Assalamualaikum semua. Tahun ini merupakan tahun kesepuluh saya mengedit Wikipedia. Apabila saya melihat kembali kandungan pengenalan saya tak silapnya pada tahun 2014 saya tiba-tiba tergelak. Bukannya apa tetapi cara saya susun ayat pada ketika itu agak kurang matang dan terlalu optimistik.
Tidak mengapa kalau dulu kita kurang matang, dan memang betul pun kita perlu juga bersikap optimistik supaya kehidupan kita sentiasa bermakna dan bahagia. Tetapi tidak mengapa juga kalau kadangkala kita rasa ada sedikit buntu dan kecewa, sebab masam manis pahit pedas (ini peribahasa Cina ya, saya sahaja selitkan) memang merupakan lumrah kehidupan kita. Dalam mencari erti dan hakikat kita hidup sepanjang perjalanan kita, sudah tentu pelbagai cabaran akan menimpa kita, tetapi di saat kita hampir putus asa janganlah kita lupa yang ganjaran untuk usaha kita mengatasi cabaran yang kita pernah hadapi akan tiba tidak lama lagi. Tubuh badan seorang pahlawan yang penuh dengan kesan luka dan parut sebenarnya bukannya tanda penghinaan, tetapi ia adalah lambang perjuangan serta kebanggaannya.
Sempena saya sepuluh tahun berbakti di laman Wikipedia, saya berharap saya dapat tingkatkan lagi tatabahasa bahasa Melayu saya, supaya laman-laman baharu yang saya usahakan walaupun bersifat teknikal namun berupaya menjadi rujukan pengetahuan umum yang terbaik. Tujuan baru saya bukanlah lagi ingin menambah bilangan suntingan (seperti yang saya selalu kejar dengan merujuk laman Xtools beberapa tahun lalu), tetapi saya berhasrat untuk menambah bilangan rencana yang hampir sempurna melalui penterjemahan dari laman Wikipedia Bahasa Inggeris. Jika sempat saya juga ingin usahakan laman baharu seperti laman Pentaksiran Berasaskan Sekolah, tetapi saya tahu yang penciptaan laman baru tanpa rujukan dari Wikipedia Bahasa Inggeris perlukan perhatian dan komitmen yang sangat tinggi.
Apa-apa pun semoga terus maju dan berjaya, jika kita yakin diri kita boleh sudah tentu akan menjadi!
Oh ya... boleh minta tolong sesiapa sahaja yang mahir dalam bidang pengekodan Javascript di Wikipedia untuk hubungi saya, kerana saya perlukan bantuan untuk penyelenggaraan kod-kod tersebut, seperti pada tajuk perbincangan ini