangat terperinci dan setepat mungkin dikenali sebagai transkripsi sempit. Kedua-dua jenis transkripsi bukan pilihan satu-antara-dua tetapi dua hujung di akhir satu kontinum transkripsi fonetik, dengan banyak kemungkinan di antaranya. Kedua-dua transkripsi ini ditulis dalam kurungan bersegi.

Contohnya, transkripsi sempit bagi perkataan bahasa Inggeris "pretzel" dalam sesetengah dialek ialah [ˈpɹ̥ʷɛʔts.ɫ̩], yang mencatatkan beberapa ciri-ciri fonetik yang mungkin tidak mudah dikesan oleh penutur asli. Contoh transkripsi luas ialah [ˈpɹ̥ɛts.ɫ̩], yang hanya menunjukkan beberapa ciri yang lebih mudah terdengar. Transkripsi yang lebih luas ialah [ˈpɹɛts.l] di mana setiap simbol mewakili bunyi pertuturan yang jelas makna fonetiknya tetapi tidak ada penambahan sebarang butiran yang mungkin kelihatan tidak perlu. Tiada satu pun daripada transkripsi tersebut membuat sebarang tuntutan tentang status fonemik bunyi-bunyi yang terkandung. Sebaliknya, mereka mewakili cara-cara tertentu yang memungkinkan penyebutan bunyi-bunyi yang membentuk satu kata. [11]

Terdapat juga beberapa kemungkinan bagaimana untuk mentraskripsi perkataan secara fonemik, tetapi di sini, perbezaannya secara amnya bukan mengejar ketepatan sesuatu bunyi tetapi analisis bunyi. Sebagai contoh, pretzel boleh menjadi /ˈprɛts.l̩/ atau /ˈprɛts.əl/ . Transkripsi yang kemudian menunjukkan bahawa terdapat dua bunyi vokal dalam perkataan itu walaupun tidak semestinya kedua-duanya dapat didengari, tetapi transkripsi yang pertama menunjukkan bahawa hanya ada satu bunyi vokal sahaja.[12]

Kewujudan perbezaan transkripsi fonemik yang "luas" dan "sempit" adalah mustahil sama sekali, kerana simbol-simbol yang dipilih hanya mewakili bunyi-bunyi yang sudah menunjukkan perbezaan ketara. Walau bagaimanapun, simbol-simbol itu sendiri mungkin mempunyai cara realisasi fonetik yang lebih atau kurang jelas. [13] Contoh yang sering dipetik ialah simbol yang dipilih mewakili konsonan Inggeris pada permulaan perkataan "rue", "rye" dan "red" yang sering ditranskripsi sebagai /r/, walaupun simbol itu sebenarnya mencadangkan perkaitan dengan simbol AFA [r] yang secara spesifiknya merujuk bunyi konsonan getaran hujung lidah. Sebenarnya boleh sahaja jika menggunakan simbol /ɹ/ dalam transkripsi fonemik, yakni merujuk kepada malaran tak geser gusi dalam AFA, kerana simbol ini mewakili kaedah realisasi yang lebih kerap digunakan untuk sebutan dalam bahasa Inggeris di Amerika Syarikat dan England. Simbol-simbol fonemik selalunya akan dipilih untuk mengelakkan penggunaan diakritik sebanyak mungkin, di bawah dasar 'satu bunyi satu simbol', atau mungkin dihadkan kepada simbol-simbol ASCII pada papan kekunci biasa, yakni abjad SAMPA. Sebagai contoh, perkataan Inggeris "church" boleh ditranskripsikan sebagai /tʃɝːtʃ/ yang menghampiri sebutan sebenar, atau lebih abstrak sebagai /crc/, yang lebih mudah untuk ditaip. Simbol-simbol fonemik hendaklah sentiasa disandarkan dengan penjelasan tentang penggunaan dan maknanya, terutamanya apabila ia berbeza daripada sebutan sebenar seperti /crc/ . [14]

Kadangkala sesuatu transkripsi akan diletakkan di antara dua tanda garis menegak ("| |"), dan transkripsi ini menambah analisis morfologi selain aspek fonologi. Contohnya perkataan "pets" dan "beds" boleh ditranskripsikan secara fonetik sebagai [pʰɛʔts] dan [b̥ɛd̥z̥] (dalam transkripsi yang agak sempit), dan secara fonemik sebagai /pɛts/ dan /bɛdz/ . Oleh kerana /s/ dan /z/ ialah fonem yang berasingan dalam bahasa Inggeris, mereka menerima simbol yang berasingan dalam analisis fonemik. Walau bagaimanapun, jika penutur asli bahasa Inggeris beranggap bahawa kedua-dua "s" pada "pets" dan "beds" mewakili imbuhan jamak yang sama, maka boleh menggunakan simbol garis menegak, dan perkataan boleh ditranskripsikan |pɛts| dan |bɛds|. Jika anggapannya imbuhan jamak adalah "z", maka transkripsi ini akan menjadi |pɛtz| dan |bɛdz|.

Tanda garis miring berganda ("⫽ ⫽") kadangkala digunakan untuk menandakan transkripsi diafonemik. Transkripsi diafonemik menampung variasi antara sistem fonemik pada pelbagai kelainan atau diasistem sesuatu bahasa. Contohnya, jika seseorang penutur kelainan A menyebut set leksikal BATH dengan bunyi [ɑː] seperti pada set leksikal PALM, manakala penutur kelainan B pula menyebut set leksikal BATH dengan bunyi [æ] seperti set leksikal TRAP, maka transkripsi diafonemik yang digunakan untuk menampung kelainan A dan kelainan B pada masa yang sama akan mentranskripsi ketiga-tiga set kelsikal dalam tiga cara berbeza, contohnya PALM ⫽pɑːm⫽, TRAP ⫽træp⫽, dan BATH ⫽baθ⫽, manakala ⫽a⫽ akan memberi maksud ‘disebut sebagai [ɑː] mengikut kelainan A dan [æ] mengikut kelainan B.’ Cara-cara lain untuk menanda transkripsi diafonemik termasuklah tanda seru ("! !") atau tanda garis menegak ("| |").

Pemisahan antara ortografi asli sesuatu bahasa dengan transkripsi berdasarkan simbol-simbol AFA perlu dilakukan untuk mengelakkan kekeliruan, supaya perkataan Inggeris contohnya seperti "jet" tidak dibaca sebagai "yet". Perkara ini boleh dilakukan dengan menambah tanda kurung patah ("< >") menjadi jet. Penggunaan tanda kurung patah tidak semestinya hanya digunakan pada ortografi bahasa Inggeris sahaja, kerana semua jenis ortografi asli yang wujud dalam mana-mana bahasa juga boleh ditulis dalam tanda kurung patah.

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]

Sistem tatatanda

[sunting | sunting sumber]
  • Abjad Fonetik Amerika
  • ARPABET
  • Abjad fonetik Cyril
  • Abjad Fonetik Antarabangsa
    • Perbandingan pengekodan ASCII bagi Abjad Fonetik Antarabangsa
    • SAMPA
    • X-SAMPA
    • Carta AFA untuk bahasa Inggeris
  • Abjad Fonetik RFE, (Revista de Filología Española)
  • Notasi Stokoe untuk mewakili bahasa isyarat
  • Abjad Fonetik Ural (AFU)
  • Ucapan Nampak
  • Teuthonista

Bibliografi

[sunting | sunting sumber]
  • Albright, Robert W. (1958). The International Phonetic Alphabet: Its Background and Development. International Journal of American Linguistics (Vol. 24, No. 1, Part 3); Indiana University Research Center in Anthropology, Folklore, and Linguistics, publ. 7. Baltimore. (Doctoral dissertation, Stanford University, 1953).
  • Canepari, Luciano. (2005). A Handbook of Phonetics: Natural Phonetics. München: Lincom Europa, pp. 518. ISBN 3-89586-480-3 (hb).
  • Ellis, Alexander J. (1869–1889). On Early English Pronunciation (Parts 1 & 5). London: Philological Society by Asher & Co.; London: Trübner & Co.
  • International Phonetic Association. (1949). The Principles of the International Phonetic Association, Being a Description of the International Phonetic Alphabet and the Manner of Using It, Illustrated by Texts in 51 Languages. London: University College, Department of Phonetics.
  • International Phonetic Association. (1999). Handbook of the International Phonetic Association: A Guide to the Use of the International Phonetic Alphabet. Cambridge: Cambridge University Press. ISBN 0-521-65236-7 (hb); ISBN 0-521-63751-1 (pb).
  • Jespersen, Otto. (1889). The Articulations of Speech Sounds Represented by Means of Analphabetic Symbols. Marburg: Elwert.
  • Kelly, John. (1981). The 1847 Alphabet: An Episode of Phonotypy. In R. E. Asher & E. J. A. Henderson (Eds.), Towards a History of Phonetics. Edinburgh: Edinburgh University Press.
  • Kemp, J. Alan. (1994). Phonetic Transcription: History. In R. E. Asher & J. M. Y. Simpson (Eds.), The Encyclopedia of Language and Linguistics (Vol. 6, pp. 3040–3051). Oxford: Pergamon.
  • MacMahon, Michael K. C. (1996). Phonetic Notation. In P. T. Daniels & W. Bright (Ed.), The World's Writing Systems (pp. 821–846). New York: Oxford University Press. ISBN 0-19-507993-0.
  • Pike, Kenneth L. (1943). Phonetics: A Critical Analysis of Phonetic Theory and a Technique for the Practical Description of Sounds. Ann Arbor: University of Michigan Press.
  • Pullum, Geoffrey K.; & Ladusaw, William A. (1986). Phonetic Symbol Guide. Chicago: University of Chicago Press. ISBN 0-226-68532-2.
  • Sweet, Henry. (1880–1881). Sound Notation. Transactions of the Philological Society, 177-235.
  • Sweet, Henry. (1971). The Indispensable Foundation: A Selection from the Writings of Henry Sweet. Henderson, Eugénie J. A. (Ed.). Language and Language Learning 28. London: Oxford University Press.
  1. ^ Shariatmadari, David (2019). Don't Believe a Word. Weidenfeld & Nicolson. m/s. 21–40. ISBN 978-1-4746-0843-5.
  2. ^ Crystal, David (1997). The Cambridge Encyclopedia of Language (ed. 2nd). Cambridge University Press. m/s. 160.
  3. ^ Laver, John (1994). Principles of Phonetics. Cambridge. m/s. 550. ISBN 0-521-45655-X.
  4. ^ Ball, Martin; Rahilly, Joan (1999). Phonetics: the Science of Speech. Arnold. m/s. 142–3. ISBN 0-340-70010-6.
  5. ^ "little". Merriam-Webster.com Dictionary..
  6. ^ "Little". Collins English Dictionary. HarperCollins Publishers, 2023.
  7. ^ Abercrombie, David (1967). Elements of General Phonetics. Edinburgh. m/s. 111–112.
  8. ^ Landau, Sidney (2001) Dictionaries: The Art and Craft of Lexicography, 2nd ed., p 118. Cambridge University Press. ISBN 0-521-78512-X.
  9. ^ Pike, Kenneth (1947). Phonemics. University of Michigan.
  10. ^ Joos, M., penyunting (1957). Readings in Linguistics 1. University of Chicago.
  11. ^ Abercrombie, David (1967). Elements of General Phonetics. Edinburgh. m/s. 128–9.
  12. ^ Roach, Peter (2009). English Phonetics and Phonology (ed. 4th). Cambridge University Press. m/s. 100–1. ISBN 978-0-521-71740-3.
  13. ^ Jones, Daniel (1967). An Outline of English Phonetics (ed. 9th). Heffer. m/s. 335–6.
  14. ^ Laver, John (1994). Principles of Phonetics. Cambridge University Press. m/s. 551.