Portal:Muzik/Rencana pilihan
Dato' Sudirman bin Haji Arshad, DSAP, JMN, AMN, AMP, juga dikenali sebagai Sudirman (25 Mei 1954 - 22 Februari 1992) merupakan salah seorang penyanyi yang terkenal di Malaysia. Beliau telah memulakan kerjayanya sebagai seorang penyanyi apabila dinobatkan sebagai juara Bintang RTM pada 11 Ogos 1976. Selain itu, beliau juga adalah satu-satunya pemegang gelaran "Penghibur Nombor 1 Asia" (pada 19 Mac 1989) dari Pahang, Malaysia sebelum kehadiran Siti Nurhaliza. Di samping itu, terdapat juga gelaran yang lain untuk beliau seperti "Penghibur Milik Masyarakat", "Seniman Rakyat" dan "Elvis Malaysia". Beliau juga mempunyai pelbagai kebolehan sebagai seorang penyanyi, penghibur, penggubah lagu, peguam, penulis, pengarang (buku memoir dan kanak-kanak), pelukis kartun, usahawan dan pelakon.
Sepanjang 16 tahun kerjayanya dalam lapangan seni suara tanah air, Sudirman telah merakamkan 15 album studio, 52 album kompilasi dan puluhan lagu hitsnya serta memenangi pelbagai anugerah tempatan dan antarabangsa. Sudirman meninggal dunia di kediaman kakaknya, Datin Rodziah Arshad di Bangsar pada 22 Februari 1992 selepas tujuh bulan bertarung dengan penyakit radang paru-paru. Pada 2009, 17 tahun selepas pemergiannya, beliau telah dianugerahkan gelaran Dato' oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan pengiktirafan diwakili oleh kakaknya.(Selanjutnya...)