Pergi ke kandungan

Sejarah perkamusan Melayu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan
Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan
Kamus Inggeris Melayu Dewan
Kamus Inggeris Melayu Dewan
Kamus bahasa Melayu
Kamus bahasa Melayu

Kamus sulung bahasa Melayu ialah Kamus Melayu-China dalam tulisan Cina yang disusun pada tahun 1403.[1] Kamus itu hanya mengandungi lebih kurang 500 perkataan yang berkaitan dengan perdagangan. Kamus Melayu susunan orang Eropah yang pertama kemudian disusun pada 1522 oleh Antonio Pigafetta[1] yang mengikuti pelayaran Ferdinand Magellan mengeliling dunia. Dipercayai Figagetta mengumpul perkataan Melayu untuk berniaga rempah-ratus di Maluku, Sulawesi.[1] Kamusnya mengandungi 426 perkataan yang ditulis dalam bahasa Melayu-Itali.

Selama tiga abad yang berikut, orang Melayu hampir tidak mempedulikan ilmu perkamusan sama sekali. Mereka hanya menolong orang Eropah mengumpulkan bahan-bahan kamus mereka. Masa itu, pujangga-pujangga sastera Melayu tidak pernah dibantu oleh apa-apa jua kamus, melainkan orang tua sahaja untuk mengambil peranan kamus. Ilmu perkamusan Melayu ialah satu daripada kesan-kesan yang ditinggalkan oleh penjajah dalam persuratan Melayu.[1] Orang Eropah terpaksa belajar bahasa Melayu bagi memudahkan hubungan langsung dengan penduduk. Dengan percampuran tersebut, perbendaharaan bahasa Melayu bertambah dengan kata-kata asing dan kian kaya, didorong oleh keperluan perdagangan.[1]

Didorong oleh pertentangan terhadap pengasasan Malayan Union pada 1946, orang Melayu mula memperjuangkan bahasa, sastera, dan negara. Bagaimanapun, perkamusan Melayu masih belum diperjuangkan oleh sesiapa pun sehingga kemunculan Zainal Abidin Safarwan yang bermula berkecimpung dalam bidang tersebut sejak 1958 lalu menghasilkan kamusnya yang pertama, An Advanced Malay-English Dictionary, yang diterbitkan oleh Merican & Sons, Singapura pada 1964. Kamusnya yang kedua, Kamus Sinonim dengan Ungkapan Lengkap diterbitkan oleh Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd pada tahun 1984.

Dewan Bahasa dan Pustaka

[sunting | sunting sumber]

Pada 1977, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diminta oleh Australian National University, Canberra, Australia, untuk mengambil alih dan menyiapkan kamus bahasa Inggeris-bahasa Melayu yang sedang disusunnya ketika itu apabila kerajaan Australia menarik balik pembiayaannya sebagai sebahagian langkah penjimatan negara. Projek itu diserahkan kepada DBP pada 1 November 1978. Bagaimanapun, projek ini menghadapi banyak masalah yang serupa dengan masalah yang dihadapi di Australian National University dahulu. Bukan sahaja mendapatkan kakitangan yang layak itu sukar, apa lagi penutur asli bahasa Inggeris, malah untuk mengekalkan mereka setelah mereka dilatih juga sukar. Hakikat bahawa bidang leksikografi merupakan sains dan seni yang agak baharu di Malaysia hanya memburukkan keadaan.[2] Untuk sekian waktu yang lama, penyusunan kamus ini umpama "berenang menentang arus".[2] Hanya sejak sekitar 1989 bahawa projek ini mulai melihat sinar harapan dan apa yang diumpamakan oleh James Murray, ahli leksikografi terkenal, sebagai "bongkah petikan" kemudian menjadi Kamus Inggeris Melayu Dewan yang diterbitkan pada 1991. Ia mempunyai lebih kurang 40,000 kata masukan dan ditujukan kepada mereka yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama atau kedua serta juga mengetahui asas bahasa Melayu.

Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan yang disusun oleh Zainal Abidin kemudian diterbitkan oleh Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd pada 1995. Kamus itu pada hakikatnya merupakan edisi baharu Kamus Sinonim yang disusun oleh Zainal Abidin pada 1984. Ia merupakan kamus bahasa Melayu yang pertama untuk mencecah 100,000 perkataan entri dan setakat itu, paling banyak menyenaraikan ungkapan.[1]

Penyusunan kamus merupakan salah satu kegiatan teras dalam usaha pembinaan dan pengembangan bahas apa sekalipun. Lantaran itu, Dewan Bahasa dan Pustaka terus mempergiat usaha perancangan dan pelaksanaan pelbagai projek perkamusan yang merangkumi kamus ekabahasa, kamus pelbagai bahasa (khususnya kamus dwibahasa), dan kamus bidang-bidang khusus. Terdapat juga banyak penerbit swasta yang kini menerbitkan pelbagai kamus bahasa Melayu.

  1. ^ a b c d e f Haji Zainal Abidin Safarwan (1995). Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan. Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. ISBN 967-61-0572-4.
  2. ^ a b Kamus Inggeris Melayu Dewan, Cetakan Ketiga, m.s. xvii. Dewan Bahasa dan Pustaka. ISBN 983-62-2282-0