Phan Thị Kim Phúc
Phan Thi Kim Phuc dilahirkan dalam tahun 1963 di sebuah perkampungan bernama Trang Bang, 40 km di barat Saigon di Vietnam Selatan. Gambar foto Kim berlari dalam keadaan berbogel kerana terkena bom napalm dalam tahun 1972 adalah salah satu gambar paling terkenal keluar dari Perang Vietnam.
8 Jun 1972
[sunting | sunting sumber]Pada 8 Jun 1972, ketika berumur 9 tahun, kampung Kim diserang dan ditawan oleh pasukan Viet Cong dan diserang balas oleh pasukan tentera Vietnam Selatan. Kapal terbang Vietnam Selatan menggugurkan bom napalm ke atas kedudukan Viet Cong. Kim menyertai sekumpulan penduduk awam dan tentera ARVN melarikan diri dari kuil Cao Dai menuju ke kawasan keselamatan ARVN. Seorang juru terbang Vietnam Selatan tersalah sangka kumpulan tersebut (yang mengadungi askar bersenjata yang sedang meluru ke arah tentera kerajaan dan pemberita) sebagai kumpulan Viet Cong dan membuat serangan bom. Dua orang adiknya berumur 6 tahun dan 9 bulan, dua orang sepupu dan ramai penduduk kampung Kim terbunuh.
Gambar Kim yang terbakar terkena bom napalm dirakamkan oleh jurugambar Nick Ut. Gambar ini menjadi masyhur seluruh dunia dan menjadi simbol peningkatan kesedaran dunia mengenai kezaliman perang. Kim menjadi simbol yang membawa mesej memaafkan, kesatuan dan toleransi. Selepas mengambil gambar foto itu, Nick Ut membawa Kim ke sebuah hospital di Saigon, tetapi doktor di hospital menyatakan kecederaannya terlampau serius dan Kim tidak mungkin diselamatkan.
Kim dipindahkan ke klinik pakar Barsky dan terumbang ambing di antara hidup dan mati. Kim menjalani rawatan selama 14 bulan mengubati melecur darjah ketiga yang meliputi lebih separuh badannya. Sepanjang tempoh tersebut, kim menjalani 17 pembedahan.
Dewasa
[sunting | sunting sumber]Kim digunakan sebagai alat propaganda oleh kerajaan dan pergerakan antiperang. Setelah beliau dewasa, Kim mendapat kebenaran melanjutkan pelajarannya ke Cuba. Ketika itu beliau telah menganut agama Kristian, dan menerima naungan Pham Van Dong, Perdana Menteri Vietnam. Di Cuba, beliau bertemu Bui Huy Tuan. Nick Ut pergi ke Cuba dalam tahun 1989 bertemu Kim dan Bui. Dalam tahun 1992 mereka berkahwin dan pergi berbulan madu. Semasa kapal terbang mengisi minyak di Gander, Kanada, Kim dan suaminya turun daripada kapal terbang dan meminta suaka di Kanada. Mereka menetap di Toronto.
UNESCO
[sunting | sunting sumber]Kim Phuc Phan Thi dilantik sebagai Duta UNESCO pada 10 November 1994. Kim memaafkan mereka yang bertanggungjawab melancarkan serangan bom ke atas perkampungannya, tetapi masih tidak dapat melupakan kejadian tersebut. Kim menceritakan bagaimana gambar foto yang diambil dalam tahun 1972 oleh pemenang Pulitzer Nick Ut menjadi simbol kepada peperangan dan keamanan setelah beliau dijumpai menginap di Toronto oleh pemberita British dalam tahun 1997.
Kim melancarkan Yayasan Kim untuk menegakkan keamanan, dan membantu kanak-kanak mangsa perang dengan bantuan perubatan dan psikologi untuk membolehkan mereka mengatasi trauma yang mereka lalui.