Perkahwinan Rahsia
Perkahwinan Rahsia | |
---|---|
Pengarah | Hsu Chiao Meng A. R. Tompel (dibantu) |
Penulis | A. R. Tompel |
Dihasilkan oleh | Hsu Chiao Meng Ong Keng Huat |
Dibintangi | S. Kadarisman Aini Hayati Daeng Idris |
Sinematografi | Hitam-putih |
Syarikat penerbitan | Nusantara Film Productions |
Diedarkan oleh | Nusantara Film Productions |
Tarikh tayangan | 1951 |
Negara | Malaya (Malaysia & Singapura) |
Bahasa | Melayu |
Filem Perkahwinan Rahsia merupakan sebuah filem Melayu bercorak komedi romantik yang diterbitkan di Singapura yang ketika itu merupakan sebahagian dari Malaya pada tahun 1951. Filem Perkahwinan Rahsia diterbitkan dalam bentuk filem hitam putih tanpa warna.
Pengarah
[sunting | sunting sumber]Filem Perkahwinan Rahsia diarah oleh pengarah Hsu Chiao Meng dibantu oleh A. R. Tompel dan ditayangkan pada 1951.
Plot
[sunting | sunting sumber]Sukardi, seorang pemuda yang panjang akal. Dia mengutus surat dan meminta kirim wang $1000 ringgit dari pakciknya, seorang saudagar di Indonesia untuk melangsaikan hutang dengan alasan untuk berkahwin. Namun masalah muncul apabila pakciknya, yang disertai makcik dan jururawat peribadi mereka, datang ke Singapura untuk berubat. Mereka berasa hairan Sukardi menjemput mereka tanpa kehadiran isterinya.
Dia memberi alasan isterinya sedang hamil dan perlu berehat. Pakciknya menyuruh Sukardi dan isteri datang ke majlis jamuan bersama para saudagar pada malam esok. Dia juga menyatakan berita gembira bahawa setelah Sukardi berkahwin, dia bakal dilantik sebagai pengurus perniagaan cawangan di Singapura, dan seterusnya mewarisi harta pusakanya kerana mereka tidak mempunyai anak.
Dalam masa yang sama, Sukardi telah jatuh hati dengan Zahariah, jururawat peribadi yang berasal dari Jakarta. Dia juga sedang mencari akal bagaimana untuk mendapatkan seorang wanita yang sanggup menyamar sebagai isterinya.
Rakan Sukardi, Ramsir seorang yang tidak bekerja dan sering dimarahi isterinya, Zubaidah, kerana menipu tentang kekayaannya. Sukardi berjumpa dengan Ramsir dan meminta agar Zubaidah menyamar sebagai isterinya ke acara jamuan selama beberapa jam. Ini dianggap untuk membalas budi kerana pernikahan Ramsir dan Zubaidah dulu ditaja dengan wang dari Sukardi. Zubaidah tidak bersetuju, namun menukar fikiran setelah mengetahui Ramsir akan ditawarkan kerja sebagai penolong pengurus manakala Zubaidah pula sebagai kerani sekiranya rancangan mereka berjaya.
Rusinah, seorang penyanyi terkenal, turut dijemput ke acara jamuan dan ingin memikat Sukardi setelah mengetahui dia akan menjadi pewaris harta. Sukardi pula mengambil peluang berjumpa dengan Zahariah untuk meluahkan perasaan. Zahariah tersipu malu tetapi tetap menolak kerana tidak mahu melayan suami orang. Rancangan penyamaran Sukardi makin tunggang-langgang setelah pakciknya meminta semua tetamu untuk bermalam di sana kerana hari masih hujan dan telah lewat malam.
Sukardi dan Zubaidah pergi ke bilik tidur, namun Sukardi dipaksa keluar secara kelakar. Ramsir pula muncul secara tiba-tiba melalui tingkap bilik kerana risau keadaan isterinya. Sukardi terpaksa tidur di ruangan kaki lima tapi meluru ke bilik Rusinah akibat panik terlihat pakciknya. Rusinah mengambil peluang ini untuk meluahkan perasaan tetapi ditolak mentah-mentah oleh Sukardi dengan alasan sudah berkahwin.
Sukardi yang kembali ke kaki lima untuk persiapan tidur, kemudiannya ternampak seorang wanita keluar ke beranda dan mengikutinya. Menyangka itu adalah Zahariah yang sedang termenung, dia menegurnya dari belakang dan menceritakan hal sebenar supaya Zahariah tidak salah faham, tetapi wanita itu sebenarnya adalah Rusinah dan Rusinah memeras ugut sejumlah wang agar rahsia tersebut tidak bocor.
Setelah beberapa ketika, Zahariah ingin pulang ke Jakarta dan Sukardi diarah oleh pakciknya untuk membeli tiket kapal terbang. Dia mengambil tiket penerbangan di pejabat Sukardi. Setelah sampai di sana, Sukardi, Ramsir dan Zubaidah menjelaskan keadaan sebenar yang terjadi. Setelah mempercayai cerita tersebut, Zahariah membatalkan hasrat pulang dan bersetuju dengan lamaran Sukardi. Perkahwinan mereka dilangsungkan secara rahsia. Sukardi membuat cerita kononnya Zahariah mendapat kerja di Singapura dan tidak jadi pulang ke Jakarta.
Zahariah bersedih kerana perkahwinannya cuma disaksikan dua orang (Ramsir & Zubaidah), dan inginkan majlis yang gemilang. Dia juga sedih kerana terpaksa menyembunyikan status sebagai isteri. Sukardi menasihatinya agar bersabar kerana dia yakin pengakhiran yang baik akan datang untuk mereka berdua. Setelah Sukardi dikurniakan anak, pakcik dan makcik membuat lagi acara jamuan untuk meraikannya. Sekali lagi Zubaidah terpaksa menyamar sebagai isteri. Zahariah makin marah dengan situasi ini. Kini dia terpaksa menyembunyikan status sebagai ibu dan isteri. Dia akhirnya memberi kata dua kepada Sukardi, berterus terang dengan pakciknya ataupun berpisah. Zubaidah pula sudah bosan menipu ketika disuruh menyusukan bayi, akhirnya menceritakan keadaan sebenar kepada pakcik. Rusinah juga yang marah kerana bayaran penuh belum diterima, turut bertindak membocorkan semuanya kepada pakcik.
Setelah mengetahui hal sebenar, pakcik seorang yang memahami dan lembut hati, bertindak untuk mendamaikan suasana dan menasihati agar semua pihak saling bermaafan.
Pelakon
[sunting | sunting sumber]- S. Kadarisman sebagai Sukardi
- Aini Hayati sebagai Zahariah
- Daeng Idris sebagai pakcik
- Rokiah Hanafi sebagai Rusinah
- S. Naning sebagai Ramsir
- Supenah sebagai Zubaidah
- Mak Dara sebagai tuan rumah
- Saloma sebagai penyanyi pancaragam
Trivia
[sunting | sunting sumber]- Filem ini satu-satunya filem terbitan Nusantara Film Productions yang tidak hilang.
- Filem ini juga satu-satunya filem lakonan Rokiah Hanafi a.k.a Rokiah Wan Dah yang tidak hilang. Beliau pernah berlakon dalam 3 filem iaitu:
- Seruan Merdeka (1947)
- Pisau Berachun (1948)
- Perkahwinan Rahsia (1951)
- Filem ini diolah semula oleh penulis A. R. Tompel menjadi filem Anak Bapak