Pergi ke kandungan

Pengasah pensel

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pengasah prisma manual menghasilkan cukuran yang panjang dan berbentuk kipas

Pengasah pensel ialah alat untuk mengasah mata pensel apabila pensel semakin tumpul. Pengasah pensel boleh dikendalikan secara manual mahupun dengan motor elektrik . Ia adalah perkara biasa bagi kebanyakan pengasah mempunyai selongsong di sekelilingnya yang boleh ditanggalkan supaya dapat dikosongkan serta dapat membuang serpihan pensel ke dalam tong sampah.

Pengasah manual

[sunting | sunting sumber]

Pengasah prisma

[sunting | sunting sumber]
Pengasah prisma aloi magnesium

Pengasah "prisma", juga dipanggil pengasah "manual" atau "poket", tidak mempunyai bahagian yang bergerak secara berasingan. Kebiasaanya pengasah ini merupakan pengasah pensel yang paling kecil dan murah yang boleh didapati di pasaran. Pengasah umum yang paling ringkas ialah dalam bentuk bongkah atau prisma segi empat tepat kecil, dengan mempunyai saiz hanya kira-kira 1 × 5/8 × 7/16 inci (2.5 × 1.7 × 1.1 cm). Pengasah berbentuk bongkah mengandungi gabungan kon yang membentuk mata pensel, sejajar dengan lubang panduan penjajaran silinder pensel, di mana pensel itu dimasukkan. Bilah tajam dipasang supaya sisi tajamnya hanya memasuki kon pembentuk secara tangen. Pensel dimasukkan ke dalam pengasah lalu diputar, manakala pengasah yang dipegang tidak bergerak. Badan pengasah selalunya berkontur, beralun-alun atau beralur pada permukaan untuk menjadikannya lebih mudah digenggam dengan kuat. Kebiasaannya ia diperbuat daripada aloi aluminium, aloi magnesium atau plastik yang keras.

Pengasah prisma berengkol tangan yang luar biasa, dengan penutup pencukur

Bilah di dalam pengasah mengasah kayu dan grafit di hujung pensel, manakala sisa yang diasah keluar melalui celah di sepanjang tepi bilah. Lubang silinder perlulah padan dan muat dengan diameter pensel. Ia penting untuk memastikan pensel dalam keadaan tetap serta tidak bergerak-gerak disebabkan longgar, yang mungkin akan menyebabkan mata pensel pecah. Antara ciri lain yang penting ialah ruang lubang yang lebih besar di hujung kon membolehkan grafit pensel yang terlepas dikeluarkan dengan mudah. Pengasah prisma boleh digunakan secara terdedah atau secara tertutup dengan dimasukkan ke dalam bekas untuk mengumpul sisa asahan. Beberapa pengasah tertutup mungkin lebih sukar untuk dibersihkan sekiranya tersumbat.

Terdapat beberapa pengasah prisma yang mempunyai engkol tangan iaitu dengan tidak memutarkan pensel, sebaliknya memutarkan bilah pemotong. Penjagaan sederhana diperlukan agar mata pensel yang diasah tidak akan patah. Walau bagaimanapun, disebabkan pensel mungkin mempunyai diameter piawai yang berbeza di setiap negara, pengasah yang diimport mungkin mempunyai lubang yang bersaiz tidak standard pada suatu negara, menyebabkan sukar untuk mengasah. Pensel tidak dapat dimasukkan jika penjajaran lubang terlalu kecil. Manakala jika terlalu besar pula, mata pensel akan patah berulang kali. Pengasah prisma digunakan sama ada dengan tangan kanan atau tangan kiri, memerlukan putaran pensel mengikut arah jam atau lawan jam.

Pengasah silinder (planet)

[sunting | sunting sumber]

Mekanisme ini juga dipanggil pengasah planet,[1] merujuk kepada penggunaan sistem gear planet. Pengasah planet yang lebih besar dan pegun boleh dipasang pada meja atau dinding dan didayakan oleh engkol tangan. Kebiasaannya, pensel akan dimasukkan ke dalam pengasah dengan sebelah tangan, dan engkol diputar dengan sebelah tangan yang lain.

Pengasah elektrik

[sunting | sunting sumber]
Pengasah pensel elektrik

Pengasah pensel elektrik pada dasarnya berfungsi sama seperti pengasah manual, tetapi pemotong berbilah rata atau silinder diputar oleh motor elektrik.[2] Pengasah pensel elektrik tertua yang masih wujud ialah pengasah pensel Boston Polar Club, yang diperkenalkan sekitar 1936.[3] Sesetengah pengasah tidak dipasang pada binaan sistem elektrik, sebaliknya dikuasakan oleh bateri yang menjadikan pengasah tersebut mudah alih.

Pengasah pensel elektrik auto-henti dapat mengesan apabila mata pensel cukup panjang, lalu terhenti secara automatik. Dalam asas pengasah pensel automatik, grafit pensel mungkin menjadi terlalu panjang dan patah menyebabkan pengguna perlu berhati-hati untuk memantau operasi alat tersebut.

  1. ^ "Pencil Sharpeners". Dicapai pada 9 July 2011.
  2. ^ "Electric Pencil Sharpeners". Dicapai pada 9 July 2011.
  3. ^ "The Antikey Chop". Boston Polar Club Pencil Sharpener. Dicapai pada 2019-08-28.