Tarian Barongan
Tarian Barongan atau Reog merupakan sejenis tarian rakyat Jawa daripada Ponorogo, Jawa Timur, Indonesia yang menggambarkan kisah Kerajaan Bantarangin dan rajanya yang bernama Klono Sewandono. Para penari Barongan meliputi tokoh-tokoh seperti Warok, Jathil (Kuda Kepang), Bujangga Anom (Pujangga Anom), Klono Sewandono, dan Singo Barong (Dadak Merak). Barongan dicirikan oleh Dadak Merak, topeng besar menyerupai kepala harimau dengan burung merak di atasnya. Tarian ini diiringi alat-alat muzik seperti saron, kendang, kenong, bonang, gong, slompret, dan angklung.[1] Tarian Barongan dipersembahkan dalam pelbagai majlis seperti upacara mengelak bencana, acara pembersihan kampung, perkahwinan, hari kebesaran Islam dan kebangsaan, berkhatan, upacara kesyukuran, perayaan awam dan menyambut tetamu. Barongan merangkumi nilai budaya, makna, dan fungsi sosial yang kaya untuk masyarakat Jawa, khususnya Ponorogo. Berdasarkan kajian, Barongan atau Reog Ponorogo bermula sejak lebih dari dua abad, terbukti dari teks sejarah seperti manuskrip Serat Centhini.[2]
Tarian Barongan yang berasal daripada Ponorogo, Jawa Timur, Indonesia, kini juga telah bertapak dalam masyarakat keturunan Jawa di Semenanjung Malaysia, khususnya di Johor. Awal abad ke-19 hingga abad ke-20 merupakan gelombang penghijrahan orang Jawa ke Semenanjung Tanah Melayu, khususnya ke Johor, bersama-sama kumpulan etnik lain dari Kepulauan Indonesia seperti Bugis, Boyan, Rawa, Mandailing, dan Aceh. Dalam kalangan pendatang Jawa yang tiba di Johor, ramai yang berasal dari Ponorogo dan menetap di kawasan seperti Kampung Parit Warijo, Parit Bingan, dan Parit Nipah Barat di kawasan Batu Pahat. Sebahagian daripada mereka membawa adat dan tradisi mereka seperti Barongan. Pada tahun 1900, Barongan Reog mula diperkenalkan di Johor oleh Saikon Kertos yang tinggal di Kampung Perpat. Dalam usaha memperkukuh jati diri dan budaya Jawa di Johor, beberapa masyarakat membentuk kumpulan seni Reog Barongan. Pada tahun 1935, Bingan Abu Kahar, pengasas Parit Bingan telah menubuhkan kumpulan Reog Barongan dengan nama Setia Budi. Pada tahun 1970 Mohamad Haji Marji dari Parit Bingan mengasaskan Sri Wahyuni. Pada 2007, rakyat Indonesia berang apabila kerajaan Malaysia menampilkan Barongan sebagai salah satu produk pelancongannya tanpa mengakui asal usul tarian Ponorogo. Di Jakarta, ribuan orang berkumpul di hadapan Kedutaan Besar Malaysia untuk membantah dengan sepanduk yang mempersendakan Malaysia sebagai “Malingsia” atau pencuri.[3]
Tarian Barongan Reog Ponorogo telah diiktiraf sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Kebangsaan Indonesia pada tahun 2013. Selain itu, tarian Barongan Blora dan Barongan Kudus daripada Jawa Tengah turut diiktiraf pula sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Kebangsaan Indonesia pada tahun 2017 dan 2022.[4] Pada tanggal 3 Disember 2024, seni persembahan Barongan Reog Ponorogo telah diiktiraf sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara (Intangible Cultural Heritage) UNESCO yang memerlukan perlindungan segera (Need of Urgent Safeguarding).[5] Seni Barongan Reog ini menjadi salah satu daripada 16 warisan budaya tidak ketara Indonesia yang telah diiktiraf oleh UNESCO selain daripada Wayang, Keris, Batik, Angklung, Tarian Saman, Noken, Tarian Bali, Pinisi, Pencak Silat, Pantun, Gamelan, Jamu, Kebaya, dan Kolintang.[6]
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ "Communities - Reog Ponogoro". PUSAKA (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-01-30.
- ^ "UNESCO - Reog Ponorogo performing art". ich.unesco.org (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-01-30.
- ^ Ramli, Izzuddin (2022-12-01). "Seni Reog: An Epic Battle and a Cultural Dispute". Izzuddin Ramli (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-01-30.
- ^ "Budaya Kita". budaya-data.kemdikbud.go.id (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-01-30.
- ^ "UNESCO - Reog Ponorogo performing art". ich.unesco.org (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-01-30.
- ^ "UNESCO - Indonesia". ich.unesco.org (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-01-30.