Sumpah perlembagaan jawatan di Malaysia
Sumpah perlembagaan bagi jawatan di Malaysia adalah suatu lafaz sumpah yang telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia untuk jawatan-jawatan yang turut diperuntukan oleh perlembagaan Persekutuan itu. Keperluan sumpah berlaku bagi perlbagai peringkat daripada peringkat paling tinggi dalam sistem Persekutuan iaitu Yang di-Pertuan Agong hingga kepada ahli parlimen dan hakim-hakim. Aturan lafaz sumpah mereka juga telah ditera dalam perlembagaan.
Yang di-Pertuan Agong dan timbalan
[sunting | sunting sumber]Perkara 37 Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan sebelum menjalankan fungsi baginda. Sumpah jawatan tersebut telah dinyatakan dalam Bahagian I Jadual Keempat dan haruslah dilafazkan dan ditandatangani di hadapan Majlis Raja-Raja dan dengan kehadiran Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan (atau semasa ketiadaannya dengan kehadiran hakim Mahkamah Persekutuan yang kanan selepasnya yang ada); dan sumpah itu hendaklah diakusaksikan oleh dua orang yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja.
Bagi Timbalan Yang di-Pertuan Agong, selain fungsi yang boleh dijalankan bagi maksud memanggil Majlis Raja-Raja bermesyuarat, baginda juga hendaklah mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan seperti yang dinyatakan dalam Bahagian II Jadual Keempat di hadapan Majlis Raja-Raja dan dengan kehadiran Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan (atau hakim Mahkamah Persekutuan yang kanan selepasnya yang ada).
Kedua-dua lafaz sumpah tersebut turut diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan dinyatakan dalam Bahagian III Jadual Keempat. [1]
Lafaz sumpah
[sunting | sunting sumber]Sumpah Jawatan bagi Yang di-Pertuan Agong mengikut Bahagian I Jadual Keempat:
"Kami .......................................................... ibni .............................................. Yang di-Pertuan Agong bagi Malaysia bersumpah dengan melafazkan: maka dengan lafaz ini berikrarlah Kami dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana undang-undang dan Perlembagaan yang telah disahkan dan dimasyurkan dan akan disah dan dimasyurkan di masa hadapan ini. Dan lagi Kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam Negeri."
Wallahi: Wabillahi: Watallahi:
Sumpah Jawatan bagi Timbalan Yang di-Pertuan Agong mengikut Bahagian II Jadual Keempat:
"Kami ..................................................... ibni ....................................... yang telah dilantik menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Malaysia bersumpah dengan melafazkan: dan dengan lafaz ini berikrarlah Kami dengan sesungguh dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan tanggungan Kami yang telah ditetapkan dan yang akan ditetapkan pada suatu masa ke suatu masa yang ke hadapan ini oleh undang-undang dan Perlembagaan Negeri Malaysia."
Wallahi: Wabillahi: Watallahi:
Sumpah jawatan persekutuan lain
[sunting | sunting sumber]Jemaah menteri
[sunting | sunting sumber]Dalam Perkara 43 (6) menyatakan bahawa sebelum seseorang Menteri Persekutuan menjalankan fungsi jawatannya, dia hendaklah mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia dan juga sumpah simpan rahsia yang dinyatakan dalam Jadual Keenam di hadapan Yang di-Pertuan Agong.
Ahli-ahli Parlimen
[sunting | sunting sumber]Semua ahli-ahli Parlimen termasuk Yang di-Pertua Dewan dikehendaki mengangkat dan menandatangani di hadapan Dewan Rakyat sumpah jawatan dan sumpah setia yang dinyatakan dalam Jadual Keenam. Perkara 57 menetapkan bawa mana-mana orang yang bukan ahli Dewan Rakyat yang dipilih sebagai Yang di-Pertua hendaklah mengangkat dan menandatangani di hadapan Dewan Rakyat sumpah jawatan dan sumpah setia sebelum menjalankan tugas jawatannya. Perkara 59 pula menyatakan bahawa setiap ahli mana-mana satu Majlis Parlimen (Dewan Negara atau Dewan Rakyat) hendaklah mengangkat dan menandatangani suatu sumpah mengikut bentuk yang dinyatakan dalam Jadual Keenam di hadapan orang yang mempengerusikan Majlis Parlimen itu, tetapi seseorang ahli boleh mengambil bahagian dalam pemilihan Yang di-Pertua Dewan Negara atau Yang di-Pertua Dewan Rakyat sebelum mengangkat sumpah itu.
Seorang Setiausaha Parlimen juga hendaklah mengangkat dan menandatangani sumpah simpan rahsia di hadapan Perdana Menteri seperti yang dinyatakan dalam Jadual Keenam.
Hakim-hakim
[sunting | sunting sumber]Sumpah jawatan bagi hakim-hakim telah diterangkan sepenuhnya dalam Perkara 124 iaitu sebelum menjalankan fungsi jawatannya, Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan hendaklah mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia yang dinyatakan dalam Jadual Keenam di hadapan Yang di-Pertuan Agong. Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi pula hendaklah mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia berhubung dengan kewajipan kehakimannya dalam apa-apa jua jawatan.
Seseorang yang mengangkat sumpah menjadi Presiden Mahkamah Rayuan hendaklah berbuat demikian di hadapan hakim kanan Mahkamah Rayuan itu, manakala seseorang yang mengangkat sumpah menjadi Hakim Besar Mahkamah Tinggi hendaklah berbuat demikian di hadapan hakim kanan yang ada bagi Mahkamah Tinggi itu. Seseorang yang mengangkat sumpah apabila menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan pula hendaklah berbuat demikian di hadapan Ketua Hakim Negara atau, jika Ketua Hakim Negara tidak ada, di hadapan hakim yang kanan selepasnya yang ada bagi Mahkamah Persekutuan. Seseorang yang mengangkat sumpah apabila menjadi hakim Mahkamah Rayuan hendaklah berbuat demikian di hadapan Presiden Mahkamah Rayuan atau, jika Presiden Mahkamah Rayuan tidak ada, di hadapan hakim yang kanan selepasnya yang ada bagi Mahkamah Rayuan. Seseorang yang mengangkat sumpah apabila menjadi hakim Mahkamah Tinggi (tetapi bukan Hakim Besar) hendaklah berbuat demikian di hadapan Hakim Besar Mahkamah itu atau, jika Hakim Besar tidak ada, di hadapan hakim yang kanan selepasnya yang ada bagi Mahkamah itu.
Suruhanjaya
[sunting | sunting sumber]Perkara 142 (6) juga menyebut bahawa seorang anggota mana-mana Suruhanjaya selain seorang anggota ex officio hendaklah mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia yang dinyatakan di hadapan seorang hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi.
Lafaz sumpah
[sunting | sunting sumber]Jadual Keenam Perlembagaan mempunyai lafaz-lafaz sumpah bagi semua jawatan yang disebutkan di atas dan teksnya adalah seperti berikut:
Sumpah Jawatan dan Sumpah Setia
“Saya, ............................................................, setelah dipilih (atau dilantik) memegang jawatan ............................................................... dengan sesungguhnya bersumpah (atau berikrar) bahawa saya akan dengan jujur menunaikan kewajipan-kewajipan jawatan itu* dengan segala daya upaya saya, bahawa saya akan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia, dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaannya.”
*Seseorang hakim Mahkamah Persekutuan (selain Ketua Hakim Negara), seorang hakim Mahkamah Rayuan atau seseorang hakim Mahkamah Tinggi atau seseorang pesuruhjaya kehakiman hendaklah menggantikan ganti perkataan “kewajipan-kewajipan jawatan itu” dengan perkataan “kewajipan-kewajipan kehakiman saya dalam jawatan itu”.
Sumpah sebagai Ahli Parlimen dan Sumpah Setia
“Saya, ........................................................................................, setelah dipilih (atau dilantik) sebagai seorang ahli Dewan Rakyat (atau Dewan Negara) dengan sesungguhnya bersumpah (atau berikrar) bahawa saya akan dengan jujur menunaikan kewajipan-kewajipan saya sebagai yang demikian dengan segala upaya saya, bahawa saya akan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia, dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaannya.”
Sumpah Simpan Rahsia
“Saya, ..............................................................................., dengan sesungguhnya bersumpah (atau berikrar) bahawa saya tidak akan memberitahu atau menzahirkan kepada mana-mana orang sama ada secara lansung atau secara tidak lansung apa-apa perkara yang dibawa untuk pertimbangan saya atau yang akan saya ketahui sebagai seorang ................................................................. kecuali sebagaimana yang mungkin dikehendaki untuk menunaikan dengan sewajarnya kewajipan-kewajipan saya sebagai yang demikian atau sebagaimana yang mungkin dibenarkan dengan khas oleh Yang di-Pertuan Agong.”
Peruntukan untuk negeri-negeri
[sunting | sunting sumber]Yang di-Pertua Dewan Undangan
[sunting | sunting sumber]Jadual Kelapan Perkara 71, memperuntukkan bahagian yang hendaklah dimasukkan ke dalam Perlembagaan atau Undang-undang Tubuh Negeri bahawa mana-mana orang yang bukan ahli Dewan Undangan yang dipilih sebagai Yang di-Pertua hendaklah mengangkat dan menandatangani jawatan sebelum menjalankan tugas-tugas jawatannya di hadapan Dewan sumpah.
Yang di-Pertua Negeri
[sunting | sunting sumber]Dalam Pindaan Jadual yang sama Seksyen 19D menetapkan bahawa Yang di-Pertua Negeri hendaklah, sebelum menjalankan fungsinya, mengangkat dan menandatangani suatu sumpah atau ikrar dengan kehadiran Hakim Besar atau dengan kehadiran seorang hakim Mahkamah Tinggi dalam bentuk yang berikut:
“Saya................................................. setelah dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri ......................................................... dengan sesungguhnya bersumpah (atau berikrar) bahawa saya akan dengan jujur menunaikan kewajipan-kewajipan saya sebagai yang demikian dengan segala daya upaya saya, bahawa saya akan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Negeri ........................................................................ dan kepada Persekutuan Malaysia, dan bahawa saya akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Perlembagaan Negeri ....................................................................”
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ "Perlembagaan Malaysia" (PDF). Perlembagaan Malaysia (Mengandungi pindaan terkini - P.U.(A) 164/2009). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2016-11-20. Dicapai pada 2019-01-31.
Kategori:Perlembagaan Malaysia