Pergi ke kandungan

Penyergapan kafilah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Unta dengan Rengga oleh Emile Rouergue (1855) yang menggambarkan rombongan kafilah membawa barang dagangan dengan menggunakan unta di Semenanjung Arab.

Penyergapan kafilah (Jawi: ڤڽرݢڤن قافلة) merupakan siri serangan penyergapan dan serbuan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad dan para sahabatnya terhadap kafilah milik orang-orang Quraisy. Serangan ini adalah sebagai serangan balas pada umumnya[1] dan dijalankan bagi mengumpulkan maklumat dan merampas barang dagangan yang dimiliki oleh orang Quraisy. Perlakuan ini adalah dibenarkan kerana ramai umat Islam meninggalkan harta benda mereka di Makkah selepas berhijrah ke Madinah (dahulu dikenali sebagai Yathrib) pada tahun 622 M dan harta benda tersebut kebanyakannya dirampas oleh orang Quraisy Makkah.[2][3][4] Umat Islam juga percaya bahawa serangan tersebut adalah dibolehkan dan Allah telah mengizinkan mereka untuk mempertahankan diri daripada penindasan oleh orang Makkah terhadap orang Islam.[5][6][7][8]

Latar belakang

[sunting | sunting sumber]

Para pengikut Nabi Muhammad menderita akibat kemiskinan selepas berhijrah ke Madinah bersama Muhammad bagi mengelakkan penganiayaan yang dilakukan oleh penduduk Makkah terhadap mereka. Ketika melakukan penghijrahan, umat Islam meninggalkan harta benda dan kekayaan mereka di Makkah dan setelah mereka pergi, harta benda itu telah dirampas oleh penduduk Makkah. Sejak bulan Januari tahun 622 (bulan Jamadilakhir 2 Hijriah), beberapa orang Muslim berusaha untuk menyerang rombongan dagangan Makkah yang melakukan perjalanan melalui persisiran pantai Laut Merah dari Makkah ke Syria (dahulu dikenali sebagai Syam).

Kehidupan bermasyarakat adalah penting bagi kelangsungan hidup di kawasan padang pasir kerana setiap orang memerlukan sokongan dan pertolongan bagi menghadapi persekitaran dan keadaan hidup yang sukar ketika itu. Oleh yang demikian, berkumpulan sesama suku adalah digalakkan untuk bertindak sebagai sebuah kesatuan atau unit. Kesatuan ini dibentuk berdasarkan kepada ikatan persaudaraan berasaskan hubungan darah.[9] Orang Arab yang tinggal secara menetap, sumber ekonomi mereka lebih tertumpu kepada aktiviti perdagangan dan pertanian. Bagi yang hidup secara nomad pula, mereka akan berpindah-randah dari satu tempat ke tempat yang lain bagi mencari sumber air dan padang rumput untuk binatang ternakan meraka. Sebahagian orang nomad ini (atau golongan Badwi) bergantung kepada penyergapan dan serbuan terhadap kafilah dan kawasan wahah (oasis) sebagai satu mata pencarian dan mereka menganggap ia bukanlah suatu jenayah.[10][11]

Siri penyergapan

[sunting | sunting sumber]

Serbuan pertama

[sunting | sunting sumber]

Menurut Ar-Raheeq Al-Makhtum, sebuah hagiografi mengenai Nabi Muhammad yang telah dikarang oleh seorang penulis India Muslim, Saif ur-Rahman Mubarakpuri, Muhammad memerintahkan satu serbuan yang diketuai oleh bapa saudaranya, Hamzah bin Abdul Muttalib dilakukan antara tujuh hingga sembilan bulan selepas peristiwa Hijrah. Ketika tempoh itu, kira-kira 30 hingga 40 orang telah berkumpul di tempat di mana Abu Jahal (Amru bin Hisyam), pemimpin kafilah dan 300 penunggang unta dan kuda berkhemah iaitu di persisiran dekat al-Is yang terletak antara Makkah dan Madinah.[12][13][14][15][16] Hamzah telah bertemu dengan Abu Jahal di situ untuk menyerang kafilah itu, tetapi ia telah dihalang oleh Majdi bin Amr al-Juhani, seorang Quraisy yang mempunyai hubungan dengan kedua-dua belah pihak itu setelah beliau masuk campur untuk mengamankan mereka sehingga kedua-dua pihak berpisah dengan tanpa sebarang serangan. Pihak Hamzah telah kembali ke Madinah manakala Abu Jahal pula meneruskan perjalanan ke Makkah.[12][13][14][15][17][18]

Serbuan kedua

[sunting | sunting sumber]
Serbuan Kedua terhadap Kafilah Makkah
TarikhApril 623 M, 1 H
Lokasi
Keputusan Serbuan gagal (musuh terlalu jauh)[13][14]
Pihak yang terlibat
Muslim Madinah Quraisy Makkah
Komandan dan pemimpin
Ubaidah bin al-Harith Abu Sufian bin Harb
Kekuatan
60–80[14] 200
Kerugian dan korban
Tidak diketahui (beberapa panahan dilepaskan) Tidak diketahui (1 panahan dilepaskan)

Serangan ini telah diketuai oleh Ubaidah bin Al-Harith dan telah dilakukan pada 9 bulan selepas peristiwa hijrah iaitu beberapa minggu selepas serbuan pertama.[12][13][14][15]

Kira-kira sebulan selepas serangan oleh pihak Hamzah gagal melakukan serbuan, Nabi Muhammad mengamanahkan 60 orang Muhajirin untuk melakukan satu lagi operasi menyerbu kafilah Quraisy yang baharu kembali dari Syria (dahulu dikenali sebagai Syam) di mana kafilah itu dilindungi oleh 200 yang bersenjata. Pemimpin kafilah adalah Abu Sufian bin Harb.

Pihak Muslim telah bergerak jauh sehingga ke Thanyatul-Murra, sebuah kawasan berair di Hijaz. Walau bagaimanapun, tiada sebarang pertempuran berlaku kerana kedudukan antara kumpulan kafilah dan pihak Muslim adalah jauh. Namun begitu, Saad bin Abi Waqqas telah melepaskan satu panahan ke arah kaum Quraisy dan panahan tersebut kemudiannya dikenali sebagai panahan pertama Islam. Disebabkan tiada pertempuran, pihak Muslim telah kembali dengan tangan kosong. Adalah dipercayai bahawa Ubaidah bin Al-Harith merupakan orang pertama yang membawa panji-panji Islam walaupun ada yang berpendapat bahawa Hamzahlah orang yang pertama.[18] Sebahagian kejadian ini telah disebutkan dalam kitab Sahih Bukhari iaitu:[17]

Aku mendengar Saad berkata, "Akulah yang pertama di antara orang Arab yang melepaskan panah kerana Allah. Kami biasanya berjuang bersama dengan Nabi."

Sahih Bukhari, 5:57:74

Serbuan ketiga

[sunting | sunting sumber]

Serbuan ini telah dipimpin oleh Saad bin Abi Waqqas dan berlaku sebulan selepas serbuan kedua. Pasukan beliau terdiri daripada 20 orang Muhajirin. Saad dan pasukannya mengatur strategi serang hendap terhadap kafilah Makkah yang kembali dari Syria di Lembah Kharar yang terletak berada di laluan menuju ke Makkah. Walau bagaimanapun, kafilah itu telah melalui lembah itu terlebih dahulu sebelum kedatangan Saad dan pasukannya. Akhirnya, mereka pulang semula ke Madinah tanpa melakukan serangan.[13][15][12][14][18]

Perang Waddan

[sunting | sunting sumber]

Serangan keempat dikenali sebagai Perang Waddan dan ia merupakan serangan dimana Nabi Muhammad terlibat di dalamnya secara langsung.[12][19] Serangan ini berlaku selepas 12 bulan peristiwa Hijrah dan Nabi Muhammad sendiri sebagai pemimpinnya. Matlamat serangan ini adalah untuk menyerbu kafilah Quraisy dan Bani Damrah.

Ketika serbuan, pihak Muhammad tidak berhasil menjumpai kafilah Quraisy dan hanya berjaya menyerbu kafilah milik Bani Damrah.[14][19] Akhirnya, kedua pihak membuat rundingan dan menandatangani perjanjian anti-pencerobohan. Dalam perjanjian itu, Bani Damrah berjanji untuk tidak menyerang orang Muslim dan bersekutu dengan kaum Quraisy. Pihak Muhammad pula berjanji untuk tidak menyerang kafilah milik Bani Damrah dan merampas barang atau harta mereka.[12]

Menurut sarjana Muslim bernama Al-Zurqani, isi kandungan pakatan atau perjanjian yang dimeterai adalah seperti berikut:[17][18][19]

Surat ini adalah daripada Muhammad Rasulullah, berkenaan Bani Damrah. Di mana ia (Muhammad) dengan ini menjaga keselamatan dan keamanan nyawa mereka. Mereka akan mendapat bantuan daripada pihak Muslim, melainkan jika mereka menentang agama Allah. Mereka diharapkan memberi tindakan apabila Nabi meminta bantuan mereka.


Penaklukan di Buwat

[sunting | sunting sumber]

Bagi siri serbuan kelima ini, ia telah diketahui oleh Nabi Muhammad sendiri.[14] Sebulan selepas serbuan di Al-Abwa, baginda memimpin 200 orang Muhajirin dan Ansar ke Buwat, sebuah laluan sering dilalui oleh para pedagang Quraisy. Serangan ini adalah yang pertama kali bagi golongan Ansar.[15][18][20] Kafilah Quraisy ini terdiri daripada 100 orang Quraisy yang dipimpin oleh Umayyah bin Khalaf dan bersama mereka 2,500 ekor unta.[21] Tujuan serangan ini adalah untuk merompak kafilah Quraisy yang kaya ini dan merampas hasil dagangannya.

Bagaimanapun, tiada pertempuran yang berlaku kerana kafilah ini mengambil laluan yang tidak diketahui oleh pihak Muslim. Kemudiannya, Nabi Muhammad pergi ke Dhat al-Saq yang berada di padang pasir Al-Khabar. Baginda berdoa di situ dan membangunkan sebuah masjid.[perlu rujukan]

Serangan keenam

[sunting | sunting sumber]

Serangan ini dipimpin oleh Nabi Muhammad sendiri selepas dua atau tiga bulan kembali dari Buwat. Baginda meminta Abu Salamah ibn Abdul al-Assad untuk menggantikan tempatnya sebagai pemimpin Madinah. Dalam serangan ini, Nabi Muhammad memimpin 150 hingga 200 orang pengikut dalam operasi menuju ke al-Ushaira, di Yanbu pada bulan Jamadilawal atau Jamadilakhir tahun 2 Hijrah.[14][15][21][22]

Mereka memiliki 30 ekor unta yang ditunggangi secara bergilir-gilir. Apabila mereka tiba di al-Ushaira, mereka bersiap siaga untuk menyerang kafilah Makkah yang kaya raya yang sedang menuju ke Syam dan kafilah ini diketuai oleh Abu Sufian. Nabi Muhammad mempunyai maklumat tentang keberangkatan kafilah ini dari Makkah dan menunggu selama sebulan untuk menyerang kafilah tersebut. Walau bagaimanapun, kafilah itu telah terdahulu terlepas daripada penyergapan ini.

Dalam operasi ini, Nabi Muhammad telah mengadakan baiah dengan Bani Madlaj, sebuah suku yang tinggal di sekitar al-Ushaira. Perjanjian ini memberikan suatu hubungan politik yang lebih unggul kepada baginda.[18]

  1. ^ William 2010, halaman 105
  2. ^ Mubarakpuri 2002, halaman 145
  3. ^ Gabriel, Richard A. (2008), Muhammad, Islam's first great general, University of Oklahoma Press, m/s. 73, ISBN 978-0-8061-3860-2
  4. ^ Gabriel, Richard A. (2008), Muhammad, Islam first general, Blackwell, m/s. 73, ISBN 9780806138602
  5. ^ Welch, Muhammad, Encyclopedia of Islam
  6. ^ Watt (1964) hlmn. 76
  7. ^ Peters (1999) hlmn. 172
  8. ^ Michael Cook, Muhammad. dalam Founders of Faith, Oxford University Press, 1986, hlmn. 309
  9. ^ Watt (1953), hlmn. 16-18
  10. ^ Loyal Rue, Religion Is Not about God: How Spiritual Traditions Nurture Our Biological, 2005, hlmn. 224
  11. ^ John Esposito, Islam, Expanded edition, Oxford University Press, hlmn.4-5
  12. ^ a b c d e f Mubarakpuri 2005, halaman 127
  13. ^ a b c d e Mubarakpuri 2002, halaman 147
  14. ^ a b c d e f g h i Haikal & Husain 1976, halaman 217-218
  15. ^ a b c d e f Hawarey, Dr. Mosab (2010). The Journey of Prophecy; Days of Peace and War (Arabic). Islamic Book Trust.
  16. ^ "Webcitation.org". Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-06-11. Dicapai pada 2011-06-11.
  17. ^ a b c Muḥammad Ibn ʻAbd al-Wahhāb & Imam 2003, halaman 345
  18. ^ a b c d e f Witness Pioneer "Pre-Badr Missions and Invasions"
  19. ^ a b c Mubarakpuri 2005, halaman 244
  20. ^ Muḥammad Ibn ʻAbd al-Wahhāb & Imam 2003, halaman 346
  21. ^ a b Mubarakpuri 2005, halaman 128
  22. ^ Mubarakpuri 2005, halaman 148

Bacaan lanjut

[sunting | sunting sumber]

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]