Pergi ke kandungan

Tidak Pernah Ku Sesali

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Tidak Pernah Ku Sesali ialah sebuah siri drama televisyen Malaysia 2007 arahan Faisal Ishak. Drama ini dibintangi oleh Zaefrul Nordin, Arni Nazira dan Ashraf Sinclair dan telah bersiaran di Slot Arca TV1.

Tidak Pernah Ku Sesali
GenreDrama
Cinta
Konflik
Dendam
Ditulis olehSharifah Abu Salem
PengarahFaisal Ishak
Dibintangi oleh
Zaefrul Nordin
Arni Nazira
Ashraf Sinclair
Lagu pembukaanErti Kasih - Allahyarham Izwan Pilus
Lagu penutupErti Kasih - Allahyarham Izwan Pilus
Negara asal Malaysia
BahasaBahasa Malaysia
Bilangan episod30
Penerbitan
Penerbit eksekutifSuriyati Sidek
PenerbitJs Foo
Tempoh siaran36-40 Minit
Syarikat pengedaran
Asia Media Content
Penyiaran
Saluran asalTV1

Konflik keluarga Datuk Mahmud dan Datin Sharifah memuncak sekembalinya anak lelaki sulung mereka, Prof. Helmi dan isterinya, Hanim yang dinikahi di Amerika. Ini kerana kepulangan Prof. Helmi tidak disenangi adik-adiknya terutama Asmadi dan Rahimi kerana Prof. Helmi dilantik oleh ayah mereka untuk mengambil alih perniagaan keluarga. Malah Junaidah dan Anita, kedua-dua menantu Datuk Mahmud dan Datin Sharifah cemburukan Hanim yang ternyata lebih disayangi oleh mertuanya kerana dia berkeperibadian mulia.

Prof. Helmi bukannya mahu membolot kekayaan ayahnya sebaliknya dia mahukan adik-beradiknya bekerjasama memajukan syarikat, hasil titik peluh ayah mereka selama ini. Namun, Prof. Helmi kecewa apabila mendapati banyak penyelewengan berlaku ketika syarikat diurus oleh Asmadi dan Rahimi ketika ayah mereka sakit akibat serangan jantung. Hanya Asraf, adiknya yang seorang lagi sahaja yang boleh diharapkan yang selama ini menegur tindak tanduk tidak betul Rahimi dan Asmadi. Namun, Asraf lebih berminat mengendalikan perniagaan sendiri dalam industri pertanian.

Saman

Paling mengecewakan Prof. Helmi apabila syarikat menerima surat saman daripada pelanggan kerana kegagalan syarikat perkapalan Datuk Mahmud menepati jadual membawa barang masuk ke Malaysia seperti dijadualkan. Prof. Helmi meminta bantuan Rahimi dan Asmadi untuk menyelesaikan perkara itu, tetapi mereka mengambil sikap sambil lewa.

Keengganan mereka melakukan penyiasatan kerana mereka sebenarnya berkomplot dengan pelanggan tersebut menaikkan tuntutan saman daripada RM3 juta kepada RM5 juta di mana mereka berdua akan mengambil RM1 juta seorang. Prof. Helmi tidak membuat laporan polis memandangkan mereka adalah darah daging sendiri dan meminta mereka memulangkan wang tersebut kepada syarikat. Tetapi, masing-masing sudah membelanjakan wang tersebut.

Sementara itu, Datuk Mahmud membuat kejutan untuk membahagikan harta dan saham syarikat kepada anak-anak dan menantunya. Anita, Junaidah dan anak perempuan Datuk Mahmud, Malina mempersoalkan saham Hanim yang lebih.

Anita juga menyebarkan cerita bahawa Prof. Helmi dan Hanim akan bercerai kerana kononnya Prof. Helmi menghadapi masalah kelelakian. Untuk menutup mulut daripada perkara itu sampai ke pengetahuan Datuk Mahmud, Anita meminta Prof. Helmi sebanyak RM3 juta. Ugutan Anita itu gagal kerana Datuk Mahmud sudah mengetahui perkara itu.

Dalam pada itu, Prof. Helmi dan Hanim terpaksa membuka cerita sebenar bahawa mereka sebenarnya berlakon sebagai suami isteri akibat kemalangan yang menyebabkan kedua-dua kereta mereka terhumban ke dalam sungai di Amerika. Prof. Helmi dan Hanim sebenarnya telah berkahwin dengan pasangan masing-masing. Prof. Helmi berkahwin dengan Khalidah dan Hanim dengan Dr. Farid dan pasangan mereka hilang tanpa dapat dikesan pada hari kemalangan itu. Prof. Helmi meminta Hanim menjadi isterinya untuk memenuhi harapan keluarga melihatnya pulang membawa isteri.

Apakah yang bakal berlaku kepada hubungan Prof. Helmi dan Hanim apabila Dr. Farid dan Khalidah yang disangka mati selama ini muncul kembali menagih cinta?