Pergi ke kandungan

The Gallopin' Gaucho

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
The Gallopin' Gaucho
PengarahWalt Disney
PenerbitWalt Disney
SuaraWalt Disney
PemuzikCarl Stalling
JuruanimasiUb Iwerks
StudioDisney
Tarikh keluaran2 Ogos 1928
Proses warnaHitam Putih
Tempoh6:22 min.
NegaraAmerika Syarikat
MenyusuliPlane Crazy
DisusuliSteamboat Willie

The Gallopin' Gaucho (1928) ialah filem terbitan kedua yang menampilkan Mickey Mouse, selepas Plane Crazy dan sebelum Steamboat Willie. The Walt Disney Company menyiapkan versi senyapnya pada 2 Ogos 1928, tetapi tidak dapat mengedarkannya dengan meluas. Disebabkan kurang menarik minat, filem ini tidak menikmati tayangan umum sehingga selepas keluarnya Steamboat Willie dan Plane Crazy, menjadikannya filem pendek Mickey Mouse ketiga dengan versi berbunyi yang keluar pada 30 Disember 1928.

Mickey dan Minnie Mouse sudah membuat kemunculan pertama dalam filem Plane Crazy pada 15 Mei 1928. Namun demikian, filem Plane Crazy gagal menarik perhatian penonton. The Gallopin' Gaucho adalah cubaan kedua oleh pengarah bersama Walt Disney dan Ub Iwerks. Iwerks juga bertugas sebagai satu-satunya juruanimasi karya kartun ini.

Filem pendek ini bertujuan mengajuk filem The Gaucho oleh Douglas Fairbanks yang mula ditayangkan pada 21 November 1927. Menyusuli filem asal tersebut, peristiwa-peristiwa dalam filem kartun ini berlatarkan tanah Pampa di Argentina dengan watak Mickey yang memegang peranan gaucho yang disebut oleh judulnya.


Pada awalnya, Mickey menunggang seekor burung rhea seperti kuda, sehingga sampai di kedai makan Cantina Argentina. Dia memasuki kedai itu untuk bersantai sambil meminum arak dan merokok.

Di dalam kedai itu adanya pelayan dan penari Minnie Mouse dan seorang pelanggan bernama Black Pete yang merupakan seorang penjenayah yang diburu-buru. Pete sudah muncul sebagai antagonis dalam siri Alice Comedies dan Oswald the Lucky Rabbit, tetapi dalam filem pendek inilah Pete julung kali bersemuka dengan Mickey dan Minnie. Mickey dan Minnie pun kelihatan tidak saling mengenali, seolah-olah inilah kali pertama mereka bersemuka.

Minnie menari tango dan salsa sambil menarik main-main cinta dari Mickey dan Pete. Pete kemudian cuba menamatkan perbalahan dengan Mickey dengan menculik dan melarikan Minnie dengan menunggang kuda. Mickey dan burungnya mengejar Pete sampai dapat, kemudian berlawan pedang dengan musuhnya itu. Akhirnya Mickey menang dan mendapatkan Minnie. Sebagai penamat, Mickey dan Minnie menunggang burung rhea itu ke kejauhan.


Pautan luar

[sunting | sunting sumber]