Pergi ke kandungan

Sejarah orang Melayu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Asal usul bangsa Melayu merupakan sesuatu yang sukar ditentukan. Walaupun terdapat beberapa kajian dilakukan untuk menjelaskan perkara ini, tetapi kata sepakat antara para sarjana belum dicapai. Secara amnya terdapat 1 teori mengenai asal-usul bangsa Melayu iaitu:

  • Bangsa Melayu Berasal daripada Dunia Melayu

Selain itu ada juga pendapat yang mengusulkan bahawa orang Minangkabau itu berasal daripada pengikut Nabi Nuh, iaitu bangsa Ark yang mendarat di muara Sungai Jambi dan Palembang, semasa banjir besar berlaku di bumi. Tetapi pendapat ini masih belum mendapat bukti-bukti yang kukuh.

Buku-buku berkenaan sejarah orang Melayu

Teori Yunnan

Teori ini disokong oleh beberapa sarjana seperti R.H Geldern, J.H.C Kern, J.R Foster, J.R Logen, Slametmuljana dan juga Asmah Haji Omar. Secara keseluruhannya, alasan-alasan yang menyokong teori ini adalah seperti berikut:

  1. Kapak Tua yang serupa dengan Kapak Tua di Asia Tengah ditemui di Kepulauan Melayu. Perkara ini menunjukkan adanya migrasi penduduk daripada Asia Tengah ke Kepulauan Melayu.
  2. Adat resam bangsa Melayu mirip kepada suku Naga di daerah Assam (Berhampiran dengan sempadan India dengan Myanmar).
  3. Bahasa Melayu adalah serumpun dengan bahasa di Kemboja. Dengan lebih lanjut lagi, penduduk di Kemboja mungkin berasal daripada dataran Yunnan dengan menyusuri Sungai Mekong. Perhubungan bangsa Melayu dengan bangsa Kemboja sekaligus menandakan pertaliannya dengan dataran Yunan.

Teori ini merupakan teori yang popular yakni diterima umum. Contohnya, dalam buku Teks Pengajian Malaysia, [1] adapun menyatakan "nenek moyang" orang Melayu itu berasal daripada Yunan.

Berdasarkan Teori ini, dikatakan orang Melayu datang dari Yunnan ke Kepulauan Melayu menerusi tiga gelombang yang utama, yang ditandai dengan perpindahan Orang Negrito, Melayu Proto, dan juga Melayu Deutro. Berikut adalah huraiannya.

Orang Negrito

Orang Negrito merupakan penduduk paling awal di Kepulauan Melayu. Mereka diperkirakan ada di sini sejak 1000 SM berdasarkan penerokaan arkeologi di Gua Cha, Kelantan. Daripada orang Negrito telah diperturunkan orang Semang yang mempunyai ciri-ciri fizikal berkulit gelap, berambut keriting, bermata bundar, berhidung lebar, berbibir penuh, serta saiz badan yang pendek.

Melayu Proto

Perpindahan orang Melayu Proto ke Kepulauan Melayu dianggarkan berlaku pada 2,500 SM. Mereka mempunyai peradaban yang lebih maju daripada orang Negrito, ditandai dengan kemahiran bercucuk tanam. Terdapat satu lagi persamaan antara Melayu Proto dimana dikenali sebagai Melayu Negosiddek dimana kebanyakan terdapat disebuah pulau yang dikenali sebagai Pinang. Melayu Negosiddek ini mahir dalam bidang lautan tetapi tidak pandai berenang.

Melayu Deutro

Perpindahan orang Melayu Deutro merupakan gelombang perpindahan orang Melayu kuno yang kedua yang berlaku pada 1,500 SM. Mereka merupakan manusia yang hidup di pantai dan mempunyai kemahiran belayar.

Teori Nusantara

Teori ini didukung oleh sarjana-sarjana seperti J.Crawfurd, K.Himly, Sutan Takdir Alisjahbana dan juga Gorys Keraf. Teori ini adalah disokong dengan alasan-alasan seperti di bawah:

  1. Bangsa Melayu dan bangsa Jawa mempunyai tamadun yang tinggi pada abad kesembilan belas. Taraf ini hanya dapat dicapai setelah perkembangan budaya yang lama. Perkara ini menunjukkan orang Melayu tidak berasal dari mana-mana, tetapi berasal dan berkembang di Nusantara.
  2. K.Himly tidak bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa Bahasa Melayu serumpun dengan Bahasa Champa (Kemboja). Baginya, persamaan yang berlaku di kedua-dua bahasa adalah satu fenomena "ambilan"
  3. Manusia kuno Homo Soloinensis dan Homo Wajakensis terdapat di Pulau Jawa. Penemuan manusia kuno ini di Pulau Jawa menunjukkan adanya kemungkinan orang Melayu itu keturunan daripada manusia kuno tersebut yakni berasal daripada Jawa dan mewujudkan tamadun bersendirian.
  4. Bahasa di Nusantara (Bahasa Austronesia) mempunyai perbezaan yang ketara dengan bahasa di Asia Tengah (Bahasa Indo-Eropah).

Rujukan

  1. ^ Madiana & Hasnah, 2000. Pengajian Malaysia, Shah Alam: Penerbitan Fajar Bakti, m.s. 150