Pengguna:Chong Shin/Kotak pasir
Ini merupakan kotak pasir pengguna bagi Chong Shin. Kotak pasir pengguna ialah sublaman bagi laman pengguna. Ia berfungsi sebagai tempat untuk membuat ujian dan ruang pembangunan laman untuk pengguna dan ia bukanlah rencana ensiklopedia. Cipta atau sunting kotak pasir anda sendiri di sini. Kotak pasir lain: Kotak pasir utama | Kotak pasir tutorial 1, 2, 3, 4, 5 | Kotak pasir templat Menulis suatu rencana dan bersedia untuk memohon untuk ia dicipta? |
PENAN MUSLIM
Di Sarawak, secara tradisi Penan dikenal sebagai suku nomadik. Sejak lebih dari seratus tahun, suku ini mula meninggalkan kawasan pergunungan dan tinggal menetap di kawasan tanah rata atau kawasan persisir pantai. Mereka mula bercucuk tanam, terlibat dengan aktiviti perdagangan barter dan menukar kepercayaan kepada adat Bungan atau agama moden iaitu Kristian [1]. Di antaranya, terdapat sebahagian daripada mereka memeluk agama Islam dan dikenali sebagai suku Penan Muslim [2]. Golongan ini tersebar di berhampiran dengan persisir pantai, iaitu di bahagian barat sungai Baram dan di hilir lembah Sungai Niah. Seawal awal abad ke 20-an,[3] telah melaporkan bahawa terdapat lima daerah Penan Muslim di lembah Baram-Niah, iaitu Bakong, Mesekat, Niah, Sebubon dan Suai. Kajian terbaru menemukan batu nisan Penan Muslim yang bertarikh seawal tahun 1938.
Menurut Needhem lagi, pada akhir tahun 40-an dan awal 50-an, belum ramai suku Penan yang memeluk agama Islam, contohnya di Mesekat, hanya 3 keluarga yang memeluk agama Islam (daripada 60 penduduk). Begitu juga dengan di Sebubun, hanya 3 daripada 50 keluarga yang beragama Islam. Bilangan yang paling ramai memeluk agama Islam di Suai (sungai Lai, cabang Sungai Suai), iaitu terdapat kira-kira 30 daripada 40 orang yang memeluk agama Islam. Kini, bilangan suku Penan Muslim telah bertambah ramai dan banyak kampung Penan Muslim yang wujud, contohnya Kampung Tanjung Belipat dan Kampung Iran. Selain itu, kajian juga menunjukkan Penan Muslim juga terdapat di Bintulu, iaitu Kampung Penan Muslim Batu 10 di hilir sungai Kemena, Bintulu) [4]
Bahasa
Dari sudut linguistik, bahasa suku Penan “asli” tergolong dalam kelompok Bahasa Kenyah. Terdapat fenomena di mana suku Penan setelah memeluk agama Islam, telah meninggalkan bahasa Penan dan memilih bahasa Bintulu sebagai bahasa pertama. Dari sudut linguistik sejarawi, bahasa Bintulu merupakan kelompok Bahasa Sarawak Utara [5] tetapi masyarakat mendakwanya mirip dengan bahasa Melanau; lihat [6]. Suku Penan Muslim dikenalpasti memilih bahasa Bintulu walaupun berlainan keluarga bahasa dengan bahasa Penan. Mereka tidak memilih bahasa Iban [7]yang merupakan lingua franca di daerah Baram-Niah dan seluruh Sarawak kerana faktor keagamaan. Suku Penan Muslim memilih bahasa Bintulu yang sinonim dengan “bahasa Islam” kerana bahasa ini adalah bahasa ibunda suku Bintulu yang beragama Islam di lembah Kemena, Bintulu. Walaupun dialek Melayu Sarawak juga sinonim dengan “bahasa Islam”, namun pada tahap awal, dialek Melayu ini belum luas tersebar ke bahagian utara Sarawak; lihat [8] dan [9]. Setelah dua atau tiga generasi bertukar bahasa dan agama, kini generasi muda Penan Muslim hanya berbahasa Bintulu sebagai bahasa pertama. Hanya golongan tua yang masih kompeten dalam bahasa Penan.
Identiti Umum
Sesuai dengan definisi identiti yang cair dan sentiasa berubah-ubah [10], identiti komuniti Penan Muslim juga menepati definisi ini. Kajian menunjukkan bahawa pada umumnya mereka masih mengaku diri sebagai “suku Penan yang beragama Islam”. Namun, atas faktor-faktor tertentu, identiti sering berubah. Justeru beragama Islam, mereka sering disalah-anggap sebagai orang “Melayu” oleh masyarakat luar. Sesungguhnya, kehidupan suku Penan yang telah beragama Islam tidak boleh dipisahkan dari identiti Melayu, walaupun ada di kalangan daripada mereka berusaha mempertahankan identiti asal. Terdapat kes di mana penduduk tidak menolak “identiti Melayu” kerana berpandangan bahawa telah beralih ke agama Islam bermakna telah “masuk Melayu”, iaitu mengadaptasi amalan hidup yang mirip dengan orang Melayu.
Catatan Akhir: Tulisan ini adalah sedutan ringkas dari hasil projek FRGS/1/2015/SSI01/UKM/02/8 yang berjudul Menerokai Konsep Baru Masuk Melayu Melalui Etnolinguistik Suku Penan Muslim dan Melayu-Melanau Sarawak[11], oleh Chong Shin & Hendrikus Mangku. Input tambahan adalah dialu-alukan.
- ^ Needhem (1965)
- ^ https://www.researchgate.net/publication/311614868_Bahasa_dan_Identiti_Penan_Muslim_di_Suai-Niah
- ^ Needhem (1965)
- ^ https://www.researchgate.net/publication/309576226_Agama_sebagai_penentu_pemilihan_bahasa_Ibunda_dan_identiti_Penan_Muslim_di_Sarawak_Malaysia_Timur
- ^ http://repository.tufs.ac.jp/bitstream/10108/71811/2/nusa5410.pdf
- ^ https://drive.google.com/file/d/0B-wrYh4qK0CHOWI1YWNmZDUtZjFkZi00NDhmLWFmMGUtMmE2NmYzOWEyY2Fk/view
- ^ https://search.proquest.com/openview/428c8aa06bc92622fc6fa337f402a18a/1?pq-origsite=gscholar&cbl=1116336
- ^ http://journalarticle.ukm.my/1173/1/SARI27%5B2%5D2009_%5B03%5D.pdf
- ^ https://www.researchgate.net/publication/318543304_Persebaran_dialek-dialek_Melayu_di_Sarawak
- ^ (Shamsul Amri 1999)
- ^ https://www.researchgate.net/publication/318460436_Fenomena_Pertukaran_Identiti_Melanau_Suatu_Hipotesis_dan_Fakta