Sekolah Kebangsaan Banggu
Sekolah Kebangsaan Banggu | |
---|---|
Lokasi | |
Malaysia Jalan Bachok,Kampong Jejulok, 16150, Kota Bharu,, Kelantan Darul Naim Malaysia | |
Maklumat | |
Jenis sekolah | Sekolah kebangsaan, Sekolah kerajaan |
Nombor sekolah | 6097652162 |
Kod sekolah | DBA1043 |
Faks | 6097656371 |
Sekolah Kebangsaan Banggu atau nama ringkasnya SK Banggu, terletak di Jalan Bachok, Kampung Jejulok, Banggu, Kota Bharu, Kelantan.
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Ditubuhkan pada 1947, SK Banggu dipercayai antara sekolah rendah terawal di Kelantan. Ia adalah hasil buah fikiran dan inisiatif Penghulu Kampung Jejulok waktu itu, Wan Sulaiman bin Wan Salleh (m. 1974) [lihat gambar]. Beliau menjadi kepala desa menggantikan bapa mertuanya, Penghulu Deris bin Pok Yeh, dan menggalas amanah itu selama lebih 30 tahun.
Dalam usaha membangunkan sekolah ini, Penghulu Wan Sulaiman telah membentuk dan mempengerusikan sebuah jawatankuasa pro-tem dianggotai oleh Ngah Leh bin Wan Besar, Khamis bin Putih, Daud bin Mahad, Pak Day bin Awang Besar, Yaakob bin Awang Kecil, Daud bin Senik dan Ali bin Othman.
Mungkin JK 'Orang Berlapan' ini diwujudkan sekurang-kurangnya 1-2 tahun sebelum 1947. Pastinya berlaku siri mesyuarat dan perbincangan berkaitan segala aspek persediaan dan pembinaan sekolah ini seperti kelulusan, tapak, bahan binaan, tenaga kerja, guru dan lain-lain.
Dikhabarkan bahawa Wan Sulaiman juga telah mengadakan pertemuan dengan Penguasa Pelajaran Kelantan* waktu itu, A.H. Hill, seorang pegawai British. Soal-soal teknikal, logistik dan prosedur tentunya dirundingkan di sini. Ini sangat menarik kerana Wan Sulaiman dikatakan lancar berbahasa Inggeris! (*hari ini dikenali sebagai Pengarah Pendidikan Negeri).
Kerajaan Kelantan waktu itu samada langsung tidak memberikan peruntukan kewangan atau hanya menyediakan dana yang sangat kecil untuk pembinaan sekolah ini. Justeru, jawatankuasa di atas, dipimpin oleh Wan Sulaiman, menggerak dan menggembleng tenaga penduduk kampung untuk mendirikan sekolah ini secara bergotong royong.
Akhirnya tegaklah sebuah sekolah, yang berlantaikan tanah, berdindingkan papan/buluh sasak separas bahu, tanpa tingkap, berpintu tanpa daun, beratapkan nipah bertiangkan nibung. Meja dan kerusinya adalah pangkin panjang bergelegar kayu dipaku atas batang nibung yang dipasak ke bumi.
SK Banggu bermula dengan 30 orang pelajar perintis dan seorang guru. Guru pertama ialah Cikgu Wil, kemudian diikuti oleh Cikgu So’od, Cikgu Deraman dan Cikgu Hassan. Kumpulan terawal murid-murid darjah 1 ini berusia belasan tahun!
Selepas penubuhannya, SK Banggu telah berkembang dengan pesat sekali. Dengan bilangan kemasukan murid yang semakin meningkat, bilik-bilik kelas beratap nipah bertiang nibung turut bertambah.
Keadaan fizikal sekolah mula berubah dengan ketara setelah terbinanya satu blok bangunan kayu yang baharu dan sempurna pada tahun 1963 - 15 tahun kemudian! Pada tahun 1986, dua blok bangunan batu pula didirikan, dan diikuti seterusnya dengan dua lagi blok bangunan konkrit pada tahun 2000. Sekolah ini kini (2024) memiliki 5 blok bangunan dengan jumlah murid seramai kira-kira 700 orang, dengan 58 orang guru dan kakitangan.
Fakta bahawa SK Banggu diasaskan begitu awal, 2 tahun selepas Jepun menyerah kalah dalam Perang Dunia Ke-2, dan 10 tahun sebelum negara merdeka, menunjukkan kesedaran kepentingan pendidikan formal yang sangat tinggi dalam diri pengasasnya, Wan Sulaiman.
Jelas bahawa beliau seorang yang prihatin, berpandangan jauh, kuat semangat, komited dan sistematik dalam gerak kerjanya. Ini antara lain terbukti dengan penubuhan jawatankuasa pembinaan dan perjumpaan beliau dengan A.H. Hill. Kepimpinan beliau, disokong oleh AJK yang dedikasi, disambut pula oleh kemuafakatan dan kegigihan masyarakat setempat, menjadikan SK Banggu sebuah kenyataan.
Penghulu Wan Sulaiman dan JK 'Orang Berlapan' - jasamu dikenang...
Senarai Guru besar
Setakat ini, tidak semua guru besar yang pernah bertugas di sekolah ini dapat dikesan. Usaha sedang dilakukan untuk melengkapkan senarai bermula dari Guru besar pertama. Berikut ialah senarai semasa seperti yang tersedia dalam rekod sekolah hari ini:
- Mohamad bin Ali (1995 - 1998)
- Saad bin Ariffin (1998 - 2002)
- Mansur bin Ab. Rahman (2002 - 2003)
- Hamidah binti Dugel (2003 - 2004)
- Azmi bin Hassan (2004 - 2007)
- Mamat bin Mat Taib (2007 - 2008)
- Sidek bin Dollah (2008 - 2011)
- Md Salleh b. Ab. Rahim (2012 - 2015)
- Mohamad Hilmi bin Ismail (2015 - 2017)
- Saripah binti Mat Daud (2017 - 2018)
- Che Zahari bin Hj Che Ali (2018 - 2019)
- Zakira binti Che Mahmud (2019-2023)
- Md Roslan bin Mohamad (2023 - skrg)
Alamat
- Sekolah Kebangsaan Banggu
- Jalan Bachok,Kampong Jejulok
- 16150, Kota Bharu
- Kelantan, Malaysia
- Telefon = 6097652162
- Fax = 6097656371