Pergi ke kandungan

Pak Kadok

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Pak Kadok atau juga Pak Kaduk merupakan salah satu bentuk Sastera Rakyat Melayu. Dia terkenal sebagai seorang lelaki yang mempunyai sifat lurus bendul. Dia mempunyai seorang isteri yang terpaksa menahan segala perbuatan lurusnya. Kisah Pak Kadok yang menimpa diri dan keluarganya amat terkenal dalam kebanyakan masyarakat Melayu di Malaysia sehinggakan banyak sekali perbandingan sifat orang yang lurus bendul disabitkan dengan Pak Kadok.

Cerita Pak Kadok telah dimasukkan ke dalam buku bertajuk "Cherita Jenaka" oleh Sir R. O. Winstedt dan A. J. Sturrock pada tahun 1908, sebagai Pa' Kadok, bersama beberapa cerita rakyat popular yang lain seperti Pa' Pandir, Lebai Malang, Pa' Belalang dan Si-Lunchai. Cetakan ini diulang cetak sebanyak beberapa kali dengan edisi ketiga pada tahun 1914 dengan 159 halaman.[1][2]

Kisah Pak Kadok

[sunting | sunting sumber]

Cerita ini bermula dari mulut ke mulut dan dikumpulkan oleh Haji Pandak Logam Bin Pandak Demat, salah saorang keturunan Pak Kadok yang terlibat sepenuhnya menyimpan dan menjaga Kerongsang Emas Ikan Tapah. Beliau dilahirkan pada tahun 1873 dan telah meninggal dunia pada tahun 1963 dalam usia 90 tahun.[perlu rujukan] Kisah ini boleh dipecahkan kepada dua iaitu bahagian jenaka ketika Pak Kadok bertarung dengan Sultan dan lanjutannya ketika mana Pak Kadok menemukan seekor tapah. Bahagian-bahagian ini adakalanya diceritakan berasingan.

Bertarung dengan Sultan

[sunting | sunting sumber]

Bermula Kisah

[sunting | sunting sumber]

Di zaman pemerintahan Sultan Muzafar Shah Ibni Al-Marhum Sultan Mansur Shah, permainan menyabung ayam amatlah disukai oleh masyarakat hingga menjadi satu temasya hiburan di samping menonton dan berjudi. Permainan ini melibatkan semua golongan daripada rakyat jelata, bangsawan sehinggalah Sultan.

Menurut cerita Pandak Logam, kebetulan pada zaman itu, seorang pemuda berketurunan raja dari Siak, yang bernama Kadok, memulakan pelayarannya lalu datang ke Perak untuk mencari tempat baru. Dia akhirnya sampai ke suatu tempat di tepi Sungai Perak bernama Lambor iaitu di Kampung Pulau, Lambor Kiri. Di sana, Pak Kadok diterima baik oleh masyarakat kampung dan akhirnya dijodohkan dengan seorang gadis kampung dan menetap beberapa lama di situ. Pak Kadok mempunyai kegemaran menangkap ikan, mencari rotan dan menyabung ayam. Adapun menyabung ayam satu permainan yang amat digemarinya.

Pada suatu hari, Pak Kadok ternampak seekor ular sedang menggonggong sebiji telur ayam lalu ular tersebut meletakkan telur tersebut di atas tanah berhampiran rumahnya. Ular tersebut kemudian berundur dan menghilangkan diri. Pak Kadok pun mengambil telur tersebut dan dieramkan oleh ayam ternakannya. Telur tersebut menetas menjadi seekor ayam jantan yang cantik dan handal dinamakan Biring Si Kunani. Ayam ini sentiasa menang dalam semua pertandingan sehinggakan semua penduduk termasuk para pembesar istana takut dan tidak mahu menyabung dengan ayam Pak Kadok. Pak Kadok menjadi resah kerana tidak menyabung dan akan menerima apa juga syarat yang dikenakan asalkan dia dapat menyabung ayam handalnya itu.

Berita kehebatan ayam sabung Pak Kadok mendapat perhatian Sultan, lalu baginda mencabar Pak Kadok untuk menyabung ayam dengan syarat yang ditetapkan oleh Sultan. Syarat-syaratnya ialah ayam Pak Kadok hendaklah ditukarkan dengan ayam Sultan yang bernama Si Jalak Putih Mata dan pertaruhannya adalah kampung halaman dan isi rumahnya. Di pihak Sultan pula, Pak Kadok akan diberikan sebahagian kuasa memerintah dan kawasan di Perak jika Sultan kalah. Tanpa berfikir panjang Pak Kadok menerima syarat-syarat tersebut kerana sudah lama tidak menyabung.

Lantas dengan penuh debaran, Pak Kadok menunggu hari penyabungan ayam bersama baginda Sultan, Pak Kadok sekali lagi telah melakukan perbuatan yang tidak masuk akal. Oleh sebab acara penyabungan ayam tersebut dibuat di istana, Pak Kadok merasakan perlu menyiapkan diri dengan pakaian yang baik-baik ketika hari penyabungan berlangsung. Pak Kadok sedar yang dia tidak mampu untuk membeli pakaian baru kerana dia hanyalah orang miskin. Dia telah meminjam sedikit wang daripada isterinya untuk membeli kertas kajang yang besar. Apabila pulang dari pasar, Pak Kadok meminta isterinya menjahit kertas itu menjadi baju, seluar dan tengkolok. Isteri Pak Kadok begitu hairan dengan arahan suaminya itu namun dia tetap akur untuk menjahit. Tatkala tiba hari penyabungan, Pak Kadok memakai baju kertas yang dijahit rapi oleh isterinya itu.

Kekalahan

[sunting | sunting sumber]

Ketika petarungan berlangsung kedua-dua ayam Pak Kadok dan Sultan bertarung dengan sengit. Sebagaimana yang dijangkakan, ayam Pak Kadok yang ditukarkan dengan ayam Sultan telah menang. Pak Kadok pun bersorak sakan sehinggakan baju dan seluar kertasnya terkoyak-rabak dan hanya tinggal Pak Kadok yang bertelanjang bulat. Sultan dan para penonton mengetawakan dan mengejek Pak Kadok atas keadaannya ketika itu. Dia lupa bahawa ayam itu telah menjadi milik Sultan. Setelah pengumuman dibuat barulah Pak Kadok sedar bahawa dia telah dipermainkan oleh Sultan. Pak Kadok berasa amat malu dan terus pulang ke rumahnya, lalu menceritakan perkara sebenar kepada isterinya. Isteri Pak Kadok pada mulanya berasa sangat marah dengannya, tetapi ia tetap meminta untuk Pak Kadok bersabar dan meminta perlindungan dari Allah.

Maka dengan berpegang pada janji dan syarat penyabungan, Pak Kadok terpaksa menyerahkan kampung halamannya, isteri dan anak perempuannya kepada Sultan. Yang tinggal pada Pak Kadok hanya sehelai sepinggang dan seekor kucing kerana masa Sultan mengambil pertaruhan kucing tersebut tiada di rumah.

Bertemu ikan tapah

[sunting | sunting sumber]

Ikan tapah

[sunting | sunting sumber]

Pak Kadok pun berundur ke Pulau yang terletak di tebing Sungai Perak bersama kucingnya dan tinggal di sebuah dangau. Sambil Pak Kadok memikirkan nasibnya, kucing itu datang sambil mengiau-ngiau dan mengigit kaki Pak Kadok seakan memberitahu sesuatu. Puas juga dihalau kucing tersebut tetapi ia tetap juga begitu.

Pak Kadok pun mengikut kucing tersebut ke tepi tebing sungai. Apa yang didapatinya ialah seekor ikan tapah yang besar. Diberitakan oleh Hajah Halimah binti Abdullah (cucu kepada Ngah Jabor atau Imam Prang Jabar, pengasas Kampar), Pak Kadok pada mulanya tidaklah tahu bagaimana cara untuk menguruskan ikan tapah itu tetapi dengan tiba-tiba seekor kakaktua hinggap di atas dahan sebatang pokok yang meneduhi Pak Kadok lalu berbunyi "blah pruut... blah pruut". Perkataannya itu dianggap Pak Kadok semacam isyarat untuk membelah perut ikan itu, lalu dengan segeranya Pak Kadok pun berlari ke dangau dan mengambil mata tuai yang terselit di celah atap lalu dibelahnya perut tapah tersebut dan keluarlah emas dengan banyaknya. Pak Kadok bersyukur dan beranggapan itu rezeki daripada Tuhan.

Maka Pak Kadok pun menjahit perut tapah tersebut dengan menggunakan jarum patah berbenangkan urat batang pisang lalu melepaskan ikan itu semula ke dalam sungai. Semasa inilah Pak Kadok melafazkan sumpahnya yang berbunyi:

“Mulai hari ini dan ke hadapan, aku tidak menyabung lagi, dan aku, anak isteri aku, cucu-cicit aku, piat-piut aku, empas-empas endaun, entahkan ia entahkan bukan, tidak boleh memakan, menganiaya atau mengkianati akan ikan tapah. Barang siapa melanggar sumpahku, akan mendapat sakit gatal, melecur dan bengkak-bengkak, kiranya tahan badan tidak selamat hidupnya...”

Tapah itu terus menyelam dan timbul sekali seolah mengucap selamat tinggal dan kemudiannya hilang ke dalam air.

Tebus semula

[sunting | sunting sumber]

Pak Kadok pun pergilah mengadap Sultan dan menebus kampung halamannya dan anak isterinya. Sebahagian bakinya disimpan untuk menyara hidupnya dan sebahagian lagi dibawa ke Kampar untuk dijadikan barangan perhiasan, kerana di zaman itu tukang emas hanya berada di Kampar, Sumatera sahaja.

Setelah itu, Pak Kadok tidak menyabung lagi dan hidup aman damai mensyukuri rezeki yang diberikan Allah serta melakukan amal ibadah dengan taatnya sehingga berlaku perkara-perkara luar biasa. Antaranya Sultan Perak telah melantik Pak Kadok menjadi Orang Besar Jajahan dengan gelaran Tok Tua Sakti, yang mana tugasnya memberi nasihat dan tujuk ajar kepada Datok Bendahara Garang mengenai selok-belok tempat di Aceh dalam usaha membawa pulang Puteri Limau Purut dari Istana Aceh sebagaimana dalam kisah Megat Terawis.

Pak Kadok juga telah mengikat perjanjian dengan Sultan Perak pada waktu itu untuk tidak membenarkan dirinya, keluarganya dan seluruh keturunannya untuk membuat perkara larangan istana Perak ataupun pantang larang Diraja Perak, misalnya membela kucing hitam, mempunyai buaian buluh dan sebagainya sepertimana yang termaktub dalam Adab Pantang Larang Diraja Perak.

Sumpahan Ikan Tapah

[sunting | sunting sumber]

Kepada anak cucu Kadok, sebagaimana disebut dalam sumpahannya dan telah terkena penyakit yang disebutkan kerana memakan, mengkhianat secara sengaja atau tidak sengaja, terkena air-air dari ikan tapah maka ubatnya ialah dengan menyapu atau meminum air yang direndam Kerongsang Emas Ikan Tapah sebagai penawar bisa sumpahan tersebut. Difahamkan bahawa ada keturunan Pak Kadok yang tidak boleh melintasi asap masakan isteri jika yang dimasak itu adalah ikan tapah.

Pemegang Kancing Ikan Tapah

[sunting | sunting sumber]

Emas kancing satu-satunya saki baki emas ikan tapah yang masih ada. Ia berbentuk segi empat "iris wajik" dan boleh digunakan sebagai kerongsang baju wanita. Jumlah yang ada sekarang sebanyak tiga keping dan inilah yang digunakan sebagai penawar kepada cucu atau keturunan Pak Kadok jika terkena bisa tapah.

Sekarang Kerongsang Emas Ikan Tapah dijaga oleh salah seorang keturunan Pak Kadok yang bernama Hajah Asmah Binti Haji Abdul Aziz.

Penjelasan klinikal

[sunting | sunting sumber]

Penyakit ini boleh dikaitkan dengan alahan.

Seloka Pak Kaduk

[sunting | sunting sumber]

Berikut petikan Seloka Pak Kaduk yang popular dinyanyikan sebagai lagu rakyat:

Aduhai malang Pak Kaduk,
Ayamnya menang kampung tergadai,
Ada nasi dicurahkan,
Awak pulang kebuluran,
Mudik menongkah surut,
Hilir menongkah pasang,
Ada isteri dibunuh,
Nyaris mati oleh tak makan,
Masa belayar kematian angin,
Sauh dilabuh bayu berpuput,
Ada rumah bertandang duduk,
Rumah runtuh awak menumpang.


  1. ^ Raja Haji Yahya, Cherita Jenaka, iaitu Pa' Kadok, Pa' Pandir, Lebai Malang, Pa' Belalang, Si-Lunchai, ed. R.O. Winstedt & A.J. Sturrock, Singapura: Malayan Publishing House, 1908.
  2. ^ "ANTIQBOOK". Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-04-23. Dicapai pada 2008-08-06.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]