Persatuan Karyawan Perak
Persatuan Karyawan Perak atau 'Karyawan Pk' telah ditubuhkan pada 15 Februari 1992 di Teluk Intan, Perak oleh beberapa orang penulis. Antara pengasas Karyawan PK ialah Zabidin Ismail, Mokhtar Mansor (pencipta Kaedah Mokhdar), Mohd Saleh Mahyat, Abu Bakar Sidek Hashim, Idris Noor dan Jamaludin Ahmad.
Peranan Karyawan Pk sebagai badan penulis dan sastera yang bertaraf negeri. Terdapat beberapa cawangan di beberapa bandar utama di Perak seperti di Tanjung Malim diketuai Chai Loon Guan ; Kuala Kangsar(Al Hisyam) ; Bagan Datoh (Nordin Abdullah).
Pejabat operasinya ialah di No 51,Wisma Jauhari, Lengkok Kledang Raya, Taman Kledang Jaya, 30100 Ipoh.Telefon- 05-5262117 Faks - 05-5266117.
Anggotanya terdiri daripada kalangan penulis dan peminat sastera di Perak seramai kira-kira 200 orang. Antara aktiviti yang dijalankan ialah penyelidikan, penerbitan dan penulisan.
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) ditubuhkan pada 15 Februari 1992 di kediaman rasmi Majistret Kanan, Teluk Intan – Tuan Mokhtar Mansor .Penubuhan bermula di pejabat Utusan Melayu, Jalan Sungai Nibong, Teluk Intan dengan nama asalnya 'Persatuan Penulis Islam Perak' (3PI) yang diasaskan pada 13 Mei 1991. Permohonan pendaftaran pada 30 September 1991 yang beralamat JKR 613 Jalan Sultan Abdullah, Teluk Intan masih tidak diluluskan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan .Pada 8 Mac 1992 , permohonan 3PI dibuat semula tetapi dengan nama Karyawan Pk pula. Setahun kemudian ia diluluskan Pendaftar Pertubuhan Malaysia bertarikh 15 Februari 1993 ( No. Pendaftaran: 3552/93 Perak).
Organisasi
[sunting | sunting sumber]Makhtar Mansor kekal sebagai Ketua I Penaja sehingga 2 September 1992.Kemudian dipangku Abu Bakar Al Sidek Hashim (pemberita Utusan Melayu) sehingga mesyuarat agung pertama di [[Sekolah Menengah Raja Perempuan Bainon]], Ipoh pada 17 April 1994. Mesyuarat ini dirasmikan oleh Pengarah Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Negeri Perak, Encik Mustapha Kamal Tajudin.
Jawatankuasa penubuhan terdiri seramai 17 orang yang mewakili 5 daerah di Perak. Manakala dalam Penyata Jawatankuasa 1992/1993 peneraju Karyawan Pk pada peringkat awal penubuhannya adalah seramai 15 orang sahaja. Mesyuarat agung pertama : Ketua 2 disandang Hj Kamarudin Mohd Dani ; Setiausaha 1 dan Bendahari bertukar tangan antara Zabidin Hj Ismail dan M Saleh Mahyat. Jawatankuasa yang terpilih ialah Che Su Deraman (Sitiawan); Sabariah Bahari (Ipoh), Maznah Mohamed @ Malina M (Taiping); dan Aminah Abdul Malik (Gopeng).
Beberapa isu negeri dan nasional telah dibangkitkan , antaranya :
- Penubuhan Akademi Penulis Perak di Tanjung Malim
- Anugerah Penulis Perak ( berjaya dilaksanakan pada 1995 oleh Kerajaan Negeri Perak setelah menerima memorandun Karyawan Pk)
- Merayu Kerajaan Malaysia menarik balik arahan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam bidang sains dan teknologi di universiti tempatan.
- Menyaran Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan memendekkan tempoh pengajian Diploma Penulisan Kreatif di Akademi Seni Kebangsaan (ASK) dari empat ke satu tahun serta menggugurkan syarat kelayakan masuk lulus matematik (Walaupun tidak dipenuhi tetapi usul ini mendapat respons kementerian berkenaan)
Penulis A Rahim Abdullah telah membangkitkan perkara ini dalam 'Berita Minggu' pada 31 Dis.1995:22.Karyawan Pk) dalam mesyuarat agungnya di Teluk Intan pada 25 Ogos 1995 telah membangkitkan isu bahasa Melayu sesuai dengan slogan “Kami Cinta Bahasa Melayu”.
Aktiviti persatuan
[sunting | sunting sumber]Antara program popular Karyawan Pk :
- Gebang Sastera iaitu sesi perbualan tidak formal atau wacana yang bertemakan sastera. Beberapa ;okasi Gebang Sastera telah diadakan. Antaranya di Telaga Nanas, Sitiawan (1993); Kuala Kangsar (1994); UPSI-Tanjung Malim (1994); Ipoh (1994); Taiping (1994) ; Gerik (1994) dan Sungkai (1999).
- Malam Puisi Menara Condong di Teluk Intan pada 10 Dis.1994 mendapat perhatian masyarakat penulis tempatan.
- Gebang Puisi (Pasir Salak:11 Dis.1994)
- Gebang Puisi Bersama Penyair Zahari Hasib (Ipoh: 17 Mei 1998).
- Seminar Motivasi Sastera Darul Ridzuan (Teluk Intan: 26 Ogos 1995) anjuran bersama PENA dan Utusan Melayu, KL yang disempurnakan oleh mantan Menteri Besar Perak,Tan Sri Ramli Ngah Talib.
- Majlis Pelancaran Buku Kaedah Mokhdar karya Makhtar Hj Mansor (Teluk Intan: 9 Mac 1992)
- Diskusi Buku Revolusi Bahasa Karya Makhtar Hj. Mansor oleh Prof Emeritus Tan Sri Dr. Awang Had Salleh (Teluk Intan: 14 Mac 1992)
- Lawatan Muhibah Ke Medan – Aceh, Sumatera, Indonesia (18-21 Julai 1992)
- Bengkel Penulisan Kreatif (Slim River: 18 Jun 1995; Teluk Intan: 25 Jun 1995)
- Bengkel Asas Kewartawanan (Teluk Intan: 30 Dis.1995)
- Bengkel Penulisan Teater (Teluk Intan:16 Mei 1996)
- Lawatan/Penyelidikan ke rumah Gemulah Dato’ Ahmad Boestamam di Kampung Behrang Ulu, Tanjung Malim (14 Julai 1996)
- Pertemuan Penulis –Penerbit Fajar Bakti bersama Ahmad Fadzil Yassin dan Mohd Ghazali Tocheh (Ipoh: 30 Jun 1996)
- Pameran kartun & lukisan (Ipoh: 5 Ogos 2000)
- Seminar Pawang Ana di Auditorium JKKN di Ipoh .Seminar ini anjuran bersama Karyawan Pk, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak, DBP, Perbadanan Perpustakaan Awam Perak, Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Yayasan Perak dan Persatuan Jalinan Rao Malaysia (JARO).[1]
Aktiviti penerbitan buku
[sunting | sunting sumber]- Siri Projek Penulisan Buku Karyawan Pk (PINTAR). Misalnya, Ridzuan 1 selenggaraan Zabidin Hj Ismail (Cerpen & Puisi: 1994)
- Menara Condong (Zabidin Hj. Ismail; Puisi: 1994)
- Danau Hati ( Al Hisyam: Puisi: 2000)
- Suratan (M Shah; Puisi: 2000).
- Buletin berjudul “Suara Karyawan Pk” yang ditangani Zabidin Hj Ismail selaku Ketua Pengarang, sempat diterbitkan sebanyak empat keluaran (1994-1995). Buletin ini diedarkan ketika GS dijalankan sekaligus berfungsi menarik ahli-ahli baru.
Kekerapan melaksanakan pelbagai kegiatan menjadi faktor penting memupuk kepercayaan dan keyakinan masyarakat penulis terhadap kemampuan Karyawan Pk melebarkan skop keaktifannya di arena persoalan penulis nasional. Jaafar Abdul Rahim (Utusan Malaysia , 6 September 1995:6) menegaskan bahawa “Soal pembinaan teori kesatuan penulisan bukan soal penulis Perak sahaja bahkan menjadi soal penulis nasional.Para pemimpin Persatuan Karyawan Perak yang cukup aktif mengadakan aktiviti sastera seluruh Perak, cukup berkemampuan untuk mendukung seruan saya ini.”
Karyawan Pk berusaha melahirkan penulis pelapis berbanding membicarakan soal-soal teori penulisan yang tentunya hanya untuk “hidangan” penulis mapan.
Pentadbiran
[sunting | sunting sumber]Semenjak mesyuarat agung pertama (1994) hingga kini Karyawan Pk beroperasi di rumah Setia Usaha Satu ( No. 35 Taman Sinar Jaya, Lorong Orkid 4, Jalan Merbuk, Teluk Intan) .Barisan kepimpinannya terdiri daripada penulis-penulis yang menetap di luar Teluk Intan kecuali penjawat jawatan utama: Ketua Satu, Setia Usaha Satu dan Bendahari. Rasionalnya, ketiga-tiga penyandang jawatan tersebut perlu menetap di satu kawasan bagi menyenangkan urusan pentadbiran.
12 'Sudut Penulis' telah diadakan: Ipoh (Mohd Zahis Midon), Tanjung Malim (Chai Loon Guan), Teluk Intan (Hj. Idris Mohd. Noor), Kuala Kangsar (M Shah), Lenggong (Mohd. Rashidi Yusof), Parit (Hisham Ariffin), Sitiawan (Al Fadzil Wahi), Taiping (Kamarudin Abdullah), Gerik (Ahmad Kamal Mohd. Taib), Kampung Gajah (Mustapha Ngah Mansor), Bagan Datoh (Nordin Hj Abdullah) dan Chenderong Balai (Mohd. Khairi Karim).
Beberapa biro juga diwujudkan :Novel (Chai Loon Guan); Cerpen (Sabariah Bahari); Puisi (Al Hisyam) ; Kritikan sastera (Talib Samat) ; Seni khat & sastera rakyat (Dr Hj. Muhamad Bukhari Lubis) ; Teater ( J Jamal) ; Kewartawanan (Hj. Abu Bakar Al Sidek Hashim) ; Seni lukis & kartun (Kasim Abdullah @ Sim) dan Ekonomi & korporat (Datuk Hj. Dzulkifli Ismail).
Beberapa tokoh professional dan penulis mapan turut memeriahkan Karyawan Pk. Antaranya ialah Dr Muhammad Bukhari Lubis, Prof Madya Othman Yatim (Pengarah Muzium Asia, Universiti Malaya) ; Dr Wahid Kasran ; Dr Talib Samat ; Raja Sabarudin Abdullah ; Zahari Hasib dan Ijamala MN. Mereka mencurahkan sebaldi pengorbanan dan sanggup datang dari jauh menghadiri mesyuarat J/kuasa lazimnya diadakan di Teluk Intan.
Pencapaian Matlamat
[sunting | sunting sumber]Moto Karyawan Pk ialah 'Selagi Menulis Tetap Menulis'. Karyawan Pk berjaya melahir dan mengangkat penulis seperti Sabariah Bahari, Aminah Abdul Malik, Onn Abdullah, Al Hisyam, Chai Loon Guan, M Shah, Jamaludin Ahmad, Malina M, Yusaini Teriman, Che Su Deraman, Arif Mohamad, Rahmaniah Hj Kantan, Noriah Mohd.Sharif, Nordin Hj Abdullah, Hanifah Hj Ibrahim, Ruziah Jaafar, J Jamal, Ramli Daud, Mahyuddin Ibas, dan Tarmizi Selamat dsb.
Ahli berdaftar seramai 220 setakat 20 Julai 2002. Pancaroba globalisasi serta dugaan dan cabaran alam siber menuntut ketahanan, keyakinan diri serta daya juang yang kental supaya perjalanan ke syurga sastera tidak tempang atau terhenti di persimpangan jalan. Ayuh sahabatku, kitalah pembentuk zaman. Tiada lain, kitalah![2]
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]- Persatuan Karyawan Perak (Karyawan PK) atau e-mel: karyawanpk@yahoo.com
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Pawang Ana tokoh penglipur lara?
- ^ Zabidin Haji Ismail, AMN.,AMP.,PJK., Pengasas (Bendahari Penaja 1992-1993; Setiausaha Satu 1994-2002; Presiden 2006-kini)-20 Julai 2002