Sekolah Kebangsaan Lasau Podi
Sekolah Kebangsaan Lasau Podi | |
---|---|
Lokasi | |
Malaysia Peti Surat 42, 89157, Kota Belud,, Sabah Negeri Di Bawah Bayu Malaysia | |
Maklumat | |
Jenis sekolah | Sekolah kebangsaan, Sekolah kerajaan |
Kod sekolah | XBA5321 |
Guru besar | Pn. Muliana @ Maliana Binti Kelo |
GPK Pentadbiran dan Akademik | En. Maarof Rajiun |
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid | En. Norersin @ Norsin Bin Bungin |
Penolong Kanan Kokurikulum | Pn. Jomilin Aton |
Laman sesawang | https://www.facebook.com/sklasaupodi/ |
Sekolah Kebangsaan Lasau Podi atau nama ringkasnya SK Lasau Podi, merupakan sebuah Sekolah kebangsaan yang terletak di Kampung Takulung, Kota Belud, Sabah dalam Mukim Lasau. Sekolah ini boleh diakses dari Pekan Kota Belud melalui Jalan Botung - Kompleks Sukan ke Kampung Rosok seterusnya melalui Jalan Lasau Podi. Sepanjang Jalan Lasau Podi, pemandangan indah akan terlihat di kanan dan kiri jalan, yang mana terletaknya Lapang Sasar Kota Belud.[1 1]
Pada 2019, Sekolah Kebangsaan Lasau Podi (SKLP) memiliki 108 pelajar lelaki dan 93 pelajar perempuan Tahun 1 hingga Tahun 6 serta 29 orang murid prasekolah, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 230 orang. SKLP mempunyai tenaga pengajar seramai 20 orang guru dan 4 orang anggota kumpulan sokongan. Dalam pada itu, SKLP menerima murid kebanyakannya dari kampung-kampung sekitar seperti Kampung Wani, Kampung Lasau Lama, Kampung Lasau Minunsud, Kampung Podi, Kampung Lompios, Kampung Takulung, Kampung Kebidahan dan Kampung Bundu Lapak.
SKLP juga mempunyai 2 buah kelas prasekolah. Kelas pertama dan kedua masing-masing adalah untuk murid berumur 5 tahun dan 6 tahun. Bangunan asrama desa juga terdapat di sekolah ini yang boleh memuatkan 60 orang murid. Bangunan ini telah disumbangkan oleh Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) pada tahun 2018[1 2]. SKLP juga memiliki sebuah van pengangkutan untuk kegunaan sekolah yang telah di sumbangkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju)[1 3]. Pelbagai agensi dan badan lain telah membantu sekolah ini dalam menjayakan kemenjadian murid dan kemajuan sekolah amnya seperti PERMAPPS, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan beberapa pertubuhan lagi.[1 4]
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Sekolah Kebangsaan Lasau Podi Kota Belud telah dibuka pada tahun 1965. Menurut En. Duraman bin Gimbaran salah seorang ketua kampung dalam Mukim Lasau, Sekolah Kebangsaan Lasau Podi mengambil nama sempena nama kampung “Podi” dan nama sungai kecil yang dipanggil sungai “Lasau”. “ Nama Podi merupakan nama sebatang pokok yang rimbun dan sentiasa berbuah lebat bila datang musim. Dikatakan bahawa bila Pokok Podi ini berbuah, banyaklah burung-burung hinggap di pokok itu untuk memakan buah pokok tersebut. Maka ramailah orang datang ke pokok tersebut untuk menangkap burung-burung tersebut untuk dijadikan makanan. Mereka menggunakan “sumpit” yang beracun untuk menangkap burung tersebut.
Oleh kerana pokok Podi tersebut jauh dari tempat tinggal orang-orang tadi, maka ada diantara penangkap burung ini mencadangkan agar mereka membuat “sulap” di kawasan berdekatan pokok Podi ini supaya mereka tidak iagi berulang alik. Akhirnya mereka mendirikan petempatan di kawasan itu dan menamakan kawasan tersebut sebagai “Podi” sempena nama pokok Podi tersebut. Pada masa dahulu Kampung Podi itu melibatkan kawasan yang luas termasuklah Kampung Takulung iaitu tempat sekolah Kebangsaan Lasau Podi ini didirikan.
Sekolah ini merupakan antara sekolah yang terawal di Kota Belud. Sekolah yang terletak lebih kurang 30 kilometer dari Bandar Kota Belud ini telah diusahakan pembinaannya oleh Tuan Hj Suning Hj Gampus, mantan Ketua Anak Negeri (Mahkamah Majisterit Kota Belud). Beliau bersama Datuk Ismail Gimbad (Wakil Rakyat UPKO) telah berusaha supaya pembinaan sekolah ini mendapat keutamaan kerajaan. Akhirnya kerajaan telah menyalurkan peruntukan dan mula dibina sekitar tahun 1963. Sekolah ini kemudiannya dinamakan Sekolah Kebangsaan Lasau Podi, Kota Belud.
Pada peringkat permulaan, sekolah ini hanya mempunyai sebuah bangunan berukuran 40 x 30 kaki dan sebuah rumah guru.
Pembinaannya dibiayai sepenuhnya melalui peruntukan Majlis Daerah Kota Belud. Pada masa itu bangunan ini hanya menampung murid seramai 60 orang dengan 2 orang tenaga pengajar.
(Sejarah sekolah didokumentasikan oleh: En. Datu Manggong Hj. Jawin, mantan PK Pentadbiran)
Alamat
[sunting | sunting sumber]- Sekolah Kebangsaan Lasau Podi
- Peti Surat 42
- 89157, Kota Belud
- Sabah, Malaysia
- Emel: xba5321@moe.edu.my
- Peta Google: https://goo.gl/maps/zMeT8D9d48Hyv6mY9
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]- Sekolah Kebangsaan Lasau Podi
- Sekolah Kebangsaan Lasau Podi
- https://kksentral.com/2019/10/16/lasau-podi/
- https://www.utusanborneo.com.my/2018/05/16/scc-bina-asrama-desa-untuk-sk-losou-podi (Sumber Gambar)
- https://www.borneotoday.net/sembilan-sekolah-luar-bandar-di-kota-belud-terima-bantuan-pengangkutan/
- http://www.ums.edu.my/v5/index.php/arkib-berita-2/3119-permapps-sebar-ilmu (Sumber Gambar)