Perang Tok Janggut
Ketepatan fakta rencana ini telah dipertikaikan. (November 2020) |
Rencana ini mungkin perlu diwikikan untuk memenuhi mutu piawaian Wikipedia. |
Perang Tok Janggut adalah detik awal penentangan terhadap sistem pentadbiran British di Kelantan. Perang ini tercetus pada 29 April 1915 apabila berlaku perbalahan di antara Tok Janggut dengan Sarjan Che Wan Sulaiman seorang anggota polis British yang membawa kepada kematian Sarjan Che Wan Sulaiman.
Walaubagaimanapun,punca sebenar penentangan ini tidak jelas. Para pengkaji telah menyimpulkan punca penentangan ini seperti berikut:-
- Penentangan langsung terhadap pentadbiran British
- Penentangan tidak langsung terhadap Sultan Muhammad IV kerana menerima perlindungan British dan satu cubaan untuk mengulingkan Baginda. Pihak perisikan Inggeris mendapati bahawa terdapat kerabat diraja Kelantan yang membantu didalam perang ini iaitu Tengku Panglima Raja Tengku Chik Penambang dan Tengku Temenggong Abdul Ja'far Ibni Sultan Muhammad II |Sultan Muhammad II. Tengku Temenggong Long Abdul Ja'far mendakwa beliau ialah keturunan yang berhak menduduki takhta Kelantan kerana abang iparnya Tengku Ahmad Tengah bin Tengku Muhammad Ibni Sultan Mansur Riayat Syah Terengganu (Sultan Ahmad, Kelantan|Sultan Ahmad ) yang ditabal oleh Siam sebagai Sultan Kelantan untuk menggantikan ayahandanya (Sultan Muhammad II) tidak berhak terhadap takhta Kelantan kerana merupakan anak raja Terengganu. Sampai sekarang keturunan Tengku Long Abdul Ja'far masih menuntut takhta Kelantan di mahkamah seperti yang dilakukan oleh ahli Majlis Perajaan Kelantan, YM Tengku Iskandar ibni Tengku Panglima Raja Long Ahmad Ibni Tengku Temenggong Long Abdul Ja'far Wasiat Al-Marhum Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Long Ahmad kepada nak cucunya ketika terlantar gering selama 2 minggu yang membawa kepada kemangkatannya pada 1989 supaya anak cucunya tidak melupakan bahawa mereka ialah pewaris sah takhta Kelantan tetapi dinafikan hak kerana ketamakan pembesar-pembesar Kelantan pada waktu itu.
1 Hasil sentimen sokongan terhadap tokoh tempatan iaitu Engku Besar dan sikap anti orang luar iaitu pegawai daerah Pasir Putih, Abdul Latif, yang dilihat merampas kuasa Engku Besar
2 Penentangan golongan ksum tsni terhadap sistem cukai tanah baru dan cara kutipan dijalankan
3 Perang jihad terhadap British berikutan bermulanya Perang Dunia Pertama dimana British adalah sebahagian negara Eropah yang menentang Turki yang bersekutu dengan Jerman
Latar belakang
[sunting | sunting sumber]Dengan termeterainya Perjanjian Inggeris-Siam 1909, Kelantan telah jatuh di bawah naungan kerajaan Inggeris. Kelantan pada masa itu dibawah pemerintahan Tuan Long Senik atau Sultan Muhammad IV. Pada 22 Oktober 1910, kerajaan Inggeris telah membuat perjanjian dengan kerajaan Kelantan. Semenjak itu mulalah campur tangan kerajaan Inggeris di Kelantan. Pihak kerajaan Inggeris juga memperkenalkan institusi pentadbiran baru seperti balai polis dan mahkamah di peringkat daerah termasuk juga di jajahan Pasir Puteh yang sebelumnya dikenali sebagai Pangkalan Limbungan. Sebelum kedatangan British, daerah tersebut ditadbir oleh seorang pembesar kerajaan Kelantan yang dikenali dengan gelaran Seri Maharaja Tua.
Pada masa itu, di Jeram yang terletak di dalam daerah Pasir Putih, tinggal seorang hulubalang Seri Maharaja Tua yang bernama Munas. Munas mempunyai dua orang anak lelaki iaitu Tahir dan Hassan yang dikenali sebagai Tok Janggut.
Punca konflik
[sunting | sunting sumber]Lebih kurang pada tahun 1914, Abdul Latifah seorang yang berasal dari Singapura telah dilantik menjadi Ketua Daerah di Daerah Pasir Putih. Abdul Latif telah menguatkuasakan semua undang-undang cukai kerajaan Kelantan termasuk tiap-tiap seorang dikenakan cukai kepala $1.00 setahun, pokok buah-buahan 12 1/2 sen sepokok, pokok kelapa 3 sen sepokok, sirih 5 sen sejunjung, kerbau dan lembu 20 sen seekor, anjing dan babi 50 sen seekor, pokok kayu keras seperti tembusu, medang dan lain-lain yang boleh dijadikan bahan binaan rumah $1.00 sepokok, hasil tanah 60 sen seekar. Penduduk yang enggan membayar cukai dikenakan hukuman denda atau penjara.
Pungutan cukai dijalankan di Pejabat Daerah Pasir Putih dan dilaksanakan oleh seorang pekerja. Disebabkan tenaga kerja yang terhad, ada pembayar cukai yang terpaksa menunggu selama tiga hari tetapi masih tidak dapat membayar cukai. Ketika Tok Janggut dan pengikutnya hendak menjelaskan cukai, mereka terpaksa menunggu lebih kurang seminggu dan menyebabkan mereka mengambil keputusan meninggalkan pejabat tersebut dan balik ke kampung masing-masing dan enggan membayar cukai yang ditetapkan.
Keengganan membayar cukai tersebut menyebabkan Tok Janggut dan pengikutnya disaman oleh pemerintah Pasir Putih dan dikehendaki hadir ke mahkamah di Pasir Putih. Tetapi Tok Janggut dan pengikutnya enggan hadir ke mahkamah.
Disamping itu, Tok Janggut bersama rakan-rakannya iaitu YAM Tengku Besar Jeram Tuan Ahmad Ibni Tengku Sri Maharaja Long Mansor, Haji Said, Ishak dan Penghulu Adam telah meminta penduduk di daerah Pasir Putih untuk turut tidak membayar cukai. Di dalam suatu perhimpunan penduduk Pasir Putih yang diadakan di Kampung Tok Akib, penduduk telah membuat ketetapan untuk tidak mahu membayar cukai kepada Ketua Daerah Pasir Putih walau apa pun terjadi. Berita ini akhirnya sampai kepada pengetahuan Ketua Daerah Abdul Latif yang telah menghantar Sarjan Che Wan Sulaiman untuk menangkap Tok Janggut.
Perang bermula
[sunting | sunting sumber]Pada 29 April 1915, Sarjan Che Wan Sulaiman yang diiringi oleh enam orang anggota polis telah menemui Tok Janggut di Kampung Tok Akib. Ketika tiba di kampung itu, Mat Hassan sedang berucap di hadapan kira-kira 1,000 penduduk yang kebanyakannya bersenjata. Sarjan Sulaiman telah menerangkan maksud kedatangannya dan telah menjemput Tok Janggut datang ke Pasir Putih untuk berjumpa Ketua Jajahan. Tok Janggut telah bersetuju dengan permintaan tersebut, walau bagaimanapun telah berlaku pertengkaran semasa hendak meninggalkan tempat tersebut kerana Tok Janggut tidak mahu berjalan dihadapan dengan diiringi oleh polis dibelakangnya seperti orang salah. Semasa pertengkaran tersebut, Tok Janggut telah menikam Sarjan Che Wan Sulaiman dengan kerisnya menyebabkn beliau meninggal dunia. Melihat peristiwa tersebut, polis yang lain tidak berani melawan dan telah dibiarkan pergi oleh Tok Janggut setelah merampas senapang mereka.
Tok Janggut bersama rakan-rakanya dan pengikut-pengikut mereka seramai lebih kurang dua ribu orang telah menyerang dan menawan pekan Pasir Putih. Ketua Daerah telah lari menyelamatkan diri ke Kota Bahru menghadap Sultan Muhammad Shah IV.
Setelah menawan Pasir Puteh, Tok Janggut dan rakan-rakannya telah menubuhkan kerajaan sendiri. YAM Tengku Besar Jeram Tuan Ahmad Ibni Tengku Sri Maharaja Long Mansor diangkat menjadi Paduka Sri Raja Pasir Putih, Tok Janggut menjadi Perdana Menteri, Haji Said menjadi Timbalan Perdana Menteri, Penghulu Adam menjadi Syahbandar dan Ishak menjadi Ketua Daerah.
Konflik berlarutan
[sunting | sunting sumber]Pihak Inggeris telah melaporkan kepada Sultan bahawa Tok Janggut dan rakan-rakannya telah memberontak dan sedang menuju ke istana bagi merampas takhta. Pihak Inggeris turut menghalang Tok Janggut daripada menghantar utusan bagi menerangkan perkara sebenar kepada Sultan. Sultan Muhammad IV sangat murka terhadap Tok Janggut dan rakan-rakannya. Baginda menggangap mereka sebagai penderhaka. Baginda telah mengeluarkan titah sesiapa yang dapat menangkap salah seorang daripada Tengku Besar Jeram Tuan Ahmad, Tok Janggut, Haji Said, Ishak dan Penghulu Adam akan diberi wang hadiah sebanyak RM500. Harta benda Tok Janggut dan rakan-rakannya telah dirampas dan rumah mereka akan dibakar.
Setelah mendengar titah tersebut, Tok Janggut dan rakan-rakannya telah menetapkan tidak mahu menyerah diri dan telah bersiap sedia dengan membuat sebuah kubu di Kampung Saring yang dikenali sebagai Batas Besar Kubu Tok Janggut.
Peranan Inggeris
[sunting | sunting sumber]Apabila Sultan Muhammad IV mendengar persiapan perang Tok Janggut, Baginda telah bermesyuarat dengan pembesar negeri termasuk juga Penasihat British dan mesyuarat telah mengambil keputusan untuk meminta bantuan kerajaan Inggeris untuk menghadapi ancaman Tok Janggut dan pengikut-pengikutnya.
Gabenor Sir Arthur Henderson Young di Singapura telah menghantar sebuah kapal perang dengan seramai 150 orang askar ke Kelantan untuk memenuhi permintaan kerajaan Kelantan. Pada 10 Mei 1915, askar tersebut telah sampai ke Kota Bahru dan sampai di Pasir Putih tiga hari kemudian. Walaubagaimanapun, mereka gagal untuk menemui Tok Janggut dan rakan-rakanya yang telah menyembunyikan diri dan tidak mahu melawan askar tersebut secara berhadapan. Pada 17 Jun 1915 askar tersebut kembali ke Kota Bahru dan menunggu seminggu di sana sebelum kembali ke Singapura.
Pada bulan yang sama, sepasukan askar Inggeris seramai 100 orang yang terdiri daripada askar Sikh dan sukarelawan Melayu telah dihantar ke Pasir Putih. Setelah gagal sekali lagi untuk menemui Tok Janggut dan rakan-rakannya, askar tersebut telah mengambil tindakan merampas harta benda, membinasakan sawah padi serta membakar rumah penduduk di Jeram, Pasir Putih termasuk rumah Tok Janggut, Haji Said dan Ishak. Istana Tengku Besar Jeram juga turut dibakar.
Pertempuran Kampung Saring
[sunting | sunting sumber]Pada 25 Jun 1915, Tok Janggut bersama lebih kurang 2,500 orang pengikutnya telah menyerang askar Sikh yang berada di pekan Pasir Puteh. Pasukan Tok Janggut kemudian telah berundur ke kubunya di Kampung Saring. Askar Inggeris telah menyerang kubu tersebut yang menyaksikan pasukan Tok Janggut berjuang bermati-matian menghadapi serangan tersebut. Antara pejuang yang bersama Tok Janggut pada hari itu ialah Abbas Berani, Hassan Harimau, Awang Ngah dan Abdul Rahman Anak Kerbau.
Walaubagaimanapun, akhirnya askar Inggeris yang lebih terlatih dan berpengalaman serta lengkap dengan peralatan perang yang moden, berjaya menewaskan pasukan Tok Janggut. Tok Janggut sendiri telah gugur manakala Tengku Besar Tuan Ahmad, Haji Said dan Ishak telah melarikan diri ke Reman di Selatan Siam.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- Haji Buyong Adil, Perjuangan Orang Melayu Menentang Penjajahan pada abad 15 - 19, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2009
- Cheah Boon Kheng (2006). To' Janggut (Old Long Beard) - Legends, Histories and Perceptions of the 1915 Rebellion in Kelantan. Singapore University Press. ISBN 967169316X.
- Hari Ini Dalam Sejarah Online Diarkibkan 2008-06-10 di Wayback Machine
- Pejuang Kemerdekaan: Tok Janggut Diarkibkan 2008-05-30 di Wayback Machine