Pergi ke kandungan

Sejarah Kepulauan Solomon

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Kepulauan Solomon didiami oleh orang Melanesia selama lebih 30,000 tahun. Peneroka-peneroka Polinesia mula tiba pada 4000 SM. Peneroka Eropah pertama yang menemui kepulauan Solomon ialah Pedro Sarmiento de Gamboa pada tahun 1568. Mubaligh-mubaligh Kristian mula melawati kepulauan ini sejak pertengahan 1800-an. Pada mulanya, kerja dakwah mereka mencapai hanya sedikit kemajuan disebabkan pengambilan buruh-buruh dengan kejam untuk ladang-ladang tebu di Queensland dan Fiji — mengakibatkan siri tindakan balas dan pembunuhan beramai-ramai. Keburukan dari perdagangan tenaga buruh ini mendorong United Kingdom untuk mengisytiharkan pulau-pulau Solomon di sebelah selatan sebagai sebuah negeri naungannya pada 1893. Dari 1898 ke 1899, pulau-pulau Solomon yang lebih terpencil dibawa ke dalam perlindungan mereka. Pada 1900, baki kepulauan Solomon yang berada di bawah kuasa Jerman diserahkan kepada pihak British. Sebagai negeri naungan, banyak mubaligh Kristian telah menetap di sana dan berjaya meyakinkan penduduk untuk memeluk agama Kristian.

Pada awal abad ke-20, beberapa firma British dan Australia memulakan industri penanaman pokok kelapa secara besar-besaran. Namun, pertumbuhan ekonomi adalah perlahan dan penduduk tempatan mendapat faedah yang sedikit.

Perang Dunia II

[sunting | sunting sumber]

Dengan meletusnya Perang Dunia II, ramai para penanam dan peniaga telah dipindahkan ke Australia dan segala kerja penanaman dihentikan. Beberapa pertempuran paling sengit Perang Dunia II telah berlaku di Solomon. Operasi paling penting Pihak Berikat bagi memerangi Angkatan Bersenjata Empayar Jepun dilancarkan dari Solomon pada 14 Ogos 1942. Bedilan tentera laut dan pendaratan amfibia telah dilakukan di Kepulauan Florida di Tulagi dan Red Beach di Guadalcanal. Pertempuran Guadalcanal menjadi salah satu pertempuran paling penting di kawasan Pasifik.

Berikutan tamatnya Perang Dunia II, kerajaan kolonial British pulang ke sini. Ibu negara kepulauan itu dipindahkan dari Tulagi ke Honiara untuk mengambil kesempatan daripada infrastruktur yang ditinggalkan oleh tentera Amerika Syarikat. Sebuah pergerakan penduduk asal yang dikenali sebagai "Maasina Ruru" mencabar pihak kerajaan. Terdapat beberapa insiden sehingga beberapa pemimpin mereka dipenjarakan pada lewat 1948. Pada tahun 1950-an, beberapa kumpulan penentang peribumi yang lain muncul dan lesap tanpa menjadi lebih kuat. Pada 1960, sebuah majlis penasihat yang dianggotai penduduk Solomon telah digantikan dengan sebuah majlis perundangan; dan sebuah majlis mesyuarat kerajaan telah dicipta sebagai badan yang bertanggungjawab membuat polisi baru untuk negeri naungan tersebut. Pada 1974, sebuah perlembagaan baru telah diterima yang menubuhkan sebuah kerajaan demokrasi berparlimen dan sistem kerajaan bermenteri. Di pertengahan 1975, nama rasmi "Negeri Naungan British Kepulauan Solomon" digantikan dengan nama "Kepulauan Solomon". Pada 2 Januari 1976, Solomon diberi hak untuk memerintah dengan sendiri, dan diikuti dengan kemerdekaan pada 7 Julai 1978. Sebuah kerajaan lepas merdeka telah ditubuhkan pada Ogos 1980.

Kemerdekaan

[sunting | sunting sumber]

Pemerintahan Bartholomew Ulufa'alu

[sunting | sunting sumber]

Setelah Bartholomew Ulufa'alu dipilih sebagai perdana menteri pada 1997, keadaan politik dalam Solomon mula merosot. Pentadbiran negara semakin goncang kerana prestasi polis dan agensi-agensi kerajaan lain semakin merosost akibat persaingan etnik yang berlaku pada masa itu. Ibu negera Honiara di Guadalcanal semakin dihuni oleh pendatang-pendatang dari pulau Malaita. Pada Jun 2002, sebuah pemberontakan mendaki oleh militan daripada pulau Malaita mengakibatkan penahanan ringkas perdana menteri Ulufa'alu dan perletakan jawatannya secara mendesak. Manasseh Sogavare, ketua Parti Progresif Rakyat dipilih sebagai Perdana Menteri oleh satu gabungan parti-parti politik yang longgar. Militan Guadalcanal membalas balik dan berhasrat untuk menghalau pendatang-pendatang Malaitan daripada Guadalcanal. Ini mengakibatkan penutupan sebuah estet sawit yang besar dan juga lombong emas yang merupakan barang-barang eksport penting negara itu.

Pemerintahan Allan Kemakeza

[sunting | sunting sumber]

Pilihan raya pada Disember 2001 telah melihat perlantikan seorang perdana menteri baru, Sir Allan Kemakeza yang telah mendapat sokongan dari pelbagai parti politik. Kemakeza cuba menyelesaikan masalah kemerosotoan undang-undang di negara itu, tetapi keadaan huru-hara, pengugutan meluas dan sebuah pasukan polis yang tidak berkesan mengakibatkan kerajaan Solomon untuk meminta bantuan dari luar negara. Usulan ini mendapat sokongan sebulat suara dari parlimen. Pada Julai 2003, pasukan polis dan tentera dari Australia dan negara-negara Pasifik tiba di Solomon di bawah naungan misi yang dipimpin oleh Australia yang dikenali sebagai RAMSI atau Regional Assistance Mission to Solomon Islands. Sebulan kemudian, sebuah kontinjen sebesar 2,200 anggota polis dan askar tiba di bawah Operasi Helpem Fren. Kontinjen ini diketuai oleh Australia dan New Zealand. Satu kontinjen agak besar keselamatan antarabangsa 2,200 pasukan polis dan askar, dipimpin oleh Australia dan New Zealand, dan diwakili oleh sekitar 20 buah negara lain dari Pasifik. Beberapa pengulas hal ehwal semasa telah menganggap negara kepulauan Solomon ini sebagai sebuah negara gagal, iaitu sebuah negara lemah di mana kerajaan tidak mempunyai kuasa memerintah di wilayahnya.[1]

Pemerintahan Snyder Rini

[sunting | sunting sumber]

Pada April 2006, terdapat beberapa tuduhan yang mengatakan bahawa perdana menteri yang baru, Snyder Rini, telah menggunakan wang rasuah daripada usahawan-usahawan Cina untuk membeli undi dari ahli Parlimen. Perkara ini telah mencetuskan rusuhan besar di bandar Honiara. Kemarahan mendalam penduduk tempatan terhadap kaum minoriti Cina telah mengakibatkan kemusnahan besar ke atas tempat tinggal dan harta mereka di Chinatown. Negara China telah menghantar sebuah pesawat untuk memindahkan beratus-ratus pelarian Cina daripada rusuhan tersebut dan lebih ramai askar Australia dan New Zealand dikerahkan untuk meredakan ketegangan di sana. Perdana Menteri Snyder meletak jawatan akibat undi tidak percaya yang dijalankan di Parlimen. Parlimen kemudiannya melantik Manasseh Sogavare kembali sebagai Perdana Menteri.

  1. ^ Solomon Is: Failed State or Not Failed State? Diarkibkan 2003-11-10 di Wayback Machine 29 Oktober 2003. Pacific Magazine URL dicapai 2009-05-04